Panduan Bekerja Dari Rumah

by sabree hussin on July 1, 2016

in Bekerja dari rumah

Salah satu topik paling hangat yang berlegar di ruang maya adalah topik tentang “bekerja dari rumah”. Ramai sebenarnya yang mencari-cari panduan bekerja dari rumah yang tepat dan dapat membantu mereka untuk menghasilkan pendapatan tambahan dari rumah.

 

Walaubagaimanapun, dalam proses mencari panduan bekerja dari rumah yang boleh dipercayai, mungkin ada segelintir antara kita yang tersilap membuat pilihan hingga akhirnya terjerumus dalam skim ataupun program yang scam sahaja. Niat asal nak buat duit, alih-alih diri sendiri yang kehilangan duit.

 

Bagi mengelakkan daripada anda tertipu dengan mana-mana program yang kononnya menjanjikan anda peluang pekerjaan dari rumah, namun sebelum anda layak untuk diterima sebagai pekerja, anda diwajibkan untuk membuat sejumlah bayaran tertentu, maka saya hasilkan perkongsian ini.

 

Mudah-mudahan dari post ini dapat beri anda pencerahan dan dapat bantu anda untuk buat keputusan yang tepat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keputusan yang besar dan implikasi kewangan.

jadi-pengguna-bijak

(1) Potensi Pendapatan Bekerja Dari Rumah

Saya nak mula dengan topik yang seronok dulu. Kita cerita pasal potensi pendapatan. Berapa sebenarnya pendapatan yang bakal anda hasilkan apabila bekerja dari rumah nanti?

 

Untuk soalan ini, sebenarnya tak ada jawapan yang khusus dan spesifik. Ia bergantung kepada siapa majikan yang akan mengambil anda untuk bekerja. Adakah majikan anda adalah seseorang yang berada di luar negara atau individu tempatan?

 

Jika anda bekerja untuk majikan dari luar negara, lazimnya pendapatan yang anda bakal perolehi adalah dalam matawang USD. Manakala jika majikan anda adalah seseorang yang berasal dari negara kita, maka pendapatan anda adalah dalam matawang RM.

 

Kelebihan bekerja untuk majikan yang berada di luar negara sudah tentu adalah dari segi kadar tukaran matawang dari USD ke RM. Kita andaikan kadar tukaran matawang ialah USD 1 bersamaan dengan RM4. Jika anda hanya dibayar USD20 sekalipun, nilai tersebut sudah bersamaan dengan RM80.

 

Bagaimana kalau pendapatan yang anda berjaya hasilkan setiap hari adalah konsisten sebanyak USD20. Darabkan dengan 20 hari bekerja. (Lagi 10 hari anda rehat) Berapa agaknya pendapatan yang bakal anda hasilkan agaknya?

USD20 (pendapatan sehari) x 20 hari bekerja x RM4 = RM1,600

 

Memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM1,600 dengan bekerja dari rumah adalah sesuatu yang boleh tahan juga, kan?

 

(2) Contoh-contoh kerja dari rumah yang popular

Sebelum ini kita dah bermain dengan angka. Anda boleh ubah angka-angka tersebut mengikut kesesuaian diri anda. Mungkin anda merasakan bahawa pendapatan sebanyak USD20 sehari itu terlalu sedikit. Mungkin anda nak target pendapatan yang lebih lumayan dari USD20. Ok… how about USD100 sehari? OK tak?

 

Berhenti berangan-angan dulu, sebabnya kali ini saya nak kongsikan kepada anda pula antara contoh-contoh pekerjaan dari rumah yang popular yang biasanya diperlukan oleh majikan. Lihat senaraian dibawah untuk lebih faham.

 

2.1 Data Entry 

data_entry_job

Atas ini adalah iklan untuk mencari pekerja sambilan yang boleh lakukan kerja-kerja data entry. Lazimnya kerja-kerja data entry akan digabungkan dengan kerja-kerja berbentuk research. Contohnya macam iklan diatas ini.

 

Selain masukkan data dari sumber kepada satu bentuk yang dimahukan oleh majikan, anda juga perlu mempunyai kemahiran untuk membuat kerja-kerja research atau pencarian maklumat yang mudah. Sekurang-kurangnya anda perlu tahu bagaimana untuk mencari maklumat menggunakan google.

 

Bayaran upah yang ditawarkan adalah sebanyak USD25 sahaja. Anda akan diberikan sebayak 750 senarai nama Universiti dan kolej. Tugasan seperti ini sudah tentu akan makan masa yang lama dan agak mustahil untuk siap dalam masa sehari. Mari kita lihat upah sebenar yang akan anda perolehi.

USD25 (bajet majikan) / 750 (nama kolej) = USD0.03 untuk setiap kolej

 

Apa yang saya nak tunjukkan kepada anda ialah, kadar upah untuk job berbentuk data entry lazimnya memang sangat rendah. Kerjanya sangat leceh dan makan masa, tetapi kadar upah sangat rendah. Jadi, kalau ada yang kata anda boleh jadi kaya sebab buat data entry, hati-hatilah ye.

 

2.2 Translator

Anda akan diberikan dokumen dalam bahasa tertentu. Kerja anda adalah untuk alih bahasa dokumen tersebut dalam bahasa yang dimahukan oleh majikan. Sama ada dari Mandarin ke English, Bahasa Malaysia ke English, French ke English dan sebagainya.

 

Bagi mereka yang menguasai dua bahasa, memang sesuai buat kerja-kerja ini.

 

2.3 Virtual Assistant 

Ataupun pembantu maya. Tugas anda adalah membantu melancarkan urusan-urusan majikan anda. Apa sahaja urusan yang berkenaan dengan perniagaan yang dijalankan oleh majikan anda. Anda mungkin perlu tulis surat, tulis emel, membuat kerja-kerja promosi dan hebahan, melayan soalan-soalan pelanggan dan sebagainya.

 

2.4 Social Media

Job scope dibawah social media ada sangat luas. Anda mungkin diperlukan untuk menjawab komen, membalas mesej, ataupun delete sebarang komen berbentuk spam dan apa-apa yang tak perlu di laman web media sosial milik majikan anda.

 

Kerja paling simple berkaitan dengan social media ini ialah kerja yang perlu like, share, dan komen pada media sosial milik majikan anda. Contohnya adalah seperti dibawah

kerja-part-time-like-fb-fanpage

Memandangkan kerjanya juga sangatlah senang, maka kadar upahnya juga tidaklah begitu tinggi. Anda boleh lihat pada screenshot diatas, yang mana pada bahagian “You will earn” hanya tercatat jumlah sebanyak USD0.08 sahaja.

 

2.5 Transcription

Lebih kurang macam kerja penterjemahan. Kali ini, anda mungkin akan diberikan rakaman audio atau rakaman video yang mengandungi perbualanan ataupun ucapan seseorang dalam bahasa asing. Tugas anda adalah membuat terjemahan apa yang diucapkan.

 

2.6 Blogging

Anda perlu pastikan laman blog milik majikan sentiasa dikemaskinikan dengan artikel-artikel yang baru dan relevan dengan kumpulan pembaca blog tersebut. Jika anda minat menulis, anda mungkin sesuai buat kerja-kerja seperti ini.

 

2.7 Email Support

Tugas anda adalah untuk membalas emel pelanggan dan menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh pelanggan berkenaan dengan produk. Lazimnya soalan yang ditanya adalah soalan-soalan yang asas sahaja tetapi pelanggan tak tau mana nak cari info tersebut.

 

Tugas sebagai email support BUKANNYA buat promosi melalui emel. Jika anda disuruh untuk buat promosi menerusi email dan anda diberikan senarai emel, maka besar kemungkinan majikan anda sedang menyuruh anda untuk melakukan aktiviti spam.

 

2.8 Proof Reading

Anda akan diberikan dokumen yang panjang berjela-jela. Tugas anda adalah untuk mencari kesalahan ejaan dan melakukan pembetulan pada ayat jika perlu.

 

2.9 Market Surveys

Anda perlu edarkan borang survey untuk mengetahui maklumat tertentu berkenaan dengan pasaran tertentu yang dimahukan oleh majikan.

 

2.10 Graphics Design

Buat logo, design ebook ecover, buat poster dan macam-macam lagi.

 

2.11 Typing

Anda perlu mempunyai kepantasan dalam kerja-kerja menaip dan pada masa yang sama tak boleh buat salah dalam ejaan. Contoh kerja typing yang biasa saya nampak ialah anda akan diberikan gambar-gambar whiteboard yang mengandungi tulisan-tulisan tangan. Tugas anda adalah untuk tulis semula dalam format words.

 

2.12 Article Writing

Anda akan diberi topik tertentu. Contohnya topik tentang breast cancer, poodle, financial crisis dan sebagainya. Tugas anda adalah untuk menulis artikel yang unik dan kreatif berkenaan topik-topik tersebut. Topik adalah terserah kepada majikan, dan saya berpendapat kalau anda jenis yang banyak membaca dan biasa menulis, pasti tak ada masalah untuk buat kerja-kerja ini.

 

2.13 Content Writing

Lebih kurang sama macam article writing.

 

2.14 Web Research

Lebih kurang sama macam market research. Kali ini, mungkin fokus anda lebih kepada untuk spy laman-laman web yang ada di internet. Contohnya majikan anda mahu membina laman web jenis ecommerce, jadi anda dikehendaki untuk buat kajian terhadap laman web ecommerce sedia ada yang telah berjaya. Mungkin pada waktu tu anda boleh kaji laman web seperti Lazada Malaysia ataupun Zalora.

 

2.15 Copywriter

Copywriter ini kerja dia ialah menulis artikel yang mampu untuk menjual sesuatu produk atau perkhidmatan. Anda mahir menulis? Bagus. Namun adakah daripada penulisan anda tu, ada orang yang berjaya dipengaruhi sampai ke tahap pembaca tu sanggup untuk beli apa sahaja yang anda cerita dalam penulisan anda?

 

2.16 SEO

Ringkasan bagi istilah Search Engine Optimization. Tugas anda adalah untuk memastikan laman web milik majikan anda berjaya menduduki tempat pertama atau sekurang-kurangnya berjaya masuk ke page pertama laman web carian seperti google. Tahu ke nak buat?

 

2.17 Video Creation

Buat video. Mungkin video promosi atau montaj. Anda mungkin perlu ada software buat video untuk memudahkan kerja-kerja anda nanti.

 

Contoh-contoh senarai kerja dari rumah ini saya ambil dari sumber ini. Anda rasa bagaimana? Ada tak dari senarai kerja tu yang anda MAHIR?

 

(3) Susah ke senang kerja dari rumah ni?

Satu salah faham yang sering berlaku dalam kalangan para pencari kerja ialah, mereka beranggapan bahawa bekerja dari rumah itu senang. Sebenarnya senang atau susah ia agak subjektif. Ia bergantung kepada individu itu sendiri.

 

Dalam senarai yang telah saya tunjukkan diatas, dari item 2.1 hingga 2.17, mana satu yang anda rasa senang? Jika anda merasakan web research tu senang, maka senanglah ia. Setiap orang pasti ada kemahiran masing-masing. Jika tak ada satu pun dari yang saya sebutkan kat atas tu yang anda mahir, maknanya anda kena belajar lagi dan kuasai kemahiran tersebut. Majikan hanya akan mengupah pekerja yang mahir sahaja.

 

Kerja dari rumah ni, walaupun ia hanya dilakukan dari keselesaan rumah anda, namun anda masih lagi perlu anggap ia sebagai satu pekerjaan yang serius dan memerlukan kemahiran yang bersesuaian. Siapa yang anggap kerja dari rumah ni senang dan mereka tak perlu ada kemahiran untuk buat kerja-kerja ni semua, dia memang dah silap besar.

 

(4) Bagaimana cara nak dapatkan pekerjaan tersebut?

Anda mungkin dah sedia untuk mula bekerja pada hari ini juga. Persoalan seterusnya adalah, dimana anda boleh apply kerja-kerja tersebut?

 

Sebenarnya ada beberapa cara yang popular yang anda boleh gunakan untuk berhubung dengan majikan yang bakal mengambil anda sebagai pekerja sambilan dari rumah. Antaranya

 

4.1 Menggunakan servis laman carian kerja secara online

Salah satu laman web yang anda boleh guna ialah laman web Freelancer.com

review_jobdirumah_buat_duit

Dengan menggunakan servis dari Freelancer, kadang-kadang kita juga akan temui majikan dari Malaysia. Layari laman web Freelancer.com kemudian pilih work untuk mula bekerja. Laman web ini menggunakan sistem bida, yang mana para pekerja akan menawarkan diri dengan membida sesuatu pekerjaan. Seterusnya majikan yang akan pilih pekerja mana yang bakal dipilih. Ya, ada kebarangkalian untuk anda kalah bidaan.

 

Macam kerja kat luar jugak la. Kita hantar resume dan datang interview. Tak semestinya kita akan dapat kerja tersebut. Selain laman web freelancer.com boleh juga mohon pekerjaan di laman web Upwork.com

 

Kalau kat Malaysia, kita ada laman web erezeki. Mungkin anda juga boleh cuba cari kerja di laman web erezeki ini.

program-erezeki

 

4.2 Menjual perkhidmatan anda menerusi laman web jual beli servis

Cara sebelum ni, kita lihat mana-mana majikan yang mengiklankan di laman web carian kerja yang memerlukan pekerja untuk buat kerja-kerja tertentu. Dengan teknik ini, kita sendiri yang akan iklankan perkhidmatan yang kita mampu berikan.

 

Kat mana nak iklankan? Jawapannya adalah dilaman web jual beli perkhidmatan. Laman web yang popular bagi tujuan ini ialah di laman web Fiverr.

buat_duit_fiverr

Anda boleh download panduan bagaimana buat duit di Fiverr dengan menekan pautan ini.

 

4.3 Cari sendiri menggunakan apa-apa kaedah yang anda tahu

Terpulang pada anda bagaimana nak dapatkan job. Anda boleh iklankan menggunakan Facebook, twitter, instagram, malahan kalau nak iklankan menggunakan laman web mudah.my juga boleh.

 

(5) Bagaimana cara untuk menghantar tugasan kepada majikan?

Sesetengah tugasan anda boleh hantar kepada majikan hanya menerusi emel sahaja.

 

Ada juga tugasan tertentu, anda perlu login menggunakan sistem yang bakal digunakan oleh majikan. Sebagai contoh jika anda memilih untuk bekerja dalam bidang blogging. Anda akan diminta untuk siapkan kerja-kerja tersebut terus menggunakan sistem blog yang digunakan oleh majikan.

 

Ini bermakna anda akan ada akaun dan juga login id anda sendiri.

 

(6) Bagaimana upah akan dibayar apabila bekerja di rumah?

Kaedah pembayaran yang popular jika berurusan dengan majikan dari luar negara adalah menerusi akaun PayPal. Jika anda belum mempunyai akaun paypal, bolehlah buat pendaftaran di laman web Pay Pal.

 

Jika majikan anda dari Malaysia, bayaran akan dibuat secara online banking sahaja, iaitu menerusi bank-bank tempatan yang popular seperti Maybank, CIMB, dan sebagainya.

 

 

(7) Bila bayaran akan diterima?

Bergantung pada jenis pekerjaan. Ada sesetengah job, anda akan dibayar dahulu baru mula bekerja.

 

Ada job tertentu, anda hanya akan dibayar apabila majikan benar-benar puas hati dengan hasil kerja anda. Soalan bila akan dibayar, ia bergantung kepada majikan tersebut.

 

(8) Pakaian rasmi bekerja

Mana ada pakaian rasmi. Saja je saya masukkan topik ini. In fact, kalau anda nak bekerja hanya dengan memakai kain pelikat sahaja pun dah memadai. Majikan anda bukannya nampak apa yang anda pakai.

 

Apa yang penting ialah anda mampu untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

 

(9) Persoalan tentang masa bekerja

Sesetengah orang kata, anda boleh bekerja pada bila-bila masa yang anda suka. Anda boleh pilih sama ada nak bekerja pada awal pagi sahaja atau pada waktu tengah-tengah malam. Walaubagaimanapun, saya berpendapat bahawa nasihat ini kurang tepat.

 

Ianya juga agak bahaya untuk diamalkan selalu.

 

Sebaik-baiknya anda perlu mempunyai jadual kerja yang anda bina sendiri dan kena pastikan anda ikut jadual kerja tersebut. Anda mungkin tak akan ikut seratus peratus jadual kerja yang anda bina tu, namun ia masih lagi lebih baik berbanding jika anda tak ada jadual kerja.

 

(10) Penipuan yang berkaitan tentang bekerja dari rumah

Sebenarnya ada terlalu banyak penipu diluar sana yang mengeksploitasi istilah bekerja dari rumah untuk menipu dan mencari mangsa-mangsa.

 

Si penipu ni akan menjanjikan macam-macam, sampai satu tahap benda tak masuk akal pun ada juga. Memandangkan topik ini agak besar juga, jadi saya akan buat post khas berkenaan dengan penipuan bekerja dari rumah di lain masa.

 

Dikesempatan yang terhad ini, saya nak kongsikan beberapa bentuk penipuan tentang bekerja dari rumah yang biasa dan pernah berlaku. Malahan benda ni masih lagi berlaku sampai sekarang.

 

10.1 Mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan bekerja sebagai data entry

Kononnya boleh dapat sehingga RM2,500 sebulan hanya bekerja data entry dari rumah. Ini adalah satu pembohongan. Rujuk pada poin 2.1 dimana saya dah buktikan pada anda, kadar upah untuk kerja data entry sangatlah rendah.

data_entry

Jika anda kerja FULL TIME sebagai data entry clerk sekalipun, iaitu bekerja dari 8.45 am – 5.45 pm, kadar upah yang bakal anda terima pun hanyalah sekitar RM1,200 sahaja. Jika ada yang menjanjikan kadar upah yang tinggi, bekerja sebagai data entry clerk, dan boleh dilakukan hanya dari rumah sahaja, berhati-hatilah. Itu mungkin tipu sahaja.

 

Pembohongan tersebut akan nampak lebih jelas apabila anda diminta untuk buat bayaran sejumlah wang sebagai syarat sebelum boleh diterima bekerja.

 

10.2 Kerja dari rumah masukkan sampul dalam envelop

Ini pun kerja yang sia-sia dan tipu sahaja. Nantilah saya akan terangkan dilain masa bagaimana modus operandi sistem kerja ini dijalankan. Jika anda terlihat iklan seperti ini, abaikan sahaja.

 

10.3 Kerja dari rumah pasang barang-barang mainan dan kraf tangan

Benda ni ada yang TIPU dan ada juga yang betul. Namun kebanyakkannya tipu sahaja. Sebelum mula bekerja, anda akan diminta untuk buat bayaran DEPOSIT terlebih dahulu. Kononnya bayaran ini akan dipulangkan apabila kerja telah siap.

 

Namun, bila kerja tersebut dah siap, penipu ni akan kata apa yang anda buat salah dan mereka akan pulangkan balik kepada anda dan menyuruh anda buat pembetulan. Selepas tu penipu ini akan hilang begitu sahaja. Sebenarnya penipu tu buat duit dengan menjual barang-barang kraf itu tadi dalam bentuk yang belum siap.

 

Duit deposit yang anda bayar itu tadilah yang akan cover keuntungan penipu itu tadi.

 

(11) Motivasi & Inspirasi untuk bekerja dari rumah

Apa yang buatkan anda untuk membuat keputusan bagi bekerja dari rumah? Adakah faktor usia? Kesihatan? Keperluan untuk jaga anak? Skil atau ada benda lain? Adakah anda baru sahaja kehilangan pekerjaan baru-baru ni?

 

Sebenarnya bukan semua orang sesuai untuk bekerja dari rumah. Ada orang lebih baik bekerja dengan majikan dan pergi kerja balik kerja setiap hari.

 

Orang yang sesuai kerja dari rumah ini adalah mereka-mereka yang boleh bekerja tanpa pengawasan dari mana-mana penyelia. Kiranya kalau dibiarkan sendirian, dia tau nak buat apa. Jenis bukan mudah terleka dengan melayari laman media sosial atau sibuk layan movie sepanjang hari.

