Langkah demi langkah cara menulis kertas kerja rancangan perniagaan dengan format yang betul

by sabree hussin on January 23, 2019

in Idea Bisnes

Adakah anda memerlukan kertas kerja rancangan perniagaan untuk bisnes yang anda sedang jalankan? Bagaimana kalau saya kongsikan kepada anda, langkah demi langkah apa yang perlu anda lakukan untuk menghasilkan sebuah kertas kerja rancangan perniagaan yang lengkap untuk bisnes anda.

 

Anda berminat? Untuk pengetahuan anda, langkah-langkah yang saya kongsikan untuk menghasilkan sebuah kertas kerja yang lengkap disini, adalah berdasarkan kepada format yang digunakan oleh syarikat terdahulu yang ingin memohon pembiayaan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

rancangan-perniagaan

Ketahui bagaimana anda juga boleh menulis kertas kerja rancangan perniagaan anda sendiri dengan mengikuti format yang saya kongsikan disini. Jika sebelum ini perniagaan yang anda jalankan masih belum ada kertas rancangan perniagaan, selepas ini anda patut pertimbangkan untuk hasilkan sekurang-kurangnya sebuah.

 

Jika anda masih tak tahu bagaimana cara untuk hasilkan kertas kerja perniagaan anda sendiri, sila ikuti langkah demi langkah yang saya kongsikan disini. Tanpa membuang masa, jom kita lihat apa dia komponen yang perlu ada dalam sebuah kertas kerja perniagaan.

 

Executive Summary / Ringkasan Eksekutif

Ringkasan Eksekutif yang anda hasilkan bakal memberikan gambaran keseluruhan tentang pelan perniagaan yang anda telah hasilkan. Anda boleh menulis seksyen ini terlebih dahulu namun perlu dipastikan anda menyemaknya semula setelah anda siap menulis keseluruhan kertas kerja perniagaan anda. Ini untuk memastikan ia memberikan penerangan yang tepat tentang perniagaan anda seperti yang anda fikirkan.

 

Ataupun sebagai alternatif, anda juga boleh menyediakan ringkasan eksekutif ini setelah anda siap menulis isi penuh kertas kerja anda.

 

Ringkasan Eksekutif perlulah straight to the point.

 

Ia harus memasukkan perkara-perkara seperti nama dan lokasi perniagaan anda, maklumat tentang produk dan atau perkhidmatan yang anda berikan. Ia juga harus menyatakan dengan jelas tujuan rancangan perniagaan anda disediakan.

 

Adakah ia untuk menggariskan strategi perniagaan anda; atau apakah bagi tujuan memohon dana, pembiayaan, ataupun untuk menerangkan kepada calon pelabur potensi pulangan apabila melabur pada perniagaan anda.

 

Profil Pengarah Syarikat & Profil Rakan Kongsi

Kertas kerja dan rancangan perniagaan dihasilkan bagi tujuan yang pelbagai. Antara sebab kenapa kertas kerja dihasilkan adalah bagi tujuan

  • Memohon suntikan dana, pembiayaan dan pinjaman perniagaan
  • Ingin mendapatkan pelabur untuk melabur pada perniagaan yang dijalankan
  • Ingin menjual produk atau perkhidmatan kepada prospek
  • Sebagai panduan pemilik perniagaan agar tidak hilang fokus dalam aktiviti perniagaan

 

Memandangkan terdapat pelbagai sebab kenapa kertas kerja rancangan perniagaan dihasilkan, maka anda perlu tahu untuk siapa kertas kerja ini dihasilkan dan siapa yang bakal membaca kertas kerja tersebut.

 

Dalam kebanyakkan situasi, kertas kerja perniagaan yang dihasilkan perlulah mempunyai elemen yang mampu menyakinkan pembacanya, bahawa bisnes yang dijalankan adalah berdaya saing dan mempunyai potensi untuk berjaya.

