Apa yang dimaksudkan dengan model perniagaan
Pernah tak anda dengar istilah model perniagaan?
Boleh jadi sebelum ini kita lebih terbiasa dengan istilah seperti pelan perniagaan (business plan) berbanding istilah model perniagaan (business model)
Sekali imbas, kedua-duanya nampak seperti merujuk kepada perkara yang sama. Tapi sebenarnya, terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua istilah ini.
Model perniagaan ini kita boleh ibaratkan sebagai sebuah blueprint bagi perniagaan yang anda jalankan. Fungsinya adalah untuk menjelaskan, bagaimana dan apa langkah-langkah yang bakal anda ambil bagi tujuan menghasilkan wang bagi perniagaan yang anda jalankan.
Dalam sebuah model perniagaan, ia akan mengetengahkan hal-hal seperti
1. Apakah produk atau perkhidmatan yang anda bakal tawarkan.
Kita andaikan produk yang anda ingin jual adalah perfume.
2. Siapakah yang akan menjadi pelanggan sasaran anda
Sudah tentu, bukan semua orang akan jadi pelanggan anda. Justeru, disini anda perlu kenalpasti, siapa sebenarnya golongan sasaran yang sesuai menggunakan produk anda.
3. Bagaimana kaedah untuk anda mendekati mereka.
Anda telah mempunyai produk untuk dijual, persoalannya ialah, bagaimana cara atau pendekatan yang bakal anda gunakan bagi tujuan mendapatkan jualan. Disinilah konsep model perniagaan akan memberi jawapan kepada apa tindakan anda seterusnya.
4. Berapa banyak kos yang perlu anda bayar bagi tujuan mendapatkan jualan.
Adakalanya kaedah jualan yang bakal kita gunakan memerlukan kita untuk mengeluarkan sejumlah kos tertentu. Justeru, anda perlu bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan tersebut atau cari alternatif percuma.
Pada asasnya, mana-mana perniagaan yang mempunyai model perniagaan yang jelas, dapat beroperasi secara sistematik. Semua orang yang berada dalam organisasi juga dapat
i. Memahami perjalanan perniagaan secara jelas dan strategik
ii. Faham tentang langkah demi langkah yang perlu dilakukan bagi menjana pendapatan
Anda masih belum betul-betul faham? Tak apa, sila teruskan pembacaan.
Pelan Perniagaan dan Model Perniagaan
Apa yang membezakan antara pelan perniagaan dengan model perniagaan?
Model perniagaan menerangkan secara menyeluruh tentang perjalanan sesebuah perniagaan itu menghasilkan wang.
Ia juga menerangkan konsep asas perniagaan anda yang merangkumi item seperti
i. Apa yang anda jual
ii. Siapa pelanggan anda
iii. Cara atau kaedah anda mencipta jualan
Ia merupakan suatu strategi yang menerangkan kerangka keseluruhan perniagaan anda beroperasi bagi menjana keuntungan.
Pelan perniagaan (business plan) adalah sebuah dokumen yang menggariskan panduan langkah demi langkah dari aspek bagaimana perjalanan perniagaan tersebut beroperasi.
Kandungan dalam pelan perniagaan lebih terperinci dan mendalam tentang cara sebenar anda bakal menjalankan operasi perniagaan tersebut.
Dalam kertas rancangan perniagaan (nama lain bagi pelan perniagaan), terdapat maklumat yang lebih mendalam yang merangkumi item seperti
1. Profil pengarah syarikat
2. Latar belakang syarikat
3. Latar belakang perniagaan
4. Maklumat produk dan perkhidmatan
5. Strategi dan kaedah pemasaran
6. Pelanggan dan pasaran yang ingin disasarkan
7. Lokasi perniagaan
8. Senarai pembekal
9. Kajian pesaing
10. Akaun Imbangan Duga (Balance Sheet)
11. Akaun untung rugi (Profit and Loss Statement)
12. Unjuran aliran tunai (Cash Flow Statement)
Ia adalah merupakan suatu dokumen lengkap yang akan memastikan model perniagaan yang anda bakal gunakan nanti bakal menemui kejayaan.
Baca juga: Cara menghasilkan kertas kerja rancangan perniagaan
Contoh Model Perniagaan
Apakah contoh-contoh model perniagaan yang terdapat diluar sana?
Kita telah pun mengetahui, apakah yang dimaksudkan dengan model perniagaan.
Justeru, saya kira adalah lebih baik kalau saya terus perbincangan kita dengan memberi beberapa contoh model perniagaan yang wujud diluar sana.
Bila ada contoh model perniagaan, saya percaya ia akan lebih memudahkan anda untuk faham.
(1) Model perniagaan berasaskan e-commerce
Model perniagaan berasaskan e-commerce ini lazimnya melibatkan penjualan barangan sama ada dalam bentuk fizikal, ataupun digital.
Bisnes online berasaskan e-commerce ini mempunyai platform jualan yang memudahkan penggunanya untuk membuat pembelian. Platform jualan ini juga dapat diakses sama ada melalui laman web ataupun applikasi smartphone.
Antara contoh platforrm e-commerce yang popular adalah seperti
i. Lazada
ii. Shopee
iii. PG Mall
iv. Tiktok Shop
Saya percaya, pembaca pernah ada pengalaman membuat pembelian menerusi salah satu daripada platform jualan yang saya senaraikan diatas.
Jika anda ingin memulakan bisnes menjual barangan diinternet, anda boleh bina sendiri laman web e-commerce anda ataupun sebagai alternatif, anda boleh gunakan sahaja platform yang telahpun terkenal seperti Shopee, Lazada, PG Mall dan sebagainya.
Platform seumpama ini membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi peniaga untuk membina kedai online melalui platform mereka.
Dengan cara ini, anda dapat memanfaatkan populariti, reputasi dan trafik yang banyak yang dimiliki oleh platform jualan tersebut.
(2) Model bisnes berasaskan langganan
Pelanggan akan membayar yuran langganan berulang kali untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan yang kita sediakan. Selagi mana mereka ini masih buat bayaran, selagi itulah mereka boleh menggunakan perkhidmatan yang kita sediakan.
Contohnya adalah seperti langganan Netflix, Spotify dan sebagainya.
Satu masa dulu, sebelum wujudnya portal streaming seperti ini, majalah yang diterbitkan secara berkala juga menggunakan model perniagaan seperti ini. Antaranya adalah seperti majalah Reader’s Digest.
Pelanggan yang membuat langganan akan menerima naskhah majalah pada setiap bulan.
(3) Freemium
Konsep freemium ini adalah anda sebagai penjual menawarkan suatu perkhidmatan asas secara percuma. Tujuannya adalah supaya pengguna dapat mencuba perkhidmatan tersebut tanpa ada rasa terpaksa untuk membuat bayaran.
Pada masa yang sama, anda juga menawarkan ciri tambahan yang lebih baik, jika pengguna tersebut menaiktaraf keahlian mereka sebagai ahli berbayar atau premium member.
Sesetengah laman atau portal streaming movie juga ada yang menggunakan business model yang lebih kurang sama. Pengguna boleh menonton beberapa movie secara percuma. Jika mereka ingin menonton movie lain, mereka perlu naik taraf keahlian mereka sebagai premium member.
(4) Model berasaskan pengiklanan
Dalam model perniagaan berasaskan pengiklanan ini, kita selaku pemilik bisnes menjana pendapatan melalui kerja-kerja penyiaran iklan di platform yang kita bangunkan.
Contoh yang paling mudah sekali adalah pemilik blog yang menyiarkan iklan-iklan sama ada dari Google Adsense, Innity dan lain-lain program pengiklanan.
Pembaca boleh mendapat akses dan membaca konten tanpa sebarang sekatan mahupun bayaran.
Begitu juga halnya dengan individu yang membangunkan channel Youtube. Mereka ini juga menjana pendapatan melalui penyiaran iklan-iklan yang muncul apabila penonton menonton video yang mereka siarkan.
Dari segi pendapatan, ianya akan dihasilkan melalui program pengiklanan.
Kalau dalam penerbitan media cetak juga ada yang menggunakan pendekatan ini. Pihak syarikat mengedarkan majalah atau surat khabar keluaran syarikat mereka secara percuma kepada pembaca di kawasan tertentu.
Segala kos penerbitan dan percetakkan ditanggung oleh syarikat.
Syarikat akan menerima bayaran melalui jualan ruang iklan yang disiarkan dalam majalah atau surat khabar tersebut.
(5) Affiliate Marketing
Seterusnya adalah model perniagaan berasaskan affiliate marketing.
Sebelum ini, saya pernah menulis tentang topik ini.
Sila baca di posting berikut: Apa itu Affiliate Marketing
Secara ringkasnya, dalam model perniagaan berasaskan affiliate marketing ini, kita akan dibayar komisen bagi setiap jualan yang berjaya kita hasilkan.
Pelanggan perlu menekan klik pada pautan atau link affiliate kita terlebih dahulu, dan dalam tempoh masa tertentu, iaitu dalam durasi cookies masih aktif, mereka perlu membuat pembelian, agar komisen tersebut bakal menjadi milik kita.
Lazimnya program affiliate ini adalah percuma untuk disertai dan diluar sana terdapat terlalu banyak syarikat yang telah mula membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai mereka sebagai ejen affiliate.
(6) Dropship
Model perniagaan berasaskan dropship ini mempunyai beberapa persamaan dengan sistem affiliate. Pada asasnya, affiliate dan dropship adalah sistem ejen.
Ejen hanya akan menerima bayaran, apabila berjaya memperolehi jualan. Jika tiada jualan, maka tiadalah sebarang bayaran, upah mahupun komisen yang akan diterima.
Konsep model perniagaan seperti affiliate dan dropship sangat sesuai untuk mereka yang masih baru dalam dunia perniagaan. Kita boleh katakan konsep ini boleh berikan pengalaman perniagaan yang baik kepada mereka.
Kemudian, apabila anda sudah jadi lebih berpengalaman, mungkin anda pula yang menjadi penganjur program affiliate dan juga program dropship.
(7) Saas (Software as a Service)
Bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengaturcaraan komputer dan mampu mencipta software mereka sendiri, mereka boleh cipta software dan jual software tersebut kepada pengguna yang memerlukannya.
Software seperti ini biasanya di host pada sistem cloud (awan) dan pengguna perlu membayar yuran langganan untuk kekal menggunakan software ini.
(8) Marketplace
Konsep marketplace ini mempunyai banyak persamaan dengan model perniagaan berkonsepkan bisnes e-commerce, namun pada saya ia ada sedikit perbezaan.
Dalam konteks marketplace ini, kita sebenarnya adalah pemilik bagi platform marketplace tersebut, dan kita menawarkan orang ramai untuk sama-sama membuka kedai online melalui sistem yang kita bangunkan.
Maksud saya begini. Jika anda buka kedai online melalui Lazada, Shopee ataupun mungkin PG Mall, anda sebenarnya sedang menjalankan bisnes online melalui sistem e-commerce.
Tetapi, kita andaikan sekiranya portal Lazada, Shopee atau PG Mall ini sebenarnya adalah kepunyaan anda. Dalam keadaan ini, anda sebenarnya buat bisnes berasaskan model perniagaan marketplace.
Ya, anda menyediakan platform bagi pembeli dan penjual berurusan dan berjual beli melalui platform marketplace yang anda bangunkan. Pada pendapat anda, adakah platform marketplace yang baru ada peluang untuk berjaya di Malaysia?
Marketplace ini tak semestinya fokus untuk menjual produk fizikal semata-mata. Ada juga sistem marketplace, yang dibangunkan bagi tujuan menjual servis, atau perkhidmatan atau bakat individu.
Diluar negara, kita boleh lihat ada platform seperti fiver yang menjadi tempat dimana para freelancer atau pekerja bebas berkumpul untuk menawarkan perkhidmatan dan kepakaran mereka.
Kemudian, kita juga boleh lihat contoh seperti platform Agoda atau Booking.com yang menyenaraikan pelbagai pilihan hotel yang kita boleh tempah. Sedangkan hotel-hotel tersebut bukanlah milik Agoda, sebaliknya mereka hanya menyediakan platform atau marketplace untuk dimanfaatkan golongan penjual dan pembeli.
Sebagai orang tengah dan juga penyedia platform, mereka mengaut keuntungan melalui komisen dan juga fees yang dikenakan kepada pemilik hotel dan juga pelanggan.
(9) Perkhidmatan berasaskan permintaan (on-demand)
Apakah contoh permintaan dari pelanggan yang sentiasa ada?
Saya rasa ada banyak.
Sebagai contoh permintaan yang sentiasa ada, adalah seperti permintaan untuk mendapatkan servis pengangkutan, penghantaran, dan sebagainya.
Contoh bisnes yang beroperasi berasaskan model ini adalah seperti Grab, Food Panda dan sebagainya.
(10) Crowdfunding
Usahawan ini akan mengumpul dana dari orang ramai, atau dari individu tertentu yang mempunyai kemampuan kewangan yang baik, bagi tujuan membiayai projek ataupun idea bisnes tertentu.
Kemudian apabila projek tersebut berjaya hasilkan keuntungan, sebahagiannya akan dipulangkan semula kepada mereka yang menyumbang. Ataupun, jika tak dipulangkan semula, keuntungan tersebut mungkin disalurkan semula kepada badan kebajikan.
(11) Content Monetization
Kaedah ini adalah merupakan suatu kaedah dimana anda mencipta konten bagi tujuan menghasilkan pendapatan. Kebanyakkan content creator yang aktif mencipta konten-konten baru, sebenarnya buat duit melalui konten yang dihasilkan.
Pendapatan yang terhasil itu sebenarnya datangnya dari sumber seperti
i. Pengiklanan
ii. Program Affiliatte
iii. Konten berbayar
Anda rasa anda minat dan anda ada bakat dalam mencipta kandungan?
Jika ya, anda boleh cuba model perniagaan ini.
Bagi meningkatkan kebarangkalian anda untuk berjaya melalui model ini, anda disarankan untuk bina platform mengikut niche yang spesifik.
(12) Sharing economy
Konsep sharing economy, atau dikenali juga dengan istilah ekonomi perkongsian pernah saya ulas dalam blog ini sebelum ini.
Jemput baca: Pengenalan kepada ekonomi perkongsian.
Konsep bagi model perniagaan ini adalah kita membangunkan satu sistem, apps, platform atau software yang dapat menghubungkan individu yang mempunyai keperluan tertentu, dengan individu yang boleh memenuhi keperluan tersebut.
Sebagai contoh, kita lihat kepada platform Airbnb.
Airbnb adalah salah satu contoh yang baik, yang mana ia dapat menghubungkan individu yang memerlukan tempat penginapan apabila bercuti ke sesebuah destinasi percutian, dengan pemilik kediaman yang ingin menjana pendapatan melalui aset yang dimiliki, yang mungkin sebelum ini tidak dimanfaatkan oleh sesiapa.
Contoh lain adalah seperti aplikasi grab yang membolehkan berlakunya perkongsian kenderaan, antara pemilik kenderaan dengan individu yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan.
Dalam model perniagaan berasaskan ekonomi perkongsian, anda boleh menjadi individu yang membangunkan aplikasi, software mahupun platform tersebut, ataupun anda membina perniagaan dengan memanfaatkan applikasi sedia ada.
(13) In-app purchases
Atau pembelian dalam applikasi.
Konsep ini popular dalam perisian mobile game atau mana-mana apps itu sendiri. Biasanya pengguna boleh muat turun apps dan boleh menggunakan ciri yang terdapat pada apps itu secara percuma, namun bagi pengguna yang mahukan ciri yang lebih sophisticated, mereka boleh menggunakan ciri tersebut dengan membuat sedikit bayaran.
(14) Konsultasi atau nasihat pakar
Sebagai pemilik bisnes, kita akan berurusan dengan pelanggan yang minat untuk mendapatkan khidmat kita mengikut projek.
Kalau projek yang ingin dilaksanakan itu agak rumit, maka kita mungkin akan bekerja dengan pelanggan ini sebagai seorang konsultan untuk tempoh yang agak lama.
Dari segi bayaran, sama ada secara lump sum mengikut pakej yang anda tentukan atau anda dibayar mengikut jam masa anda bekerja.
(15) Model perniagaan berasaskan komuniti
Anda akan bermula dengan membina sebuah komuniti diinternet. Sama ada anda menggunakan platform seperti forum, laman web keahlian atau mungkin Facebook Group untuk mencipta sebuah komuniti.
Apabila komuniti tersebut cukup besar, anda akan bertindak sebagai penganjur yang akan menganjurkan apa-apa program atau pertemuan. Pertemuan ini sama ada mengenakan bayaran yuran ataupun percuma.
Sebagai contoh
i. Komuniti kaki pancing
ii. Komuniti hiking
iii. Komuniti camping
iv. Komuniti pencinta buku
v. Komuniti pelabur digital
Selain itu, jika anda mempunyai produk yang sesuai dan diperlukan oleh ahli komuniti, anda juga akan lebih senang membuat jualan melalui cara ini.
(16) Perniagaan berasaskan sumbangan
Pernah tengok, orang buat bisnes tapi sumber pendapatan dia adalah menerusi duit yang disumbangkan oleh orang ramai, atau orang-orang yang berinteraksi dengan konten atau persembahan yang dilakukan?
Sesetengah orang mungkin tak perasan ataupun tak biasa dengan kaedah ini. Tapi kalau anda pernah dengar atau pernah lihat individu yang buat sesi live sama ada melalui Bigo ataupun Tiktok, anda akan dapat lihat ada antara viewer yang menyumbangkan hadiah kepada host.
Hadiah-hadiah ini, kemudiannya boleh ditukar kepada duit sebenar.
Kalau anda nak lihat pada contoh lain, mungkin boleh lihat bagaimana para pemain muzik seperti busker, atau individu yang mengenakan kostum superhero yang menawarkan peluang untuk bergambar dengan mereka.
Mereka ini tidak mengenakan sebarang bayaran tetap. Berapa pun nilai yang ingin disumbangkan oleh penonton, mereka terima dengan tangan terbuka.
(17) Franchise
Dalam konsep franchise ini, perkara pertama ialah membangunkan sebuah perniagaan yang mempunyai produk, perkhidmatan, reputasi dan jenama yang kukuh. Seterusnya anda menjual hak untuk menggunakan jenama tersebut kepada individu lain yang turut minat untuk menjadi usahawan.
Boleh jadi, anda tak ada masa untuk bangunkan produk, mencipta sistem perniagaan yang berdaya saing serta membina reputasi yang baik. Justeru, apa yang anda boleh lakukan adalah cari mana-mana jenama yang sudah popular yang membuka peluang untuk memulakan perniagaan melalui sistem franchise.
(18) Jualan Langsung
Atau dikenali juga dengan istilah direct selling.
Dalam konteks jualan langsung, individu yang mewakili syarikat akan menjual produk terus kepada pelanggan, tanpa melalui perantaraan orang tengah, seperti pengedar, pemborong, peruncit dan sebagainya.
Individu ini akan terus berhubung dengan bakal pelanggan, dan mereka akan buat penerangan produk, demonstrasi produk, sama ada secara bersemuka atau melalui perantaraan website ataupun media sosial.
Jika bakal pelanggan setuju untuk membuat pembelian, wakil syarikat ini tadi akan membuat pesanan terus kepada syarikat yang diwakili dan produk akan dihantar terus kepada pelanggan ini.
(19) Multi Level Marketing
Juga dikenali dengan istilah seperti network marketing dan juga pemasaran berbilang peringkat.
Individu yang berminat untuk membina perniagaan menggunakan model perniagaan ini akan bertindak sebagai wakil jualan dan juga individu yang merekrut individu lain untuk menjadi ejen dibawahnya (downline).
Individu ini akan mendapat bayaran komisen melalui beberapa cara, iaitu
i. Jualan produk
ii. Kemasukkan ahli baru sebagai ejen (bergantung pada syarikat)
iii. Pembelian yang dilakukan oleh downline
iv. Jualan yang dilakukan oleh downline
Ada syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan konsep multi level marketing yang membenarkan ahlinya untuk menerima overiding komisen hingga 3 ke 5 level dibawahnya.
Dalam bisnes berkonsepkan MLM, lazimnya ahli yang mampu menghasilkan pendapatan yang besar adalah mereka yang bukan sekadar fokus untuk buat jualan, sebaliknya mereka juga turut membina rangkaian ejen dibawahnya.
Konsep jualan langsung dan Multi Level Marketing mempunyai banyak persamaan. Namun, dalam konteks MLM, lazimnya pemainnya lebih menekankan aspek pembinaan rangkaian, berbanding menjual produk.
Dan ya, sistem MLM cukup mudah dimanipulasi untuk membentuk sistem piramid dan juga skim cepat kaya. Justeru, jika anda ingin membina perniagaan berasaskan model perniagaan ini, anda perlu berikan perhatian yang sewajarnya, supaya tak tergelincir dalam skim yang tak sepatutnya.
(20) Online education dan e-learning platform
Platform ini diwujudkan bagi membantu dan memudahkan orang ramai untuk mempelajari sesuatu ilmu dan kemahiran secara online.
Kalau diperingkat antarabangsa, ada beberapa platform yang popular yang beroperasi menerusi model perniagaan seperti ini, antaranya
i. Coursera
ii. Udemy
iii. LinkedIn Learning
Kalau diperingkat tempatan, mungkin kita boleh katakan, platform Klikjer juga salah satu contoh perniagaan yang beroperasi menerusi model perniagaan berteraskan online education dan juga e-learning.
Bagi mereka yang suka untuk menambah ilmu, tapi tak ada masa untuk mengikuti kelas-kelas pembelajaran secara formal, maka platform seperti inilah yang dapat memudahkan mereka.
Lagipun, kita faham bukan semua orang yang inginkan ilmu atau pelajari skil baru, mereka inginkan pengiktirafan dan juga akreditasi bagi kemahiran dan ilmu yang dipelajari. Kadang-kadang mereka inginkan kemahiran tersebut sebab mereka ingin gunakan ia terus dalam kehidupan seharian.
Saya terfikirkan mengenai ilmu dan skil untuk buat kerja-kerja trading (berdagang saham, forex, kripto dan sebagainya).
Ada individu yang pelajari ilmu seperti ini sebab nak praktikkan terus ilmu tersebut, dan mula menjana wang menerusi aktiviti trading.
(21) Print on demand
Syarikat seperti ini akan membuat kerja-kerja percetakkan berdasarkan kepada permintaan pelanggan, tanpa mengira berapa jumlah unit yang ingin dicetak.
Produk-produk berkaitan yang memerlukan perkhidmatan percetakkan adalah seperti
i. T-shirt
ii. Mug / cawan
iii. Kad ucapan
iv. Sampul surat / sampul duit raya
Alternatif bagi konsep percetakkan seperti ini, adalah membuat percetakkan secara pukal. Kemudian barangan yang siap dicetak itu dijual secara pukal juga kepada bisnes lain yang berminat untuk menjual barangan tersebut.
Konsep print on demand ini, kita boleh katakan, setiap produk yang ditempah, ia sebenarnya sudah mempunyai pemilik atau pengguna akhir. Ia berbeza dengan konsep cetak secara pukal.
Kalau syarikat mencetak 1,000 unit produk, belum tentu kesemua 1,000 unit ini akan dibeli oleh pelanggan. Boleh jadi akan ada beberapa unit yang akhirnya terpaksa dilupuskan disebabkan tiada permintaan.
(22) Gig Economy Platform
Model perniagaan berasaskan model ekonomi gig ini boleh memberikan keuntungan yang tinggi, dengan syarat
i. Platform tersebut berjaya menarik pekerja gig berkemahiran tinggi
ii. Ada syarikat yang memerlukan perkhidmatan tersebut
iii. Promosi dan pemasaran secara berterusan
Apa yang biasa saya perhatikan, terdapat ketidakseimbangan pada pasaran yang melibatkan model perniagaan berasaskan platform ekonomi gig ini.
Biasanya terdapat terlalu banyak supply tenaga kerja tetapi tiada demand.
Ia seolah-olah pemilik bisnes diluar sana, kurang yakin dengan hasil kerja pekerja gig dan mereka lebih selesa untuk mengambil pekerja tetap sepenuh masa, berbanding mengupah pekerja gig.
Boleh jadi, konsep ekonomi gig ini masih belum betul-betul matang dan diterima di negara kita.
Oleh kerana ekonomi gig ini tidak berupaya menjamin pendapatan yang tetap dan konsisten, lazimnya mereka yang berkecimpung dalam bidang ekonomi gig ini hanya akan berbuat demikian untuk tempoh yang singkat. Selepas itu, mereka akan mula mencari kerja tetap yang boleh berikan jaminan dari segi pendapatan.
(23) Penyediaan perkhidmatan secara custom-made
Model perniagaan seperti ini melibatkan kegiatan memberi perkhidmatan atau pembuatan produk tertentu kepada pelanggan secara tempahan khas.
Kita sedia maklum, setiap pelanggan mempunyai keperluan, kemahuan dan citarasa yang berbeza. Ada pelanggan yang sanggup untuk bayar lebih, bagi mendapatkan perkhidmatan yang mampu memuaskan hati dan memenuhi citarasa mereka.
(24) Perkhidmatan secara outsourcing
Konsep outsource pada mulanya agak asing bagi saya, hinggalah pada satu hari saya diterima bekerja disebuah syarikat yang model perniagaan mereka adalah memberikan perkhidmatan secara outsource.
Rupa-rupanya diluar sana, ada syarikat besar yang sebenarnya beroperasi melalui sistem outsource ini. Antara department yang biasa di outsource adalah department yang berkaitan dengan khidmat pelanggan atau customer service.
Sebagai contoh department call center.
Ada syarikat besar yang sebenarnya tidak mempunyai call center mereka sendiri.
Apabila ada pelanggan yang membuat panggilan, bagi mendapatkan bantuan, panggilan ini sebenarnya akan dijawab oleh syarikat outsource.
Syarikat outsource ini, fokus utama mereka adalah merekrut pekerja baru dan memberikan latihan berkaitan dengan cara kerja di call center.
Model perniagaan ini membolehkan syarikat (klien) mendapatkan pekerja yang mahir, menjimatkan kos, dan dapat fokus kepada aktiviti utama syarikat.
Lagi satu, syarikat yang bekerjasama dengan syarikat outsource ini juga tak perlu susah payah untuk melatih pekerja dan memikirkan hal-hal seperti mencari pekerja baru jika pekerja sedia ada berhenti.
(25) Ruang Kerja Bersama
Syarikat yang baru ditubuhkan, dan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, mungkin belum ada kemampuan untuk menyewa sebuah ruang pejabat atau bangunan yang besar.
Justeru, apa yang mereka boleh lakukan adalah menyewa ruang kerja atau ruang pejabat yang dikongsi bersama dengan penyewa lain.
Kebiasaannya, dalam pakej sewaan ini, penyewa akan dapat menggunakan item seperti
i. Meja kerja
ii. Bilik mesyuarat
iii. Peti surat peribadi
iv. Pantri
v. Lain-lain kemudahan ofis
Sesetengah individu memang rasa sukar untuk fokus apabila bekerja dari rumah. Justeru, mereka ini lebih sesuai kalau boleh menyewa ruang pejabat.
(26) Reseller atau distributor
Konsep model perniagaan berteraskan reseller atau distributor (pengedar) ini, syarikat pemilik produk hanya akan berurusan dengan reseller atau distributor.
Syarikat pengeluar produk tidak berurusan terus dengan pelanggan atau pengguna akhir.
Sebaliknya, pengguna yang minat untuk membeli produk, perlu dapatkan daripada pasaraya, kedai runcit, kiosk dan sebagainya.
(27) Sewaan atau secara pajakan
Seterusnya adalah model perniagaan berasaskan kepada konsep sewaan atau pajakan.
Apa yang membezakan antara sewaan dengan pajakan?
Lazimnya sewaan ini adalah untuk jangka masa pendek, manakala pajakan ini adalah perjanjian sewaan untuk suatu jangka masa yang lebih panjang.
Model perniagaan seperti ini memerlukan suatu aset yang boleh dimanfaatkan oleh pihak ketiga. Antara perniagaan yang biasanya menggunakan model perniagaan seperti ini adalah seperti
i. Perniagaan kereta sewa
ii. Rumah sewa
iii. Peralatan tertentu dan sebagainya
(28) Harga berperingkat atau produk berperingkat
Perniagaan yang menggunakan model perniagaan seperti ini akan memperkenalkan beberapa pilihan pakej dalam produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Ada pakej yang murah, sederhana dan juga premium.
Pelanggan boleh memilih pakej dan tahap perkhidmatan yang menepati keperluan dan juga bajet mereka. Sekiranya pelanggan tersebut berkemampuan, boleh memilih pakej premium, ataupun jika ia merupakan pengalaman kali pertama, pelanggan boleh cuba pakej yang paling murah terlebih dahulu.
Perniagaan yang mempraktikkan sistem pakej ini biasanya adalah mereka yang beroperasi dalam industri pelancongan.
(29) Langganan produk fizikal
Sistem langganan ini sebenarnya boleh juga dipraktikkan dalam menjual produk fizikal.
Bagi memastikan kejayaan kaedah ini, biasanya produk yang dipilih itu mestilah produk yang mana pengguna akan memerlukannya secara berkala, sama ada harian, mingguan ataupun secara bulanan.
Apa contohnya?
i. Supplement
ii. Set makan tengahari
iii. Barangan kosmetik
Persoalannya, apa yang membuatkan pelanggan akan setuju untuk membuat langganan sedangkan mereka boleh beli terus dari mana-mana peniaga diluar sana?
Dalam keadaan ini, anda perlu jadi lebih kreatif bagi memastikan pelanggan memilih anda.
Saya berikan contoh, untuk set makan tengahari ini, mungkin anda fokus kepada individu yang mempunyai kriteria seperti
i. Masalah kesihatan seperti diabetik
ii. Set menu untuk ibu mengandung
iii. Set menu untuk body builder
Kelebihan mengambil set seperti ini, selain ia memudahkan ia juga sebenarnya sangat sesuai dengan menu diet yang perlu diamalkan oleh individu tersebut.
Kemudian dari segi harga, kita boleh katakan harganya adalah lebih konsisten berbanding kita makan diluar. Kalau makan diluar, kadang-kadang kita akan dikenakan bayaran mungkin sekitar RM22, RM31, RM50 atau apa-apa nilai yang tak begitu konsisten.
Justeru, mereka yang ingin merancang kewangan dengan lebih efisien juga boleh pertimbangkan untuk melanggan perkhidmatan seperti ini.
(30) Model berasaskan bidaan
Adakah anda pernah menggunakan laman web shopping e-bay?
Laman web ini adalah salah satu laman web yang popular, yang mana pembeli dilaman web tersebut menggunakan konsep bidaan dalam mendapatkan produk yang dijual di platform tersebut.
Apabila tamat masa bidaan, individu yang membida atau menawarkan harga yang paling tinggi, akan diberi hak untuk membeli produk tersebut dengan harga yang dibida.
Lazimnya, penjual akan mula menawarkan harga yang rendah, bagi menarik perhatian para pengguna laman web bidaan untuk membida. Kemudian, harga akan mula meningkat apabila semakin ramai individu yang membuat bidaan.
(31) Perniagaan bermusim atau berdasarkan acara
Perniagaan ini dijalankan hanya pada musim-musim tertentu, contohnya seperti musim perayaan ataupun hanya bersempena dengan acara sambutan tertentu.
Perniagaan bazar ramadhan hanya muncul ketika bulan puasa.
Perniagaan bazar raya yang menjual kelengkapan hari raya hanya muncul sekitar bulan ramadhan.
Namun ada juga usahawan yang fokus untuk menjalankan perniagaan bagi memenuhi keperluan pelanggan ketika ingin menyambut perayaan atau sambutan peristiwa penting dalam hidup mereka. Antaranya
i. Majlis perkahwinan
ii. Hari jadi
iii. Konvokesyen
(32) Pemasaran dan pengesyoran oleh pempengaruh
Terdapat juga usahawan yang membina perniagaan mereka dengan menunggang populariti individu yang dianggap sebagai pempengaruh (influencer) media sosial.
Pemilik bisnes akan bekerjasama dengan para pempengaruh yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial. Tugas pempengaruh ini adalah untuk memperkenal dan mempromosikan produk milik syarikat.
Pelanggan yang akan dijadikan sasaran pada asasnya adalah mereka yang mengikuti pempengaruh tersebut.
(33) Program kesetiaan dan berasaskan ganjaran (reward)
Ini satu lagi cara yang agak biasa dipraktikkan dalam banyak perniagaan diluar sana. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan pelanggan yang sama datang dan membeli berulang-ulang kali dimasa akan datang.
Setiap pembelian yang dilakukan oleh pelanggan, mereka akan berpeluang untuk mengumpul mata ganjaran yang seterusnya boleh ditukarkan kepada hadiah ataupun mungkin wang tunai.
Dalam konsep model perniagaan ini, pemilik perniagaan akan memberikan satu gambaran kepada para pelanggan mereka, bahawa setiap pembelian yang mereka lakukan, bukan semata-mata untuk dapatkan barangan keperluan, sebaliknya mereka boleh menikmati ganjaran yang lebih besar lagi.
(34) Bisnes online dan offline
Syarikat memulakan perniagaan dengan melancarkan kedai fizikal dan juga kedai online.
Pelanggan boleh membuat pembelian dengan cara walk in ke kedai ataupun boleh buat tempahan di website atau apps. Kadang-kadang perniagaan mereka ini juga akan membuka kedai melalui platform e-commerce marketplace seperti Lazada, Shopee dan juga PG Mall.
Ini merupakan suatu model atau pendekatan yang cukup baik bagi memudahkan pelanggan berurusan dengan mereka.
(35) Pembayaran mengikut tahap penggunaan
Kalau dalam istilah bahasa inggeris, ia lebih dikenali dengan istilah pay per use.
Pelanggan perlu membayar, mengikut kadar atau berapa banyak penggunaan.
Konsep ini diguna pakai dalam sistem pembayaran bil elektrik, bil air, langganan pelan data dan sebagainya. Lagi banyak pelanggan guna, lagi banyak amaun yang perlu dibayar.
(36) Pelan ansuran atau pembiayaan
Perniagaan menjual pelbagai jenis barangan dengan menawarkan pelan ansuran dan juga pembiayaan.
Dengan ini, pelanggan boleh membuat pembelian pada hari ini juga, tanpa perlu tunggu duit telah cukup. Apa yang penting, pelanggan mampu untuk membuat bayaran ansuran yang ditetapkan.
Dalam situasi ini, pelanggan akan lebih terbuka untuk membuat pembelian, memandangkan mereka boleh mengagihkan kos bayaran kepada beberapa kali, dan bukannya buat bayaran dalam satu masa.
(37) Tawaran harian dan juga jualan kilat
Istilah yang biasa digunakan adalah flash sale.
Pada setiap hari pada waktu tertentu, sebagai contoh pada jam 12.00 tengahari syarikat akan mengadakan tawaran jualan kilat untuk masa terhad atau untuk unit yang terhad.
Tujuannya adalah untuk menarik seberapa banyak bakal pelanggan untuk melihat tawaran mereka. Biasanya produk yang akan dijual ini adalah produk yang harganya agak mahal, tapi bersempena dengan jualan kilat, ianya diberikan potongan harga yang agak tinggi, sebagai contoh sehingga 70%.
(38) Perkongsian keuntungan
Konsep perniagaan berasaskan perkongsian keuntungan ini sebenarnya memang telah wujud di negara kita. Sama ada anda perasan ataupun tidak.
Saya sendiri sebenarnya telah beberapa kali menulis tentang sebuah syarikat yang menggunakan konsep perkongsian keuntungan ini dalam model perniagaan mereka.
Syarikat yang saya maksudkan ialah PG Mall Sdn Bhd.
Konsep perkongsian keuntungan yang mereka praktikkan diberi nama Program Consumerchant.
Pelanggan atau pengguna yang membantu mempromosikan platform PG Mall hingga berjaya menarik minat pelanggan baru untuk turut menjadi ahli di PG Mall, beliau akan memperolehi peratus keuntungan jika pelanggan yang diperkenalkan itu tadi membuat pembelian.
Selagi mana pelanggan yang kita perkenalkan itu tadi membuat pembelian, selagi itulah kita akan dapat komisen atau perkongsian keuntungan dari syarikat ini.
Pada asasnya, mana-mana pelanggan yang memainkan peranan membantu pihak syarikat mendapatkan jualan dan keuntungan, pelanggan ini layak untuk menerima sedikit keuntungan melalui model perkongsian keuntungan ini.
(39) Sistem paywall untuk content premium
Bagi pemilik laman web yang mampu untuk menyediakan konten yang berkualiti tinggi dan mempunyai permintaan yang tinggi, mereka boleh menggunakan konsep paywall bagi konten yang disiarkan di platform miliknya.
Pelawat boleh membaca atau menonton hanya sebahagian daripada konten yang disiarkan.
Jika pelawat ini mahu membaca keseluruhan isi, mereka perlu buat bayaran terlebih dahulu.
Hanya setelah bayaran dilakukan, barulah sistem paywall itu akan diturunkan dan pelawat boleh melihat konten yang disiarkan dengan lebih lanjut.
(40) Platform pengiklanan digital
Anda selaku pemilik bisnes, menyediakan perkhidmatan penyiaran iklan menerusi platform digital yang anda miliki, sama ada
i. Blog
ii. Youtube channel
iii. FB Fanpage
iv. Tiktok
v. Email list / subscriber
Jika platform yang anda miliki bagi tujuan pengiklanan memang terbukti mampu untuk membantu pelanggan anda untuk menghasilkan jualan, servis yang anda sediakan ini mungkin akan menarik minat ramai usahawan.
(41) User generated content monetization
Model perniagaan yang menggunakan konsep ini adalah seperti laman web Quora, Reddit dan sebagainya.
Pada asasnya, konsep laman web ini ialah konten yang terhasil adalah berasal dari hasil penulisan dan perkongsian penggunanya sendiri. Sampai satu tahap, jumlah konten yang disiarkan semakin banyak dan memberikan trafik yang cukup besar.
Apabila dipadankan dengan program pengiklanan, misalnya seperti Google Adsense, maka pendapatan yang bakal terhasil boleh jadi agak lumayan.
(42) Online gaming tournament
Permainan atas talian, sama ada pc gaming atau mobile gaming mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Ada mobile game yang jumlah pemainnya mencapai jutaan pemain. Jika ada mana-mana organisasi yang bersedia untuk menganjurkan tournament, ia mungkin akan dapat menarik minat orang ramai untuk menyertai acara tersebut.
(43) Platform carian kerja
Dalam konsep model perniagaan ini, anda akan membangunkan sebuah platform yang dapat menghubungkan antara pencari kerja dengan bakal majikan.
Ataupun jika anda mempunyai rangkaian yang baik, mungkin boleh bangunkan sebuah platform yang berkonsepkan micro-job.
(44) Pay Per Click Advertising
Pemilik bisnes akan menggunakan khidmat pengiklanan jenis PPC bagi tujuan menarik bakal pelanggan untuk melihat tawaran.
Pertama sekali, pemilik bisnes akan bina laman web jualan terlebih dahulu.
Kemudian, apabila semua telah sedia, barulah dia akan mula menggunakan iklan PPC ini untuk mendapatkan pelanggan. Iklan PPC ini ada ditawarkan oleh Google Adwords, FB Ads dan beberapa lagi syarikat.
(45) Kelab keahlian dan akses eksklusif
Perniagaan menawarkan keahlian kepada pelanggan yang berminat atau yang menepati kriteria tertentu. Hanya individu yang membayar untuk menjadi ahli sahaja yang akan mendapat layanan istimewa dan pelbagai lagi faedah.
(46) Konsep pisau cukur dan mata pisau
Model perniagaan ini kalau dalam bahasa inggeris dikenali dengan istilah razor and blade.
Sebagai pemilik bisnes mereka akan menjual produk utama dengan harga yang murah atau jika perlu jual dengan harga yang dibawah kos pun mereka sanggup untuk lakukan.
Kemudian, mereka akan buat keuntungan melalui produk sampingan atau produk yang menjadi pelengkap bagi produk utama tersebut.
Contoh seperti jualan pisau cukur dengan mata bilah.
Pengguna akan beli pisau cukur sekali sahaja. Apabila mata bilah sudah tumpul, dia akan beli mata bilah berulang-ulang kali.
Sampai satu ketika, pembelian mata bilah itu dapat menampung semula kos dan kerugian yang ditanggung oleh syarikat bagi jualan pisau cukur.
Contoh lain adalah jualan permainan game konsol.
Harga bagi game konsol tidak terlalu murah dan tidak juga terlalu mahal. Jika pemain ingin menambah game, biasanya harga untuk satu game agak mahal, dan syarikat pengeluar permainan ini dapat mengaut untung melalui permainan video tersebut.
(47) Harga dinamik
Perniagaan ini menggunakan sistem harga yang sentiasa berubah-ubah bergantung kepada keadaan.
Perubahan harga ini sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor, seperti
i. Permintaan
ii. Penawaran
iii. Jumlah trafik pada laman web
iv. Masa tempahan dibuat
v. Harga bagi produk yang setara dipasaran
Sistem harga dinamik ini berkesan jika kita menggunakan laman web jualan. Kalau anda perasan, kebanyakkan platform seperti Airbnb, Agoda, Booking.com menggunakan sistem harga dinamik ini.
Harga untuk hotel atau tempat penginapan biasanya akan sentiasa berubah-ubah.
Kesimpulan
Terdapat banyak model perniagaan yang dipraktikkan oleh pelbagai usahawan diluar sana. Bezanya adalah sama ada anda nampak dan faham ataupun tidak, apakah model perniagaan yang mereka gunakan.
Apabila kita memahami pelbagai jenis model perniagaan, ia memberi kita ruang untuk jadi lebih kreatif dalam menjalankan perniagaan yang kita ada sekarang.
Setidak-tidaknya, kita tidak akan dihadkan dengan satu bentuk atau model perniagaan semata-mata.
Dengan memahami selok-belok pelbagai model, ini secara tak langsung dapat memberikan kita sedikit fleksibiliti untuk melakukan apa-apa perubahan terhadap operasi perniagaan kita, sekiranya ada keperluan.
Atau boleh jadi, selepas ini anda mula sedar, sebenarnya terdapat beberapa kelemahan pada model perniagaan yang anda sedang gunakan sekarang, yang memerlukan anda untuk melakukan perubahan.
Dalam dunia perniagaan, kehendak pasaran akan sentiasa berubah. Adakalanya perubahan itu berlaku dengan begitu pantas, tanpa kita sempat untuk menikmati hasil usaha dan penat lelah kita membangunkan bisnes tersebut.
Oleh yang demikian, kita juga perlu bersedia untuk berubah, dan praktikkan model perniagaan yang paling menepati kehendak pasaran semasa.
Semoga perkongsian mengenai kepelbagaian model perniagaan yang terdapat diluar sana bermanfaat untuk pembaca sekalian.
Jika tak keberatan, harap anda boleh share artikel ini di media sosial milik anda ya.
Leave a Reply