Dalam dunia pemasaran digital yang serba pantas hari ini, keupayaan untuk menarik perhatian pelanggan dengan cepat dan berkesan adalah amat penting.
Salah satu kemahiran yang sangat PENTING dalam mencapai matlamat ini ialah keupayaan untuk menulis ayat promosi yang menarik dan persuasif.
Kenapa ayat promosi adalah komponen yang penting dalam perniagaan?
Ayat promosi yang bagus bukan sahaja memberitahu pelanggan tentang produk atau perkhidmatan anda, tetapi juga menarik perhatian, membangkitkan emosi, mencipta keinginan, dan mendorong tindakan.
Artikel kali ini, kita akan bincangkan kaedah menulis ayat promosi yang berkesan, yang boleh anda gunakan untuk menarik perhatian audiens yang anda sasarkan sekaligus membantu hasilkan jualan.
Saya juga menyediakan beberapa contoh ayat promosi yang boleh anda gunakan sebagai inspirasi untuk kempen pemasaran anda sendiri nanti.
Antara perkara yang kita akan bincangkan adalah
(1) Cara menulis ayat promosi
Kita akan bincangkan beberapa kaedah yang berkesan dan mudah untuk hasilkan ayat promosi.
(2) Teknik copywriting berdasarkan kepada aspek psikologi
Kita akan masukkan beberapa elemen psikologi yang bersesuaian bagi tujuan untuk mempengaruhi dan meyakinkan audiens kita untuk mengambil tindakan tertentu.
(3) Format ayat promosi mengikut platform
Kita juga akan bincangkan beberapa format penulisan ayat promosi yang terbukti boleh menghasilkan jualan.
Ayat jualan ini kita akan sediakan dalam format yang berbeza untuk digunakan pada platform yang berbeza. Contohnya ayat promosi untuk digunakan di Whatsapp, Facebook dan juga blog.
Semua ini ada format yang berlainan.
(4) Beberapa contoh ayat promosi bagi kategori produk berbeza
Bagi tujuan memudahkan anda membina ayat promosi untuk bisnes anda, saya juga akan bekalkan beberapa contoh yang anda boleh jadikan rujukan.
Ada beberapa yang anda boleh edit untuk disesuaikan dengan bisnes yang anda sedang jalankan.
(5) Kesilapan yang perlu dielakkan dalam menghasilkan ayat promosi
Antara contoh kesilapan lazim yang kerap dilakukan oleh para usahawan apabila menulis ayat promosi juga akan kita bincangkan.
Bila anda dah tahu apa kesilapan yang sering dilakukan, maka anda bolehlah elakkan dari melakukan kesilapan yang serupa.
Prinsip Asas Ayat Promosi Berkesan
Kalau anda ingin menceburi atau memang sudah berkecimpung dalam bidang jualan, maka sedikit sebanyak anda perlu tahu teknik menulis ayat promosi.
Bukan sebarangan ayat promosi.
Tetapi ayat promosi yang boleh membuatkan pembaca jadi berminat untuk membeli.
Ada sesetengah orang yang menulis ayat promosi secara hentam keromo.
Asal nampak macam sedap bunyinya, maka bagi dia, dia dah hasilkan ayat promosi yang betul.
Tapi sebenarnya bukan begitu.
Ayat promosi yang bagus, adalah ayat yang boleh convert kepada sales.
Lazimnya, ia mempunyai format penulisan tertentu yang perlu kita ikut.
Bagi tujuan menghasilkan ayat promosi yang boleh menghasilkan jualan, anda perlu tahu sedikit sebanyak tentang copywriting.
Ada beberapa teknik copyriting yang anda boleh gunakan.
(1) Teknik AIDA
AIDA adalah suatu akronim yang merujuk kepada
i. Attention (Perhatian)
Kita akan tarik perhatian bakal pelanggan dengan menggunakan ayat yang boleh mencuri tumpuan mereka.
ii. Interest (Minat)
Setelah berjaya tarik perhatian mereka, kita akan berikan fakta menarik atau beberapa manfaat unik yang dapat menimbulkan minat mereka untuk tahu lebih lanjut mengenai produk kita.
iii. Desire (Keinginan)
Selepas itu, kita akan bermain dengan psikologi pelanggan dengan mengajak mereka untuk membayangkan seolah-olah mereka sedang menggunakan produk yang kita jual dan memperolehi manfaatnya.
iv. Action (Tindakan)
Berikan arahan yang jelas kepada audiens untuk melakukan tindakan yang spesifik.
Kita sebut juga dengan istilah Call to Action atau CTA.
Jika ayat copywriting atau ayat iklan promosi yang kita hasilkan tidak mempunyai CTA yang jelas, besar kemungkinan audiens kita tidak akan bertindak seperti mana yang kita harapkan.
Sebaliknya mereka akan berlalu pergi dan terus scroll untuk baca posting yang lain pula.
Kita berikan arahan yang jelas untuk mereka ikuti.
Sebagai contoh,
i. Klik pada link yang disediakan untuk maklumat lanjut
ii. Komen “saya berminat”
iii. Isikan borang tempahan yang disediakan untuk tempahan
iv. Hubungi nombor tertera untuk sesi penerangan
Ada sebuah buku yang membincangkan teknik AIDA ini dengan begitu terperinci, jika anda berminat untuk pelajari teknik ini dengan lebih mendalam.
Buku yang dimaksudkan berjudul Rahsia Jurus Pemikat Jualan yang ditulis oleh Zahrul Azua Kamaluddin.
Anda boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran anda atau boleh buat tempahan secara online disini.
(2) Teknik PAS
Satu lagi teknik berkesan untuk membantu menghasilkan jualan adalah teknik PAS.
Ia merujuk kepada
i. Problem (Pernyataan Masalah)
ii. Agitate (Perincian Masalah)
iii. Solutions (Penyelesaian)
Walaubagaimanapun, bukan semua orang yang sedang menghadapi masalah itu, sanggup untuk bertindak bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Diluar sana memang wujud individu yang lebih rela bertahan, daripada bertindak untuk menyelesaikan masalah.
Kenapa?
Mereka pasti mempunyai alasan tersendiri.
Boleh jadi pada dirinya, masalah itu tak cukup besar, atau tak cukup serius untuk segera diselesaikan.
Boleh jadi dia terpaksa dahulukan hal lain yang lebih penting.
Boleh jadi dia tak ada duit untuk selesaikan masalah tersebut.
Saya pernah tulis mengenai perkara ini sebelum ini.
Boleh baca disini: Teknik NAIL dalam penulisan copywriting
Pada asasnya, masalah yang dihadapi itu perlulah cukup merimaskan (annoying) dan menyebabkan kehidupan bakal pelanggan jadi tak selesa, ibarat seperti ada paku yang bahagian hujungnya menembusi tapak kasut pelanggan.
Ia tak cukup dalam untuk menghasilkan kecederaan yang serius hingga berdarah, tapi ia cukup untuk membuatkan pelanggan rasa tak selesa untuk menjalani urusan kehidupan seharian dan akhirnya membuatkan mereka terpaksa bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Ayat promosi berdasarkan profil pelanggan
Setiap pelanggan mempunyai cara berfikir yang berbeza.
Bila kita sebut mengenai cara berfikir, bermakna kita nak sentuh sedikit tentang aspek psikologi pelanggan.
Oleh sebab itu, ayat promosi yang bakal kita hasilkan juga sepatutnya perlu disesuaikan mengikut kategori pelanggan yang berbeza.
(1) Pelanggan jenis Impulsif
Siapa yang dimaksudkan sebagai pelanggan jenis impulsif dan bagaimana cara untuk menarik perhatian kategori pelanggan jenis ini?
Pelanggan impulsif adalah mereka yang membuat keputusan pembelian secara spontan, tanpa banyak berfikir dan suka bertindak segera.
Mereka mudah tertarik dengan tawaran menarik, visual yang menggoda, atau elemen kejutan dalam promosi.
Pelanggan jenis ini mempunyai ciri seperti
i. Bertindak pantas
Mereka tak suka berfikir terlalu lama.
Bagi mereka, kalau rasa suka dengan sesuatu tawaran, beli sahaja.
ii. Dipengaruhi emosi
Mereka sangat dipengaruhi oleh emosi, dan mereka jarang menggunakan logik atau membuat analasis mendalam sebelum buat keputusan pembelian.
iii. Mudah tertarik dengan teknik Urgency
Kalau kita kata, stok hanya tinggal 3 unit terakhir, atau harga promosi hanya tinggal 10 unit sahaja, atau tawaran akan tamat dalam masa 30 minit, semua ini akan memberi mereka tekanan yang membuatkan mereka bertindak segera.
Kadang mereka bukannya terdesak mahupun sangat perlukan produk tersebut.
Tapi mereka lebih dipengaruhi emosi dan rasa terdesak untuk rebut tawaran itu.
Apa yang penting dekat sini ialah, kita perlu buatkan mereka fikir bahawa tawaran yang mereka bakal ambil ini adalah tawaran yang sangat hebat yang tak akan ditawarkan lagi sampai bila-bila selepas ini (one time offer).
(2) Pelanggan Berfikir Panjang
Pelanggan dari kategori ini memerlukan maklumat lengkap sebelum membeli.
Kadang-kadang, walaupun mereka sudah mempunyai semua maklumat yang diperlukan, mereka masih tetap belum bersedia untuk membeli. Mereka merasakan seperti mereka masih perlukan maklumat tambahan.
Pelanggan seperti ini suka buat analisis.
Mereka banyak berfikir dan mahu mempunyai maklumat yang lengkap sebelum betul-betul bersedia untuk membuat pembelian.
Bagi pelanggan dalam kategori ini, kita boleh gunakan ayat seperti “Dapatkan ulasan pelanggan terdahulu dan spesifikasi penuh sebelum anda membuat keputusan. Klik di sini!”
Ini juga bermakna, anda perlu sediakan satu lagi teks ayat promosi yang lengkap dengan maklumat terperinci mengenai produk yang anda promosikan.
(3) Pelanggan sensitif harga
Dulu saya pernah dengar satu ayat.
“Produk ini bukannya mahal pun, cuma kita je yang tak ada duit.”
Bertahun jugalah saya setuju dengan ayat tersebut.
Masa tu saya macam terpengaruh dengan kata-kata, mahal atau murah itu subjektif.
Apa yang orang lain anggap mahal, mungkin murah bagi orang lain. Begitulah sebaliknya.
Tapi hari ini, saya mula sedar yang kefahaman tu tak betul.
Kalau benda tu mahal, maka ianya mahal.
Kalau benda tu murah, maka ia murah.
Ia tak ada kaitan dengan tahap kemampuan individu.
Hanya sebab seseorang itu kaya, dan sangat berkemampuan, itu tidak mengubah fakta dan hakikat, jika sesuatu produk itu mahal, maka ia tetap mahal.
Kalau hari ini, kita tiba-tiba jadi kaya, ia tidak mengubah hakikat bahawa sesetengah barangan itu memang mahal harganya.
Apa yang berubah hanyalah tahap kemampuan kita.
Dulu kita tak mampu beli, tak mampu bayar harga tersebut.
Hari ini kita ada pendapatan yang cukup besar, dan kita mampu beli barang tersebut.
Mahal atau murah, ia bukannya tentang perasaan.
Kalau harga pasaran ialah RM100, tapi produk yang sama dijual dengan harga RM500, maka pada saya ianya mahal.
Sudah tentu, pemilik perniagaan akan memberikan alasan untuk justify kenapa harganya mahal.
Misalnya,
i. Produk tersebut adalah premium
ii. Produk tersebut adalah barangan berjenama.
iii. Produk tersebut adalah designer item
iv. Produk tersebut adalah limited edition
Tak kisahlah, walau apa pun alasannya, apa yang mahal kita katakan mahal.
Apa yang murah kita katakan murah.
Ianya tak ada kena mengena dengan kekayaan, mahupun kemampuan kita.
Jangan biasakan sebut sesuatu barang yang mahal itu murah harganya, hanya sebab kita mampu untuk bayar harga yang diminta oleh jurujual.
Perbandingan Format Ayat Promosi Mengikut Platform
Bergantung kepada apakah platform yang bakal anda gunakan bagi tujuan pemasaran, anda perlu sesuaikan ayat promosi yang bakal anda gunakan mengikut platform.
Kita akan pecahkan kepada tiga jenis platform.
(1) Platform untuk Mesej/Chat
Antaranya adalah seperti FB Mesengger, Whatsapp, Telegram dan sebagainya.
Ayat promosi yang kita bakal hantar melalui platform ini biasanya mempunyai ciri seperti
i. Ringkas dan padat
Ayat yang digunakan straight to the point dan mengandungi maklumat-maklumat yang penting sahaja.
ii. Dalam bentuk perbualan
Ayat promosi sebaiknya ditulis dengan gaya bahasa seperti sedang berbual.
Ia tak kelihatan terlalu terdesak atau memaksa untuk buat jualan.
iii. Masukkan visual
Buat rekaan poster ataupun rekaan dalam bentuk kupon diskaun, yang mempunyai tarikh luput. Kemudian hantar sahaja secara pukal kepada subscriber atau follower anda.
Biasanya kalau konten gambar seperti poster atau kupon diskaun, apabila penerima mesej tersebut buka, ianya akan autosave dalam galeri mereka.
(2) Platform Media Sosial
Contohnya adalah seperti Facebook, Twitter (X) dan sebagainya.
Dalam konteks media sosial ini, kita perlu banyak menggunakan pendekatan bercerita atau teknik story telling.
Kalau kita asyik buat ayat promosi jenis direct selling, banyak cakap pasal produk tanpa ada unsur penceritaan, alamatnya memang posting kita tu orang akan abaikan.
Maklumlah, orang tengok media sosial sebab nak tahu apa cerita terkini, bukannya nak baca ayat iklan ataupun ayat promosi.
(3) Blog
Ayat promosi yang kita terbitkan menerusi platform blog biasanya lebih panjang dan mengandungi penjelasan yang terperinci berhubung dengan topik yang sedang dibincangkan.
Ya anda tak salah baca.
Saya sebut “topik” bukannya “produk” secara spesifik.
Untuk mempromosikan sesuatu produk, kita perlu tahu, apakah topik yang mungkin dapat menarik minat golongan pelanggan yang kita sasarkan.
Apabila pembaca ikuti perbincangan topik yang kita tulis, secara tak langsung mereka akan ikut membaca tentang produk yang kita promosikan.
Produk yang kita promosikan itu, perlu dilihat sebagai sebahagian daripada topik yang kita bincangkan.
Sebaliknya, kalau artikel kita adalah spesifik tentang produk sahaja, besar kemungkinan pembaca tak minat nak baca artikel yang dihasilkan.
Sebagai contoh, saya nak promosikan barang-barang yang berkaitan dengan bisnes kedai runcit, misalnya seperti mesin penimbang, kalkulator, meja kaunter, kerusi, peti ais dan sebagainya.
Apa yang saya lakukan ialah, saya menulis beberapa artikel berkaitan dengan bisnes kedai runcit, contohnya seperti panduan memulakan bisnes runcit, tips kedai runcit, cara dapatkan pembekal kedai runcit dan sebagainya.
Ada audiens yang tak ada masalah untuk baca artikel penerangan yang panjang.
Ada yang jenis tak suka membaca.
Kita sendiri perlu pelbagaikan pendekatan dan cara penulisan untuk disesuaikan dengan kategori pembaca ini.
Contoh Ayat Promosi mengikut Kategori Produk
Memandangkan kita tengah bincangkan topik mengenai contoh ayat promosi, saya rasa ada baiknya kita bincangkan juga beberapa contoh ayat yang berbeza mengikut jenis kategori produk yang kita jual.
(1) Makanan dan minuman
Apa yang penting dalam menghasilkan ayat promosi untuk produk makanan dan minuman?
Ada yang nak cuba jawab?
i. Elemen visual yang memukau
Produk makanan dan minuman ini, paling penting sekali adalah elemen visual.
Sama ada anda menggunakan video atau gambar.
Gambar yang digunakan perlu cukup menarik dan nampak mengiurkan, bagi membangkitkan rasa ingin mencuba dalam kalangan prospek.
Kalau gambar tak cantik, gunalah ayat yang hebat macam mana sekalipun, orang tak akan rasa terbuka selera untuk cuba.
Dalam konteks bisnes makanan, penggunaan ayat promosi perlu selari dengan penggunaan gambar yang menarik dan berkualiti tinggi.
Kita andaikan, yang anda dah selesaikan bab gambar produk.
Seterusnya, untuk bina ayat promosi produk makanan ini, ada beberapa lagi poin yang anda perlu beri perhatian. Kesemua poin ini, anda boleh sesuaikan dalam pembinaan ayat promosi nanti.
ii. Rasa dan tekstur
Gunakan perkataan yang dapat memberikan gambaran dari segi rasa dan tekstur makanan tersebut.
Contohnya, adakah ianya rangup, lembut, berkrim, pedas, pedas tapi manis, berlemak dan sebagainya.
Kalau ada bahan-bahan tertentu, kita boleh highlight rasa bahan tersebut, misalnya rasa coklat yang premium, kuahnya rasa udang yang segar, atau mungkin rasa buah sebenar.
iii. Keunikkan produk anda
Apa yang membezakan antara produk anda dengan lain-lain jenama yang ada dipasaran?
