Saya pernah terbaca dalam satu perkongsian di Facebook, kisah mengenai individu yang menawarkan servis lipat baju dari rumah ke rumah. Maklum sajalah, sekarang ini orang terlalu sibuk dan tak ada masa untuk lipat baju. Baju yang dah siap dibasuh, terbiar dalam bakul sampai berhari-hari.
Bila nak pakai, barulah sibuk cari baju dalam bakul pakaian yang dah siap dicuci. Kalau tak jumpa, terpaksa tuang semua atas lantai, kemudian masukkan kembali dalam bakul. Dalam situasi ini, khidmat melipat baju adalah satu perkhidmatan yang sangat-sangat diperlukan untuk orang yang betul-betul sibuk dan tak ada masa nak buat kerja-kerja melipat ini.
Kemudian saya ada terbaca pula kisah seorang surirumah yang ingin mencari pendapatan tambahan. Beliau telah mencuba pelbagai kaedah untuk buat duit dari rumah, dan kebanyakkan yang dia cuba, tidak begitu memberi hasil.
Hinggalah pada satu hari, dia tergerak hati untuk tawarkan khidmat mencuci pakaian kotor milik jirannya dari rumah. Ya, dia mencuba nasib dengan menjalankan bisnes dobi dari rumah. Idea ini memang begitu simple, dan dia sendiri tak menyangka yang rupanya ada permintaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.