Blog Sabree Hussin

Awas! Trik Penipu di Ebay

Laman web ebay pernah menjadi satu portal perniagaan berkonsepkan ecommerce yang paling berpengaruh satu ketika dulu. Kebanyakkan peniaga-peniaga online akan berkumpul di ebay, dan menjadikan platform ini sebagai medium pilihan UTAMA untuk menjual barangan dagangan mereka.

 

Satu perkara yang bagus tentang ebay ini ialah, laman web tersebut mempunyai bilangan pengunjung yang sangat ramai. Mereka semua mempunyai kuasa membeli yang sangat tinggi. Para pengunjung yang melayari laman web ebay, adalah untuk membeli barang ataupun untuk menjual barang. Menerusi portal ebay ini juga, kita dapat berurus niaga dengan bakal pelanggan dari seluruh dunia, yang turut menggunakan laman web ebay untuk mendapatkan barangan keperluan mereka.

 

Ini bermakna, peluang untuk buat duit dengan lebih lumayan terbuka luas. Kita dapat menjalankan transaksi dalam matawang USD, Great Britain Pound, Euro dan sebagainya. Apabila melibatkan kadar pertukaran wang, kita sebagai peniaga di Malaysia ada peluang untuk buat duit 3 kali ganda atau 5 kali ganda lebih banyak berbanding menjual kepada pelanggan di Malaysia.

 

Tapi AWAS! Jika anda tak berhati-hati, atau jika anda tidak mempunyai pengetahuan yang baik semasa melakukan transaksi di ebay, anda berpotensi untuk kena tipu dan rugi besar.

Ini antara intipati yang terkandung dalam buku berjudul Awas! Trik penipu di ebay ini. Buku ini diterbitkan oleh PTS Professional Publishing dan cetakan pertama buku ini adalah pada tahun 2011.

 

Realitinya, penipuan di internet bukan hanya berlaku di portal ebay sahaja. Selagi kita masih lagi menggunakan internet untuk berkomunikasi dan menjalankan transaksi secara online, selagi itu kita terdedah dengan risiko penipuan. Sebab itu saya sanggup luangkan masa nak baca buku ini. Saya nak tahu dengan lebih mendalam dari sudut pandang dan pengalaman penulis buku ini, apa dia bentuk-bentuk penipuan yang boleh dan pernah berlaku dalam transaksi secara online.

 

Mari kita lihat apa yang dimuatkan dalam buku berjudul Awas! Trik penipu di ebay ini.

 

BAHAGIAN 1: CERITA PENIPUAN DI EBAY
Bab 1 Golongan Penipu
Bab 2 Penipuan di portal Lelong.com
Bab 3 Penipuan di portal ebay Malaysia
Bab 4 Penipuan di portal ebay

 

Bahagian satu ini membincangkan tentang contoh-contoh penipuan yang pernah dilaporkan kepada pihak ebay. Ia berlaku bukannya kerana kelemahan pada sistem ebay itu, tetapi kerana naluri sifat jahat manusia yang sanggup untuk melakukan penipuan untuk mengaut untung yang lebih banyak.

 

BAHAGIAN 2: STRATEGI PENJUAL MENIPU DI EBAY
Bab 5 Kos penghantaran yang tinggi
Bab 6 Tajuk dan deskripsi yang mengelirukan
Bab 7 Penipuan melalui pembida
Bab 8 Penipuan Second Chance Offer
Bab 9 Penipuan gambar produk
Bab 10 Penipuan produk tiruan

 

Secara peribadi, saya pernah cuba untuk menjual beberapa barang di laman web ebay. Walaubagaimanapun, kesemua barang yang saya cuba jual, langsung tak ada pembeli!

 

Ok… nampaknya memang ada yang tak kena dengan strategi pemilihan barang yang saya ingin jual pada ketika itu. Dalam post kali ini, rasanya saya tak nak ulas tentang pengalaman saya tak berjaya menjual barang di ebay, sebaliknya saya nak share tentang topik yang sama, yang diulas oleh penulis buku ini dalam bab 5 iaitu kos penghantaran yang tinggi.

 

Sebagai seorang yang bercita-cita tinggi untuk mencipta nama dalam persada ebay, sudah tentu saya juga sentiasa mencari-cari cara, bagaimana nak mendapatkan pendapatan yang maksima dengan berurus niaga di ebay. Kalau yang dah biasa berurusan di ebay, pasti anda tahu, ada beberapa yuran (fee) yang kita kena bayar kepada ebay. Antaranya Insertion Fee (IF) iaitu yuran untuk memasukkan barang dalam listing ebay dan juga Final Value Fee (FVF), iaitu yuran yang dikenakan sekiranya listing yang kita buat berjaya convert kepada sale.

 

Jadi bagaimana nak tingkatkan lagi pendapatan di ebay?

 

Buat untung tambahan pada handling and shipment fee. Bahagian ini adalah bahagian yang pihak ebay tak kacau sangat, dan sesetengah pembeli di ebay, ada yang tak semak benda ni sebelum buat pembelian. Ada sesetengah seller di ebay yang akan mengenakan caj pengurusan dan penghantaran produk yang sangat tinggi sebab nak buat untung berganda disini.

 

Walaupun strategi ini nampaknya memang boleh buat duit, namun ianya masih dikira strategi yang agak keji untuk buat duit lebih. Hakikatnya caj penghantaran adalah percuma sahaja (jika menggunakan khidmat dropship dari China) tapi kita mengenakan caj pula kepada pelanggan yang membida barangan kita di ebay. Kan tak patut tu. Bukannya tak boleh letakkan caj disitu, cuma biarlah berpatutan.

 

BAHAGIAN 3: STRATEGI PEMBELI MENIPU DI EBAY
Bab 11 Memancing maklumat (phishing)
Bab 12 Penembak tepat (sniper)
Bab 13 Penipuan barang rosak
Bab 14 Penipuan melalui pembida
Bab 15 Penipuan “tiru macam saya”

 

Jangan ingat penjual je yang jahat kat ebay. Sebenarnya, golongan pembeli pun ada yang jahat jugak. Pada bahagian 3 ini, anda akan lihat contoh-contoh kejahatan dan penipuan yang pernah dilakukan oleh pembeli.

 

Saya tertarik dengan bab 15 iaitu strategi penipuan oleh pembeli yang dinamakan “tiru macam saya”. Benda ni bukan sahaja berlaku di laman web ebay, sebaliknya boleh berlaku di mana-mana platform jualan secara online. Sama ada anda menggunakan lelong ke, mudah.my, lazada, atau apa sahaja portal. In fact, kalau anda guna blog pun boleh terkena benda ni.

 

Ia bermula dengan situasi yang sangat mudah.

Seorang pembeli ni biasa beli barang secara online. Pada satu hari, dia rasa yang dia nak mencuba juga berniaga secara online dan buat duit tambahan secara online. Jadi, dari pembacaan yang dia lakukan, dia tahu yang dia boleh buat duit dengan menjual produk di internet. Dalam konteks perbincangan ini, dia nak menjual di ebay.

Selepas sekian lama menjadi pembeli di ebay, kali ini dia tekad untuk jadi seorang penjual. Masalahnya ialah, dia tak berapa pandai dan masih kurang dari segi pengalaman. Lalu apa yang dia buat?

Dia pun mula mencari jalan singkat.

Katakanlah dia berminat nak jual Pokeball Powerbank, sebabnya produk ni tengah hot dan viral sekarang. Dari kajian dia dapati laman web ini ada menjual produk tersebut. Jadi dia pun beranggapan yang dia boleh jadikan laman web tersebut sebagai supplier.

Sekarang ni nak mula menjual kat ebay.

Tetapi dia tak berapa pandai nak buat ayat-ayat jualan yang menarik. Apa yang dia akan buat seterusnya? Mudah. Dia cari mana-mana penjual yang ada menjual produk yang sama, lepas tu dia pun copy paste semua sekali yang ditulis oleh penjual lain, dan jadikan isi kandungan dari dia sama sebiji 100%. “Tiru macam saya” la katakan.

 

Situasi yang sama pun kerap berlaku dalam bidang penulisan blog. Orang lain tulis blog, dia pun nak menulis jugak. Tapi, orang ni tak berapa mahir menulis. Dia selalu rasa tak ada idea nak tulis apa. Sebenarnya rahsia nak dapat banyak idea menulis ialah kena banyak membaca buku. Kalau tak banyak membaca, memang agak sukar nak dapat idea-idea baru.

Berbalik kepada kisah peniru dalam bidang penulisan ni. Jalan pintas untuk dia dapat banyak konten bagi blognya ialah dengan meniru sahaja hasil kerja atau hasil penulisan orang lain. Semuanya di “copy and paste” sahaja. Ya, memanglah anda dapat konten untuk blog anda, tetapi konten tersebut bukannya asli. Anda adalah produk tiruan!

 

BAHAGIAN 4: PENIPUAN PIHAK KETIGA
Bab 16 Pembekal dan dropshipper
Bab 17 Paypal

 

Kadang-kadang, penipu bukannya dari kalangan penjual mahupun pembeli. Sebaliknya, adalah dari kalangan pembekal! Terutama sekali bagi mereka yang menggunakan konsep bisnes dropship dalam perniagaan online mereka. Ini salah satu sebab kenapa anda WAJIB ada pengetahuan yang luas mengenai konsep bisnes dropship.

 

BAHAGIAN 5: BANTUAN EBAY
Bab 18 Berkomunikasi dengan pihak ketiga
Bab 19 Resolution Center eBay
Bab 20 Barang tidak dibayar

 

Sebarang masalah yang berlaku di ebay sepanjang anda melakukan transaksi, biasanya ada jalan penyelesaiannya. Asalkan anda sentiasa mengikuti panduan dan tetapan yang telah digariskan oleh pihak ebay. Sebagai pembeli, anda sebenarnya dilindungi oleh pihak ebay dan jika terbukti anda ditipu oleh peniaga yang scam, anda juga berpeluang untuk dapat balik wang anda. Syaratnya? Kena ikutlah apa peraturan yang dah ditetapkan oleh ebay.

 

Ianya ada diceritakan dalam buku ini. Kata kuncinya ialah, selagi mana anda masih lagi berkomunikasi dan berinteraksi menerusi platform ebay, anda masih boleh diselamatkan.

 

Ini buatkan saya terfikir mengenai transaksi dalam talian yang kerap berlaku pada hari ini. Pembeli pada hari ini, begitu yakin untuk berjual beli hanya menerusi facebook, instagram dan lain-lain media sosial. Dalam contoh transaksi menggunakan Facebook misalnya, apakah perlindungan yang ada pada pihak pembeli? Lepas penjual berjaya menipu dan mendapatkan duit dari pembeli, dia boleh terus block, padam akaun FB dan melarikan diri. Anda boleh ucapkan selamat tinggal kepada wang anda buat selamanya.

 

Ini ternyata berbeza dengan transaksi di ebay.

 

Mereka yang menggunakan ebay sebagai medium untuk melakukan transaksi secara online, cukup takut kalau-kalau akaun mereka menerima feedback negatif. Kalau yang memang bergantung pada ebay sepenuhnya untuk berjual beli, mereka cukup bimbang kalau akaun ebay mereka kena gantung atau diberhentikan. Jika ini berlaku, maka terjejaslah sumber pendapatan mereka.

 

Kan ini sangat berbeza dengan situasi berjual beli di media sosial. Tak perlu risau apa-apa. Kalau page kena report boleh bina page yang baru. Kalau ada pelanggan tak puas hati, boleh block sahaja pelanggan tersebut.

 

Ok la… sebenarnya buku Awas! Trik penipu di ebay ini adalah buku kedua tulisan Eruwan Gerry Norsen yang saya dah baca. Buku beliau sebelum ini yang saya baca dan pernah kongsikan dalam blog ini adalah buku berjudul Usahawan Makan Gaji.

 

Baiklah, semoga review dan perkongsian ini bermanfaat untuk anda. Jika minat nak dapatkan buku ini, boleh klik sini. Harga jual untuk semenanjung Malaysia ialah RM15 sahaja. Sementara stok masih ada!

 

 

Exit mobile version