Pernah tak anda mendengar atau terjumpa dengan suatu peluang yang menawarkan cara cepat untuk menjadikan anda kaya tanpa perlukan usaha yang banyak?
Peluang seumpama ini, biasanya akan muncul dengan tak disangka-sangka.
Tapi anda janganlah fikir, ia sama seperti rezeki yang tak disangka-sangka. Benda ini sebenarnya bukan rezeki, tapi bala kalau anda ikuti.
Program seperti ini dipromosikan dan ditawarkan secara sembunyi-sembunyi. Biasanya melalui media sosial, ataupun melalui group telegram.
Tiba-tiba dengan tak semena-mena, ada kawan atau kenalan yang add anda masuk dalam group telegram pelaburan! Jaga-jaga ye kalau benda ni berlaku pada anda.
Kadang-kadang tawaran mereka kelihatan seperti terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, bak kata orang putih… too good to be true.
…dan ia memang betul! Tawaran mereka itu memang mustahil untuk jadi kenyataan.
Bayangkan sebuah skim yang pada awalnya menjanjikan pulangan yang besar dengan mudah, akhirnya berkesudahan dengan menipu para pesertanya.
Ada banyak berita yang dilaporkan tentang penganjur skim seperti ini yang melarikan diri ke luar negara, setelah membawa lari berjuta-juta wang milik pelabur.
Kalau yang tak lari ke luar negara, itu mungkin sebab mereka tak sempat nak lari dan kini perlu menjalani hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan iaitu menganjurkan skim seumpama ini.
Itulah situasi yang biasa berlaku, apabila melibatkan skim money game, skim piramid dan juga skim cepat kaya.
Awal-awal operasi memang semuanya nampak menggoda, tapi awas, itu semua sebenarnya adalah suatu perangkap yang bertujuan menjerat dan merampas kekayaan anda.
Kalau ia tak cukup menggoda, sudah pasti tak ada siapa yang akan pedulikannya.
Perbincangan kali ini, kita akan rungkaikan tentang skim-skim penipuan seperti money game, skim piramid dan juga skim cepat kaya yang banyak berlegar diluar sana.
Walaupun sekarang ini zaman sudah makin moden, dan maklumat boleh diperolehi dengan mudah, hakikatnya masih ramai yang tak faham, apa itu skim penipuan dan masih tetap ada yang menjadi mangsa skim seumpama ini.
Mudah-mudahan selepas ini anda akan lebih bersedia untuk memastikan wang anda selamat dan dapat membuat keputusan yang lebih rasional, dan bukannya terikut-ikut dengan emosi apabila dihidangkan dengan skim seumpama ini.
Tapi kalau tetap berdegil, terserah pada anda.
Lagipun, yang bakal hangusnya nanti, duit anda.
Pengenalan kepada Skim Money Game, Piramid dan Cepat Kaya
Ada tiga istilah yang biasa digunakan bagi merujuk kepada skim penipuan ini.
1. Skim Money Game
2. Skim Piramid
3. Skim Cepat Kaya
(1) Money Game
Pengasas bagi money game (permainan wang) sudah tentu tidak akan menggunakan istilah money game dalam skim atau program yang mereka perkenalkan.
Justeru, jika anda mengatakan sesuatu skim itu bukan money game, hanya kerana tiada perkataan “money game” pada program mereka, maka anda tersangatlah naif.
Bagi menyembunyikan modus operandi sebenar program yang mereka perkenalkan ini, lazimnya mereka akan berselindung disebalik nama skim pelaburan.
Skim pelaburan yang mereka perkenalkan ini pula, menawarkan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat, mengalahkan pulangan dari mana-mana pelaburan sah yang ditawarkan oleh institusi kewangan.
Siapa yang tak biasa dengan tawaran-tawaran seperti ini, mereka boleh jadi terkejut dan rambang mata.
Kalau simpanan melalui ASB misalnya, penyimpan perlu menunggu dalam tempoh setahun untuk mengetahui berapakah pulangan yang bakal diperolehi hasil daripada simpanan yang dilakukan.
Sebaliknya, kalau money game, masa bergerak lebih pantas. Pulangan dikira berdasarkan kepada hari (bukannya tahun).
Dalam money game, tiada sebarang produk yang didagangkan. Kalau mereka ada sebut tentang pelaburan terhadap aset tertentu sekalipun, ia hanyalah sekadar sebutan sahaja.
Hakikatnya pulangan langsung tidak bersandarkan kepada aset yang dinyatakan.
Sebagai contoh, pengendali ini mungkin akan sebut, duit-duit para pelabur yang menyertai skim pelaburan mereka ini akan didagangkan dalam pasaran
i. Forex
ii. Crypto
iii. Emas
Apabila harga pasaran aset yang disebutkan itu menunjukkan peningkatan, habis riuh mereka akan pukul canang.
Namun hakikatnya, duit pulangan dari pelaburan adalah dikutip dari peserta yang baru nak masuk melabur. Ya, duit orang yang baru nak melabur itu, digunakan untuk membayar pelabur yang lebih awal.
Kemudian, kalau ada pelabur lama yang ingin menambahkan (top up) pelaburan mereka, duit-duit ini juga akan digunakan untuk membayar ahli-ahli sedia ada.
Konsepnya macam main congkak.
Ambil dari petak A, kemudian agihkan kepada petak-petak yang lain.
Sampai bila benda ini boleh berterusan?
Jawapannya ialah sehingga sistem ini runtuh dengan sendirinya, disebabkan tiada lagi kemasukkan ahli baru, atau dana pelaburan baru, untuk menggerakkan sistem.
Dalam pelaburan seumpama ini, semakin ramai yang menyertai, maka semakin goyah menanti rebah sistem tersebut. Orang yang paling besar menanggung risiko kerugian adalah orang yang paling lambat sertai.
(2) Skim piramid
Sama seperti sistem money game, dalam skim piramid ini pengasas atau pengendali program juga tak akan menyebut atau memperkenalkan program mereka sebagai skim piramid.
Anda perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu, untuk mengenali apa itu skim piramid.
Kebanyakkan skim piramid akan menggunakan sistem seperti Multi Level Marketing.
Namun, bukan semua bisnes Multi Level Marketing adalah skim piramid.
Walaupun apabila dilukis diatas kertas, kedua-duanya akan membentuk sebuah piramid.
Baca juga: Perbandingan antara Bisnes MLM yang sah dengan Skim Piramid
Skim piramid hanya boleh beroperasi dengan baik apabila mereka berjaya merekrut ahli ke dalam struktur hieraki. Individu yang berada diatas (upline) perlu mencari downline, barulah boleh makan.
(situasinya ibarat upline makan downline)
Ahli baru akan melabur atau membawa masuk wang bagi dimasukkan ke dalam sistem. Dari bayaran yang dilakukan, duit tersebut akan diagihkan kepada ahli terdahulu.
Dalam sistem ahli, laporan pendapatan akan kelihatan sangat cantik yang mana ahli lama memperolehi pendapatan yang lumayan setiap hari, sedangkan mereka tak buat apa-apa kerja.
Mungkin ia memang betul. Tapi percayalah bahawa
1. Ia hanya berlaku kepada beberapa orang ahli lama sahaja
Hanya individu terpilih sahaja yang menikmati pendapatan sedemikian. Ahli lain, yang masuk sama waktu dan sama hari dengan dia, belum tentu ada income seperti dia.
2. Konsistensi dari segi pendapatan hanya untuk beberapa minggu atau hari sahaja
Anda mungkin hanya ditunjukkan screenshot pendapatan untuk tempoh seminggu sahaja. Sebelum minggu tersebut, atau selepas minggu tersebut, mungkin sebenarnya tak ada income yang masuk.
Program ini sangat bergantung kepada kemasukkan ahli baru.
Kalau anda join, setiap orang akan bertepuk tangan dan bersorak dengan penuh semangat.
Bukan sebab nak alu-alukan kedatangan anda. Tapi sebab mereka tahu, mereka akan dapat komisen dari duit anda.
3. Pendapatan mereka akan menunjukkan semakin naik, dan sampai satu tahap akan menjunam kepada kosong
Semua orang akan rasa terliur apabila melihat pendapatan harian yang makin hari makin naik. Ada orang yang bayangkan income yang dinikmati akan semakin naik hingga ke peringkat infiniti.
Tapi sebenarnya tak.
Model bisnes mereka sangat rapuh sebenarnya. Mereka juga risau, kalau-kalau dalam masa kurang dari sebulan, bisnes mereka ini akhirnya runtuh.
Piramid yang terbina ini akan runtuh apabila sudah tiada lagi kemasukkan ahli baru. Orang yang terawal join, mereka mungkin sudah memperolehi pulangan yang berkali ganda.
Sebaliknya, orang yang baru join akan jadi mangsa.
Wang yang mereka serahkan tidak mendatangkan sebarang hasil. Usaha mereka jadi sia-sia.
Kalau individu ini, pernah ajak orang lain untuk join sama, tak kiralah sama ada adik beradik, saudara mara atau kenalan, pada peringkat ini, biasanya memang malu nak tunjuk muka.
Siapa yang nak tanggung kerugian mereka? Waktu mula-mula anda ajak dulu, anda yang kata, duit modal selamat, tak ada risiko, untung besar dalam masa singkat.
Sekarang, bila pengendali dah lari, satu sen pun tak dapat. Siapa nak tanggung tu? Anda ada duit?
Hubungan baik pun akan mula retak.
(3) Skim Cepat Kaya
Skim cepat kaya ini adalah kombinasi bagi money game dan juga skim piramid.
Skim ini menjanjikan pulangan yang besar dengan risiko yang sangat rendah dalam masa yang singkat. Mereka akan menjanjikan pulangan modal, jika berlaku situasi luar jangka terhadap pelaburan yang dilakukan oleh ahlinya.
Sudah tentu, apa yang mereka jamin itu hanyalah cakap-cakap kosong.
Ia sekadar untuk memberi keyakinan kepada orang baru untuk menyertai dan berikan mereka wang untuk terus beroperasi.
Pengendali skim cepat kaya akan menyatakan bahawa mereka mempunyai rahsia sulit, ada sistem terhebat dan canggih, ada orang dalam, yang mampu untuk mencipta keajaiban hingga berupaya memberikan pulangan yang begitu tinggi.
Walaubagaimanapun, skim ini lazimnya sukar untuk dipromosikan kerana ianya sukar untuk diterangkan dari segi perjalanan sistemnya.
Kalau pengendali kata, program mereka bagus sebab ada rahsia sulit, pelabur yang bijak akan tanya hingga dia benar-benar puas hati, apakah rahsia sulit yang dimaksudkan. Oleh kerana mereka ingin tetap berpegang pada rahsia sulit, maka pelabur bijak akan menjauhi pelaburan tersebut.
Bagi seorang pelabur yang bijak, transparensi itu sangat penting dalam membuat keputusan berkaitan dengan pelaburan.
Kemudian, kalau dikatakan mereka mempunyai orang dalam, maka pelabur juga ingin tahu, siapakah orang dalam yang dimaksudkan? Siapa pula yang akan menjadi pengurus dana?
Apakah mereka ini mempunyai rekod cemerlang dalam menguruskan dana pelaburan terdahulu.
Akhirnya, yang tinggal adalah pelabur jahil yang tamak untuk melabur dalam sistem mereka.
Mengenalpasti tanda amaran
Program seumpama ini sebenarnya datang dengan tanda amaran atau red flag.
Tanda amarannya pula adalah sangat banyak. Namun saya teringat satu kata-kata yang berbunyi the eyes can not see what the minds do not know, atau mata anda tak dapat melihat apa yang minda anda tidak ketahui.
Justeru, walaupun tanda amaran itu sangat besar dan jelas di depan mata, kalau anda tak tahu perkara tersebut, anda tetap tak akan nampak tanda amaran ini dan akhirnya tetap tertipu juga.
Kita bincangkan, apakah petanda yang perlu diberikan perhatian.
(1) Janji keuntungan yang tidak masuk akal
Skim penipuan memang akan sering memikat bakal mangsa dengan janji untuk mendapatkan keuntungan yang sangat lumayan dalam masa yang sangat pantas.
Biasanya ini adalah janji-janji yang akan mereka taburkan
i. Untung lumayan
Kadar keuntungan biasanya melebihi yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan syarikat pelaburan berlesan dan sah.
Kalau pelaburan biasa boleh dapat keuntungan sekitar 3 – 7% setahun, pelaburan yang mereka tawarkan ini boleh menggandakan wang pelabur sebanyak 20% – 100% dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu.
Kita dengar memanglah rasa lucu dan tak logik, sebab kita memang tak asing dengan sepak teranjang dalam dunia pelaburan. Tapi bagi mereka yang baru pertama kali nak mengenali apa itu pelaburan, tawaran seumpama ini dilihat sangat hebat.
Orang kata, “masuk 10 cuci 100…”
Kalau masuk 100?
Mesti boleh dapat 1,000 ni…
ii. Masa untuk dapatkan keuntungan pantas
Biasanya masa yang dijanjikan untuk pelaburan tersebut mencatatkan keuntungan adalah sangat pantas. Sepantas beberapa hari ke beberapa minggu sahaja.
Bagi membuatkan skim pelaburan mereka kelihatan benar, pelabur ini akan dibayar pulangan pelaburan secara harian.
Saya berikan contoh, jika dia melabur sebanyak RM350, pelabur akan dijanjikan keuntungan harian sebanyak RM30 sehari dan keuntungan tersebut akan dibayar sebanyak 18 kali.
Satu kitaran pelaburan tersebut dikira lengkap apabila pelabur telah menerima bayaran yang ke-18.
Pada hari yang ke-18, jumlah keseluruhan yang diterima adalah sebanyak RM30 X 18 = RM540
Modal pelaburan asal adalah sebanyak RM350.
Selepas kitaran pelaburan tersebut lengkap, jumlah yang diterima adalah sebanyak RM540.
Bermakna, keuntungan yang diperolehi adalah sebanyak RM540 – RM350 = RM190
Peratus keuntungan adalah RM190 / RM350 X 100 = 54.3%
Peratus keuntungan yang diperolehi adalah sebanyak 54.3% dalam masa 18 hari sahaja!
Adakah selepas dia berjaya dapat untung yang banyak ini, dia akan berhenti melabur?
Most likely jawapannya adalah tidak.
Biasanya individu ini bukan sahaja tidak akan berhenti melabur, malahan dia akan
i. Tambahkan lagi modal pelaburan kepada satu nilai yang lagi besar
Selepas pengendali skim berjaya buktikan bahawa anda boleh hasilkan keuntungan sebanyak 54% dalam masa 18 hari, dan bila dibandingkan dengan pelaburan di ASB, Tabung Haji dan sebagainya, mereka akan tanya soalan perangkap ini…
“mana satu yang lagi bagus? Nak profit 54% dalam masa 18 hari atau atau nak profit 7% setahun?”
Kemudian akan disusuli dengan pujukan secara halus, untuk meyakinkan anda untuk mengeluarkan seberapa banyak yang boleh duit dalam akaun simpanan anda. Kononnya, keluarkan sekejap sahaja.
Lepas hari ke-18 anda akan dapat untung sebanyak 54% dan boleh masukkan semula dalam bank anda.
Kalau sebelum ini cuma melabur RM350, kali ini dengan yakin dia akan melabur dalam nilai yang lagi besar, iaitu RM740, atau RM1,550
Pusingan kedua ini, pelabur tersebut sudah bertambah yakin bahawa pelaburan yang dia sertai itu memang pelaburan yang benar-benar mampu membuatkan dia jadi kaya.
Kalau nak tunggu dapat gaji yang besar, sekolah dulu tak pandai. Mana ada syarikat nak tawarkan gaji yang lumayan pada dia. Jadi, dia mula merasakan inilah satu-satunya cara untuk dia mengubah kehidupan dan jadi setanding dengan orang kaya lain.
Sebenarnya kalau anda perasan, program atau skim cepat kaya ini, sengaja menawarkan duit bayaran keuntungan secara harian kepada anda, bagi mencipta suatu ilusi bahawa anda sedang buat untung.
Hari ini anda join, selepas sehari untuk urusan proses pendaftaran, anda sudah berjaya dapat untung yang pertama iaitu RM30.
Pemikiran ini sebenarnya salah.
Bayaran RM30 yang pertama anda terima itu bukan keuntungan.
Perlu diingat, sebelum ini anda bayar RM350.
Bermakna, pada kali pertama anda terima bayaran RM30, anda sebenarnya masih rugi RM320.
Sebenarnya, hanya pada hari ke-12, atau bayaran yang ke-12 barulah anda memperoleh untung yang pertama, itupun hanya RM10.
RM30 X 12 = RM360
Bayaran yang dibuat setiap hari itu hanyalah sebagai satu ilusi bahawa anda sedang buat untung.
Kalau bayaran tu anda boleh dapat satu kitaran penuh, itu kira bernasib baik.
Tapi sebenarnya kebarangkalian itu lebih tinggi untuk anda tak dapat apa-apa bayaran, mungkin selepas seminggu.
ii. Mengajak orang lain untuk turut serta
Situasi bertambah buruk apabila dia mula mempromosikan dan mengajak orang lain untuk join, terutama sekali ahli keluarga, saudara mara dan juga rakan terdekat.
Benda baik, apa salahnya kongsi ramai-ramai, kan?
Lagipun, dia dah pernah dapat hasil pelaburan dan keuntungan yang besar sebelum ini, bermakna skim ini mesti tak akan tipu. Kalau tipu, tak akan boleh dapat duit.
Ya, logik orang yang jahil dalam bab pelaburan memang begitu.
Dia merasakan yang dia melakukan perkara yang betul, sedangkan hakikatnya dia tengah buat perkara yang salah.
Oleh kerana pelabur jahil ini percaya dengan sepenuh hati bahawa apa yang dia buat adalah betul, maka dia berpandangan siapa-siapa yang tak ikut melabur sebagai ego, buta mata hati, berpandangan singkat, terlalu takut mengambil risiko, dan tak faham apa itu pelaburan yang sebenar.
Anda boleh ikut posting media sosial, mana-mana individu yang memang merupakan penyokong tegar pelaburan money game ini. Lazimnya, begitulah hujah-hujah yang mereka akan gunakan dalam ayat-ayat posting mereka.
2. Tiada risiko
Mana-mana pelaburan yang wujud atas muka bumi ini, sudah semestinya akan datang bersamanya risiko.
Pelaburan emas itu sendiri ada risiko. Oleh kerana harga emas itu juga ada naik dan turun, maka ada kemungkinan nilai emas yang ada dalam pegangan anda akan jadi lebih rendah berbanding harga ketika anda beli dahulu.
Walaubagaimanapun, pengendali skim money game ini, suka gunakan istilah tiada risiko, sedangkan ianya tak betul. Sejarah menunjukkan, skim money game inilah yang paling besar risikonya, dan ianya berakhir dengan pengendali program cabut lari dengan wang pelabur.
3. Skim pelaburan patuh syariah
Perkara yang paling saya geram sekali ialah apabila pengendali program pelaburan penipuan ini menggunakan istilah seperti pelaburan patuh syariah untuk mempromosikan skim pelaburan mereka.
Sedangkan, untuk memberikan pengesahan patuh syariah pada sesebuah dana pelaburan, bukan semudah itu. Mereka ini langsung tiada panel syariah yang berautoriti, tapi dengan mudah menggunakan label patuh syariah.
Ada satu skim penipuan yang saya pernah temui sebelum ini, pengendalinya adalah seorang cina kafir. Sudahlah kafir penipu pula tu.
Si cina kafir ini, selamba je tipu orang melayu, kata pelaburan dengan syarikat dia adalah patuh syariah. Yang melayu bebal ini pun satu, main ikut percaya je.
Sekarang skim tu dah runtuh, dan pengendali tu pun dah cabut lari.
4. Anda perlu cari orang
Skim piramid hanya boleh bertahan apabila mereka berjaya untuk membawa masuk peserta baru untuk menyertai mereka.
Program mereka ini, tidak mempunyai sebarang produk yang bernilai dan apa-apa aset pelaburan yang mereka sebutkan, sebenarnya langsung tidak memberi sebarang makna.
Kitaran duit hanya berpusing dalam rangkaian yang dibina. Asasnya, ahli yang baru masuk, duit yang mereka sumbangkan akan dibahagi-bahagikan kepada ahli yang telah masuk lebih lama.
Pendapatan dan keuntungan yang anda terima, sebenarnya bukannya dari pelaburan, sebaliknya dari ahli baru yang join. Sebab tu, bila dah tak ada ahli baru, atau ahli sedia ada sudah tidak menambah modal pelaburan, sistem akan mula ada masalah dan syarikat sudah tak lagi membayar duit untung.
Pada masa ini, biasanya akan muncul kisah-kisah bohong seperti
i. Sekarang pasaran tengah tak stabil
Pergerakkan harga dalam pasaran akan sentiasa berlaku. Pasaran untuk cryptocurrency dan forex memang setiap hari tidak menentu (volatile). Ia bukan sesuatu yang pelik atau baru berlaku.
Sebenarnya program tersebut sudah kekeringan dana untuk bayar pelabur sedia ada, memandangkan tiada kemasukkan ahli baru. Jadi mereka terpaksa berikan alasan, yang berkaitan dengan pasaran. Misalnya mereka akan kata, portfolio pelaburan mereka sekarang tengah floating, dan masih belum capai target profit yang diinginkan.
Sebenarnya, mustahil untuk hasilkan profit setiap kali buat trade. Biasanya pasti akan ada satu atau dua setup yang tak menjadi dan perlu cut loss.
ii. Sistem akaun kena godam
Alasan kena hack ini juga merupakan salah satu alasan popular yang selalu diulang-ulang. Orang yang zero knowledge tentang cyber security, senanglah percaya alasan macam ini.
Bagi mereka yang ada kemahiran tentang cyber securities, sudah semestinya dari awal lagi tak akan layan pelaburan macam ini, sebab laman web syarikat itu sendiri dibina secara cincai dengan sistem keselamatan yang langsung tak selamat.
iii. Kena rompak
Berlaku kejadian rompakan di HQ atau dimana-mana lokasi yang menyimpan duit para pelabur. Alasan ini jarang digunakan, tapi tak mustahil akan muncul.
Bila muncul alasan-alasan seperti ini, faham-faham dan bersiap sedialah. Sistem pelaburan ini pasti akan runtuh tak lama lagi, ataupun mungkin sebenarnya admin dah larikan diri dari awal lagi, sebelum pengumuman dibuat.
5. Tiada produk atau perkhidmatan
Perniagaan yang sebenar, mempunyai produk atau perkhidmatan yang mempunyai nilai tertentu untuk ditawarkan kepada para pelanggan.
Sebaliknya, skim penipuan terancang ini, tidak mempunyai sebarang produk ataupun perkhidmatan. Kalau mereka ada produk sekalipun, lazimnya ianya hanya sekadar untuk mencukupkan syarat.
Tapi saya percaya, produk yang sama, jika dijual dengan cara biasa, tanpa disertakan jaminan atau janji-janji yang membolehkan pembelinya untuk buat duit atau jadi kaya, ianya pasti tak akan laku.
Mungkin tak ada siapa yang akan beli produk tersebut.
Oleh itu, fokus mereka adalah lebih kepada untuk merekrut ahli baru yang nak jadi kaya. Mereka fokus pada buat duit, bukannya untuk jual barang atau perkhidmatan. Ini satu tanda yang sangat ketara.
6. Gesaan untuk segera melabur
Pihak pengendali program akan menggunakan taktik yang begitu agresif dalam mempengaruhi anda untuk menyertai skim yang mereka syorkan.
Pelaburan yang sah akan memberi anda masa yang mencukupi untuk membuat keputusan. Anda boleh tangguhkan keputusan untuk melabur selama beberapa tahun, atau selama mana yang anda mahukan.
Apabila anda sudah bersedia untuk melabur, pelaburan tersebut masih lagi tetap ada untuk anda sertai.
Dalam masa beberapa tahun itu anda boleh buat kajian dan mendapatkan maklumat selengkapnya tentang pelaburan yang ditawarkan.
7. Penjelasan terlalu rumit atau tidak jelas
Skim penipuan mungkin akan dengan sengaja merumitkan operasi mereka dan menyembunyikan maklumat penting untuk mengelirukan bakal pelabur.
Kekurangan maklumat yang jelas dan boleh difahami tentang cara pelaburan menjana pulangan atau keengganan untuk menjelaskan proses pelaburan menimbulkan syak wasangka. Sudah tentu, bagi pelabur yang jahil, mereka tak ambil peduli tentang kekurangan maklumat ini.
Bagi mereka, jika ada penjelasan yang terperinci sekalipun, mereka bukannya faham. Pelaburan bukan bidang mereka. Apa yang mereka rasa penting adalah, letak duit dan tunggu duit masuk.
Biarkan pengurus pelaburan yang lebih pakar untuk uruskannya.
8. Tiada model perniagaan yang jelas
Apa yang dimaksudkan dengan model perniagaan?
Kalau anda minat nak tahu dengan lebih lanjut, maksud model perniagaan atau business model, jemput baca posting saya sebelum ini.
Baca disini: Apa itu Model Perniagaan?
Sebuah perniagaan yang sah mempunyai model perniagaan yang jelas, mampan dan boleh difahami. Model perniagaan yang mereka gunakan mampu untuk menjelaskan bagaimana cara sebenar mereka menghasilkan wang.
Sebaliknya dalam skim penipuan ini, mereka bukannya tidak mempunyai model perniagaan, tapi sebenarnya mereka cuba mengelak untuk menerangkan dari sumber atau cara mana mereka hasilkan wang.
Sebagai contoh, mereka kata model perniagaan mereka adalah sebagai pengurus dana professional yang akan melaburkan wang pelabur terkumpul dalam pasaran-pasaran yang mampu memberikan pulangan yang tinggi seperti di pasaran Forex atau cryptocurrency.
Itu kata mereka.
Sudah tentu mereka tipu.
Sebenarnya mereka hanya mengagih-agihkan duit dari pelabur baru, kepada pelabur lama. Itu sahaja.
Implikasi undang-undang
Dalam konteks perundangan di Malaysia, skim penipuan seperti money game, skim piramid dan skim cepat kaya sebenarnya melanggar beberapa undang-undang dan ia sebenarnya salah untuk dipraktikkan.
Ada beberapa yang kita semua perlu tahu.
(1) Akta Jualan Langsung dan Anti-Skim Piramid 1993
Atau dikenali juga dengan Direct Sales and Anti-Pyramid Scheme Act 1993.
Undang-undang ini melarang sebarang aktiviti berbentuk skim piramid dan mengawal aktiviti jualan langsung bagi tujuan melindungi para pengguna daripada sebarang penipuan.
(2) Securities Commission Malaysia (SC)
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memainkan peranan penting dalam mengawal selia skim pelaburan yang terdapat di negara ini.
Suruhanjaya ini menyelia undang-undang dan peraturan sekuriti, memastikan setiap entiti yang menawarkan skim dan pelan pelaburan patuh pada undang-undang dan peraturan.
Skim pelaburan yang berada dibawah bidang kuasa Suruhanjaya Sekuriti perlu mematuhi garis panduan dan keperluan undang-undang yang ketat.
(3) Financial Services Act (FSA)
FSA mengawalselia institusi kewangan, termasuk bank, penanggung insurans, pengendali takaful dan penyedia perkhidmatan kewangan lain di Malaysia.
FSA ini berperanan untuk meningkatkan kestabilan, kekukuhan, integriti dan daya saing sistem kewangan.
Peranan utama FSA termasuk mengawal selia aktiviti institusi kewangan, memastikan kelakuan berhemat, menjaga kepentingan pengguna, menggalakkan kestabilan kewangan dan menyelia sektor kewangan untuk mengekalkan integritinya.
(4) Capital Markets and Services Act (CMSA)
CMSA memberi tumpuan kepada mengawal selia pasaran modal di Malaysia, menyelia pasaran sekuriti dan derivatif, dan mengawal selia market intermediaries seperti broker saham dan pengurus dana.
Peranan utama CMSA termasuk mengawal selia sekuriti, derivatif dan pengantara pasaran modal, memastikan amalan pasaran yang adil dan telus, melindungi kepentingan pelabur, dan mengekalkan integriti dan kecekapan pasaran modal.
Penglibatan dalam skim haram
Sebarang penglibatan sama ada dengan cara menyertai atau mempromosikan skim haram boleh membawa kepada akibat yang buruk dibawah undang-undang negara kita.
Individu yang didapati bersalah mempromosikan atau mengendalikan skim penipuan boleh berdepan dengan hukuman penjara, denda yang tinggi, atau kedua-duanya, bergantung kepada tahap serius kes atau kesalahan yang dilakukan.
Kalau anda pernah join skim penipuan seumpama ini, dan pernah mempromosikan skim tersebut, hati-hatilah.
Kalau ada orang buat report terhadap anda, anda pun boleh kena dakwa.
Penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa
Pihak berkuasa Malaysia, termasuk Polis Diraja Malaysia dan badan kawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia, secara aktif memantau dan menyiasat skim penipuan yang disyaki.
Mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau entiti yang didapati terlibat dalam aktiviti kewangan haram.
Dari masa ke ke masa, pihak Bank Negara juga akan mengemaskini senarai terkini syarikat dan website yang menjalankan kegiatan pelaburan haram supaya pengguna boleh berhati-hati.
Jika anda diajak untuk menyertai skim pelaburan, dan syarikat tersebut bukannya syarikat pelaburan yang terkenal, besar kemungkinan nama dana, nama skim dan program tersebut sudah masuk dalam senarai ini.
Andai kata nama syarikat tersebut tiada dalam senarai ini, bukanlah bermaksud pelaburan tersebut adalah sah. Boleh jadi pihak berkuasa masih belum menjalankan siasatan dan menerima laporan. Sebab itu nama syarikat tersebut masih belum masuk dalam senarai.
Selain bergantung kepada senarai yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, ada baiknya kita juga mempersiapkan diri kita dengan ilmu pendidikan kewangan, supaya dapat melindungi diri sendiri tanpa perlu bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata.
Pendidikan kewangan
Lindungi diri anda dengan ilmu kewangan. Itu yang dapat saya katakan.
Pendidikan kewangan ini dapat membantu untuk melindungi diri anda daripada menjadi mangsa skim terancang seperti yang kita bincangkan dalam posting ini.
Apabila anda memahami tentang pengurusan kewangan dan asas pelaburan, kesemua petanda dan juga red flag yang ditonjolkan dalam skim cepat kaya, permainan wang dan skim piramid itu akan jadi semakin jelas.
Penglihatan dan pandangan anda jadi jelas sejelas-jelasnya, berbanding mereka yang masih jahil dalam bab kewangan dan pelaburan.
