Ada banyak bisnes yang kononnya menggunakan konsep pemasaran Multi Level Marketing adalah scam dan penipu semata-mata. Saya pernah beberapa kali diminta untuk bantu mempromosikan bisnes seperti ini dalam blog saya menerusi slot perkhidmatan iklan yang saya tawarkan.
Sudah tentulah jawapan saya adalah tidak! Atau yang biasa saya lakukan, saya tak akan balas pun emel yang dihantar. Faham-faham je la, kalau saya tak balas tu, maknanya saya tak minat nak terlibat sama dalam perniagaan yang anda jalankan tu.
Lebih baik saya bantu usahawan lain yang memang buat perniagaan yang jujur dan real business. Contohnya seperti perniagaan homestay di Langkawi dan juga perniagaan kamera terpakai.
Pada pemerhatian saya, hingga ke saat ini, masih ada ramai lagi individu yang terlibat dalam bisnes MLM yang menipu, namun pada masa yang sama, dia tak tau atau tak nampak yang bisnes mereka buat ni adalah bisnes yang menipu.
Kiranya mereka sendiri tak tau yang mereka ni sedang melakukan bisnes yang menipu. Saya pun tak pasti, sama ada mereka ni betul-betul tak tau, ataupun buat-buat tak tau. Almaklumlah duit dah habis beribu-ribu ringgit, jadi nak tak nak, terpaksalah teruskan jugak sampai berjaya. Pepatah melayu kata “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan” atau “genggam bara api biar sampai jadi abu”.
Masalahnya ialah, jika kegiatan seperti ini diteruskan juga, maka kesannya akan lahir lebih ramai penipu dan makin banyak orang yang akan kena tipu. Tak kenal maka tak cinta. Tak kenal, maka tak nampak dimana bahayanya.
Kali ini, jom kita lihat apa dia sebenarnya ciri-ciri yang anda boleh perhatikan (sangat jelas) bagi mengenalpasti sama ada sesuatu peluang bisnes dalam MLM ini adalah bisnes yang SAH atau PENIPU dan SCAM semata-mata. Setelah anda nampak ciri-ciri tersebut, sila nasihatkan kawan tu untuk berhenti dan kalau kawan tu jenis tak boleh dengar nasihat, tinggalkan je dia. Biarlah dia hanyut dengan dunia dia sendiri, asalkan dia tak bawak anda bersama-sama untuk mati lemas.
Bagaimana cara mengenali MLM yang SCAM?
Kalau anda ternampak ada ciri-ciri yang saya sebutkan dalam posting ini, maka berhati-hatilah. Sila selamatkan diri dan duit anda. Jangan buang masa layan mereka-mereka yang buat benda ni, walaupun orang tersebut adalah kawan anda sendiri.
(1) Anda diajak untuk menyertai peluang perniagaan yang cukup misteri
Pada suatu hari, rakan anda menghubungi anda. Kemudian selepas bersembang beberapa minit, dia ajak jumpa untuk kongsi peluang perniagaan. Tetapi, yang peliknya, selepas beberapa kali anda desak dan tanyakan berniaga apa? Dia tak akan jawab.
Jawapan yang anda tetap terima adalah sama sahaja.
“Jumpa nanti aku terangkan…”
“Kita jumpalah dulu, baru senang aku nak cerita, kalau cerita kat phone ni susah sikit nak terangkan…”
Kalau kawan anda tu masih berdolak dalik dan tak berani nak sebut apa perniagaannya, apa nama syarikat, apa produknya, maka tak salah lagi, ini memang bisnes MLM. Most likely, bisnes MLM yang scam yang menipu orang.
Kalau dia buat bisnes yang betul, tak perlu nak selindung-selindung. Sebut je apa nama bisnes yang dia buat. Bukankah itu lebih senang? Contohnya
Aku buat bisnes Shaklee.
Aku buat bisnes simkad Tone Excel.
Aku buat bisnes simkad ONEXOX.
In fact, mereka yang percaya pada bisnes yang dia sedang lakukan sekarang ni, tak akan berselindung tentang apa bisnes yang dia sedang jalankan. Mudahnya begini, dia tahu bahawa bisnes tersebut beri kebaikkan kepada dirinya, dan pada masa yang sama, ia juga akan beri kebaikkan kepada orang lain.
Tapi, kalau diri sendiri pun tak berani nak sebut apa bisnes yang dilakukan, bukankah ini satu petanda bahawa bisnes tersebut bermasalah? Adakah anda sendiri tak yakin dengan perniagaan yang anda jalankan?
(2) Peluang pendapatan yang cukup lumayan dan tak masuk akal
Anda akan dijanjikan peluang pendapatan yang cukup lumayan. Ini salah satu modus operandi mereka.
“Jana pendapatan RM50 ribu sebulan apabila join program ini…”
“Boleh melancong kemana sahaja tanpa perlu risau tentang duit…”
“Lepas ni awak boleh pilih nak kawin dengan sesiapa sahaja sebabnya waktu tu awak dah ada banyak duit…”
“Duduk rumah goyang kaki je, tak payah lagi susah payah nak bekerja duit akan masuk bertalu-talu…”
Lepas ni, jika anda dengar ayat-ayat macam ni, cuba anda tanyakan soalan, bagaimana benda ini boleh berlaku? Minta dia terangkan, bagaimana dengan hanya join program atau bisnes tersebut, boleh dapat RM50 ribu sebulan?
Salah satu jawapan paling bengap yang anda mungkin akan dengar ialah “… join la dulu, baru aku akan cerita macam mana cara nak dapat pendapatan sebanyak tu.”
Orang normal, kalau nak buat sesuatu pelaburan, dia akan baca dulu dan dapatkan semua maklumat yang berkaitan dengan pelaburan yang bakal dijalankan. Contohnya, kalau anda ada RM5,000 dan tak tau nak melabur ke mana. Mungkin anda akan buat perbandingan sama ada nak buat pelaburan di ASB, Tabung Haji, SSPN-i, atau anda ingin melabur dalam pasaran saham. Bila dah betul-betul puas hati dengan maklumat dan potensi pendapatan yang bakal diperolehi, barulah kita mula melabur.
Tetapi, bisnes MLM ni pelik dan terbalik. Dia tak bagi kita sebarang maklumat, tetapi dia mahukan duit kita. Penipu je yang buat kerja-kerja macam ni.
Apapun, jangan lupa untuk minta bukti yang mengatakan bisnes ni betul-betul boleh bantu anda buat duit. Zaman sekarang ni mudah. Masing-masing ada smartphone kan. Bila dia kata boleh dapat banyak duit, suruh dia buktikan kat situ juga.
Login ke sistem Maybank2U atau kalau guna CIMB, masuk ke CIMBClicks. Tunjukkanlah bukti pembayaran yang mengatakan syarikat ada buat bayaran. Berani buat?
Saya selalu cerita dalam blog ini, kalau nak buat duit online, boleh join Program Involve Asia dan promosikan referral program mereka. Kalau buat dengan bersungguh-sungguh pasti boleh dapat komisen. Ini salah satu bukti komisen Involve Asia yang pernah saya terima.
Kalau anda minat nak buat benda ni, boleh buat pendaftaran secara percuma sahaja menerusi pautan ini. Jumlahnya memang tak banyak, namun saya tak perlu menipu dan tak ada masalah untuk buktikan yang program ini memang benar-benar membayar.
Saya rasa ini lebih baik, daripada saya janjikan income sampai puluh-puluh ribu, tapi pada masa yang sama, saya sendiri tak pernah dapat income sebanyak tu.
(3) Anda tak perlu jual barang
Anda tak perlu jual barang, anda tak perlu cari orang, anda tak perlu buat apa-apa. Anda hanya perlu join sahaja. Anda hanya perlu bersetuju sahaja.
Bisnes apa yang tak perlu jual barang? Tak perlu jual servis? Ada ke? Jawapannya sudah tentu tak ada. Dato Aliff Syukri selaku pengasas produk jenama D’Herbs yang dah berstatus jutawan juga perlu jual barang. Tiba-tiba ada pulak orang ni kata tak perlu jual barang pun boleh jadi kaya.