 

Bagaimana caranya untuk meyakinkan pembaca bahawa bisnes ini sememangnya menguntungkan? Salah satunya adalah melalui profil pengarah syarikat dan individu yang anda senaraikan sebagai rakan kongsi (jika ada). Kepakaran dan pengalaman yang dibawa masuk dalam syarikat memberi impak terhadap hala tuju dan perkembangan syarikat.

contoh-rancangan-perniagaan

proposal-perniagaan

Jika kertas kerja ini ditulis bagi tujuan mendapatkan suntikan dana, anda perlu tunjukkan bahawa individu yang bakal menjalankan perniagaan adalah seorang yang berpengalaman, berwibawa dan mempunyai kepakaran yang diperlukan dalam perniagaan tersebut.

 

Setelah anda melengkapkan maklumat pada bahagian profil pengarah syarikat dan juga profil rakan kongsi (jika relevan) kita akan terus menulis tentang syarikat dan juga perniagaan yang dijalankan.

 

(1) Latar belakang syarikat

Maklumat tentang nama syarikat, jenis syarikat yang ditubuhkan sama ada ianya jenis milikan tunggal, perkongsian, koperasi, Sdn bhd ataupun berhad, bila syarikat tersebut ditubuhkan, tarikh syarikat memulakan operasi perniagaan, dan lain-lain maklumat yang berkaitan dengan syarikat.

 

Pada bahagian ini juga anda boleh masukkan senarai nama pengarah syarikat, modal dibenarkan (jika syarikat jenis Sdn Bhd), maklumat pemegang saham, rakan kongsi dan juga barisan pihak pengurusan.

kertas-kerja-perniagaan

(2) Latar belakang perniagaan

Dalam ruangan ini, kita akan menulis dengan lebih mendalam mengenai aktiviti dan skop operasi perniagaan yang dijalankan oleh syarikat. Bisnes anda terlibat dalam aktiviti yang bagaimana?

 

Apakah aktiviti harian yang dijalankan oleh perniagaan anda? Semua itu anda boleh masukkan dibahagian ini.

 

(3) Maklumat mengenai produk ataupun perkhidmatan yang anda tawarkan

Pada bahagian ini, anda perlu membentangkan secara terperinci mengenai produk ataupun perkhidmatan yang anda tawarkan. Jika apa yang anda tawarkan adalah suatu produk fizikal, anda perlu menerangkan secara terperinci apa produknya, dan jika perkhidmatan anda perlu terangkan bagaimana perkhidmatan tersebut bakal diberikan kepada pelanggan anda.

 

Anda harus memasukkan maklumat tentang struktur harga, maklumat tentang pembekal dan pulangan yang anda rancang untuk hasilkan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan.

 

Sertakan manfaat produk atau perkhidmatan anda, serta mengapa tawaran anda lebih baik daripada syarikat pesaing anda. Selain itu, anda juga boleh memasukkan maklumat paten, hak cipta atau tanda niaga di sini. Jika anda mempunyai rancangan untuk pembangunan bisnes di masa depan, termasuk memperkenalkan rangkaian produk atau perkhidmatan baru, masukkannya dalam bahagian ini juga.

 

(4) Strategi dan kaedah pemasaran

Untuk menulis bahagian strategi pemasaran, anda mungkin perlu lakukan beberapa siri kajian dan penyelidikan terlebih dahulu. Bahagian ini, jika disediakan dengan baik, bakal memberikan gambaran bahawa anda mempunyai pengetahuan yang sangat baik tentang pasaran dan bagaimana anda merancang untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan tersebut.

 

(5) Golongan sasaran untuk perniagaan anda

Kita ambil pendekatan realistik. Tiada satu produk ataupun perkhidmatan yang mampu untuk memuaskan hati semua orang. Ini bermakna, ketika dalam proses menghasilkan rancangan perniagaan lagi, anda perlu jelas siapakah sebenarnya golongan sasaran yang akan mendapatkan produk atau perkhidmatan anda.

 

Kajian pasaran yang anda jalankan pada langkah yang keempat seharusnya memberikan keputusan yang positif dan membuktikan bahawa ditempat yang anda ingin jalankan bisnes tersebut sememangnya terdapat golongan sasaran untuk perniagaan yang anda jalankan.

 

(6) Strategi ringkas pemasaran

Bahagian ini akan menjawab persoalan bagaimanakah produk atau perkhidmatan anda nanti akan dapat menemui golongan sasaran. Apakah strategi pemasaran yang bakal anda gunakan? Adakah dengan menjalankan pemasaran menggunakan radio, iklan televisyen, kain rentang, pemasaran menggunakan medium internet dan sebagainya.

 

(7) Lokasi perniagaan

Disini anda perlu sertakan alamat lengkap dimana perniagaan anda akan dijalankan. Maklumat seperti keluasan premis perniagaan, nama pemilik premis perniagaan, kadar sewa perlu dinyatakan.

 

(8) Faktor kelebihan lokasi yang dipilih

Faktor lokasi adalah faktor yang penting dalam memastikan kejayaan sesebuah perniagaan. Jika anda membaca buku-buku dan bahan rujukan mengenai bisnes, anda akan temui banyak perbincangan yang menyentuh faktor lokasi sebagai perkara penting untuk berjaya dalam perniagaan tersebut.

 

Melainkan jika perniagaan anda boleh dijalankan dimana-mana, atau boleh berjalan sendiri melalui pemasaran secara online, maka faktor lokasi ini boleh dikatakan sudah tidak begitu penting.

 

(9) Pembekal / sumber bekalan & tempoh kredit yang dibenarkan

Nyatakan dari mana anda bakal memperolehi bekalan untuk produk yang anda niagakan. Anda perlu pastikan pembekal yang anda pilih adalah individu ataupun entiti yang boleh dipercayai supaya tidak berlaku masalah terputus bekalan dan sekaligus mengganggu perjalanan bisnes anda.

 

(10) Syarikat pesaing yang beroperasi disekitar anda dan kelebihan

Kewujudan pesaing dalam perniagaan bukanlah sesuatu yang buruk. Ia boleh dijadikan satu penanda aras bahawa jenis perniagaan yang dijalankan sememangnya ada pasaran dan ada permintaan. Kita ambil contoh bisnes jenis restoran, kita boleh lihat dalam satu-satu kawasan ada lebih dari satu restoran.

 

(11) Perincian keperluan pembiayaan yang dipohon

Apakah perincian (details) mengenai pembiayaan yang dimohon? Antara perkara-perkara yang anda boleh masukkan adalah seperti

(i) Perkakasan (Furniture & Fixtures)

(ii) Peralatan (Equipment)

(iii) Pengubahsuaian (Renovation)

(iv) Deposit
– Sewa
– Elektrik & Air
– Telefon
– Lain-lain, Jika ada

(v) Yuran Profesional
– Penubuhan syarikat/ Perkongsian
– Perjanjian bantuan kewangan / Pinjaman
– Perjanjian sewa
– Lain-lain, jika ada

(vi) Insuran

(vii) Stok – Permulaan

(viii) Iklan & Promosi

(ix) Modal Pusingan (3 – 6 bulan beroperasi)

 

(12) Carta Organisasi 

Disini anda akan persembahkan tentang struktur organisasi syarikat anda dalam bentuk yang lebih mudah difahami.

cara-bina-kertas-kerja-perniagaan

(13) Akaun untung rugi bagi tempoh dua tahun pertama perniagaan

Sebaik-baiknya, anda dapatkan khidmat dan bantuan daripada akauntan yang bertauliah apabila menyediakan seksyen kewangan untuk pelan perniagaan anda.

 

Anda telah melakukan kajian yang diperlukan dalam aspek pembangunan produk atau perkhidmatan. Anda juga telah melakukan kajian pasaran bagi mengetahui sama ada perniagaan yang anda jalankan atau yang anda bakal lancarkan nanti mempunyai pasaran dan permintaan atau sebaliknya.

 

Langkah seterusnya dalam proses menghasilkan kertas rancangan perniagaan adalah membuat unjuran untung rugi untuk perniagaan anda. Nombor-nombor disini, perlulah bersandarkan kepada semua data dan maklumat yang anda telah sediakan pada langkah yang terdahulu.

 

Ketika anda menghasilkan akaun untung rugi, anda sepatutnya sudah dapat membayangkan atau menganggarkan berapa banyak jualan yang bakal dihasilkan oleh perniagaan yang anda jalankan jika beroperasi dikawasan yang anda pilih.

 

Sekiranya anda merasakan bahagian ini agak sukar untuk dilakukan atau agak mengelirukan, dapatkan bantuan daripada seseorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang perakaunan.

Baca juga: 18 Cara bagaimana akauntan boleh membantu pemilik perniagaan mengembangkan perniagaan miliknya

 

(14) Unjuran aliran tunai (cash flow) bulanan

Jika anda merasakan sukar untuk hasilkan akaun untung rugi (profit & loss statement) bagi kertas kerja yang anda bakal hasilkan, anda mungkin akan bertambah pening kepala untuk hasilkan unjuran aliran tunai (forecasted cash flow statement) untuk perniagaan anda.

 

Dibawah ini adalah contoh unjuran aliran tunai bulanan untuk perniagaan yang dijalankan.

kertas-kerja-perniagaankertas-kerja-perniagaan

Aliran tunai bagi perniagaan yang anda jalankan perlulah menunjukkan satu angka positif bagi meyakinkan individu yang bakal membaca rancangan perniagaan yang anda hasilkan bahawa anda sedang menjalankan suatu projek atau perniagaan yang benar-benar menguntungkan.

 

Jika kertas kerja ini ditulis bagi tujuan mendapatkan pembiayaan dan juga permohonan dana, penting untuk anda pastikan dengan suntikan dana tambahan itu nanti, perniagaan anda akan jadi bertambah baik.

 

Tunjukkan dalam akaun unjuran aliran tunai ini, dengan adanya suntikan dana tambahan, ia menjadikan aliran tunai bagi perniagaan yang sedang dijalankan jadi bertambah cantik.

 

Langkah-langkah untuk menulis kertas kerja perniagaan ini ditulis setelah saya berbincang dan mendapatkan input daripada akauntan saya, iaitu Pn Diyana.

 

Sekiranya anda perlukan khidmat menulis kertas kerja perniagaan, sama ada bagi tujuan mendapatkan suntikan dana, ingin masuk tender kerajaan, atau untuk sebarang tujuan, saya syorkan anda juga dapatkan khidmat profesional dari beliau.

servis-company-sekretari

Sebarang pertanyaan, boleh terus whatsapp ke nombor beliau di talian +6011-2720 4420.

Anda juga boleh klik ke pautan ini untuk whatsapp Pn Diyana http://urusbisnes.wasap.my/

 

Secara peribadi, kertas kerja perniagaan ini, jika anda tulis bagi tujuan rujukan anda dan juga pasukan pengurusan anda, anda boleh buat sendiri atau gunakan sahaja template kertas kerja perniagaan yang boleh dimuat turun di internet. Ini salah satu laman web yang anda boleh gunakan.

 

Namun, jika kertas kerja perniagaan disediakan untuk matlamat yang lebih besar, misalnya bagi tujuan mendapatkan projek, mendapatkan pelabur atau memohon suntikan dana, saya amat syorkan anda dapatkan khidmat profesional dari akauntan bertauliah seperti Puan Diyana.

 

Setidak-tidaknya anda tak perlu pecah kepala dan buang banyak masa untuk sediakan bahagian kewangan syarikat yang memerlukan anda menyediakan akaun untung rugi dan juga unjuran aliran tunai bagi perniagaan anda.

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: