Panduan Bisnes Homestay bagi orang yang baru nak bermula

by sabree hussin on July 20, 2018

in Idea Bisnes

Apakah sebenarnya terdapat rahsia kejayaan dalam menjalankan bisnes homestay di Malaysia? Jika benar ada rahsia, apakah agaknya rahsia kejayaan tersebut?

 

Kenapa ada pengusaha bisnes homestay, yang berjaya dapat tempahan penuh setiap bulan, dan pada masa yang sama, ada pengusaha yang cukup sukar untuk dapatkan penyewa, walaupun hanya untuk satu malam dalam sebulan.

iklan-terbaik-pernah-dihasilkan

Bagi orang yang dah lama menjalankan bisnes homestay, mungkin mereka akan dapati apa yang saya kongsikan dalam ini, adalah common sense sahaja. Itu sebabnya, saya nak tulis artikel ini, dan tujukan ia kepada mereka yang baru nak bermula. Kalau yang dah PAKAR tu, nak baca juga pun boleh, cuma jangan menyesal kalau apa yang saya share dalam ni cuma biasa-biasa je ya.

 

Orang yang baru nak mulakan perniagaan homestay, mungkin terdapat beberapa perkara yang mereka akan terlepas pandang. Maklumlah, bisnes homestay di Malaysia ini biasanya dikendalikan oleh orang perseorangan.

 

Dia yang kena fikir tentang macam mana nak dapatkan tetamu.

Dia kena fikir bab pemasaran.

Dia kena fikir tentang keselesaan.

Dia kena fikir aspek kewangan.

 

Bila semua tanggungjawab terletak pada bahu satu orang sahaja, maka tak hairan kalau ada perkara yang terlepas pandang. Bukannya tak tahu, tapi tak perasan.

 

Apa kata anda luangkan sedikit masa untuk baca perkongsian saya mengenai bisnes homestay ini. Artikel ini saya tulis berdasarkan pengalaman saya menginap di beberapa homestay di Malaysia dan sedikit sebanyak saya kongsikan juga beberapa input yang saya perolehi hasil daripada temubual yang saya lakukan terhadap beberapa pemilik homestay, yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini.

 

Anda tak perlu susah payah nak interview pemilik homestay lain, seperti yang pernah saya lakukan. Anda hanya perlu luangkan masa tak sampai lima minit dah cukup, dan cuba hadam apa yang saya kongsikan dalam posting ini.

 

Mana yang anda rasa berguna, sila ambil dan amalkan. Mana yang tak bagus atau anda tak setuju, ketahuilah bahawa saya juga ada kelemahan dan pandangan tersebut mungkin lahir daripada kelemahan yang ada pada diri saya sendiri.

 

Tanpa membuang lebih banyak masa (untuk menaip), jadi saya akan terus kepada beberapa perkara yang saya ingin kongsikan bagi memastikan kejayaan anda menjalankan bisnes homestay yang berjaya di Malaysia.

 

 

(1) Pemilihan lokasi homestay yang sesuai

Seperti kebanyakkan perniagaan yang ada di negara kita, faktor pemilihan lokasi adalah faktor yang SANGAT PENTING. Kita mahukan pelanggan kita keluar dari zon selesa mereka dan luangkan masa mereka untuk datang ke tempat kita.

 

Bukan senang nak buat orang lain keluar dari zon selesa mereka… melainkan kita boleh tawarkan satu zon yang lebih selesa, atau sekurang-kurangnya setara dengan zon selesa mereka.

Orang yang biasanya tinggal dalam banglo, agak susah untuk kita yakinkan mereka untuk tinggal dalam homestay yang kita bina dari rumah jenis apartment.

Orang yang memang tinggal di apartment, tak ada masalah untuk kita jemput mereka tinggal di homestay dari rumah kediaman jenis kondo.

 

Homestay kita WAJIB berada di kawasan yang STRATEGIK. Lokasi tersebut merupakan kawasan tumpuan orang ramai, sama ada tempat itu mesti akan dikunjungi oleh ramai orang setiap minggu atau setiap kali musim cuti, atau setidak-tidaknya setiap kali berlaku peristiwa tertentu.

 

(2) Reputasi yang boleh dimanfaatkan

Topik mengenai reputasi ini adalah sambungan bagi poin sebelum ini. Apakah reputasi tempat tersebut yang anda boleh manfaatkan? Saya bagi contoh ya.

