Bermula 25 Ogos 2018 sampai 2 September 2018 ini, dekat Putrajaya ada diadakan festival Royal Floria Putrajaya 2018. Festival pada tahun ini, bertemakan 10 Wonders of Floria.
Siapa yang masih belum ada kesempatan dan kelapangan nak kunjungi floria Putrajaya tu, bolehlah berbuat demikian sementara festival ini masih lagi dijalankan.
Semasa berada disitu, ada seorang lelaki datang kearah saya sambil ditangannya memegang beberapa naskhah buku. Lelaki itu datang kearah saya sambil tersenyum.
Apabila dah dekat dengan saya (waktu itu saya sedang berdiri satu tempat) dia menghulurkan sebuah buku kepada saya.
“Nah dik, ambil buku ini. Boleh baca. Bagus buku ini…”
Secara automatik, saya ambil buku tu. Tajuk depan dia tertulis 110 Do’a Mustajab. Bila buka muka surat pertama, saya nampak ada bahagian yang di cop dengan dakwat warna biru.
Al- XXXX
Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim/ Miskin
Program Jualan Amal RM15.00
Saya tertarik dengan ayat “program jualan amal tu”. Dekat situ telah ditetapkan satu nilai iaitu RM15.00
Pada masa ini, saya mula berbelah-bahagi. Saya keliru. Dia ni, nak bagi aku buku ni free atau nak suruh aku bayar RM15 untuk buku ni?
Buku tu bagus. Ianya tentang himpunan doa-doa yang kita boleh amalkan dalam kehidupan seharian. Saya juga ada beberapa buku yang lebih kurang sama macam tu.
Saya MALAS nak tanya lebih-lebih. Nanti kalau tanya pasal RM15.00 ni, dah nampak macam berminat nak beli pulak. Memandangkan saya agak kepenatan, saya pulangkan semula buku yang ada dalam tangan saya tu.
Bila saya pulangkan balik buku tu, lelaki tersebut terus mencapainya dan simpan semula buku tersebut bersama buku-buku lain yang ada bersamanya.
Teori saya, “kalau lelaki tu memang berniat nak bagi buku itu secara PERCUMA, dia tak akan ambil balik buku tu. Sebaliknya dia akan kata, simpanlah dik buku tu. Buku tu saya bagi untuk adik baca… tapi bukan itu yang berlaku.”
Mengikut kefahaman saya, buku tu saya kena bayar. Saya berpendapat, kalau saya nak buku tu, saya perlu bagi duit tak kurang dari RM15.00 seperti yang di cop pada muka surat pertama buku tersebut.
Apabila saya kata tak minat dengan buku tu, lelaki tersebut cuba minta sumbangan ikhlas dari saya…
“Boleh bagi sumbangan ikhlas tak adik, berapa-berapa pun tak kisah…”
Saya rasa waktu tu memang tak banyak duit tunai yang ada dalam poket. Saya dah guna duit yang ada untuk beli Big Patty Burger dan Janjangmyeon.
Saya plan, bila dah balik nanti, nak singgah dekat mana-mana stesen minyak untuk keluarkan duit. Saya tanya dekat lelaki tu.
“Ada nombor akaun bank tak? Kalau ada, bagi kat saya, nanti saya transfer terus ke bank…”
Saya tak berapa faham jawapan lelaki tu. Satu lagi, saya pun pelik, kenapa dia jawab macam ni…
“Tak ada la dik akaun bank. Dulu kita dah pernah buat akaun bank, tapi tak ada sambutan pun… jadi sekarang ni kita minta cash je…”
Akhirnya saya kata pada lelaki tu, tak apalah. Terima kasih je.
Saya rasa banyak betul keraguan tentang aktiviti lelaki tu. Apa kaitan minta nombor akaun bank dengan tiada sambutan? Satu lagi, saya cukup tak berkenan dengan cara dia minta sumbangan.
Mula-mula dia pura-pura nak bagi kita buku. Baru buka mukasurat pertama, tengok ada tulis “Program Jualan Amal RM15.00”
Walaupun saya kata buku tersebut adalah BAGUS, namun dari segi konten buku tu, ia boleh diperolehi dengan harga yang lebih murah. Malahan kalau rajin cari, himpunan doa-doa ni kita boleh dapat secara percuma di internet. Bayar RM15 untuk buku tersebut, pada saya tak padan.
Bila kita tak berminat dengan buku tu, dia terus cepat-cepat tukar pendekatan kepada minta sumbangan berapa-berapa nilai, asalkan ikhlas.
Saya bukan saja-saja minta nombor akaun. Ada beberapa sebab.
- Saya nak tahu, siapa nama pemilik pusat kebajikan itu, jika ia menggunakan akaun peribadi.
- Saya segan nak tunjuk berapa RM yang mampu saya sumbangkan. Kalau transfer online, at least cuma saya je yang tahu.
- Jika ini adalah satu cubaan untuk menipu, setidak-tidaknya saya berasa lebih aman sebab duit saya akan terus transfer ke akaun pusat kebajikan tersebut. Bukannya serah tangan yang mungkin boleh berlaku kecuaian sama ada sengaja atau tak sengaja.
Bila cakap bab penipuan ni, boleh juga berlaku satu keadaan dimana orang ni, cuma guna nama pusat kebajikan tertentu. Dia minta sumbangan kononnya untuk rumah kebajikan sekian sekian. Padahal duit itu, masuk ke poket sendiri, dan bukannya disalurkan kerumah kebajikan seperti yang diperkatakan.
Kejadian ini mengingatkan saya dengan situasi yang berlaku semasa saya berhenti singgah di R&R Sungai Buloh. Saya ada cerita dalam posting saya sebelum ini yang berjudul Kisah seorang wanita yang meminta sumbangan di R&R Sungai Buloh
Dia punya work flow, lebih kurang sama sahaja. Cuma produk yang nak dijual itu sahaja yang lain. Kalau sebelum ini, saya ditawarkan untuk beli apricot, tapi kali ini di Floria Putrajaya, saya ditawarkan buku himpunan doa.
Kenapa orang tak nak beri sumbangan?
Ada macam-macam sebab kenapa orang tak nak beri sumbangan. Itu hak pemberi sumbangan. Bila dia kata, “tak apa lah…” atau “terima kasih…” maknanya ada sebab lah tu kenapa dia tak nak bagi sumbangan.
Apa sebabnya? Tak perlulah nak tanya. Boleh jadi, dia sendiri perlukan wang lebih daripada yang diperlukan oleh si peminta sumbangan. Cuma bezanya, kawan ni dia tak meminta-minta, manakala dipihak yang satu lagi, dia meminta-minta.
Walaubagaimanapun, saya berpendapat, ianya berbalik kepada soal kepercayaan.
Kalau saya rasa saya tak percaya pada orang tersebut, jangan kata RM1, sepuluh sen pun saya tak nak bagi. Buatnya benda ni cuma sindiket, cuma penipuan, tak pasal-pasal saya dah tolong kayakan orang yang tak sepatutnya.
Kita bagi dengan niat nak buat sumbangan kepada pusat kebajikan. Orang lain yang bagi juga berfikiran yang sama. Tapi si peminta sumbangan rupanya ada perancangan lain.
Katakanlah dari aktiviti tersebut, dia berjaya mengumpul RM3 juta. Apa dia nak buat dengan RM3 juta tu? Kalau dia buat kegiatan jenayah yang lebih besar, macam mana?
Lebih selamat, kalau kita buat sumbangan kepada badan kebajikan, mahupun NGO yang diperakui SAH sahaja. Ataupun kalau nak sumbang, kita bagi sumbangan kepada individu yang memang kita kenal dan kita tahu dia susah.
Hakikatnya orang Malaysia ramai yang pemurah dan baik-baik
Kalau setakat nak sumbangkan RM1, RM10, RM50, RM100 dan sebagainya, ia tak akan menjadikan kita jatuh miskin dan papa kedana.
Malahan, dengan sumbangan yang kita buat, In Shaa Allah, akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik dan lebih tinggi nilainya.
Cubalah biasakan bersedekah, misalnya RM1 setiap hari sebagai permulaan dan anda lihat sendiri kesannya. Rezeki anda akan jadi lebih lancar dengan bersedekah.
Cuma bila nak bersedekah tu, sebaik-baiknya kita pilih juga, kepada siapa kita nak beri. Bukannya main beri tanpa usul periksa.
Posting ini saya tulis bukannya berniat untuk menghalang atau mempengaruhi pembaca agar jangan bersedekah. Ini cuma pandangan saya, dan saya ragu-ragu dengan mana-mana individu tak dikenali yang minta sumbangan dengan cara ini.
Kalau anda masih nak bersangka baik, teruskanlah. Itu hak anda.
wan says
sekarang ni banyak dah menggunakan taktik begini ni.. sama seperti ” orang lain yang sakit..orang lain pla yang mnta bantuan..
faizal says
keadaan sekarang merisaukan.