Cuba fikirkan.
Pasti ada sesuatu yang membuatkan produk anda berbeza. Mungkin perbezaan itu dari segi
a. Bahan-bahan yang digunakan
b. Cara pembungkusan
c. Kaedah pembuatan menggunakan kaedah tradisional
d. Dikilangkan di kilang yang mendapat pengiktirafan
e. Menggunakan resipi turun temurun
f. Rasa yang tiada bandingan
iv. Tarik perhatian dengan Emosi
Makanan juga boleh dikaitkan dengan elemen emosi.
Mungkin ada menu masakan tertentu, yang mana kita dulu biasa makan semasa tinggal dikampung, tapi bila kita berhijrah ke bandar, menu tersebut agak sukar ditemui.
Atau mungkin ada hidangan tertentu, yang merupakan sajian kegemaran seseorang.
Cubalah fikirkan.
v. Berikan bukti sosial
Kalau betul makanan yang anda jual tu sangat sedap, dah tentu ada bukti. Betul tak?
Buktinya adalah seperti
a. Kalau kedai, boleh tunjuk yang kedai anda ada ramai pelanggan
b. Kalau gerai tepi jalan, boleh tunjuk dengan pelanggan beratur
c. Boleh minta pelanggan untuk berikan komen, review dan testimoni
Contoh ayat promosi untuk produk makanan
WhatsApp:
🍔 “Nak rasa burger homemade dengan patty tebal dan juicy? Harga Promosi Hanya RM10!
Order sekarang sebelum promosi tamat! 🍔✨”
Facebook:
Serius ni memang burger paling juicy di Kajang!
Korang mesti dah pernah try macam-macam stall burger, dan terjah macam-macam outlet fastfood semata-mata nak cari burger yang betul-betul kena dengan selera.
Dah tak payah susah-susah nak cari lagi. Lepas ni boleh try burger kat sini.
Patty burger ini dibuat segar setiap hari.
10 pelanggan terawal akan dapat diskaun 20%! PM kami sekarang!”
Blog
Tajuk: Pengalaman makan di restoran Burger XXX
Pendahuluan
i. Pengenalan tentang kedai
ii. Sebutkan nama kedai, lokasi, suasana
Isi 1 – Suasana & Perkhidmatan
i. Gambaran suasana kedai burger
ii. Penilaian terhadap layanan kepada pelanggan
iii. Kebersihan dan keselesaan kedai
iv. Dekorasi dan susun atur kedai
Isi 2 – Menu & Rasa Burger
i. Review mengenai senarai pilihan menu burger yang ditawarkan
ii. Penerangan terperinci tentang burger yang dipesan
iii. Bahan-bahan tambahan dan rasa sos yang digunakan
Isi 3 – Harga & nilai
i. Penilaian terhadap burger berbanding dengan kualiti dan saiznya
ii. Penilaian tentang rasa burger
iii. Sebarang tawaran istimewa
Kesimpulan
i. Ringkasan cerita pengalaman
ii. Pendapat peribadi sama ada berbaloi atau tidak untuk dikunjungi semula
iii. Tips untuk pembaca yang ingin datang (buat tempahan terlebih dahulu mungkin)
Artikel blog biasanya lebih panjang dan dijelaskan secara terperinci.
Lengkap dengan gambar-gambar yang berkaitan.
(2) Pakaian
Apa yang penting dalam mendapatkan jualan untuk produk jenis pakaian dan aksesori?
i. Gunakan elemen visual yang menarik
Sama seperti produk makanan, perlu ada gambar atau video produk yang menarik.
Kalau ada patung mannequin boleh gunakan patung tersebut untuk menggayakan pakaian yang kita nak jual.
Kalau tak ada patung, kita boleh gunakan model.
Kalau tak ada model, kita sendiri perlu jadi model.
Pakaian kalau cuma sangkut pada penyangkut baju, pada saya ia kurang menarik.
Kalau ianya berlipat, atau masih dalam plastik, ia juga kurang menonjolkan keunikkan pakaian tersebut.
Saya harap anda dapat selesaikan bab memperagakan pakaian yang bakal anda jual.
Selepas itu, barulah kita fokus kepada menghasilkan ayat promosi untuk produk pakaian pula.
ii. Fokus pada trend semasa
Gunakan perkataan yang menggambarkan gaya dan trend terkini. Misalnya seperti “fesyen terkini”, “viral”, “gaya elegan” dan sebagainya.
iii. Highlight kualiti material fabrik dan jahitan
Berikan penerangan tentang kualiti fabrik yang digunakan, sama ada ianya 100% kapas, sutera asli, atau mungin menggunakan jahitan tangan yang teliti.
Maklumat ini mungkin tak begitu penting bagi sesetengah orang, tapi ia dapat meyakinkan pelanggan bahawa produk anda benar-benar berkualiti.
Sebenarnya, bila kita buat penerangan yang jelas, ia berkali ganda lebih baik berbanding kita sekadar kata produk ini berkualiti tinggi.
iv. Rekaan yang unik
Pada asasnya, setiap pakaian ini ada rekaan yang unik.
Jarang ada pakaian, yang dikeluarkan oleh syarikat berbeza, tetapi mempunyai design yang sama.
Pada saya, poin rekaan unik ini sebenarnya langsung tak relevan.
Tapi itu lah, kadang-kadang audiens kita ni dia bukannya perasan, jadi kita sebut je la, baju ini didatangkan dengan rekaan yang unik.
v. Tarik perhatian dengan gaya hidup
Pakaian ini sangat berkait rapat dengan gaya hidup (lifestyle).
Aktiviti yang berbeza, memerlukan gaya pemakaian yang berbeza juga.
a. Pakaian untuk casual yang sesuai untuk jalan-jalan
b. Pakaian yang sesuai untuk pergi ke majlis dan acara tertentu.
c. Pakaian untuk sukan, aktiviti lasak dan sebagainya.
d. Pakaian untuk kerja.
e. Pakaian untuk musim tertentu
f. Pakaian untuk menyambut perayaan tertentu
Kaitkan pakaian yang kita jual dengan peristiwa dan perayaan tertentu, untuk menarik jualan.
vi. Gunakan teknik FOMO
Merujuk kepada istilah fear of missing out.
Kalau dalam konteks bisnes pakaian ini, ayat promosi yang kita boleh hasilkan yang sesuai dengan teknink fomo ni ialah seperti
a. Limited edition (Koleksi terhad)
b. Tawaran Istimewa
c. Diskaun Istimewa
d. Promosi Buy One Free One
Tak kiralah apa promosi dan juga tawaran yang dijalankan, pastikan ianya dihadkan kepada sela masa tertentu atau bilangan unit tertentu sahaja.
Contoh Ayat Promosi untuk pakaian
WhatsApp:
👗 “Dress elegan ini hanya RM79, tetapi nampak macam designer piece beratus-ratus ringgit! Siapa cepat, dia dapat!”
Facebook:
🔥 “Trend terkini! Maxi dress flowy yang sesuai untuk semua bentuk badan. DM kami untuk saiz & warna!”
Blog:
Tajuk: Gaya Terkini – Koleksi Busana Rekaan Terbaru Tahun ini
Pendahuluan:
i. Tarik perhatian pembaca dengan menyebut trend terkini
ii. Perkenalkan koleksi pakaian yang ditawarkan dan keunikkannya
Isi 1: Koleksi Utama
i. Perkenalkan beberapa koleksi pakaian utama
ii. Perkenalkan koleksi premium
iii. Terangkan jenis material yang digunakan
Isi 2: Tips Padanan Gaya
i. Berikan cadangan untuk menggayakan pakaian
ii. Tips untuk kelihatan lebih kurus, lebih profesional dan sebagainya
iii. Tips pakaian untuk acara tertentu
Isi 3: Tawaran Istimewa dan Promosi
i. Berikan tawaran istimewa buat 100 pembaca
ii. Jelaskan cara untuk dapatkan tawaran tersebut
iii. Berikan kod diskaun untuk 100 pembaca terawal
Kesimpulan:
i. Berikan jaminan kepuasan pelanggan
ii. Beri semangat untuk pembaca membuat pembelian untuk kelihatan segak bergaya
(3) Gadget dan Aksesori
Kategori produk yang turut banyak dipromosikan secara online adalah gadget dan aksesori.
Ada gadget untuk smartphone misalnya seperti tripod, selfi stick, gimbal dan sebagainya.
Ada gadget untuk kereta, contohnya seperti phone holder, portable charger, portable air purifier dan macam-macam lagi.
Macam mana nak buat ayat promosi yang sesuai untuk produk gadget?
Ada beberapa poin yang boleh anda jadikan panduan.
i. Fokus pada ciri-ciri dan spesifikasi
Apa yang membezakan antara sesebuah gadget dari pelbagai jenama adalah pada ciri dan spesifikasi.
Jadi kita perlu terangkan apa ciri yang membezakan antara produk yang kita cuba jual dengan lain-lain jenama atau model yang ada dipasaran.
ii. Highlight inovasi dan teknologi terkini
Produk dalam kategori gadget ini adalah antara yang cepat melalui proses inovasi.
Dalam masa beberapa bulan atau mungkin minggu, pasti akan keluar model baru yang lebih baik, lebih fleksibel dan mempunyai teknologi yang lebih baik.
Oleh yang demikian, kita tonjolkan elemen tersebut.
Mungkin gadget anda kini dilengkapi dengan teknologi Artificial Intelligence (AI), sambungan 5G, kalis air dan sebagainya.
iii. Gunakan visual yang menarik
Sediakan video yang menunjukkan bagaimana gadget tersebut berfungsi.
Boleh juga kalau nak gunakan gambar, tapi sebenarnya kalau nak tunjukkan demo produk, guna video lebih sesuai.
iv. Terangkan manfaat produk
Terangkan bagaimana gadget yang anda promosikan itu dapat menjadikan kehidupan pengguna jadi lebih baik.
Kalau gadget tersebut adalah model terkini, anda boleh jelaskan bagaimana model terkini ini adalah berkali ganda lebih baik berbanding model sebelum ini.
v. Kaitkan gadget tersebut dengan gaya hidup
Cuba kaitkan bagaimana dengan menggunakan gadget tersebut, ia dapat memudahkan kehidupan pengguna, meningkatkan produktiviti atau memberikan pengalaman hiburan yang lebih baik.
Ini sebagai contoh.
Penggunaan smartwatch boleh membantu penggunanya untuk mengetahui prestasi dan kemajuan ketika melakukan aktiviti fizikal dan bersukan.
Penggunaan gimbal boleh membantu pengguna untuk menghasilkan video yang berkualiti dan tiada gegaran.
Penggunaan dron pula boleh membantu pengguna untuk menghasilkan gambar dari sudut yang sebelum ini mustahil diperolehi apabila menggunakan kamera biasa.
WhatsApp:
⚡ “Powerbank 20,000mAh yang ultra ringan! Tak perlu risau bateri habis. Cepat grab, stok terhad!”
Facebook:
🔋 “Bateri habis di saat genting? Powerbank ini menyelesaikan masalah anda dengan pengecasan pantas! Klik link untuk dapatkan diskaun khas!”
Blog:
Tajuk: Masalah bateri phone cepat habis? Ini penyelesaian dia!
