Apa sebenarnya kegunaan dan kepentingan memiliki kertas kerja dan rancangan perniagaan (business plan) kepada usahawan?
Sepatutnya, sebelum sesuatu perniagaan itu dimulakan, perkara pertama yang perlu disediakan terlebih dahulu ialah kertas kerja rancangan perniagaan (business plan). Jika sesuatu perniagaan itu bagus dan nampak berpotensi di atas kertas, besar kemungkinan perniagaan yang bakal dibina itu juga boleh memberi pulangan yang baik.
Walaupun begitu, ada juga usahawan yang masih belum mempunyai rancangan perniagaan walaupun mereka telah memulakan perniagaan mereka bertahun-tahun lamanya. Mereka mungkin tak nampak, dimana dan apa sebenarnya kepentingan rancangan perniagaan ini.
Jadi kat sini saya nak kongsikan kepada para pembaca sekalian, apa dia sebenarnya kegunaan kertas kerja perniagaan ni.
(1) Memberi peluang kepada usahawan untuk melihat dan menilai perniagaan secara objektif, kritikal dan praktikal
Sebelum orang lain membuat sebarang penilaian terhadap perniagaan kita, sebenarnya kita sendiri boleh nilai perniagaan kita. Caranya adalah dengan merujuk kepada kertas kerja perniagaan kita.
(2) Mengkaji dan menilai sama ada perniagaan yang akan dijalankan berdaya maju atau sebaliknya
Segala maklumat tentang perniagaan kita akan dimuatkan dalam kertas kerja perniagaan yang kita sediakan. Dari situ, kita akan rangka apa dia strategi pemasaran, strategi untuk dapatkan pelanggan baru, strategi untuk tingkatkan jualan dan sebagainya.
(3) Meyakinkan pihak tertentu bagi mendapatkan sumber pembiayaan kewangan
Kertas kerja perniagaan akan menjadi pengganti diri kita (usahawan) bagi memberikan penerangan yang jelas tentang perniagaan yang kita jalankan. Biasanya, dalam proses untuk mendapatkan dana atau pinjaman perniagaan, pihak yang bakal menawarkan kemudahan kewangan akan meminta salinan kertas kerja perniagaan. Dari situ, mereka akan menilai sama ada perniagaan yang anda sedang jalankan berpotensi untuk maju atau sebaliknya.