Kalau diberi dua pilihan, sama ada menginap di hotel ataupun menginap di homestay, yang mana satu yang anda akan pilih?
Kalau anda kata, anda lebih cenderung untuk pilih homestay berbanding hotel, agak-agaknya sebab apa ya?
Jawapan bagi persoalan ini, sebenarnya sangat penting, terutama sekali buat mereka yang menjalankan perniagaan homestay.
Pada hari ini, kita disajikan dengan pelbagai pilihan tempat penginapan. Kita boleh pilih, sama ada ingin menginap di hotel, resort, hostel, motel, guesthouse atau mungkin menginap di homestay.
Sebenarnya keputusan yang dibuat oleh pelanggan (tetamu) selalunya berkait rapat dengan keperluan percutian tersebut.
Sebagai pelanggan, adakalanya kita tak ambil kisah pun mengenai persoalan kenapa pilih homestay dan bukannya pilih untuk menginap di hotel.
Kebiasaannya, kita akan buka sahaja apps tempahan yang kita suka gunakan, sama ada booking.com, Agoda ataupun Airbnb, dan seterusnya kita akan masukkan destinasi percutian kita.
Kemudian, dari senaraian yang disediakan itu, kita akan pilih mana-mana satu jenis tempat penginapan mengikut keperluan dan kehendak kita.
Kalau anda perasan, pada hari ini, kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh pemilik homestay setanding dengan hotel. Cubalah tengok listing homestay, yang disenaraikan di platform seperti Airbnb, dan anda akan temui, ada banyak homestay yang cantik-cantik.
Dekorasi dan hiasan dalamannya sangatlah memukau, dan nampak seperti hotel bertaraf lima bintang.
Kalau satu masa dulu, istilah homestay ini sinonim dengan penginapan di kawasan kampung-kampung, dan penyewa akan tinggal bersama dengan keluarga tuan rumah. Mereka juga akan luangkan masa bersama dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.
Namun pada hari ini, konsep homestay itu sudah lebih meluas. Tetamu boleh memilih sama ada ingin menyewa sebahagian ruang dalam rumah atau keseluruhan ruang dalam rumah, dan menggunakan sepenuhnya tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa.
Bila saya ingat semula, saya rasa saya juga banyak menginap di homestay atau guesthouse berbanding menginap di hotel, terutama sekali apabila saya perlu travel atas urusan kerja.
Selain itu, kalau saya pergi bercuti bersama dengan keluarga, atau dalam bilangan yang agak ramai, saya juga lebih suka pilih untuk menginap di homestay berbanding di hotel. Saya rasa, bila duduk bersama dibawah satu bumbung itu, masa bersama keluarga jadi lebih panjang berbanding kalau menginap di hotel.
Tapi itu kalau situasi saya sendiri.
Kalau orang lain, saya tak pastilah, apa sebab yang mendorong anda memilih untuk menginap di homestay berbanding hotel?
Sebahagian daripada pengalaman saya menginap di homestay-homestay ini semua, ada saya catatkan dalam blog saya, sebagai rujukan buat pembaca blog ini.
Maklumlah, kat luar sana tu, memang ada terlalu banyak homestay yang boleh dipilih oleh pengunjung. Kadang-kadang, kita tak tau…
1. Apa yang ada dekat homestay tu?
Setiap homestay, pasti mempunyai kelebihan dan keunikkannya yang tersendiri. Kadang-kadang pemilik homestay ini tak berapa pandai untuk bercerita dan menonjolkan keistimewaan homestay miliknya.
Boleh jadi sebab mereka ini sebenarnya rasa segan atau bimbang dilabel sebagai masuk bakul angkat sendiri.
Pada saya tak salahpun kalau pemilik homestay tu nak ceritakan yang baik-baik mengenai homestay miliknya sendiri. Lagipun, anda sudah mengeluarkan modal yang besar sebelum ini, bagi tujuan menaiktaraf homestay anda.
Jadi anda memang patut memuji-muji dan naikkan nama homestay anda sendiri.
Kalau memang tak ada siapa yang nak buat semua tu untuk anda, maka anda kenalah buat sendiri.
2. Bagus ke tidak homestay tu?
Macam mana cara untuk kita tentukan, sama ada sesebuah homestay itu bagus ataupun tidak?
Ya saya setuju dengan mereka yang mengatakan perkara ini adalah sesuatu yang bersifat subjektif.
Saya sendiri tak mempunyai formula atau peraturan yang spesifik bagi menentukan sama ada sesebuah homestay itu bagus ataupun tidak. Bagi saya, jika homestay tersebut dapat memenuhi keperluan percutian saya, itu sudah cukup bagus.
Tetapi kalau kita nak bincangkan mengenai bagus atau tidak sesebuah homestay itu, kita boleh perhatikan kriteria seperti berikut.
A. Keselesaan homestay
Bila kita menginap di homestay tersebut, kita sendiri boleh rasakan, sama ada homestay tersebut selesa ataupun tidak?
Apabila kita melangkah masuk dan duduk berehat di homestay tersebut, bagaimana keadaannya? Adakah terlalu panas atau suhu dalam rumah sangat nyaman.
Kalau nak bagi suasana dalam rumah ni sejuk dingin, walaupun ketika cuaca panas sebenarnya senang je. Sediakanlah aircond.
Aircond ini sesuai dipasang di setiap bilik dan juga ruang tamu. Saya tahu, masih ada homestay yang tak menyediakan penyaman udara.
Tetamu perlu menggunakan kipas angin sepanjang menginap disitu.
Saya secara peribadi akan elak untuk menempah homestay yang menggunakan kipas semata-mata. Tapi kalau memang dah tak ada pilihan lain, maka terpaksalah terima juga.
Saya faham, sebagai tuan rumah seboleh-bolehnya anda ingin cuba menjimatkan kos operasi perniagaan. Pemasangan aircond ini boleh membuatkan bil elektrik jadi lebih tinggi, dan kos untuk membeli sebuah aircond juga lebih mahal berbanding kipas.
Walaubagaimanapun, sebagai pelanggan (atau pengguna) saya akan mengutamakan keselesaan, dan mana-mana homestay yang memberi keutamaan terhadap keselesaan tetamu, maka yang itulah yang akan dijadikan pilihan.
Soal kos operasi, itu bukannya masalah saya untuk saya fikirkan. Sepatutnya, sebagai pemilik bisnes, merekalah yang kena fikirkan penyelesaian bagi masalah tersebut.
Ruang tamu biasanya adalah tempat dimana ahli keluarga akan berkumpul. Sepatutnya dekat sini disediakan set sofa yang selesa untuk duduk bersantai.
Andai kata kalau dari ruang tamu, boleh lihat pemandangan yang menarik, itu merupakan satu bonus.
Kalau tidak maka anda perlu gunakan kreativiti anda untuk bermain dengan aspek pencahayaan dan dekorasi dalam rumah untuk menampilkan imej yang menarik.
Sediakan juga televisyen yang saiznya agak besar.
Zaman sekarang ini, kebanyakkan homestay sudah mula menyediakan sama ada
1. Google TV / Android TV
2. Smart TV
3. TV LED beserta dengan Android Box atau Chromecast
Sekarang ini, tetamu boleh menonton pelbagai movie dan TV Series melalui servis streaming, sama ada melalui Netflix, Disney, Prime Video dan sebagainya.
B. Kebersihan homestay
Kebersihan adalah merupakan perkara paling asas, bagi bisnes jenis perkhidmatan hospitaliti. Bila kita melangkah masuk ke dalam homestay, kita mahukan suasana yang bersih dan nyaman.
Lantai tak rasa melekit atau berpasir.
Tiada habuk melekat pada perabot atau pada kipas angin.
Tiada bau-bauan busuk yang menyakitkan hidung.
C. Lokasi homestay
Homestay tersebut mestilah berada di lokasi yang strategik. Lazimnya homestay ini dibuka dikawasan perumahan atau kediaman penduduk. Jadi, ia dekat dengan kemudahan asas seperti kedai runcit, pasaraya, kedai dobi, restoran dan sebagainya.
Sebenarnya, dibawah poin lokasi ini, saya lebih suka kalau homestay tersebut mempunyai sistem jalan yang bagus, tak sempit dan mempunyai at least dua lorong.
Saya tak ada masalah untuk menginap di homestay ala kampung.
Cuma yang membuatkan saya kurang gemar ialah dari segi sistem jalan, yang kadang-kadang terlalu sempit, sampaikan kalau bertembung dua buah kenderaan, salah seorang perlu mengalah untuk beri laluan kepada kenderaan yang satu lagi.
Kalau dalam keadaan ini, saya rasa lebih baik saya pilih homestay yang beroperasi dikawasan perumahan dengan sistem jalan yang lebih luas.
Setidak-tidaknya lebih mudah untuk kenderaan keluar dan masuk.
D. Harga dan kadar penginapan
Kemudian dari segi kos untuk penginapan, ianya juga perlulah berbaloi. Kalau boleh kadar penginapan itu tak adalah terlalu mahal.
Biasanya sebagai pelanggan, kita akan rasa kos menginap terlalu mahal, kalau jumlah yang kita bayar itu, tak setara dengan mutu perkhidmatan yang disediakan.
Sebaliknya, kalau kualiti perkhidmatan sangat hebat, kita tak rasa ralat pun kalau perlu bayar lebih mahal berbanding lain-lain homestay yang ada disekitarnya.
E. Kemudahan dan kelengkapan yang disediakan
Biasanya kita akan pilih homestay memandangkan penginapan di homestay ini selalunya memang lengkap dengan kemudahan dan kelengkapan.
Apa kelengkapan yang perlu ada dalam sebuah homestay?
Anda boleh baca posting saya bertajuk senarai kelengkapan yang perlu ada pada sebuah homestay.
F. Faktor tuan rumah
Sebuah homestay yang bagus, selalunya diuruskan oleh tuan rumah dan pasukan pengurusan yang bagus juga. Mereka ini selalunya sangat faham dengan kehendak dan keperluan para tetamu.
Jika tetamu ada sebarang pertanyaan, dia akan jawab pertanyaan tersebut dengan pantas.
Jika tetamu ada permintaan tambahan, misalnya perlu check in lebih awal, ataupun nak check out lewat sedikit, tuan rumah sangat memahami dan akan cuba untuk penuhi permintaan tersebut.
Ataupun jika ada tetamu yang ingin mengadakan sambutan hari jadi, atau surprise party, pihak homestay juga boleh berikan kerjasama dengan membuat persiapan yang diperlukan.
Tuan rumah yang bagus ini juga selalunya akan berikan layanan yang paling baik kepada para tetamu yang datang menginap dikediaman miliknya.
G. Review dari tetamu terdahulu
Kita lihat apa pengalaman yang dilalui oleh tetamu yang pernah menginap di homestay tersebut sebelum ini.
Kalau tetamu sebelum ini, rata-ratanya memberikan review yang positif, maka tak salahlah kalau kita katakan yang homestay tersebut sebenarnya memang bagus.
3. Kenapa perlu pilih untuk menginap di homestay tersebut berbanding homestay lain yang ada disekelilingnya
Kalau sesebuah lokasi itu ada homestay, biasanya tak jauh dari lokasi tersebut juga mempunyai homestay lain yang kita boleh pilih.
Tapi, apa yang membuatkan homestay tersebut patut dijadikan pilihan utama, berbanding lain-lain homestay yang ada disekitarnya?
Persoalan ini sepatutnya pengusaha bisnes homestay sudah ada jawapannya.
Ia ada kaitan dengan Unique Selling Proposition (USP) perniagaan homestay anda.
Bila saya buat penulisan tentang homestay yang saya pernah menginap sebelum ini di blog saya, secara tak langsung,
1. Saya ingin membantu para pengunjung untuk buat keputusan, sama ada nak menginap di homestay tersebut ataupun tidak.
2. Saya dapat berikan free marketing, kepada pemilik homestay, dan mudah-mudahan hasil penulisan saya tersebut, berjaya membantu pemilik homestay mendapatkan tempahan.
Ada ke orang yang nak buat kerja secara percuma, berikan perkhidmatan free marketing kepada pemilik bisnes homestay ini?
Sudah tentulah ada.
Cuma bukanlah selalu.
Saya pun ada kerja lain yang perlu diberikan keutamaan.
Kebiasaannya, kalau saya nak menulis topik mengenai sesebuah homestay dalam blog saya, saya akan beri keutamaan kepada homestay yang saya sendiri pernah ada pengalaman menginap disitu.
Sebagai contoh, Homestay Kota Bharu Inap Ayahandabonda ini.
Homestay ini juga boleh ditempah menerusi platform Agoda, yang mana saya juga merupakan salah seorang ejen affiliate bagi Agoda. Jadi, kalau ada pengunjung yang membuat tempahan melalui recommendation yang saya berikan, saya akan dapat sedikit komisen.
Sebagai pengguna yang memerlukan perkhidmatan homestay, ada kalanya saya juga perlu baca review dari tetamu sebelum ini terlebih dulu, sebelum buat keputusan untuk buat tempahan di mana-mana homestay.
Kalau ada review, saya lebih yakin untuk menginap di situ.
Tak kisahlah sama ada review tersebut positif atau negatif, yang penting ada review. Kalau boleh saya tak nak ada sebarang kejutan, apabila kita dah tempah homestay tersebut, dan pada hari kejadian, masa nak check in, rupa-rupanya harap gambar je lawa, tapi ruang dalaman, hancur…
Perhatian buat para pemilik homestay.
Saya amat galakkan untuk anda beri layanan yang terbaik kepada setiap guest yang anda terima. Manalah tahu, ada dalam kalangan guest anda tu adalah seorang content creator atau merupakan penulis blog yang aktif macam saya (ehem).
Zaman sekarang ini, semua orang boleh jadi content creator.
Bezanya hanyalah platform yang digunakan.
Adakah pencipta konten itu, menggunakan blog, facebook, twitter, Youtube atau mungkin tiktok untuk menyiarkan konten yang mereka hasilkan.
Saya rasa, kalau anda berikan layanan yang terbaik, dan kebetulan ada dalam kalangan tetamu anda itu adalah content creator yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai, lalu dia buat konten tentang betapa bagusnya homestay anda, saya kira anda juga yang akan untung besar.
Manalah tahu, ada dalam kalangan pengikut content creator tersebut, yang akan menjadi pelanggan anda pula dimasa akan datang.
Tetamu akan terus berhubung dengan anda untuk urusan tempahan, tanpa melalui content creator (atau influencer) tersebut.
Keuntungan anda simpan 100%!
Setiap kali saya check in di mana-mana homestay, ada beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya. Antaranya ialah…
1. “Kenapa orang pilih untuk menginap di Homestay? Kenapa tak pilih hotel sahaja?”
2. “Orang yang bagaimana yang akan memilih untuk menginap di homestay?”
3. “Adakah orang-orang kaya akan menginap di homestay? Atau hanya orang yang berpendapatan sekian-sekian sahaja yang akan pilih homestay?”
Saya cuba cari jawapan untuk setiap persoalan-persoalan yang timbul. Saya buat pembacaan. Saya buat pemerhatian sendiri. Saya tanya pendapat orang lain yang biasa travel. Saya juga ada interview beberapa pemilik homestay.
Semuanya bertujuan untuk mencari jawapan yang possible dan yang mungkin logik, kenapa orang pilih untuk menginap di homestay berbanding lain-lain tempat penginapan?
Sekarang ini, dengan wujudnya laman web Airbnb yang makin popular di negara kita, saya boleh katakan bisnes homestay kian menjadi salah satu bisnes yang makin popular.
Daripada sewakan rumah secara bulanan, dan berdepan dengan masalah rumah rosak, penyewa liat nak bayar sewa on time, isu perundangan dan sebagainya, tak mustahil satu hari nanti, orang lebih suka untuk jadikan rumahnya sebagai homestay atau guesthouse.
Yang penting, ada permintaan, dan sebagai pemilik, anda bijak mengatur strategi bagi membuat pemasaran homestay milik anda.
Berbalik kepada topik perbincangan utama kita. Saya sebenarnya ingin menyenaraikan antara sebab yang kuat dan logik, kenapa pengunjung sekarang ni, lebih suka memilih homestay berbanding lain-lain jenis tempat penginapan.
Sebahagian daripada poin yang saya ketengahkan disini, adalah ulangan daripada yang saya dah sebutkan sebelum ini.
Justeru, tanpa membuant lebih banyak masa, ini dia antara sebab kenapa pelanggan lebih prefer untuk memilih homestay berbanding hotel.
(1) Faktor keselesaan
Sesebuah homestay itu, ia bukan semata-mata perlu memberi keselesaan kepada para tetamu, malahan ia juga perlu dilihat selesa.
Apa maksud perlu dilihat selesa ini?
Rasa selesa ini biasanya kita hanya akan ketahui sebaik sahaja kita melalui pengalaman penginapan tersebut. Bila kita dah sampai ke unit homestay tersebut, kita dah masuk dan beristirehat dalam tu, baru kita akan rasa sama ada ianya selesa ataupun tidak.
Tetapi, bagaimana kalau tetamu yang masih belum buat keputusan, sama ada nak buat tempahan homestay tersebut atau tidak?
Maka disinilah perlunya penggunaan gambar atau video, yang mampu memperlihatkan betapa selesanya homestay tersebut.
Kita mahukan, tetamu yang baru pertama kali melihat gambar-gambar diruangan dalam homestay tersebut terus dapat membayangkan, betapa selesanya keadaan dalam homestay tersebut.
Dalam keadaan ini, pemilik homestay perlu bijak dalam pemilihan perabot untuk digunakan dalam homestay. Gunakan perabot yang terbaik.
Perabot tersebut tak semestinya pilih yang paling mahal.
Cukup pilih yang berkualiti tinggi.
Lagipun, kita nak jual pada orang, pengalaman dan pakej penginapan, bukannya untuk kegunaan sendiri.
Kalau untuk kegunaan sendiri, mungkin cukup sekadar pilih perabot yang selesa.
Tapi bila kita nak jual pada orang, ianya perlu dilihat cukup menarik.
(2) Faktor keselamatan
Kalau kita bercakap tentang isu keselamatan, pada pendapat anda, mana satu lebih selamat, kalau dibandingkan antara menginap di hotel dengan di homestay?
Kadang-kadang saya rasa lebih selamat kalau menginap di homestay berbanding hotel. Situasi dia begini, saya pernah menginap di sebuah hotel bajet di Mersing satu masa dulu. Masalahnya ialah, dekat tempat tersebut, tak ada tempat parking yang khas disediakan untuk tetamu hotel.
Saya terpaksa pilih, sama ada nak parking didepan kedai, atau parking ditepi-tepi jalan. Sepanjang malam, saya rasa risau dengan keselamatan kenderaan saya tu. Bimbang juga kalau-kalau cermin kena pecah, atau kereta kena curi.
Walaupun kejadian tersebut tak berlaku, tapi saya rasa agak kurang tenang meletakkan kenderaan ditepi jalan seperti itu. Rasa kurang selesa itu tetap ada.
Tetapi, kalau menginap di homestay, In Shaa Allah lebih selamat.
Biasanya, memang ada tempat parking khusus, disediakan untuk meletakkan kenderaan. Sesetengah rumah, ada anjung (porch) yang kita boleh guna untuk letak kereta.
Ini semasa menginap di homestay di Tangkak, Johor.
Ini pula semasa menginap di Homestay Casa Indah Melaka. Dua buah kereta boleh parking dalam anjung. Rasa lebih selamat dan tenang untuk tidur malam, berbanding kalau cuma parking tepi-tepi jalan.
Dibawah ini pula semasa saya menginap di homestay Kota Bharu.
Saya masih ingat lagi, homestay di Kota Bharu ini terletak dikawasan komuniti berpagar siap dengan pondok keselamatan.
Setiap beberapa jam, pengawal keselamatan akan buat rondaan bagi memeriksa keadaan sekeliling.
Aspek keselamatan, memang terbaik!
(3) Ruang yang lebih luas
Ini satu lagi kelebihan menginap di homestay. Kebanyakkan homestay yang saya menginap, ada 3 buah bilik. Setiap bilik, boleh memuatkan sebuah keluarga. Kalau tiga buah bilik, ada tiga keluarga.
Kemudian dekat ruang tamu juga ada ruang yang besar. Andai kata ruang dalam bilik tidur tak muat, masih boleh gunakan ruang tamu untuk tidur.
Berbanding kalau menginap di hotel, dengan ruang yang agak terhad. Kalau nak bercuti dalam bilangan yang ramai, kita terpaksa ambil beberapa buah bilik.
Dengan ruang yang lebih luas, lebih ramai orang boleh ikut menginap, dan pasti banyak penjimatan yang boleh kita nikmati. Kalau nak menginap lebih dari satu malam, juga tak rasa begitu terbeban.
(4) Masa check in yang fleksibel
Biasanya waktu untuk check in ialah pukul 2 atau 3 petang.
Check out pula pukul 12 tengahari.
TETAPI, dari pengalaman saya, kita boleh bincang dengan pemilik rumah, kalau-kalau nak masuk awal, atau nak keluar lewat sedikit.
Kalau pada hari tu, tak ada tetamu lain yang akan masuk, dan tak menyusahkan pemilik rumah, kita boleh check in ikut masa kita dan ianya agak fleksibel.
Sekarang ini ada ramai pemilik homestay yang mula mengamalkan kaedah self-check in. Tuan rumah akan meninggalkan kunci rumah dalam peti kunci bernombor seperti dibawah.
Apabila homestay dah sedia untuk menerima tetamu, tuan rumah akan tinggalkan kunci rumah dalam peti berkunci tersebut.
Kemudian terpulang pada tetamu, nak masuk rumah pada pukul berapa. Kalau nak masuk rumah pada waktu malam juga tak ada masalah.
(5) Lokasi yang strategik
Lazimnya, kita akan temui hotel-hotel dikawasan seperti pekan, bandar ataupun di tempat percutian. Hotel juga lazimnya mensasarkan segmen pelanggan, yang mempunyai urusan tertentu dan memerlukan tempat penginapan di lokasi tersebut.
Namun berbeza halnya dengan homestay.
Homestay lebih banyak dibuka dikawasan perumahan dan kediaman penduduk.
Sesetengah pemilik homestay, membina homestay dengan konsep yang unik dikawasan atau tanah milik mereka sendiri.
Itu sebabnya, jika anda lihat di laman web Airbnb ini, anda akan temui banyak juga homestay dan guesthouse dibina di kawasan yang agak terpencil, sangat dekat dengan alam semulajadi, tempat percutian dan sebagainya.
Lokasinya boleh jadi lebih baik dan unik berbanding hotel.
Oleh sebab homestay biasanya terletak di kawasan kediaman penduduk, jadi dekat kawasan sekitarnya kita boleh lihat ada banyak kemudahan seperti kedai runcit, dobi, tempat makan, warung, cybercafe dan banyak lagi.
(6) Rekabentuk yang unik
Kita tak akan jumpa, homestay yang exactly the same dengan homestay lain dari segi susun atur, reka bentuk dan sebagainya.
Setiap homestay menawarkan pengalaman penginapan yang unik.
Ada homestay yang dibina dalam kawasan dusun buah-buahan. Jadi tetamu berpeluang untuk menikmati suasana penginapan di dalam dusun, dan berpeluang untuk merasai pengalaman memetik buah-buahan.
Ada juga homestay yang dibina dikawasan sawah bendang.
Pengunjung boleh merasai pengalaman menginap dikawasan sawah padi yang subur menghijau apabila tiba musimnya.
Kesemua pengalaman unik seperti ini, agak sukar diperolehi jika kita menginap di hotel.
(7) Ada banyak kemudahan asas dibawah satu bumbung
Dalam sebuah rumah, biasanya kita boleh jumpa kemudahan asas seperti ruang makan yang selesa, set sofa, TV dengan pelbagai saluran, ada kemudahan wifi, seterika, ruang masak dan macam-macam lagi.
Guesthouse di Wangsa Maju tempat saya menginap sebelum ni, siap ada menyediakan mesin basuh dan mesin pengering pakaian.
Lepas basuh baju, boleh terus keringkan kemudian baju yang sama boleh dipakai semula.
Tetamu tak perlu susah payah untuk ke dobi bagi mencuci pakaian.
Kemudahan mencuci pakaian ini sangat berguna terutama sekali buat tetamu yang bakal menggunakan perkhidmatan kapal terbang.
Baju kotor ini biasanya lebih berat, dan akan menyebabkan anda perlu tambahkan kuota berat untuk check in baggage.
Lebih baik cuci dan keringkan baju dulu, sebelum packing untuk balik.
(8) Lebih privasi dan tak perlu berkongsi
Bila kita menginap di homestay, bermakna kita akan sewa satu rumah. Namun, jika anda sewa homestay menerusi Airbnb, kena semak jugak sama ada tawaran sewa tu adalah untuk sewa satu rumah atau cuma sewa bilik ya.
Kita andaikan yang anda akan sewa satu rumah. Bermakna, segala kemudahan yang ada dalam rumah tu, adalah hak anda. Tak perlu nak kongsi-kongsi dengan orang lain.
Kalau tujuan penginapan kita tu adalah untuk percutian, kita juga tak akan bertembung dengan tetamu lain, yang datang ke destinasi tersebut atas sebab yang sama.
Sebaliknya, kalau kita menginap di resort atau hotel, kebarangkalian untuk kita bertembung dengan tetamu lain adalah sangat tinggi.
Kemudian dari segi sambungan internet wifi juga kita tak perlu berkongsi.
Kalau sewa hotel, kita kena share penggunaan internet dengan penghuni lain, dan ini menjadikan sambungan akan jadi perlahan. Sebaliknya, kalau sewa homestay, kita boleh nikmati sambungan internet dengan kelajuan penuh!
(9) Rasa seperti berada di rumah sendiri
Bagi sesetengah orang, mereka mahukan perasaan selesa seperti berada di rumah sendiri.
Kalau mereka tak yakin, tempat yang bakal mereka kunjungi nanti, sama selesanya dengan rumah sendiri, maka mereka tak akan ambil keputusan untuk menginap disitu.
Sudah tentu, bukan semua orang mempunyai tanggapan yang sama. Ada orang yang tak kisahpun, sama ada tempat penginapan tersebut, sama selesanya dengan kediaman sendiri ataupun tidak.
Tetapi, jangan anda tak tau, memang ada orang yang begini. Dia amat menitikberatkan soal keselesaan dalam aspek penginapan.
Dia nak rasa selamat macam berada di rumah sendiri.
Dia nak rasa tenang seperti berada di rumah sendiri.
Dia nak rasa bebas seperti berada di rumah sendiri.
(10) Boleh menyediakan makanan sendiri
Walaupun selama saya menginap di homestay, saya tak pernah masak sendiri, tapi bagi saya ini adalah salah satu sebab yang penting, kenapa pelanggan akan memilih untuk menginap di homestay.
Tetamu boleh menyediakan makanan sendiri.
Bila boleh masak, ia lebih jimat berbanding makan diluar. Sesetengah orang, dia memang tak boleh makan diluar, atas sebab kesihatan, alergik dan sebagainya. Justeru, bila boleh sediakan makanan sendiri, ia satu bonus untuk dirinya.
Bila saya kata boleh memasak ini, mungkin bukan masak untuk lunch atau dinner. Sebaliknya masak untuk breakfast dengan menu yang ringkas seperti sandwich, mi goreng dan sebagainya.
Sekurang-kurangnya, tuan rumah menyediakan peralatan yang lengkap, untuk tetamu menyediakan mi segera.
(11) Faktor kos penginapan
Setuju tak kalau saya katakan, sebenarnya kos untuk menginap di homestay boleh jadi lebih murah berbanding kalau menginap di hotel.
Sudah tentu, ianya bergantung juga sama ada tetamu tersebut, datang dalam jumlah yang ramai atau hanya berdua. Kalau hanya datang berdua, tak ada masalah kalau menginap di hotel. Malahan kalau kita bandingkan dari segi kos, boleh jadi kos menginap di hotel adalah lebih murah.
Sebaliknya, kalau pergi bercuti dengan jumlah yang agak ramai, pada waktu ini, jenis tempat penginapan yang paling menjimatkan sekali adalah homestay.
Penutup
Sebagai pengusaha bisnes homestay, apabila anda sudah tahu jawapan yang tepat, kenapa orang pilih untuk menginap di homestay, secara tak langsung akan membuatkan anda jadi lebih bersedia dan dapat menyediakan perkhidmatan yang first class kepada tetamu.
Boleh jadi, tetamu yang datang ke tempat anda, ada kehendak yang berbeza, berbanding apa yang anda mampu sediakan.
Apa salahnya anda bertanya.
Sebelum tetamu datang, boleh tanya soalan yang simple seperti
“Ada tak sebarang keperluan yang boleh saya sediakan untuk keselesaan tuan nanti?”
Mungkin tetamu tu perlukan bantal tambahan.
Mungkin dia perlukan kuali yang besar.
Mungkin perlukan toto.
Mungkin dia perlukan kipas berdiri dan bukannya kipas siling dan sebagainya.
Permintaan-permintaan seperti ini, lazimnya tak diberikan keutamaan jika menginap dihotel.
Apa yang tetamu bayar, itulah yang mereka akan terima.
Kalau tetamu tu tak ada sebarang special needs sekalipun, soalan ini boleh ditanyakan bagi menunjukkan anda adalah seorang host yang mesra dan prihatin terhadap keperluan bakal penginap.
Setelah anda baca perkongsian ini, agak-agaknya ada tak sebab lain, kenapa tetamu memilih untuk menginap di homestay, berbanding pilih hotel?
Kalau anda rasa ada sebab lain, yang saya tak nyatakan dalam posting ini, boleh kongsikan dibahagian komen dibawah ya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.
anuar says
Saya pun lebih suka tinggal di homestay berbanding hotel.. terutamanya kalau pergi bercuti bersama keluarga.
Madam B says
Ramai yang chooce homestay compare to hotel or else. Me too. Ingat dulu 2014 masa kahwin kami stay di homestay. Sangat terbaik! Good facilities mostly. Great tips!
Abdul Nashar Bin Aminuddin says
Hotel kalau 2-3 ok la, tapi homestay sesuai jika bawa keluarga dan lebih 3 orang
titan says
kalau family besaq sampai lebih 7-10 orang, aku lebih suka homestay.
kalau setakat 2-3 orang, hotel ajelah.
sabree hussin says
Amik vila atau bungalow la kalau dah ramai macam tu 🙂 Kat Airbnb ada banyak jugak vila yang cantik-cantik
Raihanah says
kena tambah bab kebersihan. di hotel diorang kata bukan bersih betul pun
sabree hussin says
Betul juga, bab kebersihan tu pun betul jugak
Nana Liena says
Saya suka homestay/roomstay sebab no.7 dgn no.10. Bila ada kemudahan membasuh pakaian,dapat jimat duit,tak perlu hantar ke hotel laundry/dobi. No 10. Boleh masak pun dapat juga jimatkan wang.