Dekat media sosial, sama ada di Facebook, Twitter ataupun Instagram, saya selalu terjumpa label “hati tisu” ini diberikan kepada orang yang kena kecam.
Sekarang ini nampak macam satu perkara yang normal. Kalau tak puas hati, terus kecam.
Orang yang kena label dengan label “hati tisu” ini pulak biasanya sebab dia block atau banned orang yang mengecam. Kenapa tisu? Boleh jadi sebab tisu itu sifatnya lembut, mudah rosak dan mudah koyak.
Kiranya nak samakan sifat tisu itu dengan sifat orang yang dikecam.
“Kalau hati tisu, tak boleh kena kecam tak payah nak menulis di media…”
Ada satu hujah yang dibawa oleh netizen (yang saya tak peduli pun apa namanya) katanya, kalau hati tak kuat, tak payah nak menulis. Baru kena kecam sikit dah mula banned dan block orang. Hati tisu betul.
Saya tak setuju.
Hujah tu langsung tak adil.
Bagaimana kalau orang yang dikecam tu, kerja dia memang sebagai seorang penulis. Tak kan disebabkan dia tak suka nak baca kecaman dan makian orang, lalu di block orang tersebut, maka dia hilang kelayakkan untuk jadi seorang penulis.
Sampai kena berhenti menulis? Itu punca rezeki dia kot.
Ibarat macam seseorang yang bekerja dalam bidang customer service. Satu hari, datang seorang pelanggan yang marah-marah sebab tak puas hati dengan polisi syarikat. Memang pelanggan ni marah gila-gila dekat pegawai khidmat pelanggan tu.
Selepas pelanggan tu puas menzahirkan rasa marah dan tak puas hati terhadap perkhidmatan yang diterima, dia pun berlalu pergi.
Adakah pegawai tersebut terkesan dengan layanan, makian dan penghinaan yang dilontarkan oleh pelanggan tersebut. Kebiasaannya memang ada kesan. Namun, adakah patut pegawai tersebut berhenti kerja, hanya sebab ada seorang dua pelanggan yang bersikap kasar?
Tak perlu ambil hati. Teruskan sahaja kerja macam biasa. Lagipun, kita sedang lakukan kerja yang halal, kan.
Tak setuju dengan hujah, balaslah dengan hujah yang lebih baik
Pengguna media sosial ini sebenarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Taraf pendidikan, penguasaan terhadap ilmu juga ada pelbagai.
Biasalah kalau tak sependapat dengan orang lain. Dan saya merasakan, mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza, terhadap satu isu itu sebenarnya menunjukkan orang yang berbeza pendapat itu sebenarnya adalah orang yang berfikir.
Kalau semua sependapat, nampak sangat hanya ada seorang pemikir dan lain-lain cuma pengikut atau pak turut.
Kalau ada yang tak puas hati dengan sesuatu hujah, lawanlah hujah tersebut dengan hujah yang lebih baik.
Bukannya hujah dibalas dengan makian, kritikan terhadap peribadi, penghinaan dan sebagainya.
Apa yang kerap saya perhatikan, bila orang yang tak bersetuju dengan sesuatu hujah, dan dia pulak tak mampu untuk berfikir dengan tahap pemikiran yang tinggi, akhirnya dia cuma boleh memaki dan menghina. Apabila pihak yang kena maki memberi respon dengan block orang tersebut, dikatanya hati tisu pulak.
Tapi siapa sebenarnya yang hati tisu?
Adakah orang yang kena label atau orang yang melabel sebenarnya yang hati tisu?
Pengguna laman media sosial ibarat sebuah komuniti yang besar. Mereka ini kita gelarkan sebagai netizen. Dalam kalangan netizen itu sendiri, ada yang merupakan real people yang menggunakan identiti sebenar, ada yang menggunakan akaun palsu dan ada juga yang merupakan cybertrooper upahan.
Cuba anda bayangkan situasi ini.
Satu hari netizen ini terjumpa sebuah posting di media sosial. Bila dia baca, dia rasa tak setuju dengan apa yang disiarkan dihalaman tersebut.
Untuk berikan kritikan ilmiah dari segi hujah dia tak mampu. Lalu dia pun karang ayat yang panjang-panjang, yang mana didalamnya dimuatkan soalan, makian, sindiran, kecaman, penghinaan dan sebagainya.
Tujuannya supaya orang yang ditujukan itu tadi akan baca, rasa sakit hati kemudian memberikan komen balas. Kalau boleh dia nak bergaduh dan berbalas-balas komen.
Sebaliknya apa yang berlaku?
Orang yang dikecam itu tadi, buat tindakan yang lebih mudah. Block individu tersebut dan abaikan sahaja komen yang tak membina.
Apa jadi lepas tu?
Pasti orang yang komen tu rasa sakit hati. Sakit hati sebab tak dilayan. Sakit hati sebab kena banned. Sakit hati sebab tak dapat nak bergaduh dengan pemilik laman web tersebut.
Bila dia dah kena banned, dia label pula orang yang banned dia sebagai hati tisu.
Dilema orang yang kena kecam
Benda ini kadang-kadang kita memang tak boleh nak lari.
Kalau tak nak kena kecam, jangan tulis apa-apa. Kalau nak tulis sesuatu, jangan berbeza pendapat. Kalau bagi pendapat yang pelik sikit, yang lain dari yang lain, maka persiapkanlah diri untuk kena kecam.
Orang yang mengecam kita ini, lazimnya tak cerdik. Dia baca satu posting kita, terus dia judge kita. Padahal dia tak tau, yang sebelum ini kita dah pernah tulis beribu-ribu artikel. Setiap artikel menjadi pelengkap antara satu sama lain.
Tapi disebabkan dia baca artikel yang kita tulis, dalam turutan yang tak betul, terus dia kecam kita.
Orang yang kena kecam ni, sebenarnya tak banyak benda yang kita boleh buat. Orang yang memberi komen yang buruk, selalunya menggunakan identiti palsu. Kita tak kenal siapa dia, apa kredibiliti dia, dan tau-tau dia muncul entah dari mana, terus tinggalkan komen yang menyakitkan hati.
Untuk tangani situasi macam ini, jalan yang paling mudah adalah block sahaja. Lepas tu move on dengan tugas dan tanggungjawab hakiki kita.
Block bukan sebab hati tisu
Ya, bukan sebab hati tisu.
Sebenarnya langsung tak ada kaitan pun dengan tisu. Kita ambik keputusan untuk block sebab kita sedar, kita ada banyak lagi benda penting yang perlu diberikan perhatian, berbanding nak melayan komen-komen yang berbentuk kecaman.
Saya ambil contoh seorang penulis.
Selain kerja dia sebagai penulis, sebenarnya ada banyak lagi perkara-perkara lain yang perlu dilakukan.
(1) Dia perlu banyak membaca untuk dapatkan idea
(2) Dia perlu buat research untuk dapatkan konten
(3) Kalau dia pernah terbitkan buku, dia perlu buat marketing
(4) Sesekali kena dapatkan jualan
(5) Kena fokus untuk hasilkan karya penulisan yang baru
Hakikatnya, memang tak ada masa nak layan sang pembenci (hater). Kalau nak dilayan pun, bukannya ada faedah. Cuma buang masa sahaja, dan kesudahannya satu kerja pun tak boleh disiapkan.
Leave a Reply