Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah

by sabree hussin on January 11, 2016

in Buku & Bahan Bacaan

Bismillahir Rohmaanir Rohim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Dengan izinNya, saya temui buku berjudul “Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah” dan diberi kesempatan untuk membacanya dari mula hingga habis.

 

muhammad_ali_hanafiyyahHikayat Muhammad Ali Hanafiyyah adalah salah satu teks sastera lama yang sangat penting dari segi isi, khususnya daripada aspek emosi, nilai kebudayaan dan nilai sosiopolitik. Hikayat ini sudah terkenal sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-16. Hikayat ini juga dikenali sebagai ‘hikayat perang’ kerana hampir keseluruhan isi hikayat penuh dengan kisah peperangan. – Pengantar penerbit, 1988. Hikayat Muhammad Hanafiyyah, DBP.

 

Sebelum ni, saya tak pernah tahu pun kewujudan buku ni. Nama Muhammad Ali Hanafiyyah pun saya tak pernah dengar, hinggalah saya baca buku ni. Kiranya banyak juga yang saya masih tak tau mengenai sejarah Islam zaman Rasulullah SAW.

 

“Adakah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah adalah kisah benar?”

Ini adalah salah satu persoalan yang bermain dalam fikiran saya. Adakah buku ini ditulis berdasarkan kisah benar?

 

Apa yang pasti, nama-nama dan karekter yang muncul dalam Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah ini tentunya terdiri daripada individu yang memang tak asing lagi, antaranya

Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman, Saidina Ali, Muawiyah, Hasan, Husain, Abdurrahman Auf, Saidatina Aisyah, Fatimah Az-Zahra, Ummi Salamah, Abu Hurairah, anak-anak Saidina Ali dan ramai lagi.

 

Saya tertarik dengan perkataan “hikayat” dan jika melihat apa yang ditulis di wikipedia, maksud bagi perkataan hikayat itu sendiri, ia bermaksud

Hikayat merupakan salah satu bidang kesusteraan Melayu silam. Cerita-cerita hikayat biasanya berbentuk panjang dan menceritakan mengenai seseorang atau kejadian yang penting. Pada kebiasaannya cerita hikayat adalah warisan dari penceritaan secara lisan, dengan itu ia mengekalkan format penceritaan lisan. Kebanyakan cerita hikayat ditulis dalam bentuk di mana, pembaca akan membacanya secara kuat untuk didengari oleh pendengar.

 

… dan dalam buku Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah ini, ia menceritakan kisah mengenai seorang pemuda bernama Muhammad Ali Hanafiyyah.

 

“Siapa sebenarnya individu bernama Muhammad Ali Hanafiyyah ni?”

Beliau merupakan anak kepada Saidina Ali dengan isteri yang dinikahi beliau yang bernama Haulah (ada juga yang menyebut Khaulah) dari Bani Hanifah.

 

… Harapan kita hanyalah kepada saudara bapamu, Muhammad Ali Hanafiyyah. Rasulullah pernah menceritakan bahawa Muhammad Hanafiyyah adalah harimau baginda. Ketika itu, ayahmu Husain dan Hasan masih kecil. Rasulullah pergi ke rumah bapa Muhammad Hanafiyyah, Ali. Ketika itu isteri Ali mengandung. Sabda Rasulullah kepada Ali dan isterinya, “Sekiranya anakmu lelaki, namakan Muhammad Hanafiyyah.”

Setelah lahir anak itu, Ali membawanya kepada Rasulullah.

“Ali, anakmu laki-laki?” tanya Rasulullah.

“Laki-laki, ya Rasulullah.”

Sabda Rasulullah, “Kunamakan anakmu Muhammad Hanafiyyah,” kata Rasulullah lalu mencium dahi bayi itu.

Apabila didengari Fatimah, anak Ali dinamakan Muhammad Hanafiyyah, hatinya pun panas. Bertanya Fatimah kepada Rasulullah, “Junjunganku, anakku dinamakan Hasan dan Husain tidak dinamakan dengan namamu. Aku dengar anak Ali dinamakan Muhammad Hanafiyyah,”

Sabda Rasulullah, “Fatimah, janganlah bersedih. Aku namakan Muhammad Hanafiyyah kerana pada suatu masa nanti, aku dan semua sahabat telah tiada. Ketika itulah umatku dari golongan Khawarij akan meracuni Hasan dan membunuh Husain di Padang Karbala. Muhammad Hanafiyyah akan menuntut bela atas kematian Hasan dan Husain. Tiga puluh tahun lamanya mereka berperang dengan semua Khawarij. Banyaklah Khawarij dibunuhnya.”

Apabila mendengar sabda Rasulullah, Fatimah terus pengsan. Setelah terjaga, Fatimah menuju ke rumah Ali. Bayi itu diriba dan diciumnya. Kata Fatimah, “Anakmu ini kelak akan menuntut bela atas kematian Hasan dan Husain yang dibunuh golongan Khawarij.” Sehari-hari Muhammad Hanafiyyah dikasihi Fatimah.

 

Petikan di atas ialah nasihat dalam bentuk cerita yang diberikan oleh Ummi Salamah kepada Zain al-Abidin.

 

Antara kisah yang dimuatkan dalam Hikayat ini…

Sekiranya anda berkesempatan untuk membaca buku ini, anda juga akan dapat ikuti dan mengetahui kisah-kisah seperti…

 

1. Kisah Jibril mengadap Nabi Muhammad SAW dan menyampaikan perkhabaran tentang kematian cucu kesayangan Rasulullah iaitu Hasan dan Husain, yang mana pada ketika itu Hasan dan Husain masih lagi kanak-kanak. Hasan mati diracun manakala Husain mati dibunuh di Padang Karbala.

 

2. Kisah mengenai individu bernama Marwan Hakim yang dibuang negeri dari Madinah ke Syam. Marwan Hakim adalah dari bani Umayyah.

 

3. Kisah kewafatan Fatimah menyusuli kewafatan nabi Muhammad SAW. Berita mengenai kematian Fatimah pun tersebar dan diceritakan bahawa terdapat sahabat Nabi yang pernah mendengar Nabi bersabda

“Sesiapa yang menyolatkan jenazah Fatimah, orang itu akan masuk syurga. Sebesar mana dosanya, akan diampuni Allah SWT” kata para sahabat.

 

Memandangkan pada waktu itu hari hampir malam, maka Ali menyuruh para sahabat untuk pulang. Pada malam tersebut, Ali bersama-sama Hasan dan Husain menguruskan jenazah Fatimah bagi dikebumikan pada malam itu juga. Menjelang siang para sahabat pun datang ke rumah Ali.

 

Para sahabat memintaAli untuk mengeluarkan jasad Fatimah kerana mereka ingin menyolatkannya.

“Sudah kami kebumikan jenazahnya semalam.” Semua sahabat marahkan Ali.

“Sekalian kami berhasrat untuk mengebumikan jenazah Fatimah. Kami pernah mendengar sabda Rasulullah, “Sesiapa yang menyolatkan jenazah Fatimah, dia akan masuk syurga, tidak akan celaka selamanya.” Oleh sebab itu, kami mahu menanam jenazahnya supaya beroleh kebaikkan di akhirat.

“Tuan-tuan semua, semasa hidupnya, Fatimah tidak aku benarkan dilihat orang. Tiada seorang pun dapat melihatnya. Jenazahnya pun tidak aku benarkan kamu melihatnya.” para sahabat kemudian marah pada Ali.

“Kami akan menggali kuburnya dan menyolatkannya,” kata para sahabat.

Setelah mendengar kata-kata itu, Ali naik marah. Dia masuk ke rumahnya, memakai baju besi, mengikat kain perca merah pada dahinya dan pedang Zulfakar dihunusnya.

“Sesiapa yang mendekati makam Fatimah, akan aku penggal lehernya dengan pedang ini,” kata Ali.

“Kamu sekalian, kembalilah ke rumah masing-masing. Aku telah mendengar sabda Rasulullah, “Anak bapa saudaraku, Abi Talib itu, apabila dia mengikat kain perca merah di dahinya dan kayu di tangannya, jika manusia seluruh masyrik ke maghrib berkumpul, tidak akan mampu melawannya,” kata Abu Bakar. Setelah mendengar kata Abu Bakar, para sahabatpun kembali. Mulai hari itu, para sahabat bermasam muka dengan Ali.

 

4. Kisah pembunuhan Amirul Mukminin, Umar al-Khatab

 

5. Kisah pelantikan pengganti Amirul Mukminin, Umar al-Khatab. Terdapat 4 orang calon yang layak untuk menggantikan jawatan Khalifah, iaitu Ali, Usman, Abbas dan Abdurahman Auf. Bani Hasyim inginkan supaya Ali yang dilantik menggantikan tempat Khalifah yang kosong, manakala Bani Umayyah mahukan Usman yang menjadi Khalifah.

 

Mujurlah pada waktu itu, tidak ada sistem demokrasi. Jika tidak, mungkin sesiapa sahaja yang mempunyai bilangan undi paling banyak yang akan diangkat untuk menjadi Khalifah, tak kiralah sama ada individu tersebut layak atau tidak, amanah atau tidak, bodoh atau cerdik, pandai mentadbir atau tidak, perasuah mahupun tidak. Asalkan memang undi, itu sudah memadai.

 

6. Kemudian, setelah Usman diangkat menjadi Khalifah bagi menggantikan Umar al-Khattab, sekali lagi Marwan Hakim muncul. Diceritakan bahawa Marwan mempunyai hubungan persaudaraan dengan Usman telah sekali lagi mengutus surat untuk meminta izin supaya dapat kembali ke Madinah. Abu Bakar dan Umar telah menolak permintaan Marwan untuk kembali pada masa lalu, namun dizaman pemerintahan Usman, beliau telah membenarkan Marwan untuk kembali ke Madinah.

 

7. Kisah perancangan orang munafik yang akhirnya mengakibatkan peristiwa pembunuhan Usman

 

8. Kisah bagaimana tercetusnya peperangan antara Muawiyyah dengan Saidina Ali, yang mana dalam peperangan ini turut disertai oleh sahabat nabi dan mereka saling berperang sesama sendiri. Ia juga bertitik tolak daripada peristiwa pembunuhan Usman, atau juga dikenali peristiwa fitnah besar.

 

9. Kisah pembunuhan saidina Ali akibat ditikam. Pembunuhan Hasan dengan racun dan Husain di Padang Karbala.

 

10. Kisah penangkapan keseluruhan ahli keluarga Rasulullah SAW yang masih hidup oleh Yazid, anak kepada Muawiyyah.

 

11. Kisah peperangan yang tercetus antara askar yang dipimpin oleh Muhammad Ali Hanafiyyah dengan tentera Yazid. Peperangan ini turut disertai dan dibantu oleh anak-anak Saidina Ali yang lain.

 

Pada pandangan saya secara peribadi, memang ada beberapa bahagian yang agak sukar diterima. Contohnya kisah mengenai kekuatan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak Ali seperti Husain, Muhammad Ali Hanafiyyah, dan anak-anak Ali yang lain. Namun, dengan kuasa Allah semua ini tak mustahil.

 

Malahan, jika sebelum ini anda pernah baca buku tulisan Abdul Talib Latip berjudul Perang Khaibar: Penaklukkan Kota Khaibar turut diceritakan bahawa Ali adalah salah seorang sahabat yang mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa. Beliau mampu mengangkat pintu kubu salah sebuah Kota Khaibar hanya dengan sebelah tangan sahaja, sedangkan ia memerlukan sekurang-kurangnya 700 orang untuk mengangkatnya.

 

Apa pun, kisah yang dimuatkan dalam Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah ini sememangnya penuh dengan ilmu dan tauladan. Ia berlatarbelakangkan kisah sejarah Islam yang benar-benar berlaku. Walaubagaimanapun, mungkin dari sudut penceritaan, ia terdapat mana-mana bahagian yang ditokok tambah bagi menggarapkan suasana penceritaan yang lebih menarik.

 

Difahamkan jugak, hikayat ini sudah terkenal sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Mungkin sebab dalam buku ini, turut diceritakan peristiwa peperangan yang berlaku antara Masib Kaka dengan askar Feringgi (Portugis). Seperti yang kita tahu, Portugis juga pernah menyerang Melaka satu ketika dahulu. Hikayat ini pernah dibacakan kepada para tentera sebelum peperangan bagi menaikkan semangat juang mereka.

 

Baiklah, apa pun buku ini bagus untuk mereka yang ingin mengenali dengan lebih mendalam berkenaan junjungan besar nabi Muhammad SAW menerusi sudut pandang Muhammad Ali Hanafiyyah. Semoga kita semua sama-sama akan makin bertambah mantap imannya dan bertambah juga ilmunya.

 

Wallahua’lam

 

Pada waktu catatan ini saya tulis, buku ini tiada dalam stok laman BookCafe

 

Mungkin anda boleh semak dulu kat laman web tersebut, kalau-kalau stok dah ada, sebelum anda cari di kedai-kedai buku.

 

Be Sociable, Share!

{ 1 comment… read it below or add one }

Sani February 8, 2016 at 12:26 am

Moga Allah swt merahmati para sahabat dan ahli keluarga baginda Nabi Muhammad saw.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: