Saya tertarik untuk kongsikan sebuah artikel dari sumber Kosmo! Online yang membicarakan tentang perihal Miskin Bandar.
Golongan miskin bandar digalak tambah pendapatan sampingan dengan berniaga
KUALA LUMPUR – Golongan miskin bandar iaitu mereka yang bekerja di bandar dengan pendapatan RM3,000 ke bawah digalakkan membuka perniagaan sendiri dan melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan keluarga dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif itu dapat membantu golongan itu memperoleh wang tambahan selepas terjejas dengan kos sara hidup di bandar yang semakin meningkat.
“Golongan (miskin bandar) ini perlu lebih produktif dengan melakukan kerja sambilan selepas tamat waktu kerja seperti berniaga di pasar malam, menghasilkan karya buku atau menjahit,” katanya kepada Bernama selepas ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara di Bernama TV malam tadi.
Jelasnya, golongan tersebut juga tidak seharusnya bergantung kepada gaji bulanan dan bantuan yang diberikan kerajaan sebaliknya perlu berusaha meningkatkan kemahiran yang boleh menambah pendapatan mereka.
“Kini, sudah tiba masanya orang ramai menukar pemikiran dengan tidak bergantung kepada ‘makan gaji’ sahaja. Mereka perlu ada kesungguhan untuk melakukan perubahan kepada diri sendiri,” katanya. – Bernama
Sumber: Kosmo! Online
Sumber Gambar: Agenda Semasa