Magnet Emas Magnet Kekayaan

by sabree hussin on January 12, 2016

in Buku & Bahan Bacaan

Logam emas dan perak adalah contoh pelaburan logam yang cukup popular di seluruh dunia. Sebut sahaja emas ataupun perak, semua orang yang berakal tahu, apakah nilainya.

 

Sudahkah anda menyediakan bajet khas untuk membuat pelaburan terhadap kedua-dua atau salah satu jenis logam berharga ini? Jika kita rujuk pada mana-mana pakar pelaburan sekalipun, perkara pertama dan UTAMA sebelum kita mulakan sebarang bentuk pelaburan adalah dapatkan ILMU terlebih dahulu.

 

panduan_pelaburan_emas … dan itulah yang saya sedang lakukan. Saya juga harapkan agar anda juga akan lakukan perkara yang sama sebelum mula melabur dalam pelaburan emas ataupun perak.

 

Ini adalah buku yang baru saya baca mengenai pelaburan emas dan perak. Buku ini berjudul Magnet Emas Magnet Kekayaan.

 

Emas sebagai magnet kekayaan? Macam mana tu? Mesti ramai yang nak tau, bagaimana emas boleh bertindak umpama magnet yang mampu untuk menarik lebih banyak kekayaan kepada pemiliknya.

 

Pada muka surat 20 buku Magnet Emas Magnet Kekayaan ini, penulisnya iaitu Ir Sofian ada menyebutkan mengenai 10 Rahsia Minda Jutawan Logam dan di kesempatan ini saya nak kongsikan salah satu daripadanya, iaitu

“Obses dengan ILMU pelaburan Logam”

 

Ya… Anda tak tersalah baca. Penulis bukannya mencadangkan untuk kita sekadar ambik tahu, ataupun perlu mempunyai minat untuk mempelajari ilmu mengenai pelaburan logam, sebaliknya penulis menggunakan perkataan obses. (jangan tersilap dengan perkataan obes pula ya)

 

Obses atau obsesi ataupun obsesif dalam konteks perbincangan tentang pelaburan emas dan perak ini ialah

“Sentiasa atau asyik memikirkan tentang sesuatu…”

 

Begitulah konsepnya. Bila kita nak bergiat atau ingin melabur dalam pelaburan logam emas dan perak, kita perlu sentiasa memikirkan tentang portfolio pelaburan kita ini. Dalam hati sentiasa rasa dahaga untuk mempelajari teknik-teknik baru, strategi-strategi pelaburan terbaik untuk melabur dalam emas dan sebagainya.

 

Keseluruhan buku ini membincangkan tentang pelaburan logam berharga iaitu emas dan perak dalam bentuk fizikal. Bukannya kita melabur dalam akaun emas ataupun terlibat dengan mana-mana skim emas yang menawarkan dividen, bonus, pulangan tetap, ETA dan sebagainya.

 

Jika ada dalam kalangan pembaca yang masih belum tahu, kebanyakkan skim-skim emas yang diada-adakan di pasaran sebenarnya ianya hanyalah skim cepat kaya atau skim piramid yang menggunakan emas sebagai medium pertukaran. Baiklah, dalam posting ini saya tak berminat nak cerita mengenai program-program scam yang melibatkan emas, sebaliknya saya lebih minat nak kongsikan tentang beberapa perkara menarik dan ilmu yang bagus yang terkandung dalam buku Magnet Emas Magnet Kekayaan ini.

 

Gabungan pelaburan Emas dengan sistem pajakan di Ar Rahnu

Tahukah anda…

 

… anda berupaya untuk menggandakan lagi keuntungan dan pulangan yang bakal anda perolehi menerusi pelaburan emas apabila anda menggandingkan strategi pelaburan anda dengan membuat pajakan di Ar Rahnu?

 

Bagaimana caranya?

 

Topik ini ada dibincangkan dalam buku Magnet Emas Magnet Kekayaan ini. Namun, untuk pembaca dan pelawat blog ini, mari saya terangkan secara ringkas sahaja. Teknik ini pernah saya pelajari sebelum ini namun dari segi pendekatan dan penerangan sahaja, ia agak berbeza.

 

Teknik ini berkesan apabila ia dipraktikkan ketika anda menyedari harga emas sedang turun.

 

Pastikan anda telah mempunyai stok emas dalam tangan yang membolehkan anda memajaknya di Ar Rahnu. Memandangkan kita akan menggunakan teknik pajakan, dah tentulah kita perlu ada emas dalam tangan kita. Jadi, untuk orang yang tak ada emas dalam tangan, teknik ini mungkin tak sesuai untuk anda.

 

Kalau anda nak guna jugak teknik ini, anda kena beli emas terlebih dahulu.

 

Ketika anda menyedari harga emas sedang jatuh, anda segera pajakkan emas anda di Ar Rahnu. Seterusnya, anda akan menerima wang tunai dengan nilai sebanyak 50% – 70% daripada nilai emas yang anda pajak tersebut. Dalam contoh ini, kita andaikan dari tindakan anda memajak emas tersebut, anda berjaya memperolehi wang tunai sebanyak 70% daripada nilai emas.

 

Apa nak buat dengan wang tunai tersebut?

BELI EMAS. Gunakan keseluruhan duit yang anda perolehi tu tadi untuk beli emas. Katakanlah ada baki sebanyak RM20 dan ianya tak cukup untuk beli emas walaupun untuk 1 gram emas sahaja, sila simpan duit tersebut. Duit itu kita boleh gunakan untuk bayar kos untuk upah simpan di Ar Rahnu.

 

Dalam tempoh ini, perhatikan pergerakkan harga emas semasa.

 

Apabila harga emas mula NAIK dan kenaikkannya melebihi sasaran yang anda mahukan, contohnya anda meletakkan syarat jika harga emas naik 15% lebih tinggi berbanding harga belian sebelum ini, anda ingin jual emas tersebut, maka jualkan stok emas yang ada di tangan anda.

 

Sama ada anda ingin jualkan kepada orang perseorang, ataupun ingin jualkan kembali kepada syarikat yang mengeluarkan emas, ianya terpulang pada anda. Jika anda ingin jual kepada syarikat pengeluar emas, kena pastikan spread rendah. Barulah boleh dapat untung yang lebih tinggi.

 

Kita andaikan semua stok emas yang ada dalam tangan telah berjaya dijual. Langkah seterusnya adalah untuk menebus kembali emas-emas yang anda letakkan di Ar Rahnu, iaitu dengan membayar balik pinjaman dan kos upah.

 

Sebarang lebihan yang berjaya dihasilkan, itu adalah UNTUNG anda. Dalam contoh ini, untung anda ialah 15%, iaitu sama dengan keuntungan yang anda sasarkan apabila berlakunya peningkatan terhadap harga emas semasa.

 

Teknik ini sememangnya boleh diperincikan dengan lebih teliti lagi untuk memberi pulangan yang berlipat ganda. Saya juga pernah baca sebelum ni, ada yang menggunakan teknik pajakan ini berkali-kali atau lebih dari sekali.

 

Maksudnya, selepas dia pajak kali pertama dan dapat wang tunai, dia gunakan duit tersebut untuk beli emas. Kemudian, emas tersebut dipajakkan semula untuk memperolehi wang tunai. Kemudian, wang tunai itu tadi digunakan untuk beli stok emas yang baru, dan emas yang baru dibeli itu tadi juga turut dipajakkan.

 

Dengan teknik ini, anda akan memperolehi 2 atau 3 surat pajakan yang berbeza, bergantung kepada berapa kali anda ingin pajakkan stok emas yang ada dalam tangan anda. Adakah cara ini berkesan?

 

Ya, ia berkesan. Namun, ianya BERISIKO. Atau mungkin patut saya katakan ianya SANGAT BERISIKO.

 

Untuk menjayakan teknik ini, ia memerlukan penguasaan dan kefahaman yang jelas mengenai sifat emas dan pergerakkan harga yang mungkin agak diluar jangka. Baiklah, ini satu topik menarik yang mungkin akan saya kongsikan satu masa nanti, apabila ilmu tentang pelaburan emas yang saya miliki dah jadi semakin mantap.

 

Buat masa ini, saya kongsikan dulu serba sedikit yang saya tahu dan yang saya pelajari dari buku Magnet Emas Magnet Kekayaan ini dulu.

 

Buku ini dijual dengan harga RM25 sahaja untuk Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak ia dijual dengan harga RM28. Boleh juga dapatkan secara online sahaja disini.

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: