Adakah anda menggunakan Facebook Group bagi tujuan pengiklanan dan mendapatkan jualan bagi produk-produk yang anda jual? Jika jawapan anda adalah ya, posting ini saya tulis khas untuk anda.
Pada waktu catatan ini saya tulis, ada ramai usahawan online menggunakan kaedah pemasaran yang kurang tepat di FB Group. Mungkinkah anda merupakan salah seorang daripadanya?
Ada antara mereka yang menggunakan software atau apps seperti buffer apps ataupun hootsuite untuk membuat iklan-iklan berkenaan produk atau servis mereka secara automatik di group-group facebook.
Apa yang menjadi masalah, bukanlah software ataupun apps tersebut. Kewujudan apps dan software tersebut hanyalah untuk memudahkan kita membuat posting di sosial media, tanpa perlu kita sentiasa duduk depan skrin komputer atau smartphone.
Software tersebut fungsinya untuk memudahkan penggunanya membuat posting mengikut masa yang ditetapkan secara automatik. Contoh dalam sehari, kita memperuntukkan dari jam 7.00 pagi hingga 8.00 pagi untuk buat pemasaran media sosial. Posting yang bakal kita terbitkan pada hari tersebut kita boleh set, pada pukul berapa kita nak ia disiarkan diwall kita atau di wall group.
Misalnya, kita susun ikut jadual seperti berikut
Posting pertama – Diterbitkan pada pukul 10.00 pagi
Posting kedua – Diterbitkan pada pukul 2.00 petang
Posting ketiga – Diterbitkan pada pukul 5.00 petang
Selepas pukul 8.00 pagi, kita boleh tutup facebook dan fokus untuk buat kerja lain, tanpa perlu rasa terganggu. Kesemua posting yang telah anda susun akan diterbitkan secara automatik dengan bantuan apps yang anda langgan.
Bagaimana cara nak hasilkan iklan yang terbaik dan mampu untuk menghasilkan jualan apabila menggunakan medium Facebook Group?
Kita berbalik kepada topik asal yang ingin saya bincangkan. Apabila kita menghasilkan sebuah hantaran, atau posting, sudah tentu matlamatnya adalah supaya kita dapat hasilkan jualan. Namun, apakah terdapat cara, kaedah atau tips untuk kita berjaya capai matlamat tersebut?
Bagi menghasilkan iklan yang berkesan, sudah tentu ada formula atau peraturan yang kita perlu ikuti.
Mungkin ada timbul persoalan dalam kalangan pembaca, apakah yang dikatakan sebagai iklan yang terbaik? Setiap orang pastinya mempunyai takrifan yang berbeza mengenai ciri iklan yang terbaik.
Pendapat saya secara peribadi, iklan yang bagus ialah
i. Iklan yang menarik interaksi dan enggagement dengan pembaca
Selepas baca iklan, pembaca terus komen atau ada yang personal message kita. Mereka begitu teruja untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai produk atau servis yang kita cerita dalam iklan kita. Itu sebabnya, sesetengah orang hanya memberikan maklumat yang just enough dalam iklan, supaya pembaca mengambil tindakan untuk bertanya kepada kita.
Kalau dalam iklan kita tu, kita dah cerita semua, besar kemungkinan pembaca akan baca iklan kita sekali lalu sahaja. Tidak berlaku sebarang interaksi disitu.
ii. Iklan yang convert kepada sale
Tak semua iklan yang kita buat akan terus convert kepada sale, namun ada juga jenis pelanggan yang tak suka banyak tanya, dan dia terus order setelah baca iklan kita.
iii. Iklan yang kita hasilkan menjadi viral
Ini pun satu ciri iklan yang bagus, yang mana iklan kita tu dibaca dan dikongsi (share) oleh pengguna media sosial yang lain. Kita tak perlu susah payah bayar untuk iklan, bila iklan kita jadi viral seperti ini.
Cuma kita perlu sedia dengan hakikat bahawa, iklan yang viral belum tentu akan convert kepada sales, manakala iklan yang sendu belum tentu tak ada sale yang datang dari iklan tersebut.
Kita perlu sentiasa bereksperimen dan gunakan pendekatan yang berbeza dalam menghasilkan iklan yang betul-betul power.
Namun yang menjadi tanda tanya, mampukah setiap dari kita menghasilkan iklan yang sebegitu?
Pada saya, saya percaya semua orang mampu untuk lakukannya. Sudah tentu, kalau yang belum ada ilmu, kena belajar dulu. Kalau yang tak ada pengalaman, kena berlatih selalu.
Elakkan group-group iklan jual beli
Sebelum saya cerita dengan lebih panjang, saya rasa ada baiknya saya nak tarik perhatian anda, untuk elakkan buat kerja pemasaran di dalam group jenis iklan.
Seperti yang kita sedia maklum, group iklan kandungannya adalah 100% iklan. Iklan yang terdapat dalam group tersebut pulak sangat banyak dan pelbagai.
Lebih memburukkan keadaan adalah apabila jenis iklan yang disiarkan dalam group tersebut adalah bercampur aduk.
Ada iklan powerbank, ubat kuat lelaki, pil kurus, promosi program MLM, unit trust, insurans dan sebagainya. Ianya ibarat satu shopping mall online yang sangat membosankan.
Namun ini bukan bermakna saya anti dengan group iklan. Ada juga group iklan yang bagus. Misalnya group iklan yang fokus untuk mengiklankan satu jenis produk, barangan atau servis sahaja.
Contohnya group iklan yang fokus untuk mengiklankan rumah, kereta, tempat percutian sahaja. Tidak bercampur aduk dengan lain-lain produk yang langsung tak berkaitan. Group seperti ini, bolehlah dianggap sebagai group yang baik untuk kita masuk dan cuba mengiklankan produk yang kita jual.
Bagi menjalankan pemasaran di FB Group dengan lebih berkesan, anda perlu tahu, apakah sebenarnya peranan anda? Jika anda adalah seorang pemilik group, maka anda lebih bebas untuk membuat sebarang posting dalam group tersebut.
Namun, jika anda adalah seorang ahli yang baru nak join, maka disitu ada keterbatasan. Anda tak boleh nak bertindak sesuka hati, dan sekurang-kurangnya kena patuh pada peraturan group tersebut. Saya lebih menggalakkan untuk anda bina group sendiri dan mula mengajak pengguna FB lain untuk join group anda.
Walaubagaimanapun, jika anda merasakan ianya agak sukar, boleh sahaja join group orang lain, dan dari situ anda mula mengaktifkan diri dan buatkan diri anda dikenali melalui posting yang bakal anda hasilkan dimasa akan datang.
Sudah tentu, sama ada sebagai group admin ataupun ahli biasa, setiap satu mempunyai peranan dan cara kerja yang berbeza.
(1) Iklan tidak kelihatan seperti terlalu menjual
Apakah sebenarnya peranan sesebuah iklan?
Dari sudut pandang seorang marketer, iklan yang bagus adalah iklan yang boleh convert kepada sales. Maksudnya iklan tersebut boleh hasilkan jualan.
Bagaimana pula dari sudut pandang seorang pengguna? Apakah yang dikira sebagai iklan yang baik dan bagus dimata mereka? Dalam situasi ini, kita perlu letakkan diri kita sebagai seorang pengguna.
Ini bukanlah satu perkara yang mustahil dilakukan kerana hakikatnya walaupun kita adalah seorang peniaga, pada masa yang sama kita juga adalah seorang pengguna.
Cuba imbas kembali keadaan dan situasi apabila kita ingin membeli atau mendapatkan sesuatu perkhidmatan. Apakah perkara yang menjadi keutamaan dan yang kita berikan penekanan sebelum terus bersetuju untuk membuat pembelian? Sudah tentu, sebagai seorang pengguna, kita tak akan terus sambar setiap tawaran yang lalu di timeline fb kita.
Selalunya kita akan buat keputusan sama ada nak buat pembelian atau tidak, dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya seperti adakah sesuatu produk yang dipromosikan itu menepati kriteria dan keperluan kita.
Justeru, bagaimanakah caranya untuk kita bina ayat iklan yang tak kelihatan terlalu menjual di FB Group? Disini saya ada beberapa cadangan yang mungkin sesuai untuk anda praktikkan.
Buat posting jenis tutorial
Posting jenis tutorial biasanya akan bermula dengan kita menunjukkan hasil akhir yang mungkin ingin dicapai oleh orang lain dan kemudian barulah kita kongsikan secara langkah demi langkah bagaimana untuk dapatkan hasil yang sama.
Andai kata kita nak promosikan program buat duit. Kita boleh bermula dengan bertanya soalan seperti berikut
“Ada tak sesiapa yang minat nak tahu cara macam mana nak hasilkan income RM13,091 sebulan dengan PG Mall macam dalam gambar ini? Kalau ada yang minat, komen saya minat. Kalau ramai yang komen, nanti saya akan kongsikan cara dia secara langkah demi langkah.
Kemudian kita tunggulah. Kalau memang betul ramai yang berminat nak tahu, lepas tu barulah kita tulis posting jenis tutorial tersebut.
Untuk produk berbeza, juga sesuai untuk gunakan kaedah perkongsian kaedah tutorial. Kalau jual tudung, boleh kongsikan tutorial menggayakan tudung mengikut fesyen berbeza.
Buat posting jenis perkongsian pengalaman
Kongsi pengalaman juga satu pendekatan yang anda boleh lakukan bagi mengelakkan posting anda kelihatan seperti iklan dan terlalu ingin menjual.
Orang kita suka baca pengalaman pergi bercuti disesuatu destinasi percutian, pengalaman menyertai kelas, pengalaman beli kereta, pengalaman membuat pelaburan saham dan sebagainya. Pengalaman yang kita lalui itu sebenarnya boleh dijadikan panduan bagi orang lain yang belum pernah laluinya. Sambil kita cerita pengalaman, kita selitkan juga iklan bagi produk yang kita nak promosikan.
Cuma kena pastikan, produk yang kita nak promosikan tu mestilah ada kaitan dengan pengalaman yang kita kongsikan. Matlamat kita adalah kongsi pengalaman, bukan jual produk.
Posting jenis kongsi tips
Tips untuk jimatkan duit, tips untuk elakkan kerugian dalam urusan tertentu, tips untuk elak kena tipu dan sebagainya. Perkongsian tips juga adalah antara posting yang bagus untuk kita gunakan, dan biasanya posting jenis ini lebih mudah untuk menarik perhatian pengguna lain.
Posting jenis menjawab sesuatu persoalan atau pertanyaan
Kita bermula dengan ayat seperti ini.
“Baru-baru ni ada ahli group yang tanya soalan macam mana cara kita nak tahu sama ada sesuatu matawang kripto itu akan naik harga atau jatuh. Jadi kat sini saya akan kongsikan beberapa cara…”
Matlamat posting jenis ini adalah untuk berikan jawapan. Jawapan tersebut tak perlu seratus peratus tepat. Ia boleh jadi jawapan berdasarkan kepada pengalaman, pembacaan dan sebagainya.
(2) Anda memberi nilai tambah (value-added) kepada ahli group
Lazimnya sesebuah group yang berjaya mendapat bilangan ahli yang ramai, ditubuhkan atas satu sebab yang tertentu. Antara contohnya adalah group tentang resipi masakan, group pelaburan emas, group pelaburan digital online, group untuk belajar pelaburan saham dan sebagainya.
Group yang memang betul-betul ada kualiti pula adalah group yang posting didalamnya tidak ada atau kurang iklan. Kita dapat lihat dalam setiap posting, memang ianya relevan dengan tujuan asal kenapa group tersebut diwujudkan.
Ok sebenarnya bukanlah tak ada iklan langsung, cuma dari segi bagaimana posting iklan itu dihasilkan, ia tak kelihatan seperti iklan. Kalau anda perasan, sebenarnya saya dah sentuh, bagaimana cara nak pastikan posting yang kita hasilkan itu tak kelihatan seperti iklan.
Caranya adalah dengan membuat posting jenis tutorial, perkongsian pengalaman, berikan tips, menjawab pertanyaan dan sebagainya.
(3) Wujudkan perbincangan mengenai topik semasa atau topik-topik yang sering dicari
Ini satu pendekatan yang anda boleh lakukan jika ingin memastikan group sentiasa aktif dengan posting terkini. Bukan sekadar aktif dengan posting terkini malahan kita juga mahu sesuatu group itu berlaku perbincangan.
Satu kaedah yang boleh mengajak ahli lain untuk turut serta menyertai perbincangan adalah dengan mengetengahkan topik tentang isu semasa yang sedang hangat diperkatakan. Namun kena pastikan isu semasa tersebut masih lagi relevan dan mempunyai impak terhadap perjalanan dan tujuan sesuatu group itu ditubuhkan.
Sesetengah orang, semua isu semasa dia nak kaitkan dengan bisnes atau produk yang dia promosikan. Walaupun pada hakikatnya, ia langsung tak ada kaitan. Jadi kat sini, saya cuma nak pesan, berpada-padalah dalam memetik sesuatu isu.
Kalau isu tersebut tak relevan, tak perlulah nak try hard sangat, nak bagi kena dengan bisnes yang anda jalankan. Ini hanya akan buatkan orang rasa meluat dengan anda kelak.
(4) Bina komuniti dan sokong perkembangan komuniti tersebut
Dekat sini ada dua pendekatan.
Pertama, jika anda adalah seorang group admin yang bertanggungjawab memulakan group tersebut. Sebagai group admin, cuba mainkan peranan untuk fokus kepada membina komuniti dan pastikan komuniti yang anda bina ini mampu untuk berkembang atau sekurang-kurangnya mampu mencapai matlamat yang ingin disasarkan.
Anda patut tahu dengan jelas, kenapa group tersebut ditubuhkan dan kenapa orang lain berminat untuk join group anda. Cuba tanyakan pada ahli group anda, adakah mereka dapat apa yang mereka harapkan, dari group anda tu.
Kedua, jika anda bukannya seorang group admin, namun anda sekadar ahli biasa. Anda juga boleh sumbangkan kemahiran, pengalaman dan ilmu anda dalam group tersebut. Setiap perkongsian yang anda terbitkan dalam group, pasti akan ada mereka-mereka yang beroleh manfaat. Teruskan menyumbang idea dan ilmu.
Kalau nak lebih bagus, bincang dengan group admin, dan bina hubungan yang baik. Anda mungkin akan dilantik jadi admin satu masa nanti, jika anda banyak memberi sumbangan dan menghidupkan group. Anda telah jimat masa, dan tak perlu susah payah nak bina group dari bawah.
(5) Promosikan sesuatu acara, produk ataupun servis yang berkaitan sahaja
Sebenarnya tak salah pun kalau nak promosikan sesuatu produk, servis ataupun kursus di laman FB Group. Asalkan apa yang dipromosikan itu masih lagi relevan dengan matlamat dan tujuan asal group tersebut ditubuhkan.
Cuma apa yang perlu kita pastikan adalah, kita tidak terlalu kerap mempromosikan produk. Pada masa yang sama, apabila kita ingin mempromosikan sesuatu produk, sebaik-baiknya kita janganlah kelihatan seperti terlalu terdesak dan lebih berminat untuk dapatkan duit ahli dalam group kita semata-mata.
Cuba tunjukkan yang kita betul-betul ikhlas mahukan hanya yang terbaik kepada ahli group. Kalau nak buat iklan cuba guna pendekatan seperti ini.
i. Kenalpasti apakah masalah yang dihadapi oleh ahli group
Apa yang mendorong seseorang itu untuk menyertai sesebuah group di Facebook? Ada banyak sebab. Ada yang sekadar suka-suka, mempunyai minat yang sama, ingin menyelesaikan masalah dan banyak lagi.
Sekiranya kita mempunyai perancangan untuk buat duit di FB Group, maka kita perlu fokus kepada menghasilkan group atau menyertai group yang mana tujuan dan matlamatnya adalah untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Bukan group suka-suka atau sekadar untuk berseronok.
ii. Cadangkan apakah produk atau perkhidmatan yang boleh bantu selesaikan masalah tersebut
Bila berdepan dengan sesuatu masalah, kita akan jadi susah nak move on dan fikir benda lain, selagi mana masalah tersebut kita tak selesaikan. Itu sebabnya, sesetengah orang yang dilanda masalah, mudah untuk mengikut nasihat kita untuk beli sesuatu produk atau servis.
Of course, produk dan servis yang kita cadangkan itu nanti mestilah sesuai dengan bajet golongan sasaran kita.
iii. Beri sebab kenapa kita syorkan produk tersebut
Berikan beberapa sebab yang konkrit kenapa kita rasakan produk tersebut begitu bagus hinggakan kita sendiri rasa suka untuk bercerita mengenai produk tersebut. Satu produk atau perkhidmatan yang bagus adalah apabila ia mampu menyelesaikan satu permasalahan yang spesifik yang dihadapi oleh bakal pelanggan.
iv. Tunjukkan cara untuk buat tempahan
Jangan terus anggap bahawa semua orang tahu macam mana nak buat pembelian atau tempahan. Ada sesetengah pembaca ini, selagi mana kita tak tunjukkan secara langkah demi langkah cara untuk buat tempahan, selagi itu dia tak terus bertindak. Untuk kategori pembaca seperti ini, kita kena bagitahu macam mana cara nak dapatkan produk yang kita promosikan.
Kalau kena buat pembelian di Shopee ataupun kena buat tempahan melalui Lazada, kita kena beritahu serba sedikit bagaimana caranya dan sertakan juga link tempahan. Untuk berikan sense of urgency, kita nyatakan juga bahawa produk tersebut adalah terhad dari segi stoknya. Actually semua produk adalah terhad stoknya. Cuma bila kita nyatakan yang stok adalah terhad, nampak benda tu seperti penting, walhal secara logik semua produk mempunyai stok yang terhad, walaupun dalam stor ada 10,000 unit produk.
v. Lebih bagus kalau boleh berikan testimoni diri sendiri
Ya ini bermakna anda perlu cuba sendiri atau beli dulu produk yang anda hendak promosikan. Ini menambahkan lagi kredibiliti anda selaku pencerita, dan biasanya kalau anda dah beli produk tersebut atau setidak-tidaknya pernah gunakan produk tersebut, anda tahu bagaimana cara nak jawab sebarang soalan bakal pelanggan.
Kebiasaannya kalau produk tersebut kita dah cuba dan kita sendiri yang cadangkan, ahli dalam group lebih percaya pada kita berbanding percaya kepada penjual produk tersebut. Ini salah satu cara bagaimana kita boleh dapatkan pendapatan menerusi program affiliate. Kita tak perlu susah payah nak jual produk sendiri, sebaliknya kita hanya perlu promosikan produk orang lain dan kita dapat komisen jika ada pembelian dilakukan oleh ahli group.
(6) Bina database pelanggan dan juga prospek diluar dari group facebook
Ini nasihat yang penting yang tak sepatutnya anda abaikan. Walaupun anda sudah mempunyai group anda sendiri di facebook, jangan hanya bergantung kepada group tersebut sahaja.
Kita tak tahu, apa akan berlaku dimasa akan datang. Ada banyak kemungkinan-kemungkinan yang kita tak jangka akan berlaku. Hal-hal diluar kawalan dan bidang kuasa kita boleh berlaku menyebabkan usaha kita selama ini membina kumpulan jadi sia-sia.
Antara perkara luar jangka dan diluar kawalan kita yang boleh terjadi
i. Akaun Facebook kita kena hack
ii. Pengguna akaun Facebook yang follow kita sudah tak aktif
iii. Group yang kita bina kena sekat dan banyak lagi kemungkinan
Jadi apa yang saya boleh cadangkan adalah untuk anda melakukan backup ahli-ahli group yang pernah ikuti anda di group fb.
Saya ingin cadangkan dua kaedah yang anda boleh lakukan bagi tujuan membuat back up.
Cara pertama: Back up melalui database email
Dalam cara pertama ini, kita akan ajak ahli group untuk join atau subscribe mailing list kita. Bagi tujuan ini, kita memerlukan akaun autoresponder.
Pemasaran menggunakan sistem autoresponder ini juga dikenali dengan nama pemasaran email.
Kebiasaannya antara perkara yang membuatkan seseorang usahawan itu tak menggunakan sistem autoresponder dan pemasaran email adalah disebabkan faktor kos dan juga sebab tidak mempunyai ilmu teknikal untuk setup sistem email.
Walaubagaimanapun, itu bukanlah satu masalah yang terlalu besar. Anda boleh rujuk panduan email bajet ini untuk membantu setup pemasaran email anda.
Cara kedua: Back up dengan menggunakan aplikasi Telegram
Ini satu lagi kaedah yang murah dan mudah untuk anda lakukan. Gunakan sahaja applikasi telegram sebagai back up.
Dari masa ke masa, anda ajak ahli group untuk subscribe ke channel telegram milik anda.
Mungkin anda boleh berikan tawaran yang istimewa yang hanya dibuka untuk ahli group telegram sahaja.
(7) Jangan hanya bergantung kepada satu platform sahaja
Walaupun perkongsian ini mengenai kaedah pemasaran menggunakan facebook group, namun saya kira ada baiknya saya selitkan juga pesanan ini untuk kebaikkan bersama. Sebaik-baiknya, kita jangan hanya bergantung kepada satu jenis platform sahaja.
Apa yang perlu kita buat? Jawapannya mudah sahaja.
Pelbagaikan kaedah dan medium untuk pemasaran.
Zaman sekarang ini, kita ada banyak pilihan dan kemudahan untuk buat kerja pemasaran. Antara platform yang kita boleh gunakan antaranya adalah
i. Blog
ii. Email marketing
iii. Youtube video
iv. Tiktok
Gunakan kesemua kemudahan yang tersedia. Kalau mampu guna semua, gunalah semua. Kalau tak mampu, boleh fokus pada satu atau dua platform.
Pemasaran di media sosial menggunakan FB Group, tidaklah terlalu sukar dan tidak juga begitu mudah. Kaedah pemasaran ini tergolong dalam kaedah pemasaran percuma. Tiada sebarang bayaran yang perlu anda lakukan untuk terus mula menggunakan kaedah ini.
Jika dibuat dengan betul, ia akan memberikan pulangan yang memuaskan, namun jika dibuat secara semberono, ia juga berpotensi untuk menyebabkan masa anda banyak yang terbuang.
Saya harapkan dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat membantu anda mendapatkan idea, bagaimana untuk membina kempen pemasaran yang lebih baik dan berkesan melalui FB Group. Semoga bermanfaat.
Leave a Reply