Semasa saya sedang menunggu giliran untuk menaiki bot bagi sesi island hopping di Pulau Langkawi, (yang akan melawat beberapa tempat seperti Tasik Dayang Bunting, Pulau Beras Basah dan juga Eagle Feeding) saya sempat berbual dengan pemilik bot.
Dalam perbualan tu, kami sempat berbincang tentang bisnes. Saya diberikan tawaran yang agak menarik kalau betul-betul serius nak buat duit.
Perkenalkan dan bawa kawan-kawan untuk datang ke Pulau Langkawi dan ambil pakej Island Hopping dengan syarikat milik beliau. Kalau confirm jadi, saya akan dapat sedikit komisen daripada recommendation tersebut.
Kalau dalam dunia online, benda ni sama konsep dengan affiliate marketing. Tawaran ni memang cukup menarik, dan saya juga cukup teruja pada ketika tu. Saya sempat membayangkan beberapa kaedah pemasaran yang bakal saya gunakan untuk tarik pelancong ke Pulau Langkawi dan seterusnya ambil pakej Island Hopping dengan syarikat ni.
Tak berapa lama selepas tu, saya mendapat tugasan untuk mempromosikan sebuah homestay murah berdekatan Airport di Pulau Langkawi. Pada awalnya, saya cuma diberi tugasan untuk ambil gambar dan hasilkan sebuah artikel review berkenaan dengan homestay tersebut, itu sahaja.
Kemudian, bila dah berbual-bual agak lama dengan pemilik homestay tu, dia turut tawarkan saya komisen sekiranya saya berjaya bawa pelanggan untuk datang menyewa di homestay miliknya.
Sebenarnya bukan saya tak minat nak buat duit dalam industri pelancongan. Cuma setakat ini, tawaran yang saya perolehi semuanya tak berapa menarik. Terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan, dan upahnya juga mungkin tak seberapa.