10 Prinsip Asas Kejayaan Sesebuah Bisnes ini di ilhamkan daripada sesi temubual yang dijalankan oleh Pavlina Papalouka bersama Dr John Demartini.
Siapa Dr John Demartini?
Dia merupakan seorang penceramah profesional, penulis buku, dan juga merupakan seorang konsultan perniagaan.
Temubual asal boleh dibaca di laman blog Pavlina’s Blog dengan tajuk The Ten Basic Principles of Business Success – Interview with Dr John Demartini.
Jika ada dalam kalangan pembaca yang berminat untuk membaca artikel asal, boleh search tajuk artikel diatas di laman search engine Google ya.
Memang sengaja saya tak letakkan pautan kepada artikel asal, sebab saya nak anda baca apa yang saya tulis. Bukan apa yang ditulis oleh penulis asal. Okay?
Menurut John Demartini, ada 10 perkara atau prinsip asas yang boleh menjadi tonggak kepada kejayaan sesebuah perniagaan.
1. Kenalpasti apa yang diperlukan (keperluan) oleh pasaran
John Demartini ni ada bercerita yang semasa dia berusia 9 tahun, dia pernah bertanya kepada bapanya, sama ada dia boleh buat sedikit duit dengan melakukan apa-apa kerja untuknya. Tapi pada waktu tersebut, semua perkara yang diperlukan telahpun siap dilakukan.
Jadi, bapanya pun mencadangkan kalau nak buat duit, cuba tanya dengan jiran-jiran, kalau ada apa-apa kerja yang dia boleh lakukan.
Menuruti nasihat bapanya, dia pun pergi berjumpa dengan jiran-jiran, bertanya sekiranya, ada atau tidak apa-apa yang mereka perlukan, ada tak apa-apa masalah yang mereka hadapi yang boleh dibantu?
Melalui tindakan bertanya kepada jiran tersebut, dan dengan kesanggupan untuk memberi perkhidmatan serta meminta kerja, dia berjaya mendapatkan duit.
Jadi ini adalah prinsip pertama yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang ingin menjadi usahawan.
Kenalpasti keperluan dan cuba penuhi keperluan tersebut sama ada secara terus atau secara tak langsung.
Dengan kata lain, sama ada anda
i. Menawarkan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan tersebut
ii. Menggunakan skil dan kepakaran anda untuk menyelesaikan masalah
iii. Menjual produk yang boleh mengisi keperluan tersebut.
Jika anda tak mempunyai keupayaan dan kepakaran tersebut sekalipun, anda boleh menjadi ejen, wakil jualan atau broker yang boleh memenuhi keperluan tersebut.
Keperluan apa yang ingin dipenuhi
Apakah sebenarnya perkara yang menjadi keperluan setiap orang?
Manusia ini sebenarnya memiliki sekurang-kurangnya 28 perkara yang mereka perlukan dalam hidup mereka.
Baca: 28 perkara yang pelanggan anda perlukan tapi mereka cuba sembunyikan
Bila bercerita tentang keperluan, jangan terkeliru dengan satu lagi istilah, iaitu kemahuan. Keperluan (needs) dan kemahuan (wants) ada perbezaan yang ketara.
Keperluan ini mempunyai ciri berikut iaitu
i. Ia merupakan perkara asas yang diperlukan oleh manusia bagi membantu survival individu tersebut
ii. Keperluan adalah sesuatu yang wajib ada.
iii. Apabila suatu keperluan tak dipenuhi, ia akan memberi impak negatif seperti boleh mengakibatkan kerugian, mengalami kesakitan dan dalam situasi yang lebih ekstrem boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
iv. Keperluan seseorang itu lazimnya tak akan berubah sepanjang hayatnya.
Bagaimana cara untuk mengenalpasti suatu keperluan?
Kita andaikan, yang anda memang tak tahu cara untuk mengenalpasti sama ada wujudnya permintaan terhadap sesuatu keperluan atau tak. Maka disini saya akan berikan beberapa cadangan perkara yang mungkin anda boleh cuba lakukan.
(1) Berinteraksi secara langsung dengan pelanggan
Tanya terus kepada bakal pelanggan atau mereka yang pernah menjadi pelanggan anda.
Sama macam apa yang dilakukan oleh John Demartini. Bila dia nak tahu, apakah keperluan bakal pelanggan (jiran-jiran) dia terus bertanya kepada mereka.
Bila dia dah tahu apakah perkara yang jiran-jiran perlukan, barulah dia tawarkan khidmat yang sesuai dengan keperluan tersebut.
(2) Kajian pasaran
Kalau dalam konteks kita pada hari ini, kajian pasaran yang kita boleh lakukan bagi mengenalpasti keperluan bakal pelanggan adalah melalui
i. Media sosial
Anda boleh sertai pelbagai FB Group dan lihat apakah perkara yang sering dijadikan topik perbincangan dalam group tersebut.
Kalau ada banyak orang bertanya perkara yang sama, atau berbincang topik yang lebih kurang sama, ini menandakan wujudnya permintaan terhadap perkara tersebut.
ii. Kajian kata kunci
Dalam kajian kata kunci (keyword research), kita akan cuba kenalpasti apakah kata kunci yang paling banyak dicari oleh pengguna internet.
Kajian kata kunci boleh dilakukan menggunakan tools seperti Google Keyword Planner, Ubersuggest, ahrefs dan banyak lagi tools.
iii. Meminta pelanggan menjawab borang soal selidik
Jemput bakal pelanggan untuk menyertai sesi survey. Berikan hadiah percuma, seperti diskaun voucher, kepada bakal pelanggan yang sudi untuk menyertai sesi soal selidik tersebut.
iv. Layari laman web forum
Laman web forum membenarkan ahlinya bertanya soalan, berbincang, dan memberi respons kepada pertanyaan ahli yang lain. Laman web yang mempunyai ciri seperti ini adalah seperti Quora, Reddit, Yahoo Answer,
(3) Analisis trend yang berlaku dalam industri
Kaji apakah trend yang sedang berlaku dalam pasaran. Sebagai contoh, satu masa dulu orang ramai suka menginap di hotel apabila pergi bercuti.
Kemudian muncul trend baru, iaitu menginap di kediaman jenis guesthouse seperti Airbnb. Jika anda mempunyai fleksibiliti untuk mengikut trend ini, anda juga berupaya untuk buat duit melalui trend ini.
(4) Analisa pesaing anda
Sentiasa alert terhadap apa-apa tindakan yang dilakukan oleh pesaing anda. Mereka ini mungkin mengetahui atau menerima maklumat baru yang hanya mereka sahaja yang tahu.
Cuba cari apakah rasional disebalik tindakan yang dilakukan oleh pesaing anda. Jika pesaing anda melancarkan produk baru, mungkin mereka ini telahpun membuat kajian sebelum melancarkan produk tersebut.
Proses untuk membuat kajian pasaran memang agak memakan masa. Namun, ia sangat penting untuk dilakukan, bagi mengelakkan anda memulakan bisnes dalam bidang yang silap.
Tahap persaingan
Ada ketikanya, boleh berlaku satu keadaan dimana keperluan itu memang wujud. Anda juga memang telah bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, bagi memenuhi keperluan tersebut.
Akan tetapi… anda dapati tiada siapa yang datang menghubungi anda untuk mendapatkan khidmat dari anda. Maka dalam hal ini, ada faktor lain yang perlu anda perhatikan, misalnya berkenaan dengan persaingan.
Jika dalam suatu pasaran terdapat terlalu banyak individu atau syarikat lain yang mampu untuk memenuhi keperluan pelanggan, ia boleh jadi punca kenapa perniagaan anda tak berkembang dan sukar untuk memperolehi pelanggan.
Ini bukan bermakna anda tak bagus.
Tetapi pesaing anda lebih pantas bertindak dalam mendapatkan pelanggan berbanding anda.
Justeru, dalam proses membuat kajian pasaran, anda juga perlu membuat kajian sejauh mana tahap persaingan dalam pasaran tersebut.
Apakah keperluan bakal pelanggan anda?
Saya sentuh sedikit mengenai keperluan bakal pelanggan. Keperluan ini kita boleh kelaskan mengikut kategori seperti
i. Keperluan asas
Keperluan asas ini merangkumi perkara seperti makanan, tempat tinggal, pakaian, ubat-ubatan, pendidikan, keselamatan dan lain-lain yang menyumbang kepada survival seseorang.
Cadangan bisnes yang sesuai dijalankan adalah seperti bisnes restoran, bisnes makanan, bisnes rumah sewa, farmasi, kelas tusyen, dan sebagainya.
ii. Kemudahan dan keselesaan
Manusia juga memerlukan sesuatu yang dapat memudahkan urusan, menjimatkan masa, menjimatkan tenaga, menjimatkan wang dan sebagainya.
Cadangan bisnes adalah seperti servis penghantaran, servis penghantaran makanan, servis mencuci, servis pembersihan.
iii. Hiburan
Seseorang juga perlukan hiburan dalam hidupnya. Hiburan ini sebenarnya penting untuk ketenangan jiwa, mengurangkan stress, menghilangkan tekanan kerja dan sebagainya.
Setiap orang perlukan hiburan. Namun terserah atas kebijaksanaan seseorang untuk memilih apakah bentuk hiburan yang mereka akan pilih.
iv. Perkembangan hidup
Perkembangan hidup ini sama ada dari sudut peribadi atau profesional yang mana ia akan memberi impak terhadap kerjaya yang dibina.
Permintaan terhadap produk atau perkhidmatan yang dapat meningkatkan keupayaan, pengetahuan dan skil seseorang dalam sesuatu bidang sentiasa ada.
Cadangan bisnes adalah dalam bidang latihan, kelas, seminar, kursus dan sebagainya.
v. Kesihatan dan kesejahteraan
Manusia juga semakin peka terhadap aspek penjagaan kesihatan. Pada hari ini, mereka bukan sahaja ingin menjaga kesihatan diri mereka, malahan termasuk kesihatan keluarga dan juga orang tersayang.
Cadangan bisnes adalah bisnes makanan tambahan, peralatan senaman, produk kesihatan, peralatan dan kelengkapan sukan dan sebagainya.
Perkhidmatan apa yang dikehendaki
Bisnes berasaskan perkhidmatan adalah salah satu bentuk bisnes yang boleh memberikan pulangan yang sangat baik.
Setelah anda mengetahui wujudnya permintaan terhadap suatu keperluan, besar kemungkinan anda akan dapati bentuk bisnes yang paling sesuai untuk dimulakan adalah bisnes berasaskan perkhidmatan.
Boleh anda fikirkan, apakah contoh-contoh bisnes berasaskan perkhidmatan yang anda mampu jalankan?
Masalah apa yang dihadapi
Bakal pelanggan anda mempunyai suatu masalah yang spesifik dan setiap hari mereka ini mencari cara dan ikhtiar yang boleh membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.
i. Kenalpasti masalah yang dihadapi oleh golongan sasaran.
“Susah nak menonton siaran atau movie kegemaran sebab sibuk dengan kerja, dan jadual harian yang tak menentu.”
ii. Berikan jalan penyelesaian yang memang berkesan bagi masalah tersebut.
“Wujudkan sebuah portal yang boleh digunakan untuk sreaming movie dan menonton video kegemaran pada bila-bila masa.”
Apabila anda dapat kenalpasti sesuatu masalah, dan mampu menyelesaikan masalah tersebut dengan efisien dan efektif, maka anda mempunyai idea perniagaan yang dapat dikomersialkan.
2. Cari apa yang anda suka buat
Anda perlu cari dan kenalpasti apakah perkara yang memberi inspirasi kepada anda untuk melakukan sesuatu. Setiap orang pasti mempunyai sesuatu perkara yang dia suka untuk lakukannya.
Perkara seperti itu lazimnya adalah perkara yang dia sanggup lakukan, dengan sebaik mungkin, walaupun tak menerima sebarang bayaran untuk lakukannya.
Jika anda perlu keluarkan kos tambahan, untuk meningkatkan skil dan pengetahuan dalam bidang tersebut, juga anda sanggup untuk lakukannya.
Kemudian, apa kata anda cuba padankan perkara yang anda suka lakukan tersebut dengan keperluan pasaran.
Sebagai contoh, seseorang yang suka menulis, akan merasa sangat bermotivasi untuk menawarkan khidmat penulisan kepada klien yang memerlukan khidmat darinya.
Orang lain mungkin menganggap kerja penulisan sebagai satu kerja yang perlu disiapkan semata-mata, tapi bagi individu yang cintakan bidang ini, dia melihat kerjaya penulis sebagai sesuatu yang sangat memberi inspirasi dan seronok untuk dijalankan.
3. Kenalpasti tindakan yang anda perlu beri prioriti untuk capai matlamat tersebut
Untuk mencapai sesuatu matlamat perniagaan, anda perlu sedar bahawa setiap tindakan dan juga keputusan yang bakal diambil akan mempunyai impak terhadap perniagaan anda.
Bukan itu sahaja, jika anda memilih untuk tak ambil apa-apa tindakan, ianya juga akan memberi implikasi terhadap bisnes anda.
Hal ini kita boleh belajar dari syarikat Kodak yang pernah menjadi dominan dalam bidang fotografi di dunia.
Sewaktu dunia sudah mula bertukar kepada teknologi digital, Kodak mengambil masa yang lama untuk melakukan tindakan yang signifikan dan bertukar kepada teknologi digital. Akhirnya, mereka terpaksa bersaing dengan syarikat seperti Canon dan Nikon yang merupakan syarikat pengeluar kamera yang fokus kepada teknologi digital.
Akhirnya Kodak terpaksa akur dan menyerah kalah terhadap persaingan yang begitu sengit dalam era digital.
Kalaulah, dari awal lagi mereka (Kodak) dapat memberi prioriti terhadap suatu tindakan yang betul, boleh jadi syarikat ini akan terus wujud dan mungkin masih dapat mendominasi pasaran kamera.
4. Delegasi tugasan yang kurang penting
Masa, tenaga dan kepakaran anda terlalu berharga.
Jangan bazirkan ia untuk anda lakukan perkara yang kurang penting.
Apa kelebihan dan manfaat untuk lakukan delegasi?
(1) Anda boleh fokus kepada perkara lain yang lebih penting
Ini merupakan kelebihan paling jelas, untuk anda lakukan delegasi.
(2) Delegasi dapat memberi hasil kerja yang lebih kreatif
Terdapat sebahagian kerja yang memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk disiapkan. Kerja seperti ini boleh memakan masa yang lama, jika anda merupakan seorang yang secara semulajadi, bukan orang yang kreatif.
Sudahlah perlu masa yang lama, hasilnya tak kreatif pula.
Justeru, lebih baik anda delegate kerja tersebut kepada agensi, atau freelancer yang memang sedia mahir dengan kerja tersebut.
(3) Anda menyerahkan tugas kepada orang lain yang lebih pakar
Ada orang risau untuk lakukan delegasi sebab nanti akan dapat hasil kerja yang tak berkualiti. Sebenarnya cara fikir ini silap. Orang lakukan delegasi sebab orang tersebut adalah orang yang memang pakar dengan kerjanya.
Kalau anda delegate tugas kepada orang yang tak ada kepakaran, itu bukan salah delegasi. Itu salah diri anda sendiri yang tak tahu memilih orang yang sepatutnya.
(4) Delegasi dapat mengurangkan beban kerja
Apabila bisnes semakin berkembang, peranan dan tanggungjawab anda juga akan jadi semakin besar. Bagi memastikan anda dapat meletakkan prioriti ditempat yang betul, maka anda perlu lebih banyak melakukan delegasi.
Anda melakukan delegasi bukanlah kerana anda menganggap suatu pekerjaan itu kurang penting. Ianya adalah kerja-kerja yang penting untuk dilakukan, cuma anda memilih untuk tidak melakukannya sendiri.
Siapa kata anda perlu buat semua kerja, perkara atau tugasan tertentu sendiri?
Anda patut pertimbangkan untuk delegasi, upah pekerja, atau mungkin outsource kerja kepada pihak ketiga.
Baca juga: 10 sebab anda perlu outsource sebahagian proses bisnes anda.
5. Bina struktur perniagaan yang memaksimumkan keuntungan
Lihat semula struktur perniagaan yang anda bina.
Tanya semula pada diri anda.
Adakah perniagaan yang anda jalankan ini mempunyai struktur yang betul atau anda menjalankan perniagaan mengikut kata hati sahaja?
Bagaimana dikatakan sesuatu perniagaan itu mempunyai struktur yang bagus?
1. Ada business plan
Adakah perniagaan yang anda jalankan ini, mempunyai business plan? Business plan ini juga dikenali dengan nama kertas rancangan perniagaan.
Saya yakin, kebanyakkan perniagaan diluar sana, memang mempunyai kertas rancangan perniagaan. Namun persoalannya, bilakah kali terakhir anda mengemaskini pelan dan rancangan perniagaan anda? Adakah semua perkara dalam pelan rancangan tersebut masih relevan?
Atau sebenarnya ada beberapa perkara yang sudah tak dapat dilakukan.
Pada pandangan saya, kertas rancangan perniagaan ini perlu dikemaskini, update dan upgrade apabila ada keperluan. Ataupun apabila berlaku perubahan rancangan dan struktur.
Baca: Langkah demi langkah menulis business plan
2. Pemilihan jenis pendaftaran perniagaan yang betul
Ketahui jenis perniagaan yang boleh dijalankan di negara kita. Antaranya adalah seperti
i. Milikan tunggal
ii. Perkongsian
iii. Koperasi
iv. Syarikat persendirian
v. Syarikat awam berhad
3. Model perniagaan yang tepat
Terdapat beberapa bentuk model perniagaan yang anda boleh pilih, antaranya
i. Bisnes tradisional
Kalau diluar negara, konsep bisnes ini dikenali dengan istilah brick and mortar, yang mana pemilik bisnes mempunyai bangunan fizikal serta premis perniagaan dalam menjalankan bisnes.
Antaranya termasuk bisnes restoran, gerai makan, kiosk, dan sebagainya.
ii. Bisnes online
Seiring dengan berkembangannya teknologi IT, kita juga boleh memulakan bisnes sendiri tanpa perlu ada premis perniagaan.
Bagaimana cara memulakan perniagaan walaupun tanpa kedai?
Jawapannya adalah melalui kedai maya atau kedai online.
Anda menjalankan perniagaan menggunakan laman web, blog, laman minisite, sistem e-commerce ataupun platform online marketplace.
iii. Bisnes berasaskan konsep langganan
Atau dikenali dengan istilah subscription-based model.
Model perniagaan seumpama ini semakin menjadi pilihan dewasa ini. Dengan berkembangannya teknologi digital, turut memberi impak positif terhadap model perniagaan berasaskan konsep langganan ini.
Lihat sahaja contoh perniagaan seperti Netflix, Disney+ hostar, audible dan banyak lagi.
Pelanggan membuat bayaran untuk melanggan perkhidmatan untuk tempoh masa tertentu. Untuk terus menggunakan perkhidmatan tersebut, pelanggan perlu terus membuat langganan.
4. Bisnes anda mempunyai tawaran produk, atau perkhidmatan yang solid
Produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan juga memainkan peranan yang penting.
Pelanggan memilih anda berbanding pesaing kerana mereka percaya pada produk dan jenama anda.
5. Anda mempunyai pekerja yang berkebolehan serta berkemahiran tinggi
Pilih individu yang betul-betul berkebolehan untuk menjadi pekerja disyarikat anda. Seseorang yang diterima bekerja, adalah mereka yang memang ada kepakaran, memiliki sikap yang baik dan mempunyai motivasi kerja yang tinggi untuk membangunkan lagi syarikat.
6. Ada organisasi yang berfungsi dan cekap
Syarikat atau perniagaan anda mempunyai organisasi dan jabatan yang cekap. Setiap jabatan saling bekerjasama untuk menaikkan lagi prestasi syarikat.
Pastikan tidak wujud pertindihan bidang kerja antara setiap individu.
Jika ada pertindihan tugas, yang mana ada banyak orang melakukan tugas yang sama, sedangkan kerja tersebut boleh dilakukan oleh satu orang sahaja, maka rombakan kerja perlu dijalankan.
Dalam suatu struktur yang bagus, sebarang bentuk pembaziran dari segi duit, sumber, masa, dan tenaga dapat dielakkan. Pastikan semuanya diguna dengan sepenuhnya.
6. Simpan sedikit daripada keuntungan dalam bentuk yang mudah digunakan
Dalam perjalanan anda membina sebuah perniagaan, anda mungkin akan diuji dengan masalah kewangan dan juga masalah ekonomi.
Simpan sedikit keuntungan hasil perniagaan anda dalam bentuk aset yang mudah digunakan atau yang mudah untuk dicairkan. Tindakan ini akan memberikan anda lebih kestabilan dan fleksibiliti dalam urusan perniagaan anda.
Setidak-tidaknya anda tak perlu sentiasa bergantung kepada pinjaman atau pembiayaan kewangan setiap kali ada masalah kewangan.
7. Laburkan sebahagian daripada wang anda
Tujuan membuat pelaburan adalah supaya wang yang anda perolehi itu nanti akan bekerja untuk anda.
Jika anda tak membuat sebarang pelaburan, anda mungkin perlu bekerja seumur hidup anda, semata-mata untuk mencari lebih banyak wang atau mengekalkan tahap pendapatan sedia ada.
Pelaburan yang tepat dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan.
Sebagai contoh anda melabur untuk membeli peralatan dan mesin yang dapat menambahkan lagi jumlah produk yang dapat dikeluarkan dalam satu masa.
Ataupun mungkin anda melabur untuk mendapatkan tenaga kerja yang lebih mahir dan mempunyai kepakaran tertentu.
Dengan ini, pekerja yang baru ini akan membawa masuk kepakaran baru kepada syarikat anda.
Selain itu, anda juga boleh melabur dari segi memberi latihan kepada pekerja sedia ada.
Melalui pelaburan tersebut, pekerja anda akan memperolehi kepakaran dan ilmu baru.
Boleh jadi anda melabur untuk mendapatkan pendapatan pasif.
Ini boleh berlaku melalui pembelian saham yang menawarkan pulangan dividen ataupun pelaburan hartanah yang dapat memberikan pulangan dalam bentuk kutipan sewa.
Istilah pelaburan bagi sesebuah perniagaan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.
Dari segi asasnya, pelaburan ini dibuat bagi tujuan mengembangkan lagi modal sedia ada. Jadikan wang yang dimiliki itu bekerja untuk anda dan juga perniagaan anda. Itu lebih baik daripada membiarkan ia hanya berada dalam akaun dan tidak berkembang.
8. Penerangan tentang produk dan servis anda mudah difahami
Walaupun produk anda menggunakan teknologi terkini yang paling canggih, namun anda perlu menerangkan tentang produk anda dengan cara yang mudah untuk difahami oleh pelanggan anda.
Hanya apabila mereka (bakal pelanggan) betul-betul faham apa yang produk anda mampu lakukan, barulah mereka akan lebih percaya dan yakin dengan tawaran anda. Bila dah yakin, dah percaya… barulah mereka akan beli.
9. Kembangkan visi anda terhadap perniagaan
Perniagaan yang anda bina, akan berkembang bergantung kepada sejauh mana besarnya visi anda terhadap perniagaan tersebut.
Sebuah kedai runcit kampung, yang bersaiz kecil, tak akan mampu berkembang menjadi sebuah pasaraya besar, jika pemiliknya tak mempunyai suatu visi untuk mengembangkan bisnes tersebut.
Sebaliknya, ia akan kekal kecil sampai bila-bila dan tak mustahil ianya akan tenggelam dan dikalahkan oleh pesaing baru jika anda tak mengembangkan visi anda.
Saiz bisnes anda akan terhad mengikut visi anda tentang bisnes anda. Maka tak hairanlah apabila bisnes keluarga yang merupakan bisnes turun temurun ada yang lingkup, kerana individu yang mengambil alih perniagaan tersebut tak mempunyai visi yang besar.
10. Sentiasa lakukan inovasi dan kajian
Oleh kerana dunia sentiasa berubah, maka anda juga perlu bersedia untuk melakukan inovasi dan kajian bagi memastikan perniagaan anda kekal relevan dan sentiasa berada di hadapan.
Kita patut ambil pengajaran dan pelajaran dari sejarah.
Sejarah mengajar kita, terdapat banyak perniagaan yang satu masa dulu sangat gah, akhirnya jatuh tersungkur dan memfailkan bankruptcy, disebabkan mereka lambat melakukan perubahan.
Adakalanya anda tak mempunyai pilihan lain, selain melakukan perubahan.
Jika anda tak melakukan perubahan, pihak pesaing yang akan lakukannya. Apabila syarikat pesaing lebih mendapat tempat dihati pelanggan, maka bersedialah untuk menghadapi masa depan yang lebih sukar.
Penutup
Walaupun apa yang dibincangkan disini merupakan suatu perkara yang asas dalam membina sebuah perniagaan yang berjaya, namun ia tidaklah semudah yang disangkakan.
Apa pun, kita kukuhkan yang asas, dan mudah-mudahan akan lebih mudah hadapi cabaran di masa akan datang.
Apabila asas sesebuah perniagaan itu cukup kukuh, barulah kita bicarakan soal untuk menggunakan teknik dan pendekatan yang lebih advance!
Semoga bermanfaat.
Hafizul says
Yup..betul tu..pilih yang mana minat dan ada semangat nak buat..hehe