Tahukah anda bahawa membaca buku juga memerlukan teknik, strategi, dan ia ada seninya yang tersendiri?
Kalau anda masih lagi baca buku dengan cara biasa, atau cara lama, besar kemungkinan buku-buku yang ada dalam simpanan anda, akan terus tersimpan dan takkan habis dibaca.
Apalah gunanya, kita ada banyak buku dalam simpanan kita, tapi kalau kebanyakkannya kita tak pernah baca. Mungkin ada yang masih dalam pembalut, dan kita tak pernah usik sejak kali pertama beli dulu.
Membaca dengan cara lama tu macam mana?
Cara lama yang saya maksudkan disini ialah, membaca dengan menyebut sepatah demi sepatah perkataan yang ditulis. Macam masa zaman kita masih sekolah dulu.
Bila cikgu suruh baca sesuatu petikan atau perenggan, kita akan baca dengan kuat dan menyebut setiap patah perkataan satu per satu. Cuma dalam konteks kita sekarang, kita tidaklah membaca dengan kuat, tapi cukup sekadar dapat didengari telinga kita sendiri.
Saya bukanlah nak kata cara membaca seperti ini tak betul, tetapi seperti yang anda juga patut sedia maklum, membaca seperti itu akan memakan masa yang agak lama.
Bila terlalu lama masa yang diperlukan, maka akan banyaklah buku yang tak sempat kita baca.
Uniknya dalam buku Art of Reading ini ialah, penulis ada melontarkan satu persoalan, yang pada saya tepat mengenai sasarannya…
“Mengapa 90% buku yang dibeli tidak habis dibaca & cara mengatasinya?”
Jawapan untuk persoalan tersebut, sebenarnya ada pada anda.
Anda lebih tahu, kenapa anda tak berjaya untuk habiskan baca buku-buku yang anda pernah beli.
Namun, sekiranya anda berminat untuk pelajari cara untuk mengatasinya, buku ini memberikan anda jawapannya.
Untuk menjadi seorang pembaca yang strategik, yang berupaya untuk membaca sampai habis setiap buku yang kita beli, atau pinjam, kita perlu belajar mengkategorikan buku-buku mengikut dua kriteria utama, iaitu penting dan mendesak.
Kalau dalam bahasa Inggeris, istilahnya ialah Important dan Urgent.
(1) Penting dan mendesak
Buku dalam kumpulan ini biasanya adalah buku-buku yang kita perlu baca bagi tujuan menyelesaikan tugasan tertentu.
Jika kita adalah seorang pelajar, kita perlu membuat pembacaan sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan.
Jika kita seorang pekerja, mungkin ada bahan bacaan yang kita perlu baca dan fahamkan isi kandungannya, kerana kita ditugaskan untuk membuat pembentangan dihadapan klien.
(2) Penting tapi tak mendesak
Dalam kategori ini ialah buku-buku yang bila kita baca, ia dapat memberi banyak manfaat dalam bentuk ilmu yang berguna kepada kita, namun jika kita tak membacanya, ianya tidaklah sampai menjejaskan kualiti hidup kita.
Ilmu yang terkandung dalam buku yang saya maksudkan ini pula berguna sama ada dalam
i. Kerjaya kita.
ii. Kekeluargaan
iii. Kehidupan seharian
iv. Hal-ehwal agama & ibadat
Buku dalam kategori ini, mengandungi ilmu-ilmu yang penting dan berguna, tapi dia tak begitu mendesak dalam kehidupan seharian kita.
Kalau kita tak baca pun tak ada masalah.
Dalam konteks kerja misalnya, walaupun kita kurang membaca, namun jika kita masih boleh buat kerja macam biasa, kita masih lagi akan menerima bayaran gaji seperti yang dijanjikan.
Kalau kita adalah pekerja dalam kelas bawahan, kita boleh sentiasa bertanya kepada supervisor, jika ada sebarang isu yang kita tak tahu.
Pertambahan ilmu dan maklumat baru dapat menjadikan kita lebih cekap dalam melaksanakan tugasan kita, namun dari segi pertambahan pendapatan, gaji yang kita perolehi mungkin tidak berubah.
Melainkan kalau kita dinaikkan pangkat.
Begitu juga dengan hal ehwal agama.
Kalau kita tak mendalami bab agama pun tak memberi sebarang kesan yang begitu ketara dalam hidup kita. Pada bila-bila masa, kalau ada kekeliruan dalam bab agama, kita boleh bertanya terus kepada orang yang ahlinya.
Cuba tanya soalan ini kepada diri anda sendiri.
Bila agaknya kali terakhir anda membaca bahan bacaan dalam topik agama?
(3) Tak penting tapi mendesak
Buku dalam kategori ini pula adalah buku yang biasanya kita pinjam, sama ada dari kenalan atau dari perpustakaan.
Kadang kita pinjam bahan bacaan seperti novel, atau buku-buku non fiksyen sebagai bahan bacaan ringan. Tapi disebabkan buku ini hanya pinjaman, sampai masa ia perlu dipulangkan.
Apabila buku tersebut mula mendekati tarikh akhir pinjaman, ianya akan menjadi semakin mendesak untuk dibaca.
(4) Tak penting dan tak mendesak
Buku-buku dalam kategori ni biasanya adalah seperti majalah, komik dan sebagainya.
Untuk buku berjudul Art of Reading ini, saya ingin kongsikan bahagian yang saya kira menarik, mengikut bab.
Ada bab yang saya kira kandungannya biasa sahaja, atau yang saya dah pernah tahu sebelum ini, saya tak masukkan dalam perbincangan disini.
Bagi mereka yang mungkin berminat untuk mengikuti kandungan penuh buku ini, saya amat mengesyorkan untuk anda dapatkan buku berjudul Art of reading ini.
Terpulanglah, sama ada anda nak beli di kedai-kedai buku berhampiran anda, beli secara online ataupun boleh pinjam sahaja di perpustakaan.
Saya akan terus mulakan dengan bab 3.
Bab 3 – Halangan mental dalam proses membaca
Meskipun kita tahu membaca itu bermanfaat, mengapa masih ramai yang tidak membaca?
Timbul persoalan, apa sebenarnya yang membuatkan seseorang itu memilih untuk tidak membaca?
Rasanya tak perlulah kita bincangkan secara panjang lebar, apakah kelebihan dan manfaat yang bakal diperolehi daripada aktiviti membaca. Tapi yang anehnya, walaupun membaca itu ada terlalu banyak manfaat, masih ramai orang yang memilih untuk tak membaca.
Ini menunjukkan bagi sesetengah orang, halangan itu lebih besar berbanding manfaat yang bakal diperolehi.
Setiap orang memiliki halangan yang berbeza. Ada orang dia memikirkan bahawa membaca ini adalah suatu perkara yang sia-sia, sebab dia fikirkan yang buku yang bakal dibaca itu nanti pasti tak akan berjaya dihabiskan.
Bila nampak buku yang tebal, terus dia rasa hilang motivasi untuk membaca.
Namun bagi mereka yang suka membaca, buku-buku yang tebal itu dapat membangkitkan semangat dirinya untuk membaca.
Ada juga yang berpendapat, baca buku ni hanya buang masa.
Pada saya, ini merupakan satu kenyataan yang tak tepat.
Akhirnya, ia sebenarnya bergantung kepada jenis buku dan bahan bacaan yang dibaca. Kalau buku yang dibaca itu memang buku yang tak bermanfaat, yang merosakkan minda, maka saya bersetuju kalau dikatakan membaca buku tersebut sebagai membuang masa.
Tapi ini hanya terpakai untuk buku yang spesifik itu sahaja.
Tak bolehlah kita pukul secara rata, membaca buku itu sebagai membuang masa dan tak berfaedah.
Bab 4 – Agar membaca menjadi lebih efektif
Dalam bab ini penulis membincangkan mengenai kaedah bagaimana untuk menjadikan proses pembacaan itu jadi lebih efektif.
Aktiviti membaca itu sepatutnya merupakan suatu aktiviti yang menyenangkan dan menyeronokkan. Tapi bagi sesetengah individu, mereka tak nampak dimana keseronokkan yang dapat diperolehi daripada aktiviti membaca.
Oleh sebab itu, selaku pembaca anda perlu mempunyai kaedah yang boleh digunakan bagi membaca dengan lebih efektif.
(1) Tetapkan matlamat membaca
Pertama sekali, kita perlu jelas dengan apa matlamat yang kita nak capai dari pembacaan sesebuah buku.
Adakah anda membaca untuk belajar sesuatu yang baru?
Anda ingin mencari inspirasi?
Anda hanya mahu mengisi masa terluang?
Apabila anda jelas dengan matlamat, anda boleh terus fokus pada bahagian yang relevan dengan anda dan sekaligus dapat menjimatkan masa anda daripada perlu membaca bahagian yang tak penting.
(2) Gunakan teknik membaca pantas
Teknik membaca pantas dapat membantu anda memahami isi buku dengan lebih cepat tanpa perlu menyebut setiap perkataan.
Fokus pada kata kunci atau frasa penting, dan cuba untuk tidak mengulang bacaan.
Terdapat beberapa kaedah membaca pantas yang boleh kita praktikkan, dan teknik tersebut ada diajarkan dalam buku ini.
(3) Kategorikan buku mengikut kepentingan
Bagi buku yang penting dan mendesak, berikan perhatian segera. Usahakan untuk luangkan masa untuk baca buku dalam kategori ini.
Pastikan buku ini sentiasa ada berdekatan atau sentiasa anda bawa kemana-mana. Setiap kali ada sedikit masa terluang, cuba capai dan baca buku tersebut.
Ubah sedikit tabiat melihat smartphone ketika ada masa terluang dan gantikannya dengan membaca buku.
Bagi yang tidak mendesak, baca mengikut masa yang sesuai. Anda juga boleh bahagikan buku kepada bahagian-bahagian kecil dan menetapkan masa tertentu untuk membacanya setiap hari.
(4) Baca dalam tempoh masa pendek dengan penuh konsentrasi
Daripada cuba membaca dalam tempoh yang lama, pecahkan sesi membaca anda kepada masa yang lebih pendek, contohnya 15-30 minit.
Pastikan anda memberi tumpuan penuh semasa membaca dan elakkan gangguan seperti telefon bimbit atau TV.
Kalau rasa susah untuk terus membaca dengan penuh fokus untuk tempoh masa 15 minit, boleh mula dengan 10 minit sahaja.
(5) Buat nota atau penanda
Semasa membaca, tandakan bahagian yang penting atau buat nota di tepi halaman. Ini akan membantu anda mengingati idea-idea utama dan membuat rujukan semula dengan mudah.
(6) Gunakan teknik SQ3R
Teknik ini merujuk kepada istilah Survey, Question, Read, Recite, Review
Penerangannya adalah seperti dibawah
i. Survey (tinjau)
Lihat keseluruhan struktur buku seperti tajuk, sub-tajuk, dan ringkasan.
ii. Question (tanya)
Fikirkan beberapa soalan berdasarkan tajuk atau topik sebelum mula membaca.
Kalau semua soalan yang ada telah anda tahu jawapannya, mungkin tak perlu baca buku tersebut.
iii. Read (baca)
Baca dengan tujuan menjawab soalan-soalan yang telah anda tetapkan.
iv. Recite (ulang)
Ulangkan fakta-fakta penting untuk memastikan anda memahami apa yang dibaca.
v. Review (tinjau semula)
Selepas membaca, tinjau semula maklumat untuk menguatkan ingatan anda.
(7) Membaca secara aktif
Membaca secara aktif ini adalah apabila anda membaca secara kritikal dan memberi respon kepada bahan bacaan.
Anda boleh bertanya soalan, mencari contoh lain untuk menguatkan pemahaman, dan membuat perbandingan dengan pengalaman sendiri.
Orang yang membaca secara aktif ini lazimnya akan cuba berinteraksi dengan bahan bacaan yang sedang ditelaah.
Bila dia pegang sebuah buku, dia akan lihat isi kandungan buku tersebut, dan pada masa yang sama dia akan ajukan beberapa soalan yang berkaitan dengan buku tersebut.
Sambil dia membaca, sambil tu dia akan cari jawapan bagi persoalan yang dia ajukan diawal-awal tadi.
(8) Elakkan gangguan
Pastikan persekitaran membaca anda bebas daripada gangguan. Ini termasuk mematikan notifikasi telefon, memilih tempat yang tenang, dan membaca pada masa anda paling fokus, seperti awal pagi atau lewat malam.
(9) Gunakan penanda waktu
Tetapkan masa tertentu untuk membaca, misalnya 25 minit dengan rehat 5 minit. Teknik ini dikenali dengan nama teknik Pomodoro. Ini membantu meningkatkan konsentrasi dan menjadikan bacaan lebih produktif.
(10) Rehat secara berkala
Jangan paksa diri membaca dalam tempoh masa yang panjang tanpa berehat.
Otak memerlukan rehat untuk memproses maklumat dengan lebih baik. Rehat seketika selepas setiap sesi membaca akan membantu anda menyegarkan fikiran.
Bab 5 – Meningkatkan konsentrasi ketika membaca
Oleh sebab kita mungkin tak ada masa yang banyak untuk diluangkan bagi tujuan membuat pembacaan, justeru penting untuk kita tahu kaedah yang boleh meningkatkan konsentrasi kita ketika membaca.
Walaupun kita mungkin cuma ada 15 minit sahaja untuk membaca, biarlah 15 minit benar-benar berkualiti dan kita dapat fokus pada kandungan buku tersebut.
Ibarat macam kita tengok movie. Durasi sesebuah cerita tu mungkin 2 jam. Kalau kita nak menonton dan menikmati filem tersebut, kita perlu tengok dengan penuh konsentrasi.
Memang betul, kalau nak berikan fokus 100% selama 2 jam itu sesuatu yang mustahil. Tapi kita patut tahu, tahap konsentrasi kita sendiri berada pada tahap yang mana.
Andai kata, kita hanya perlukan tahap konsentrasi 60% dan pada tahap tersebut kita masih mampu untuk memahami dan menghayati kandungan buku yang kita baca. Maka itu sudah cukup memadai.
Realitinya kita memang agak sukar untuk fokus seratus peratus. Kadang-kadang persekitaran kita tu tidak begitu menggalakkan, dengan adanya bunyi dari televisyen, smartphone dan sebagainya.
Bab 6 – Meningkatkan amalan membaca
Bagaimana kita nak tukar tabiat kita, daripada seorang yang kurang membaca kepada banyak membaca?
Pertama sekali, kita perlu timbulkan rasa suka dan minat membaca itu sendiri.
Rasionalnya, hanya orang yang suka kepada membaca yang akan cari masa untuk membaca.
Kemudian, kita cuba renungkan kembali, apakah aktiviti yang kita lakukan dalam seharian kita. Boleh jadi dalam banyak-banyak perkara yang kita lakukan, sebenarnya ada perkara yang kurang penting tapi kita luangkan masa yang terlalu lama untuk tujuan tersebut.
Misalnya
1. Main game
2. Menonton filem
Oleh kerana masa yang kita ada adalah terhad, maka suka ataupun tidak, kita perlu mula mengagihkan masa kita untuk tujuan yang lebih mendatangkan manfaat.
Akhirnya, ia akan berbalik kepada persoalan bagaimana cara kita menguruskan masa.
Bab 8 – Perbezaan antara pembaca yang baik dan buruk
Dalam bab ni, penulis ada kongsikan beberapa perkara yang biasa akan dilakukan oleh pembaca yang baik. Kiranya, kalau anda lakukan perkara ini, In Shaa Allah anda akan dapat lebih manfaat daripada pembacaan yang anda lakukan.
Antara perkara yang dicadangkan, dan mungkin secara tak sedar, anda juga mungkin pernah buat selama ini.
(1) Ulang pembacaan
Ulang semula pembacaan bagi buku yang memang betul-betul bermanfaat. Ulang pembacaan ini boleh meningkatkan kefahaman dan kita boleh ingat banyak perkara yang dimuatkan dalam buku tersebut.
(2) Mempelbagaikan cara pembacaan
Ada bahagian yang kita cuba baca dengan perlahan, ada yang kita baca dengan laju, dan ada yang kita baca dengan menggunakan suara yang agak kuat.
(3) Kenali penulis
Kita akan lebih faham kandungan sesuatu buku, kalau kita kenali siapa penulis yang menulis buku tersebut.
Bila kita mengenali siapa penulis, kita akan lebih mudah untuk membezakan, sama ada apa yang ditulis itu merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis, ataupun ia memang benar-benar fakta yang tak boleh disangkal.
Kalau sekadar pandangan peribadi, kita boleh mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza.
Kadang-kadang kita juga akan jumpa penulis lain, yang tak bersetuju dengan pandangan penulis yang kita gemari.
(4) Latar masa penulisan dilakukan
Bila buku itu ditulis akan mempengaruhi informasi yang dimuatkan dalam buku tersebut. Sebagai contoh buku yang ditulis pada tahun 1936 mungkin ada beberapa informasi yang dimuatkan didalamnya yang sudah tidak relevan.
Kalau ada beberapa informasi yang anda tidak setuju, ini bukan bermaksud penulis telah melakukan kesalahan. Boleh jadi, perkara tersebut adalah benar dan menjadi lumrah pada tahun ianya ditulis.
Tapi setelah masa berlalu, ianya sudah tidak lagi diamalkan dan dipraktikkan oleh masyarakat setempat.
(5) Buat pembacaan tambahan
Satu perkara yang saya suka dengan buku ialah, penulis biasa akan menyediakan satu halaman khusus yang menyenaraikan semua buku yang dijadikan rujukan dalam menyiapkan penulisan buku tersebut.
Biasanya senarai rujukan ini akan ditandakan dengan halaman index.
Kalau anda minat dengan topik yang dibincangkan, dan anda ingin membuat pembacaan tambahan, boleh cuba baca buku-buku yang turut dijadikan rujukan oleh penulis buku.
(6) Tinggalkan bahagian yang sukar difahami
Bila kita baca sesebuah buku, pasti akan ada satu ketika, kita menemui bahagian yang agak sukar untuk kita fahami. Kalau kita ulang pembacaan sekalipun, kita tetap tak faham.
Sebabnya ialah, kita tak ada ilmu mengenai bidang atau perkara yang dibincangkan.
Bila berjumpa dengan bahagian seperti ini, kita teruskan sahaja pembacaan. Bahagian yang kita kurang faham itu nanti, kita boleh tandakan dan kalau ada masa, kita boleh buat pembacaan lain.
(7) Memberi komen atau review mengenai buku
Kalau kita baca sesebuah buku, dengan penuh konsentrasi, pasti kita boleh berikan review dan juga komen terhadap buku tersebut.
Tak semestinya kita perlu suka dengan buku tersebut.
Tak semestinya juga kita perlu bersetuju dengan penulis.
Kadang-kadang kita mungkin ada pandangan dan pendapat berbeza berbanding penulis.
Tapi setidak-tidaknya, dengan membaca buku yang dikarang oleh penulis tersebut, kini kita menyedari tentang kepelbagaian yang terdapat yang melingkari sesuatu isu.
(8) Kaitkan dengan pengalaman lain
Benda ini kita boleh lakukan, kalau kita benar-benar faham kandungan buku yang kita baca. Kita cuba untuk kaitkan dengan pengalaman tertentu, yang mungkin kita lalui sendiri, ataupun yang pernah dilalui oleh orang lain.
Ataupun, bila kita melalui sesuatu pengalaman, yang hampir sama seperti yang pernah kita baca dalam buku, cuba kita berhenti sejenak dan cuba mengenang kembali apa yang dimuatkan dalam buku yang kita baca.
Dengan ini, kefahaman kita terhadap kandungan yang kita baca akan jadi lebih baik dan sedikit sebanyak kita akan dapat mengingat semula apa yang kita baca.
Kesimpulannya
Kalau anda benar-benar serius dan berazam untuk membaca lebih banyak buku, serta ingin membaca semua buku yang anda pernah beli sebelum ini, saya syorkan anda baca buku ini.
Menerusi buku ini, anda akan didedahkan dengan beberapa teknik untuk baca buku dengan pantas. Sebenarnya dekat luar sana, ada banyak juga buku yang membincangkan tentang teknik untuk membaca dengan pantas.
Selain buku ini, diluar sana masih ada buku lain yang membincangkan topik yang lebih kurang sama, yang andna boleh jadikan sebagai rujukan.
Apa yang penting, teknik membaca dengan pantas tu, anda tahu macam mana nak guna dan anda tahu bila perlu dipraktikkan.
Dari situ barulah anda boleh gandakan jumlah buku yang berjaya anda baca.
Ya, baca dari mula sampai habis.
Satu perkara yang saya rasa agak terkilan ialah bila saya jumpa buku ni agak lambat. Kalaulah saya jumpa buku ini dari dulu, mungkin pada hari ini, jumlah buku yang saya baca lebih banyak dari sekarang.
Tapi itu hanya satu kemungkinan sahaja.
Boleh jadi, kalau saya tahu tentang kewujudan buku ini lebih awal, saya akan jadi seorang yang lebih banyak membaca, atau sebenarnya tak ada banyak perbezaan pun.
Bercakap mengenai kemungkinan ini, dia boleh jadi macam-macam kebarangkalian. Jadi saya rasa tak ada keperluan untuk kita panjangkan isu ini.
Sebagai seorang yang suka membaca, saya amat menyarankan anda untuk baca buku ini, atau apa-apa buku yang ditulis bagi tujuan berkongsi maklumat dan pengetahuan tentang strategi membaca buku dengan laju.
Buku berjudul The Art of Reading ini ditulis oleh Muhd Firdaus dan diterbitkan oleh Synergy Media.
Boleh dapatkan di kedai buku berhampiran atau pinjam dari perpustakaan.
Yakinlah, bahawa kehidupan kita akan jadi lebih baik dan bermakna, apabila kita jadi seorang yang cintakan ilmu, dan seorang yang suka membaca.
Leave a Reply