Pada satu malam, sewaktu sedang tunggu lif, saya terserempak dengan satu pasangan bangsa cina, yang membawa dua buah bungkusan plastik besar dalam tangan. Beg plastik ni besarnya lebih kurang macam beg ikea.
Dalam tu terdapat kain baju yang masih belum dicuci.
“Nak pergi cuci baju ke uncle?” Saya saja tanya, untuk bertegur sapa dengan jiran. Pasangan ini tinggal hanya selang beberapa pintu dari rumah saya.
“Ha… ya ya, mau pigi cuci.” Jawab uncle tu sambil senyum.
“Banyak ya baju uncle nak bawa pergi cuci…” Saya lanjutkan perbualan. Kebetulan waktu tu, lif masih belum sampai.
“Kirja… tak ada masa mau hantar baju pergi cuci…”
Berdekatan dengan tempat saya tinggal, ada 3 buah kedai dobi. Pada awalnya dulu, cuma ada satu kedai dobi sahaja. Mungkin disebabkan ada permintaan, ataupun usahawan ini sedar ada potensi untuk jalankan bisnes kedai dobi dekat sini, sekarang dah ada tiga buah kedai.
Dari tiga buah kedai dobi yang ada, dua buah kedai menggunakan konsep kedai dobi layan diri. Dengan konsep layan diri macam ini, kedai ini memang buka 24 jam. Pelanggan yang nak cuci baju, boleh datang ke sini pada bila-bila masa.