Pada ketika ini, hampir semua orang bergantung kepada Internet. Kita memerlukan capaian internet bagi melakukan kerja-kerja harian ataupun bagi tujuan kekal berhubung dengan yang tersayang.
Sama ada mereka ini menggunakan Google untuk mencari maklumat, login ke akaun Facebook bagi mengetahui perkembangan semasa ataupun menonton video di Youtube untuk hiburan.
Bagaimana pula dengan media cetak?
Sama ada kita sedar ataupun tidak, kita sebenarnya mula menolak sebarang bentuk media cetak. Rasionalnya? Media cetak memerlukan terlalu banyak ruang untuk simpanan, manakala dari segi konten kita sukar untuk memilih apakah konten yang benar-benar relevan dengan kita.
Saya ambil contoh konten dalam majalah misalnya. Mungkin dalam 200 muka surat, kita hanya mahukan konten yang berada dalam halaman ke 100 hingga 105 sahaja. Selebihnya, kita tak perlukan. Tapi disebabkan ianya dijual dalam bentuk satu naskhah, kita terpaksa juga beli. Akhirnya, kita perlukan ruang khas untuk menyimpan majalah lama.
Sewaktu zaman media cetak mendominasi pasaran lagi, usahawan telah mula menggunakan medium-medium tersebut untuk tujuan pemasaran. Namun, sekarang ini diera segalanya dalam bentuk digital, kita mula beralih kepada kaedah pemasaran secara online. Pemasaran online ini juga adakalanya dipanggil dengan istilah pemasaran digital.
Berita baiknya ialah, semua orang boleh menggunakan kaedah pemasaran digital. Pemasaran digital ini, ada yang percuma, ada yang memerlukan modal namun dalam kadar yang minima dan ada juga yang memerlukan modal yang besar.
Ia terpulang kepada individu usahawan tersebut. Jika ada modal yang besar, bolehlah gunakan kaedah yang lebih mahal. Jika belum ada modal, boleh gunakan kaedah yang tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi.
Posting kali ini, saya ingin bincangkan mengenai beberapa kaedah pemasaran digital yang biasa dilakukan oleh usahawan online. Kalau ada antara kaedah disini yang anda sudah tahu, anggaplah ini sebagai satu sesi ulangkaji, sebaliknya jika ada yang belum tahu, saya harap perkongsian ini dapat beri manfaat buat pembaca sekalian.
Tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita terus kepada topik kita, iaitu bentuk-bentuk pemasaran online yang biasa dilakukan oleh usahawan online.