Adakah anda seorang usahawan? Anda mempunyai pekerja? Bagaimana cara anda memberi ganjaran ataupun reward kepada para pekerja anda?
Baru-baru ni saya sempat ikuti rancangan Inspirasi HLive yang mana pada episod tersebut, tetamu undangan ialah Dato Aliff Syukri selaku pengasas produk jenama D’Herbs. Ada banyak juga perkara yang dikongsikan kepada para penonton, tapi dalam banyak-banyak tu, saya tertarik dengan kata-kata beliau.
… para pekerja dan staf saya inilah yang paling banyak berjasa untuk meletakkan diri saya pada tahap saya sekarang ni.
Ok… sebelum saya nak cerita panjang-panjang, izinkan saya buat penafian terlebih dahulu. Ayat yang keluar dari mulut Dato’ Aliff tidaklah sama sebijik macam yang saya tulis kat atas tu. Ianya adalah ayat saya sendiri yang saya olah, setelah menonton rancangan tersebut.
Saya manalah rakam rancangan tu. Jadi saya tak dapat nak ingat 100% dan tak dapat nak quote kata-kata beliau sama sebijik macam yang dikatakan. Sebaliknya, apa yang termampu untuk saya lakukan sekarang ni ialah untuk tulis semula (rephrase) kata-kata beliau supaya maksud dan mesej yang ingin disampaikan itu kena pada konteksnya.
Kedua, harap jangan salah faham. Entri ni bukannya nak cerita tentang syarikat D’Herbs Sdn Bhd, produk-produk D’Herbs mahupun nak cerita tentang individu bernama Dato’ Aliff Syukri. Namun apa yang berlaku ialah, selepas saya tonton rancangan inspirasi HLive ni, ia menjadi trigger untuk saya fikirkan tentang topik gaji kepada golongan pekerja.
Bisnes kalau nak berkembang, kena ambil pekerja. Tak boleh dan tak sesuai untuk gunakan konsep “one man show” untuk uruskan bisnes yang besar. Satu masa dulu, saya pernah bergaduh dengan bos saya sendiri sebab isu macam ni.
Saya pernah ada seorang bos yang (mungkin) hobinya menubuhkan syarikat. Ada syarikat event, syarikat cenderahati, syarikat latihan… dan only god knows, apa lagi syarikat yang dia tubuhkan. Saya rasa, syarikat jual ikan kat pasar pun dia ada. Bukan semua syarikat yang ditubuhkan ada business activity. Ada syarikat yang statusnya dormant dan memang tak ada sebarang transaksi.