Pendahuluan:
i. Gambarkan situasi genting yang dialami tapi bateri phone dah nak habis
ii. Perkenalkan powerbank sebagai solusi
iii. Nyatakan anda akan berikan alasan munasabah
Isi 1: Ciri terhebat pada powerbank
i. Jelaskan tentang ciri yang terdapat pada powerbank
ii. Terangkan manfaat dari setiap ciri
iii. Nyatakan kelainan model yang anda jual
iv. Sertakan gambar dan video
Isi 2: Ketahanan Power bank
i. Tekankan pentingnya memilih powerbank yang tahan lama
ii. Ciri keselamatan yang ada pada powerbank
iii. Terangkan berapa kali boleh cas penuh phone anda
Isi 3: Ciri praktikal
i. Rekaan yang menarik
ii. Saiz yang kecil
iii. Tak perlu cas terlalu lama
iv. Testimoni pelanggan terdahulu
Kesimpulan:
i. Nyatakan bahawa powerbank adalah pelaburan berbaloi
ii. Anda mungkin tak perlukannya, tapi ia berguna saat kecemasan
iii. Mungkin orang tersayang akan perlukannya, dan menjadikan anda semakin disayangi
(4) Buku, ebook, produk digital dan kursus online
Seterusnya kita akan lihat contoh bagaimana untuk hasilkan ayat promosi untuk produk seperti buku ataupun rangkaian produk digital.
i. Fokus pada nilai dan manfaat
Bagi produk dalam kategori seperti ini, kita perlu lebihkan fokus kepada apakah nilai atau manfaat yang bakal diperolehi oleh audiens.
Kita boleh ceritakan dengan menggunakan perkataan seperti
a. Memperolehi pengetahuan mendalam
b. Menguasai kemahiran baru
c. Mempelajari teknik buat duit
d. Cara menyelesaikan masalah
ii. Fokus pada perubahan diri yang akan dialami
Pelanggan membeli buku dalam kategori kewangan bukan sebab ianya adalah sebuah buku. Bukan juga sebab dia suka membaca.
Tapi dia ingin menjadi seseorang yang celik dari segi pengetahuan kewangan.
Jadi itulah perkara yang kita perlu ketengahkan dalam ayat iklan yang kita hasilkan.
Ataupun buku atau panduan mengenai pelaburan.
Mereka beli sebab mereka nak tahu rahsia, teknik atau kemahiran untuk meningkatkan keuntungan setiap kali mereka masuk dalam pasaran untuk berdagang.
Maka dekat sini, mungkin boleh tunjukkan apakah pengalaman yang bakal dirasai setelah menjadi pengguna. Misalnya, kejayaan hasilkan pendapatan berpunca dari menggunakan ilmu yang dipelajari dari panduan tersebut.
iii. Tonjolkan kepakaran Anda
Produk dalam kategori seperti ini akan menerima tempiasnya jika anda adalah seorang yang dikenali dan mempunyai kredibiliti dalam bidang yang berkaitan.
Anda nak jual banyak buku-buku dalam topik kewangan dan pelaburan?
Anda perlu dilihat ada kepakaran dalam bidang tersebut.
Bagaimana nak dilihat pakar?
Kena banyak buat perkongsian berkaitan dengan topik.
Ya, anda juga perlu banyak membaca dalam topik tersebut.
Contoh ayat promosi untuk buku dan produk digital
📚 “Nak belajar buat duit dari rumah? Ebook ini bantu anda jana pendapatan hanya dari smartphone! Balas chat ini untuk tawaran eksklusif!”
Facebook:
“Saya nak dedahkan Rahsia Bagaimana Saya Jana RM5,000 Sebulan dari rumah!
Bayangkan kalau selepas anda ketahui rahsia ini, anda pun akan mula hasilkan pendapatan yang sama macam saya.
Semua orang boleh lakukannya. Lihatlah buktinya dibawah.
Saya akan terangkan langkah demi langkah cara untuk hasilkan income sama seperti saya.
Pssssttt… Kalau rajin boleh dapat lebih banyak dari ini. Nak buat RM20,000 pun boleh.
Ebook eksklusif ini akan ajar anda langkah demi langkah.
PM saya untuk Grab harga promosi sekarang!”
Blog
Tajuk: Panduan lengkap untuk mula jana pendapatan pasif dari rumah.
Pendahuluan:
i. Terangkan konsep Pendapatan Pasif dan kenapa ia penting untuk semua
ii. Jelaskan bagaimana perkembangan teknologi mampu untuk memudahkan proses menghasilkan pendapatan pasif
iii. Berikan gambaran apa yang bakal dipelajari dari artikel
Isi 1 : Jana pendapatan melalui Aset Digital
i. Jelaskan bagaimana menjual produk digital seperti e-buku, kursus online, atau template dapat menghasilkan pendapatan pasif.
ii. Berikan contoh platform yang dapat digunakan untuk menjual produk digital.
iii. Berikan tips cara mencipta produk digital yang berkualiti dan menarik.
Isi 2 : Pelaburan
i. Terangkan bagaimana pelaburan dalam instrumen kewangan boleh memberikan pendapatan pasif
ii. Kepentingan membuat pelaburan untuk jangka masa panjang
iii. Berikan beberapa contoh platform untuk mula melabur
Isi 3 : Pendapatan Pasif melalui Pendapatan Online
i. Terangkan peranan platform seperti blog, Youtube, dan media sosial dalam menghasilkan pendapatan diinternet.
ii. Teknik mendapatkan trafik dan membangunkan platform
iii. Tips hasilkan konten yang berkualiti dan disukai oleh audiens
Kesimpulan:
i. Ringkaskan poin-poin utama yang telah dibahas.
ii. Tekankan bahawa menghasilkan pendapatan pasif memerlukan masa, usaha dan komitmen. Namun apabila ia sudah membuahkan hasil, ia akan terus menerus memberikan pendapatan secara pasif
(5) Bisnes Tempat Penginapan
Seterusnya kita bincangkan pula kaedah untuk menghasilkan ayat promosi untuk bisnes penginapan.
i. Fokus kepada pengalaman unik
Memandangkan tempat penginapan ini, ada yang terletak berdekatan dengan kawasan peranginan, ada yang terletak berdekatan dengan pusat bandar dan sebagainya, jadi kita boleh fokus kepada keunikkan dari segi pengalaman yang bakal dilalui oleh pelanggan.
Maklumlah, setiap unit kediaman pastinya berbeza antara satu sama lain.
ii. Highlight kemudahan dan keselesaan
Terangkan kemudahan yang disediakan, sebagai contoh
a. Homestay lengkap dengan 4 buah bilik tidur dan 3 bilik air.
b. Bilik yang selesa lengkap dengan perabot dan penyaman udara
c. Kemudahan dapur memasak, mesin basuh, dryer dan sebagainya
d. Kolam renang
Ciri-ciri ini sangat berguna dalam menarik perhatian pelanggan yang memang mencari tempat penginapan yang serba serbi lengkap.
Biasanya kalau tempat penginapan dikawasan kediaman jenis kondominium, akan ada kemudahan tambahan seperti gymnasium, taman permainan, tempat riadah dan banyak lagi.
iii. Gunakan visual yang menarik dan berkualiti tinggi
Sediakan gambar-gambar dan video berkaitan dengan homestay anda.
Visual yang menarik adalah sangat penting, untuk meyakinkan bakal pelanggan bahawa perkhidmatan yang anda tawarkan memang betul-betul selesa.
iv. Tonjolkan lokasi yang strategik
Jika tempat penginapan anda terletak di lokasi yang strategik, seperti berdekatan dengan tempat pelancongan atau pusat bandar, pastikan anda menyebutnya dalam iklan.
Ini membantu menarik perhatian pelanggan yang mencari penginapan yang berdekatan dengan lokasi tertentu.
Contoh ayat promosi untuk Bisnes Tempat Penginapan
WhatsApp:
“Pakej Honeymoon Romantik di Homestay Kasih Kekasih! Nikmati makan malam tepi pantai & spa eksklusif. Tempah sekarang & dapatkan diskaun tambahan!
Hubungi kami.
“Penginapan yang sangat selesa & perkhidmatan terbaik!”
Itu komen kebanyakkan pengunjung yang pernah menginap di homestay milik kami.
Selain mengendalikan perniagaan homestay, kami juga adalah seorang traveler seperti anda. Jadi, kami gunakan sebaiknya pengalaman yang kami lalui sepanjang kami menjelajah ke serata benua.
Mana yang baik tu, kami aplikasikan pada perkhidmatan homestay kami.
Kami menyediakan homestay 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Lengkap dengan kemudahan.
Blog:
Tajuk: Penginapan terbaik di Kota Bharu (atau lain-lain lokasi)
Pendahuluan
i. Masalah umum dihadapi apabila cari tempat menginap
ii. Adakah dari segi harga? Kemudahan? Kelengkapan?
iii. Cadangkan tempat anda sebagai solusi
iv. Terangkan apa rasionalnya cadangan anda
Isi 1: Kepakaran dan Pengalaman
i. Kongsikan mengenai kepakaran dan pengalaman anda uruskan perkhidmatan.
ii. Kongsikan beberapa gambar tetamu sebelum ini.
iii. Nyatakan juga kursus, program latihan yang pernah anda ikuti
Isi 2: Jaminan kualiti perkhidmatan
i. Nyatakan komitmen anda untuk berikan perkhidmatan terbaik
ii. Jaminan anda kepada tetamu
Isi 3: Manfaat dan Nilai Tambah
i. Kelebihan menginap di tempat kediaman yang anda tawarkan
ii. Gambar-gambar berkaitan
iii. Keistimewaan yang hanya ada pada tempat anda
Kesimpulan:
i. Ringkaskan apa yang tetamu bakal perolehi
ii. Nyatakan bahawa anda tak sabar menerima audiens sebagai tetamu anda
iii. Berikan juga kupon diskaun untuk pembaca bertuah
Kesilapan Lazim dalam Menulis Ayat Promosi
Macam biasa, kita dah bincangkan beberapa teknik dan tips untuk menghasilkan ayat promosi untuk beberapa jenis produk.
Kadang-kadang, ayat promosi yang kita hasilkan itu, tak berjaya hasilkan jualan bukannya sebab ayat tu tak cukup power, tapi sebab ada kesilapan kecil (atau besar) yang kita masih lakukan.
Jadi, kita cuba untuk kurangkan atau elakkan daripada melakukan kesilapan ini.
Apa dia kesilapan tu?
(1) Ayat terlalu umum
Kesilapan yang macam ni pun ada orang buat.
Dia buat posting, bercerita macam-macam perkara dalam satu posting. Tapi penceritaannya terlalu umum, dan tidak menyentuh tentang produk yang dipromosikan secara spesifik.
Kalau cuma sebut,
i. Produk ni bagus
ii. Rasanya memang padu… surrrr
iii. Padu padu padu
iv. Memang terbaik, tak ada lagi produk yang terbaik macam produk ni
Walaupun ayat tu betul, tapi ia kurang membantu dan tidak memberi impak positif terhadap ayat promosi yang dihasilkan.
(2) Penulisan tanpa format
Kita dah bincangkan tentang format copywriting iaitu AIDA dan PAS sebelum ini.
AIDA dan PAS ini adalah format penulisan ayat promosi yang biasa digunakan oleh mana-mana usahawan ataupun copywriter.
Kalau anda menggunakan format ini, saya percaya ayat promosi yang anda hasilkan akan nampak lebih kemas, teratur dan berstruktur, berbanding anda tulis mengikut sedap rasa anda sahaja.
Sebenarnya ada beberapa lagi format yang anda boleh gunakan, kalau anda nak cuba format yang sedikit berbeza.
i. Before-After-Bridge (BAB)
Merujuk kepada teknik Sebelum – Selepas – Produk/Perkhidmatan sebagai Penghubung.
Teknik ini akan menceritakan tentang perubahan atau transformasi yang dialami oleh pengguna apabila mula menggunakan produk yang dipromosikan.
Tanpa produk tersebut, perubahan yang begitu ketara itu tidak mungkin akan dapat dirasai.
ii. Features Advantages Benefits (FAB)
Ringkasannya ialah FAB.
Teknik ini akan menerangkan sesuatu produk dari perspektif
a. Features atau ciri-ciri produk.
b. Advantages atau merujuk kepada kelebihan-kelebihan yang ada pada produk.
c. Benefits atau manfaat yang bakal dinikmati oleh pengguna sebaik sahaja mereka mula menggunakan produk tersebut.
iii. Situation Task Action Result (STAR)
Teknik ini juga dikenali sebagai teknik STAR.
Teknik ini sesuai digunakan dalam penulisan testimoni atau kajian kes untuk menceritakan kisah kejayaan pelanggan.
Ia bermula dengan menggambarkan situasi awal yang dihadapi oleh penggan.
Kemudian, kita akan ceritakan apakah tugas yang perlu dilakukan oleh pelanggan dalam situasi tersebut.
Seterusnya, kita ceritakan bagaimana tindakan yang diambil dengan menggunakan produk atau perkhidmatan kita dapat beri hasil yang sangat baik kepada mereka.
iv. Teknik Menjawab Soalan
Teknik ini mudah sahaja.
Kita kumpulkan apakah senarai soalan lazim yang sering ditanyakan oleh bakal pelanggan.
Seterusnya, kita hasilkan posting yang menjawab persoalan tersebut.
Satu posting hanya menjawab satu persoalan.
Elakkan daripada menjawab lebih dari satu soalan dalam satu post.
v. Panjang ayat tak sesuai mengikut platform
Ada orang dia jenis yang suka ambil jalan mudah.
Dia nak cepat.
Oleh sebab itu, dia hanya menyediakan satu ayat promosi sahaja.
Kemudian dia copy paste ayat yang sama ke platform yang berbeza.
Boleh jadi dia tulis ayat yang agak panjang untuk diterbitkan di laman blog.
Kemudian, ayat promosi yang sama ini dia copy dan paste di whatsapp, media sosial dan sebagainya.
Mungkin dia fikir, ada orang nak baca posting yang panjang-panjang tu.
vi. Tiada Call to Action (CTA)
Ayat call to action peranannya adalah untuk mendorong audiens kita bertindak seperti mana yang kita harapkan.
Bergantung kepada jenis promosi yang anda jalankan. Anda mungkin mahukan bakal pelanggan anda untuk
a. Meninggalkan komen pada posting anda
b. Menghubungi anda melalui whatsapp
c. Melayari laman web
d. Terus membuat tempahan menerusi akaun tertentu
vii. Tidak menyentuh emosi pelanggan
Cuba usahakan dengan sebaik mungkin untuk hasilkan ayat promosi yang menyentuh emosi bakal pelanggan.
Pelanggan ini, buat keputusan pembelian berdasarkan kepada emosi, kemudian barulah mereka akan justify keputusan tersebut berdasarkan kepada fakta.
viii. Tiada siapa yang baca ayat promosi anda
Anda perlukan trafik.
Atau audiens.
Walau sehebat mana ayat promosi yang anda hasilkan, jika anda tidak mempunyai trafik atau audiens yang akan membaca ayat tersebut, maka ayat promosi tersebut tetap tidak akan menghasilkan jualan.
Oleh yang demikian, setelah anda bersusah payah menghasilkan ayat promosi, jangan lupa untuk cuba dapatkan trafik.
Tak kiralah sama ada anda gunakan teknik berbayar, ataupun teknik yang percuma sahaja.
Pastikan anda sentiasa menarik trafik untuk membaca ayat promosi anda.
ix. Hanya menyediakan satu ayat promosi sahaja
Masalah dengan hanya ada satu ayat promosi ini ialah, kita tak boleh nak buat perbandingan, ayat yang mana satu yang paling berkesan dalam menghasilkan jualan.
Kalau kita ada dua atau tiga set ayat promosi, kita boleh lakukan split test bagi mengetahui ayat yang mana satu yang paling disukai oleh audiens kita.
Bagaimana kalau satu-satunya ayat promosi yang kita ada tu, adalah ayat yang paling dibenci oleh audiens?
Sudah tentu ayat tersebut tidak akan menyumbang kepada jualan.
Kemudian kita akan menyangka, produk atau perkhidmatan kita yang bermasalah.
Ianya ditolak secara total oleh pelanggan.
Tapi sebenarnya bukan begitu.
Apa yang pelanggan tak suka adalah ayat promosi yang kita gunakan. Itu sahaja.
Kalau kita lakukan sedikit perubahan atau mungkin penambahbaikkan, ayat promosi yang baru itu mungkin lebih perform berbanding yang sebelum ini.
Justeru, bila kita nak buat ayat promosi ini, jangan cepat puas hati dengan satu ayat semata-mata.
Sebaik-baiknya, buatlah seberapa banyak yang boleh.
Kadang kita pun tak tahu, dari banyak-banyak tu mana satu yang convert kepada sales.
Kesimpulan
Saya harapkan dengan adanya panduan ini, anda boleh menghasilkan ayat promosi yang bukan sahaja menarik tetapi juga mampu meningkatkan jualan!
Ingat, setiap platform memerlukan pendekatan berbeza untuk menarik perhatian audiens yang betul.
Jika anda merasakan penerangan dan juga contoh-contoh yang saya berikan ini bermanfaat untuk anda, saya harap anda dapat praktikkan dan kongsikan juga posting ini kepada kenalan anda.
Mudah-mudahan selepas ini, anda akan dapat rasai perbezaan dan peningkatan yang ketara dalam jualan anda!
Seperti biasa, kalau anda ada sebarang cadangan, pandangan atau pertanyaan, boleh tinggalkan dibahagian komen.
Leave a Reply