Kalau ada bisnes yang tak meletakkan jualan sebagai prioriti, pasti syarikat tersebut akan gulung tikar. Hanya tunggu masa sahaja untuk ini berlaku.
Sebenarnya memang ada sebab, kenapa mereka kata tak perlu jual barang, tak perlu cari orang dan tak perlu buat apa-apa semua ni.
“Tak perlu jual barang”
Barang tersebut memang tak ada siapa yang nak. Memang tak laku kalau dijual. Ada MLM yang saya jumpa, produk yang dia tawarkan ialah ruang pengiklanan pada laman web syarikat. Orang yang biasa dengan kerja-kerja pemasaran internet, pasti akan nampak benda yang ditawarkan tu langsung tak berguna. Saya pun boleh buat laman web sendiri dan boleh tawarkan ruang pengiklanan saya sendiri. Tak percaya? Boleh tengok sini.
“Tak perlu cari orang”
Sebabnya, orang yang jumpa kita tu yang akan bantu kita cari orang. Iya la… orang tengah bersemangat memang macam tu la. Kalau boleh semua orang dia nak tolong. Nak carikan downline untuk orang lain. Tapi… sampai bila? Silap-silap baru kena reject 10 kali, dah lemah dan dah tak nak buat bisnes tu lagi.
“Tak perlu buat apa-apa”
Bila anda tak buat apa-apa, maka lihatlah, tak ada apa-apa yang anda akan dapat dari bisnes tersebut.
(4) Kononnya bisnes ini tanpa risiko
Setiap perniagaan pasti ada RISIKO. Risiko ini boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Perkara ini yang jarang diterangkan dalam mana-mana bisnes jenis MLM. Jadi saya nak kongsikan secara ringkas kepada anda apa dia risiko dalam perniagaan yang mungkin anda akan lalui terutama sekali bila berkaitan dengan bisnes berbentuk MLM.
Risiko pengurusan perniagaan. Adakah syarikat mempunyai business plan? Apakah rancangan pemasaran yang dilakukan? Adakah syarikat akan iklankan perniagaan menggunakan billboard? Televisyen? Radio? Internet atau akan berkolaborasi dengan mana-mana artis?
Risiko undang-undang. Adakah syarikat tersebut mematuhi peraturan dan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam undang-undang? Adakah syarikat mempunyai lesen perniagaan yang SAH? Bagaimana jika satu hari nanti, syarikat disiasat oleh polis? Kena serbu dengan Bank Negara Malaysia misalnya?
Risiko operasi perniagaan. Kilang tutup. Pekerja ramai yang berhenti. Produk yang dihasilkan ada masalah dan kecacatan. Semua ini akan berikan risiko kepada perniagaan dan ia berpunca dari syarikat itu sendiri.
Risiko kewangan. Berlaku apabila syarikat gagal untuk membayar hutang-hutang dengan pihak bank dan pihak pemberi pinjaman. Kebanyakkan syarikat akan buat pinjaman bank apabila ingin mengembangkan lagi perniagaan. Namun jika mereka gagal untuk bayar balik, syarikat boleh diistiharkan bankrap dan perlu menutup operasi setelah mencairkan kesemua aset yang ada.
(5) Hanya Manager sahaja yang boleh terangkan
Orang lain tak boleh terangkan. Kalau terangkan juga, anda akan dikira telah lakukan kesalahan yang besar. Sebab tu kalau anda perasan, orang yang ajak join bisnes MLM macam ni, selalunya memang tak akan dedahkan apa-apa maklumat tentang bisnes yang dibuat pada kita, sebelum kita datang jumpa manager.
Biasanya masa sesi penerangan dijalankan, kawan kita tu cuma duduk tepi jadi tukang angguk dan tukang iya sahaja. Apa punya usahawan la macam ni… kalau setakat tukang angguk dan tukang sokong macam tu.
(6) Anda kena buat keputusan sekarang juga
… dan keputusan tersebut mestilah SETUJU sahaja. Jika tidak, anda akan dipaksa, dipujuk dan bila semua ini tak mendatangkan sebarang hasil, tunggulah! Anda akan dikeji, dimaki, diherdik dan mungkin dihina.
Anda akan dihina sebab kerja makan gaji.
Anda akan dihina sebab tak pernah bercuti ke luar negara
Anda akan dihina sebab tak bercita-cita tinggi.
Anda akan dihina dan dilabel sebagai anak tak guna sebab tak nak bawa ibu ayah pergi haji.
Ya, dialog dan skripnya sama sahaja. Walaupun setelah 10 – 20 tahun berlalu. Memang cuma ini sahajalah modal yang mereka ada agaknya.
Cuba bandingkan pula dengan bisnes lain. Dalam konsep bisnes lain, kalau prospek tu tak minat atau tak nak beli, kita akan move on dan cari sahaja prospek lain yang lebih memerlukan. Bukannya kita hina dan maki orang yang tak nak beli produk kita.
Baca juga: 10 SEBAB kenapa orang benci Bisnes MLM
(7) Ada unsur paksaan untuk sertai pakej yang paling MAHAL
Kadang-kadang anda setuju nak join sebab anda dah bosan dengan sikap kawan anda. Anda sekadar nak tolong, dan nak suruh kawan anda tu senyap. Supaya semuanya boleh berakhir kat situ jugak. Anda malas nak panjang-panjangkan lagi topik.
Anda silap. Sebaliknya anda akan dipujuk, dipaksa dan akan cuba di brainwash untuk join pakej yang paling MAHAL. Jika anda tak ada duit, anda akan dipaksa untuk buat pinjaman.
(8) Anda dijanjikan untuk dapat bantuan 100%
Apakah bentuk bantuan yang anda akan perolehi? Apa yang biasa berlaku ialah, sebelum anda join, anda akan dijanjikan dengan pelbagai bentuk bantuan, latihan dan sebagainya. Namun, selepas anda join, anda akan dibiarkan sendirian dan diminta untuk berdikari dan usaha sendiri.
Kononnya ini adalah sebahagian daripada latihan yang anda perlu lalui untuk menjadi usahawan atau businessman yang berjaya. Nak jadi businessman tak boleh manja, dan kalau anda tak boleh buat, anda akan dibiarkan dan mula disisihkan.
Ya, benda ni memang berlaku. Malahan ianya kerap berlaku.
Untuk berlaku adil, ada juga keadaan yang mana peserta sendiri yang memilih untuk senyap dan tak minta bantuan. Ini juga kerap berlaku dalam bisnes jenis MLM. Kita tak tau apa masalah dia, apa bantuan yang diperlukan, dan bila ditanya ada apa-apa yang boleh dibantu, alasannya ialah sibuk memanjang dan tak ada masa.
(9) Perniagaan tersebut tidak mempunyai produk atau produk yang langsung tak ada kualiti
Bisnes MLM yang menipu ni, mereka tak begitu mementingkan tentang produk atau servis yang bakal diterima oleh pelanggan. Sesetengahnya langsung tidak mempunyai produk, dan apa yang mereka ada hanyalah marketing plan. Itu sahaja.
Dalam marketing plan itu pula hanya menunjukkan bagaimana duit bertukar tangan dari individu pertama sampailah ke individu seterusnya. Itu sahaja. Tiada sebarang produk yang terlibat. Jika ada produk sekalipun, kita tak pernah dengar produk tersebut.
Jika syarikat tersebut terlibat dalam bidang kesihatan, anda mungkin akan lihat produk yang dijual sangatlah AJAIB dan tak masuk akal. Contohnya sebuah mesin pintar yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Pesakit perlu duduk pada alas yang disambung dengan wayar selama beberapa minit. Seterusnya semua jenis penyakit sama ada penyakit kencing manis, kanser, sakit jantung dan sebagainya juga boleh disembuhkan.
Cuma yang peliknya, kalau betul mesin ni sangat berkuasa, kenapa kita tak nampak mesin-mesin seumpama ini di hospital-hospital swasta mahupun hospital kerajaan? Sepatutnya peralatan-peralatan macam ni, pihak hospital dulu yang akan beli dan bukannya orang biasa macam kita.
(10) Ada banyak benda yang tak kena pada wakil jualan
Dari segi luaran, memang ada banyak benda yang tak kena dengan perjalanan bisnes tu. Semua ini memang boleh dilihat jelas tanpa perlu kita susah payah nak menyelongkar dengan lebih mendalam.
Tempat berkumpul adalah di kedai-kedai mamak sebab kedai mamak ni buka 24 jam. Jadi mudah untuk buat brainwash ketika mangsa sedang letih atau mengantuk sebab kena stay sampai pukul 3 – 4 pagi.
Pakaian memang smart tapi kedekut nak mampus. Kalau makan kat kedai mamak kena bayar sendiri-sendiri. Kalau ada aktiviti tengok wayang sama-sama atau main boling sama-sama pun kena bayar sendiri.
Kebanyakkan yang join adalah golongan pelajar dan juga mereka yang tak mempunyai latar belakang perniagaan. Bagaimana orang yang tak ada pengalaman dalam bidang perniagaan boleh uruskan perniagaan? No wonder cara bisnes mereka ni pun pelik dan banyak yang tak syariah compliance.
Melihatkan situasi kita di Malaysia, kebanyakkan MLM yang penipu dan scam ini, semuanya bermula daripada individu yang SAMA. Beliau sangat licik dan cukup bijak memancing individu yang tamak untuk jadi kuda tunggangan yang akan bantu diri dia kembangkan MLM yang scam ini.
Selepas satu program diperkenalkan, diserbu, ditutup, akan muncul pula program yang lain. Dalangnya tetap orang yang sama. Saya tak tau, kenapa undang-undang negara kita seperti tak boleh nak sentuh individu tersebut.
Namun apa yang boleh kita lakukan, ialah jangan sokong dan jangan terjebak dengan skim yang dia perkenalkan. Semuanya tipu belaka. Peringatan telah diberikan dan kalau masih ada yang tetap degil, tetap nak join maka padahnya tanggunglah sendiri.
Memang tolak mentah-mentah kalau orang cakap buat duit goyang kaki.Bolehla goyang kaki kalau duit dah berkepuk. Kalau baru nak mula dah goyang kaki terang terang menipu.Tu sebab bisnes MLM jadi bad reputation sebab mereka tak buat jualan, asyik suruh cari orang je.Bukan semua tapi yang nak kerja senang selalu buat macam tu.
Setuju. Itulah masalahnya. Ahli MLM tu sendiri yang buatkan bisnes ni nampak teruk. Lagipun, buat jualan bukannya satu benda yang keji. Lebih keji kalau menipu tak perlu buat jualan, tapi bila dah join, tetap kena terima hakikat yang kita kena buat jualan.
selagi ada sambutan skim penipuan selagi itu scammer akan berleluasa meluaskan operasi mereka…
Benda yang tak baik, kena sama-sama banteras 😀
Assalamualaikum tuan,
Saya nak komen dari sisi yang berbeza sikit. Taknak komen tentang MLM yang menipu dan scam ini, tapi saya nak komen sikit pasal mereke yang tertipu dengan program-program scam ni.
Kadang-kadang pelik dengan mereka yang mudah sangat kena tipu dengan program scam. Lepas tu, pergi buat report kata kena tipu. Tapi tak sedar yang diri tu kurang cerdik, satu lagi pemalas.
Kurang cerdik sebab tak boleh nak berfikir dan mudah sangat percaya dengan program-program macam ni. Kononnya, boleh dapat duit lumayan hanya dalam beberapa bulanlah, dan macam-macam lagi.
Dan di situ juga menunjukkan betapa pemalasnya golongan sebegini sebab nak kaya cara mudah. Taknak usaha lebih. Yang tahu, keluar modal ribu-ribu, nak untung juta-juta, dalam beberapa bulan sambil goyang kaki depan tv kat rumah.
cuba tuan tengok ig usaha.sendiri.. adakah itu dikira scammer or mlm.. sebab bnyk feedback dari artis dan lain. mereka pun ada jual barang
Saya lihat sekali lalu, mereka kata mereka gunakan kaedah pemasaran dropship. Wallahua’lam.