 

(i) Kawasan tarikan pelancongan

Jika kawasan tertentu memang terkenal dengan aktiviti pelancongan, maka ini adalah satu sebab yang cukup kukuh untuk jalankan bisnes homestay disitu.

ladang-teh-boh-sungei-palas

Contohnya macam di Cameron Highland, kalau hujung minggu atau masa cuti, memang penuh sesak dengan pengunjung.

 

(ii) Kawasan tumpuan perniagaan

Adakah dikawasan anda ada tempat shopping yang popular? Kalau ada, maka orang boleh datang untuk shopping dari pagi sampai malam, menginap di homestay anda satu malam dan balik keesokkan harinya. Tak perlulah nak tergesa-gesa bila membeli-belah.

Ataupun mungkin kawasan anda terdapat syarikat-syarikat besar beroperasi disekitarnya. Orang dari luar yang datang untuk mesyuarat, atau urusan rasmi, boleh dijadikan sasaran untuk menjadi pelanggan anda.

 

(iii) Kawasan institusi pendidikan

Sesuai untuk kawasan yang berdekatan dengan tempat belajar, seperti ada universiti, kolej, sekolah berasrama dan sebagainya. Ibu bapa yang tinggal berjauhan dengan anak-anak, boleh datang dan menginap di homestay anda.

 

(3) Jelas dengan sasaran pelanggan atau target market

Anda nak buat bisnes homestay ni, anda sebenarnya dah buat kajian ke? Siapa sebenarnya pelanggan sasaran yang anda mahukan? 

 

Apabila anda dah jelas dengan “siapa pelanggan yang anda target” maka setiap keputusan yang akan anda buat dimasa akan datang, pastinya akan berkait rapat dengan persoalan ini.

 

Bagi kelangsungan perniagaan, sudah tentu anda tak boleh hanya mensasarkan pelanggan yang ada disekeliling anda sahaja. Anda perlu luaskan lagi capaian pelanggan anda. Kalau sebelum ini, anda hanya bergantung kepada penggunaan kain rentang, fliers, dan papan tanda semata, maka untuk masa yang akan datang, anda perlu usaha lebih lagi.

 

Pemasaran kategori offline ini, hanya akan dapat dilihat oleh mereka yang berada disekitar anda sahaja. Untuk dapatkan lebih ramai pelanggan, sudah tentu anda perlu lakukan pemasaran secara online.

 

Gunakan media sosial. Gunakan laman web, blog dan sebagainya, untuk mendapatkan pelanggan yang ingin menginap di homestay milik anda.

Bagi segmen media sosial, yang popular adalah seperti Facebook, Instagram dan twitter.

Wujudkan akaun khas untuk tujuan promosi bisnes homestay anda.


Bina laman web untuk perniagaan homestay anda

Jika masih belum ada modal untuk buat laman web yang profesional, boleh mulakan dengan yang percuma menggunakan servis dari blogger.com dan juga wordpress.com


Buat blog khusus untuk promosikan bisnes homestay anda

Anda boleh bina blog percuma juga menggunakan servis dari blogger.com dan juga wordpress.com. Sekiranya anda bimbang tak ada masa untuk selalu kemaskini blog anda, anda boleh minta bantuan blogger yang memang aktif menulis untuk bantu promosikan bisnes homestay anda.

Jika anda mahu, saya juga boleh bantu promosikan bisnes homestay anda di blog milik saya.

 

 

(4) Hiasan dalaman dan konsep homestay

Apabila terdapat terlalu banyak pilihan homestay mahupun tempat penginapan dikawasan tertentu, bagaimana agaknya cara bakal pelanggan buat keputusan?

Saya nak ambil contoh tempat penginapan di Port Dickson. Screenshot tersebut saya ambil dari laman web Airbnb. Pada waktu screenshot tersebut diambil, terdapat lebih 800++ pilihan tempat penginapan yang boleh disewa oleh pengunjung.

 

Kalau saya, sebagai pengunjung, bila ada terlalu banyak pilihan, saya akan pilih homestay atau tempat penginapan yang paling cantik dan unik. Bukan setakat yang biasa-biasa, atau yang pada pengamatan saya, lebih kurang sama macam hiasan dalaman dan susun atur dirumah saya sendiri.

 

Kalau hiasan dalaman dan susun atur dia cantik, saya akan pilih tempat tu. Sudah tentu, homestay yang ada hiasan dalaman yang cantik, harganya juga akan lebih mahal. Jika ia berbaloi, saya tak ada masalah untuk bayar lebih (melainkan kalau waktu tu saya memang tengah tak ada duit ha3)

 

(5) Hiasan luaran menampilkan keunikkan homestay

Faktor luaran juga penting, bagi memastikan homestay anda menjadi pilihan pengunjung.

DKEBUN-najibah-chalet

Gambar ini saya ambil semasa menginap di D’Kebun Najibah Chalet & Homestay. Pemilik tempat ini, menjalankan bisnes chalet dan juga homestay dikawasan yang sama.

 

Dekat kawasan sekitar halaman, ada ditanam pokok-pokok buah dan sayur-sayuran. Kalau kebetulan waktu tu, pokok dah berbuah, pengunjung boleh petik dan makan tanpa perlu minta izin dari tuan rumah. Semua itu memang disediakan untuk tetamu yang menginap disini.

 

Ini satu keunikkan yang agak sukar ditemui di lain-lain homestay. Ada juga homestay yang dibina di kawasan dusun. Kalau tiba musim buah, tetamu akan dijamu buah-buahan yang ada dalam dusun tersebut. Kalau setakat nak makan, boleh makan tanpa perlu bayar apa-apa. Tapi kalau nak bawa balik, kenalah beli dari tuan rumah.

 

(6) Susun atur perabot dan perkakasan dalam kediaman

Kebelakangan ini, saya lebih suka kalau dapat menginap di homestay yang menyediakan tiga buah bilik berbanding homestay yang cuma ada dua buah bilik. Kalau homestay tu ada tiga buah bilik, bermakna saya boleh ajak lebih ramai orang untuk ikut saya pergi bercuti.

 

Dari segi susun atur perabot pula, saya suka lihat bagaimana cara tuan rumah menyusun katil bagi kegunaan para tetamu yang bermalam dirumahnya.

cara-bisnes-homestay

Saya lebih cenderung untuk pilih homestay yang menyediakan tiga buah katil besar dalam setiap bilik, berbanding katil jenis single atau double decker. Sebelum ini memang biasa ambil homestay yang sediakan dua buah katil single, namun bila kita dah check in, orang yang akan guna bilik tu tetap akan rapatkan katil.

 

Saya berpendapat, kalau nak sediakan dua katil single, cuba cari yang senang untuk kita rapatkan, dan bila kita dah rapatkan, ia jadi rata dan elok. Kesannya lebih kurang sama macam sediakan sebuah katil besar dalam bilik tersebut.

 

 

(7) Kelengkapan yang disediakan untuk tetamu yang menginap

Setiap kali saya bawa keluarga pergi bercuti dan menginap di homestay, inilah dia soalan yang akan ditanyakan oleh emak saya.

  1. Ada kuali tak? Periuk? Besar mana?
  2. Barang-barang untuk masak ada disediakan?

 

Saya pernah tulis artikel khas tentang kelengkapan dalam homestay sebelum ini. Jemput baca disitu. Saya ada kongsikan antara cadangan kelengkapan yang anda boleh sediakan untuk homestay anda.

Baca disini: Senarai barang kelengkapan untuk Bisnes Homestay anda jadi lebih laris

 

Macam keluarga saya sendiri, kami suka pilih homestay sebab boleh sediakan makanan sendiri. Senang nak basuh baju, ruang lebih luas dan sebagainya. Apalah gunanya sewa homestay, kalau dari segi kelengkapan dalam rumah, banyak yang tak cukup.

 

Kalau macam tu, lebih baik kami sewa hotel sahaja. Sudah tentu hotel ini, cuma sesuai untuk kita jadikan tempat untuk bermalam sahaja. Saya harap, anda dapat sediakan kelengkapan yang secukupnya untuk homestay anda nanti.

 

(8) Homestay anda “work friendly“?

Istilah work friendly mula menarik perhatian saya, apabila laman web Airbnb mengelaskan homestay yang tersenarai dilaman web mereka sebagai work friendly ataupun tidak.

