Umumnya, kebanyakkan orang lebih cenderung dan suka bercakap tentang perkara yang mereka fahami atau yang mereka betul-betul rasa familiar.
Dengan memilih topik atau perkara yang mereka faham, mereka rasa lebih yakin dan selesa bila berkongsi pandangan tentang topik tersebut. Mereka boleh berbual topik tersebut selama berjam-jam lamanya, tanpa merasa bosan.
Kemudian, bila perbualan mula masuk bab yang mereka tak faham, ramai yang memilih untuk diam atau cuba mengalih topik perbualan kerana takut salah cakap atau kelihatan kurang berpengetahuan.
Tapi, ada juga sesetengah individu yang suka explore perkara baru. Individu seperti ini suka bertanya soalan, atau berdiskusi untuk belajar sesuatu yang baru.
Pada masa yang sama, ada juga sejenis individu yang suka bercakap seolah-olah dia tahu dan pakar dalam sesuatu perkara, walhal apa yang dia tahu tentang perkara tersebut hanyalah sedikit sahaja.
Ini situasi yang biasa berlaku, dan ia sebenarnya dikenali sebagai kesan Dunning-Kruger.
Orang yang tahu sedikit tentang sesuatu topik kadang-kadang rasa mereka tahu lebih banyak daripada yang sebenarnya. Sebaliknya, orang yang benar-benar pakar dalam sesuatu perkara sering lebih merendah diri kerana mereka sedar betapa banyak lagi yang mereka belum tahu.