 

Saya syorkan anda carilah sahabat yang anda percaya adalah seorang yang betul-betul bekerja dari rumah dan sedang buat duit bekerja dari rumah. Follow mereka rapat-rapat dan belajar seberapa banyak yang boleh dari mereka ni. Sahabat anda ni mungkin tak ada masa nak ajar anda satu per satu bagaimana cara nak bekerja, tapi setidak-tidaknya anda boleh contohi cara dan corak kerja sahabat anda tu.

 

(12) Panduan Jobdirumah boleh dipercayai ke?

Bila bercerita tentang topik Panduan Bekerja Dari Rumah ni, tak lengkap rasanya kalau saya tak sentuh tentang Panduan Jobdirumah.

 

Sengaja saya letakkan poin tentang Jobdirumah dipenghujung entri supaya anda tak salah anggap yang saya tulis panduan ini semata-mata sebab nak pujuk anda untuk join Jobdirumah. Kalau anda tak nak baca poin ni pun tak ada masalah. Anggap sahaja entri ini dah tamat pada poin ke (11) sahaja.

 

Ramai yang tanya saya soalan-soalan seperti

“Jobdirumah tu betul ke?”

“Jobdirumah ni boleh dipercayai ke?”

“Jobdirumah ni betul ke tipu?”

 

Yang sebenarnya, jawapannya sudah ada di laman web Jobdirumah itu sendiri. Itupun kalau anda baca dengan tekun, dan baca berulang-ulang kali. Kalau baru baca sekali lepas tu terus sibuk nak tanya orang, dah tentu anda tak akan dapat jawapannya.

 

Saya join Jobdirumah pada 20 Februari 2013. Saya join dengan niat sebab nak belajar selok-belok dan cara bagaimana sebenarnya nak bekerja dari rumah sebagai seorang freelancer.

 

Maklumat seperti ini sebenarnya memang boleh diperolehi jika anda rajin untuk google. Tapi masalahnya ialah, pada waktu tu memang tak ada satu laman web yang mampu untuk mengajar saya macam mana nak bekerja dari rumah. Satu-satunya sumber untuk saya belajar macam mana nak bekerja dari rumah adalah menerusi panduan Jobdirumah itu sendiri.

 

Jobdirumah itu adalah sekadar PANDUAN. Ia mengajar cara-cara untuk bekerja dari rumah sebagai seorang freelancer. Jika niat anda adalah untuk belajar, maka panduan ini adalah salah satu panduan yang anda boleh rujuk.

 

Namun, jika anda anggap dengan menyertai Jobdirumah, anda akan terus dapat income bulanan, maka anda dah silap besar. Saya rasa anda dah gila jika beranggapan begitu. Maaflah, kasar sikit. Sebabnya saya penat nak layan soalan-soalan yang memang jawapannya dan terhidang depan mata.

 

Kejayaan yang saya capai pada hari ini, dalam konteks berjaya buat duit dengan bekerja dari rumah sedikit sebanyak adalah sumbangan daripada rujukan dan panduan Jobdirumah yang saya pernah beli sebelum ini. Pendapatan itu terhasil daripada kerja yang saya lakukan, bukannya sebab saya join jobdirumah. Saya harap anda jelas dengan perkara tu.

 

Baiklah, saya harap semoga artikel Panduan Bekerja Dari Rumah ini bermanfaat dan berjaya menjawab beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran anda.

 

Be Sociable, Share!

{ 4 comments… read them below or add one }

Ilham November 29, 2016 at 7:42 am

terimakasih informasinya tuan , saya jadi tahu ternyata kerja di rumah tidaklah seperti yang kabarkan di dunia maya, yang memiliki pendapatan yang besar sekali ….

Reply

sabree hussin November 29, 2016 at 12:25 pm

Mungkin memang ada orang yang berjaya jana pendapatan yang sangat lumayan apabila bekerja dari rumah… Namun bukan semua orang boleh dapat pendapatan yang begitu besar.

Reply

Ahmad November 29, 2016 at 7:52 am

ehmmm …. kerjadirumah , bolehlah untuk mengisi luang dirumah daripada tidak ada pekerjaan

Reply

sabree hussin November 29, 2016 at 12:24 pm

Ya memang boleh. Jika mahu tambah pendapatan memang terpaksa bekerja juga apabila ada dirumah

Reply

Leave a Comment

{ 4 trackbacks }

Previous post:

Next post: