Apa yang mendorong seseorang itu membuat keputusan untuk memulakan bisnesnya sendiri? Adakah sebab nak mengaut keuntungan lumayan semata-mata, atau adakah sebab minat yang mendalam terhadap bidang yang dipilih?
Saya berpendapat, ada macam-macam sebab kenapa orang memilih untuk berbisnes dan bukannya kerja makan gaji. Boleh jadi ada beratus-ratus sebab yang berbeza.
Kalau saya nak senaraikan satu per satu, pasti sangat banyak. Jadi apa yang saya buat adalah saya senaraikan setakat 25 sebab, kenapa seseorang itu buat keputusan untuk buat bisnes sendiri dan bukannya kerja dengan orang.
Bisnes yang dipilih mungkin berbeza. Sama ada bisnes dobi, bisnes kedai makan, bisnes kedai runcit, mahupun bisnes online. Ini adalah antara sebab kenapa mereka pilih untuk cari rezeki menerusi jalan bisnes.
(1) Masa kerja yang fleksibel
Hakikatnya bukan semua orang mampu untuk bekerja mengikut waktu kerja yang tetap, contohnya dari jam 9 pagi hingga jam 6 petang setiap hari.
Ataupun kerja mengikut jadual syif. Ada hari kena kerja dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Ada hari kena kerja dari jam 10 pagi sampai 6 petang, dan ada ketikanya kena bekerja dari jam 2 petang sampai jam 10 malam.
Setiap minggu pula, jadual sukar untuk dijangka. Sentiasa bertukar-tukar, mengikut kesesuaian. Ini membuatkan proses untuk memohon cuti dan meluangkan masa bersama keluarga jadi agak sukar.
Kalau orang yang masih bujang dan hidup sendiri, mungkin tak ada masalah untuk kerja dengan jadual seumpama itu. Tetapi berbeza halnya dengan orang yang dah berkeluarga, yang kadang-kadang perlu hantar dan jemput isteri untuk ke tempat kerja, ada anak yang masih bersekolah dan sebagainya.
Sebaliknya, kita lebih sesuai kalau bekerja mengikut jadual yang fleksibel. Kalau waktu pagi tak free sebab nak bawa anak ke klinik, masa yang digunakan untuk ke klinik itu tadi boleh digantikan pada waktu lain. Misalnya pada waktu malam.