Sebagai seorang freelancer, saya selalu mencari peluang-peluang kerja bagi meningkatkan pendapatan saya. Saya tahu, saya tak boleh duduk diam. Kalau saya duduk diam dan malas, alamatnya memang pendapatan bulan tu pasti akan terjejas teruk. Kemudian, dalam misi pencarian job di internet, saya terjumpa pula laman web yang membuka peluang untuk bekerja dari rumah.
“Kerja dari rumah dengan iLancee”.
Pada mulanya, saya merasakan ini adalah satu peluang bekerja dari rumah yang sangat baik. Tetapi nanti dulu! Sebelum kita terburu-buru nak terus mohon sebarang pekerjaan atau dalam konteks laman web iLancee ni, kita terus menyenaraikan perkhidmatan yang boleh kita tawarkan kepada bakal pembeli, saya kira ada baiknya kita fahamkan terlebih dahulu bagaimana laman web ini berfungsi.
Ini bukan kali pertama saya jumpa laman web seperti ini. Di peringkat global, ada banyak laman web yang menawarkan perkhidmatan yang lebih kurang sama dan serupa dengan apa yang ditawarkan oleh pihak iLancee. Bekerja dari rumah dengan iLancee bukanlah satu-satunya pilihan yang ada tersedia untuk kita.
Peluang untuk bekerja dari rumah sebagai seorang freelancer seperti yang ditawarkan oleh pihak iLancee ada terlalu banyak. Kita lihat konsep supply and demand, atau dalam bahasa Melayu konsep penawaran dan permintaan. Apabila penawaran (supply) terlalu banyak berbanding permintaan (demand) maka harga bagi sesuatu perkhidmatan itu akan jatuh.
Saya pernah lihat ada banyak laman web seumpama ini yang telahpun mempunyai bilangan ahli yang ramai, dan dari pemerhatian saya, memang cukup susah untuk kita jual servis dengan kadar bayaran yang tinggi. Jika dilihat sepintas lalu, seolah-olah setiap orang yang menjual di platform seperti itu berlumba-lumba menawarkan harga perkhidmatan paling rendah. Sebagai jurujual, kita ada pilihan sama ada ikut sama-sama tawarkan harga yang rendah, atau kita tinggalkan sahaja portal yang telah sesak seperti itu, dan cari laman web jual beli servis yang baru seperti iLancee ini.