 

Biasanya, homestay yang work friendly ini

  1. Ada sediakan wifi
  2. Ada meja dan kerusi yang sesuai untuk buat kerja
  3. Aircond diruang tamu dan setiap bilik

 

Sekiranya homestay anda work friendly, anda boleh sasarkan tetamu yang pergi ke sesuatu tempat atas urusan rasmi dan urusan kerja.

 

(9) Homestay anda sesuai untuk acara dan sambutan tertentu

Siapa kata homestay hanya untuk tempat orang menginap dan tidur sahaja? Sebenarnya TAK! Fungsinya lebih besar dari itu, jika anda tahu bagaimana caranya.

 

Semasa saya pergi majlis kenduri kahwin di Kelantan, pihak keluarga pengantin sewa homestay dan buat majlis di homestay tersebut. Boleh jadi rumah sendiri tak berapa sesuai untuk terima tetamu, jadi dia buat majlis tu di homestay.

 

Biasa yang saya lihat, orang sewa homestay semasa majlis kahwin sebab nak bagi saudara mara yang datang dari jauh untuk duduk disitu, tapi kali ini, sewa homestay sebab nak buat majlis dekat situ.

 

Baru-baru ini, saya diberitahu oleh pemilik homestay di Wangsa Maju ini, yang homestay miliknya disewa oleh syarikat produksi bagi tujuan penggambaran drama. 

 

Sebenarnya, kalau nak perhalusi lagi, mungkin macam-macam idea boleh keluar. Sambutan hari lahir, majlis doa selamat, dan sebagainya. Tonjolkan keunikkan homestay anda, bukan semata-mata untuk dijadikan tempat tidur sahaja, sebaliknya ia juga sesuai untuk diadakan pelbagai acara.

 

Cuma kalau nak buat acara tertentu tu, kenalah letak harga yang berbeza. Bila buat majlis, homestay anda akan terdedah kepada risiko seperti barang rosak, hilang, dialihkan, lebih kotor dan sebagainya. Caj tambahan ini adalah bagi menampung kos-kos tersebut.

 

 

(10) Proses dan prosedur untuk daftar masuk (check in)

Kebanyakkan tempat penginapan yang pernah saya kunjungi menetapkan masa untuk daftar masuk adalah sekitar jam 1.00 tengahari ke 4.00 petang.

 

Saya tak berapa suka dengan tempat yang meletakkan waktu check in pada jam 4.00 petang, kalau standard check out masih tetap jam 12.00 tengahari. Terasa rugi.

 

Walaupun dah tahu, waktu untuk check in adalah pada sekian sekian waktu, selalunya saya akan cuba minta izin kepada tuan rumah untuk masuk rumah lebih awal. Ada yang bagi, ada yang tak bagi.

 

Kalau yang tak bagi ni, biasanya disebabkan rumah tu masih ada tetamu dari hari sebelumnya, dan belum bersedia untuk terima tetamu yang baru. Tuan rumah perlukan masa untuk kerja-kerja pembersihan dan proses menukar cadar serta sarung bantal.

 

Ada juga setengah tempat, yang tak boleh bagi masuk awal sebab tuan rumah tak free untuk serahkan kunci rumah kepada tetamu yang nak masuk. Rumah tu memang tak ada orang, tapi disebabkan tak ada sesiapa yang boleh sambut tetamu masuk dan serah kunci, maka tuan rumah tak boleh benarkan masuk lebih awal.

 

Penyelesaian dia sebenarnya tak begitu susah. Gunakan proses “self check in”.

 

Tetamu yang nak masuk awal, boleh ambil kunci dekat mana-mana lokasi yang selamat. Misalnya ambil di pejabat pengurusan, ambil di pondok pengawal dan sebagainya.

Ataupun cara yang lebih bagus lagi ialah gunakan mangga kunci bernombor. Setiap kali dapat tetamu, tukar nombor kunci tersebut. Dengan ini, tetamu boleh check in pada bila-bila masa tanpa perlu ganggu tuan rumah.

 

Begitu juga bila tetamu nak check out pada hari seterusnya. Boleh kunci sahaja rumah dan tinggalkan ia. Guna cara self check in ini, tetamu tak perlu jumpa dengan tuan rumah pun tak ada masalah.

 

(11) Faktor barisan hadapan dan penyambut tetamu

Siapakah yang akan jadi “first responder” atau “front liner” yang akan menyambut tetamu anda nanti?

 

Saya bukan sekadar maksudkan orang yang akan sambut tetamu pada hari ketibaan, tetapi bermula dari hari pertama tetamu menghubungi anda untuk bertanya tentang homestay anda tu nanti.

 

Benda ni sangat PENTING. Kali pertama bakal pelanggan hubungi anda, sama ada melalui whatsapp, FB messaging, dan sebarang medium komunikasi, apakah dia kata-kata aluan yang digunakan bagi menghargai bakal pelanggan tersebut?

 

Saya bagi contoh

Tetamu: Salam, saya nak tanya pasal homestay

Tuan rumah: Wasalam, terima kasih kerana berminat dengan Homestay Memori Terindah kami. Nama saya Sabree, dan saya adalah pengurus tempat ini. Silakan tanya apa-apa soalan tentang homestay ini.

 

Itu contoh sahaja. Apa yang penting, bila orang tanya, balas dengan cepat dan mesra. Orang yang bertanggungjawab untuk memberi respon kepada setiap pertanyaan perlu menunjukkan yang dia benar-benar seronok untuk menerima tetamu dan balas setiap mesej yang diterima secepat mungkin. Mungkin boleh buat SOP, setiap mesej perlu dibalas dalam masa kurang 1 minit.

 

Pelanggan ini, ada ketikanya dia ingin rasa seperti dihargai. Barulah dia seronok untuk berurusan dengan penjual tersebut.

 

Kalau waktu permulaan komunikasi,

  1. Respon terlalu lambat (bagi saya setengah jam itu juga dah kira lambat sangat)
  2. Balasan kurang mesra dan ayat pendek-pendek
  3. Acuh tak acuh bila jawab pertanyaan

 

Tiga perkara ini dah cukup untuk buatkan saya kurang selesa dan kurang yakin untuk menginap di tempat tersebut. Bimbanglah nanti lepas kita dah bayar, bila dah sampai hari nak pergi bercuti, tuan rumah buat hal dan kita susah nak hubungi dia semula.

 

Acuh tak acuh bila jawab pertanyaan tu macam mana? Bila kita tanya sesuatu, dia suka bagi kita link untuk baca. Dia suruh kita baca website, baca iklan, copy paste iklan sebelum ini. Entah apa-apa. Anda letakkan diri anda dalam situasi bakal penyewa.

 

Tetamu: Kat rumah ni ada disediakan barang dapur apa ya?

Anda: (Copy paste ayat iklan sebelum ini…)

Anda mencari homestay di sekitar Kota Kinabalu? Syarikat kami ada menyediakan homestay yang selesa, berdekatan dengan tempat makan dan lokasi yang strategik. Selain itu bla bla bla bla….

 

Ini pemalas tahap apa entah.

pengusaha-bisnes-homestay-berjaya

 

(12) Adakah anda benar-benar bersedia nak buat bisnes ni?

Kenapa anda nak buat bisnes homestay?

 

Jawapannya ada pelbagai. Saya tanya soalan yang sama kepada pengusaha bisnes homestay yang berbeza, jawapan yang saya terima juga berlainan. Ini antara jawapan yang saya pernah terima.

  1. Rumah ni dah lama kosong, daripada tak buat apa-apa, lebih baik sewakan. Dapatlah juga income dari situ.
  2. Saya nak buat investment, supaya ada cash flow yang cantik.
  3. Saya biasa travel, dalam dan luar negara, jadi bila sampai satu tahap, saya jadi minat nak ceburi bidang yang sama (hospitality) dan nak berikan sesuatu pengalaman yang menarik kepada tetamu.
  4. Saya sayang nak jadikan rumah ni rumah sewa, sebab dah keluar duit banyak untuk cantikkan rumah ni, jadi saya buat homestay.
  5. Saya nak buat duit.

 

Dari apa yang saya perhatikan, kalau pemilik homestay tu, adalah orang yang biasa travel, suka melihat tempat orang, dia akan pastikan homestay miliknya mempunyai standard yang tinggi.

  1. Homestay dengan konsep tertentu.
  2. Pemilihan perabot yang berkualiti dan moden.
  3. Peralatan dan perkakas dalam rumah yang terbaik.

 

Dia memang serius dengan bisnes dia. Boleh jadi dia pegang kepada falsafah “treat others as you want to be treated”.

 

Bila kita nak sewa tempat orang, sudah tentu kita nak segala kemudahan yang disediakan untuk kita berada dalam keadaan paling sempurna. Kemudian bila kita buat bisnes yang sama, kita juga akan sediakan perkhidmatan yang terbaik juga. Bukan sebaliknya.

 

(13) Aktiviti pemasaran, promosi dan pengiklanan yang berterusan

Pemasaran, promosi dan pengiklanan. Ini adalah perkara yang perlu dilakukan secara berterusan. Saya andaikan yang homestay anda dah cukup sempurna dan bersedia untuk menerima tetamu pada bila-bila masa.

 

Namun, tetamu yang diharapkan tetap tak kunjung tiba. Kenapa agaknya ya? Adakah mungkin disebabkan bakal tetamu anda tak nampak iklan tentang homestay anda?

 

Ini salah satu contoh iklan homestay berbayar melalui Google Adwords.

cara-tulis-iklan-homestay

Iklan ini pernah muncul di blog saya sebelum ini. Jadi nampak kat sini, usaha pemilik perniagaan ini untuk dapatkan pelanggan. Iklannya tak pernah berhenti. Malahan dengan menggunakan teknik pengiklanan berbayar seperti ini, kerja-kerja promosi dapat dilakukan secara automatik.

 

Mungkin kalau nak buat iklan secara manual setiap masa, ianya agak menyusahkan. Sebagai alternatif bolehlah gunakan pendekatan yang perlukan sedikit modal.

 

Untuk pengetahuan anda, saya juga ada hasilkan sebuah laman web yang khusus untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di Malaysia. Anda boleh ke sini untuk lihat laman web saya. Sekiranya anda mahu saya promosikan bisnes homestay anda di laman web tersebut, boleh hubungi saya dan In Shaa Allah kita boleh bincangkan apa yang saya boleh lakukan untuk bantu kembangkan lagi perniagaan anda.

 

Dekat luar sana, memang terdapat banyak lagi bahan bacaan yang anda boleh dapatkan dan baca, bagi memantapkan lagi ilmu pengurusan bisnes homestay. Ada yang dalam bentuk buku, dan ada juga yang didatangkan dalam bentuk ebook.

 

Kalau yang bentuk ebook, salah satunya adalah ebook berjudul Jutawan Homestay ini.

Ebook ini merupakan perkongsian pengalaman dari pemilik bisnes homestay juga. Kalau anda rasa ianya berguna kepada anda, boleh cuba dapatkan dan pelajari lebih banyak rahsia-rahsia kejayaan dalam menjalankan bisnes homestay ini.

 

Saya harap, dari perkongsian saya ini, ianya sedikit sebanyak dapat berikan anda sedikit input yang berguna. Terima kasih kerana anda sudi luangkan masa untuk baca perkongsian saya ini. Saya doakan semoga perniagaan homestay anda semakin berjaya!

 

 

Be Sociable, Share!

{ 2 comments… read them below or add one }

reezluv July 22, 2018 at 5:21 pm

aku tengok konsep homestay tu macam dah jauh menyimpang..asalnya inap desa untuk pelancong merasai pengalaman menginap di kawasan desa sambil menikmati suasana kampung..tapi sekarang..kat bandar besar pun ada banyak homestay..dah jd macam rumah hotel gitu..hehe

Reply

sabree hussin July 23, 2018 at 5:49 pm

Konsep homestay yang asal, melalui Program Homestay, lebih menjurus kepada pengunjung datang menginap di kampung-kampung dan tinggal bersama-sama dengan tuan rumah. Apa yang tuan rumah sajikan, dia akan makan, dan apa aktiviti yang dijalankan di kampung tersebut, pengunjung akan turut serta.

Rujuk:

https://www.sabreehussin.com/homestay-selangor-keunikan-dan-pengalaman-pengusaha/

Tapi sekarang ni, bila kita sebut homestay, orang kita lebih faham konsep Guest House.

Rujuk:

https://www.sabreehussin.com/konsep-program-homestay-sebenar-yang-selalu-disalahertikan/

Reply

Leave a Comment

{ 3 trackbacks }

Previous post:

Next post: