Semua orang pasti pernah melalui satu fasa, dimana dia bercita-cita untuk menjadi bos kepada dirinya sendiri (be your own boss). Untuk jadi bos, sudah tentu kena ada bisnes sendiri terlebih dahulu.
Ada pelbagai jenis bisnes yang boleh kita jalankan di Malaysia. Sama ada nak mulakan perniagaan tersebut secara online ataupun nak terus buka kedai fizikal, segalanya terpulang kepada usahawan itu sendiri.
Bagi usahawan yang telah menjalankan bisnes bakeri secara online, dan beroperasi hanya dari rumah, mungkin pernah ada timbul keinginan untuk memiliki kedai kek sendiri. Seolah-olah memiliki kedai kek, dapat menambah prestij dan meningkatkan imej perniagaan anda.
Sekiranya imej dan prestij itu dapat membantu melonjakkan bisnes bakeri yang anda jalankan, saya kira itu adalah satu strategi yang bagus. Namun, anda perlu tahu bahawa mempunyai kedai fizikal, bukanlah satu perkara yang mudah.
Ada banyak cabaran yang perlu anda hadapi, dan sebahagian dari cabaran tersebut mungkin akan melemahkan anda dan membuatkan anda rasa ingin tutup sahaja kedai kek yang anda usahakan.