Apabila pengendali program mula nak berbohong dengan mengatakan yang mereka akan kumpul dana dari pelabur untuk di dagangkan (trade) di pasaran matawang kripto, anda dengan mudah boleh tanyakan soalan-soalan seperti
i. Jenis matawang kripto yang mana satu yang bakal dibeli?
ii. Pada harga berapa entry point?
iii. Adakah akan berdagang menerusi futures market atau spot market?
iv. Broker yang mana satu yang akan digunakan?
v. Boleh tunjukkan rekod trading yang terdahulu atau tidak?
Percayalah, soalan-soalan macam ini memang cukup dibenci oleh pengendali skim pelaburan palsu ini. Kalau anda tanya soalan ini secara terbuka, dalam group whatsapp atau group telegram, anda pasti akan kena tendang keluar dari group tersebut.
Pelaburan Jangka Panjang VS Skim Cepat Kaya
Secara umumnya, mana-mana pelaburan yang sah hanya akan menampakkan hasilnya dalam jangka masa panjang.
Baca juga: Senarai pelaburan di Malaysia
Sebaliknya, pelaburan haram ini menawarkan pulangan dalam masa yang singkat, sama ada dalam masa beberapa minggu atau beberapa hari. Kalau nak bagi nampak menarik lagi, ada skim pelaburan ini yang menawarkan pulangan setiap hari.
Maka dari situlah datangnya gelaran skim cepat kaya.
Pelaburan yang sah, seperti saham, bon atau hartanah, biasanya berkembang dengan stabil dari semasa ke semasa, mencerminkan prestasi asas aset dan pasaran.
Sebaliknya, skim yang menjanjikan pulangan yang cepat dan tidak realistik selalunya tidak mempunyai model perniagaan yang mampan. Apa-apa pendapatan, pulangan atau keuntungan yang dinikmati oleh para pelabur (atau ahli) sebenarnya datangnya dari pengambilan ahli baru.
Kalau bukan dari ahli baru, ia mungkin datangnya daripada duit pelaburan baru yang dikeluarkan oleh pelabur sedia ada. Mereka andaikan, dengan menambahkan nilai pelaburan, mereka ini akan dapat keuntungan yang lebih besar.
Penting untuk anda sedar hakikat bahawa pelaburan yang tulen memerlukan kesabaran dan perspektif jangka panjang, manakala skim yang menawarkan keuntungan pantas mungkin melibatkan risiko yang lebih tinggi dan sering berakhir dengan tidak mampan.
Amalkan sikap berwaspada dan sentiasa rasa ragu terhadap sebarang tawaran yang datang kepada anda, tanpa anda minta. Biasanya kalau sesuatu tawaran itu betul-betul bagus, anda sendiri yang akan cari ia dan buat kajian terperinci.
Bukan yang jenis datang tiba-tiba macam skim penipuan ini.
Kesimpulan
Setiap orang perlu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang baik dalam mengenali sistem money game, skim piramid dan juga skim cepat kaya.
Tujuannya adalah supaya anda tidak menjadi mangsa kepada skim penipuan dan dipergunakan oleh pengendali skim ini bagi tujuan memangsakan lebih ramai orang diluar sana.
Tanda amaran yang menjerit bahaya, sebenarnya ada sangat banyak dan ianya mudah untuk dilihat. Sekali lagi, amaran ini hanya boleh dilihat apabila seseorang itu tahu dan faham.
Walaupun tarikkan untuk menjadi kaya dalam tempoh yang pantas itu sangat kuat, namun bahayanya mengatasi segala-galanya. Adalah lebih baik dan lebih munasabah untuk anda memilih pelaburan yang sah, berbanding skim pelaburan yang diperkenalkan oleh para penipu ini.
Sebuah pelaburan yang sah, ianya dibina berdasarkan kepada ketelusan, unjuran pendapatan yang realistik, dan model perniagaan yang tulen. Bakal pelabur juga boleh dapatkan seberapa banyak maklumat yang dia perlukan sebelum membuat keputusan untuk melabur.
Artikel ini, merupakan satu usaha kerdil saya untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat kita secara umumnya, agar berhati-hati dan cuba sedaya mungkin untuk jauhkan diri dari program seumpama ini.
Percayalah, penganjur program ini mensasarkan anda bukan kerana ingin menjadikan anda kaya, sebaliknya mereka sebenarnya ingin mengambil kekayaan yang ada pada anda untuk diri mereka sendiri.
Leave a Reply