Petanda Kecil Kiamat Keempat : Terjadinya Pertempuran Dua Kelompok Besar Dari Kaum Muslimin

Bismillahir Rohmaanir Rohim.

Assalamualaikum wbt dan selamat datang ke blog sabreehussin dot com. Dalam catatan pada kali ini, saya ingin bawa anda semua untuk menyambung perbincangan kita mengenai tanda-tanda kiamat yang telah terjadi di dunia kita ini. Bagi yang dah terlepas catatan saya yang lepas mengenai tanda-tanda kiamat ni, bolehlah klik sini.

Menurut Amin Muhammad Jamaluddin menerusi bukunya, Pembuktian Bahawa Semua Tanda-tanda Kecil Kiamat Sudah Terjadi, tanda kecil kiamat keempat adalah berlakunya pertempuran dua kelompok besar dari kaum Muslimin.

Hal ini selari dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud,

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Shahih Muslim – hadis no: 157]

Peristiwa perang besar ini telah pun berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abu Talib. Dua kelompok besar yang dimaksudkan dalam peristiwa peperangan ini adalah melibatkan kelompok Ali bin Abu Talib dan juga Muawiyah bin Abu Sufyan.

Serba sedikit mengenai Muawiyah bin Abu Sufyan, beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang mulia. Muawiyah lahir 15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut rekod sejarah yang saya baca, beliau memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah.

Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, Rasulullah s.a.w. pernah mendoakan Muawiyah,

“Ya Allah! Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]

Al-Imam al-Bukhari turut meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga).”

Menurut catatan sejarah, armada laut yang pertama bagi umat Islam adalah dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh.

Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah s.a.w agar Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur’an dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi baginda.

Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu ‘anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab: “(Biarkan), sesungguhnya dia seorang yang faqih (faham agama).” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765] sumber

Berlakunya pertempuran ini adalah bertitik tolak daripada peristiwa pembunuhan Amirul Mukminin Usman bin Affan. Setelah kematian Usman, Ali bin Abu Talib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai‘ah oleh sebahagian umat Islam namun demikian wujud juga sebahagian lain yang tidak membai‘ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah bin Abu Sufyan. Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman hudud (Qisas iaitu bunuh balas bunuh) ke atas para pembunuh Usman.

Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abu Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta berpura-pura membai’ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman.

Kedua-dua kelompok saling berselisih dan perselisihan mereka menjadi bertambah buruk dengan wujudnya campur tangan golongan-golongan pemfitnah yang bersembunyi disebalik kepura-puraan menyokong Ali. Golongan penyebar fitnah ini juga dipercayai adalah orang yang sama yang merancang pembunuhan Usman bin Affan.

Kemudian apa yang terjadi ialah kelompok Ali mempersiapkan pasukan tenteranya dan bergerak menuju ke Syam untuk berhadapan dengan Muawiyah. Lalu terjadilah pertempuran di sebuah kawasan yang dinamakan sebagai Siffin.

Perang yang terjadi juga dikenali sebagai Perang Siffin.

Setelah kemangkatan Ali bin Abu Talib, jawatan khalifah dipegang oleh anaknya Hassan bin Ali. Hassan inginkan perdamaian dengan Muawiyah bin Abu Sufyan, lalu beliau mengundurkan diri dari jawatan Khalifah dan jawatan tersebut diserahkan kepada Muawiyah maka bermulalah era perintahan Bani Umayyah.

Berlakunya pertempuran antara Ali dan Muawiyah adalah dengan kebenaran pendapat yang ada pada diri masing-masing sedangkan Ali lebih dekat kepada kebenaran.

Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka yang berselisih pendapat dengan pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk membai‘ah Ali, sebaliknya terus membai‘ah beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.

Namun demikian, kedua-dua sahabat ini adalah termasuk dalam kalangan penduduk syurga.

Sebagai manusia biasa, kita tak berhak untuk mengatakan siapa yang salah dan siapa yang betul daripada perbalahan yang berlaku. Namun demikian, apa yang telah terjadi patut dijadikan iktibar bahawa fitnah itu sesungguhnya sangatlah berbahaya dan ia mampu mencetuskan perbalahan sehingga membawa kepada peperangan.

Begitu juga dengan keadaan politik semasa di Malaysia. Lihat perbalahan yang berlaku antara dua parti politik Melayu. Kedua-duanya inginkan kemaslahatan bagi bangsa Melayu dan Agama Islam.

Tetapi dek kerana wujudnya golongan-golongan yang suka mencucuk jarum, dan yang suka menyebar fitnah, maka kesepakatan itu dilihat sukar dicapai.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke 141

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan. al-Baqarah ayat 141

Semoga perkongsian ini beri manfaat.

Wallahua’lam

 

 

********************************************************************
Baca juga

  1. Panduan Buat Duit Sebagai Pengedar SIM KAD Tune Talk
  2. Strategi Jana RM1,000 – RM3,200 Secara Konsisten di Internet
  3. Rahsia FOREX TRADER Jana Wang 5 Angka Seminggu Secara Senyap-senyap

********************************************************************


2 Responses to Petanda Kecil Kiamat Keempat : Terjadinya Pertempuran Dua Kelompok Besar Dari Kaum Muslimin

  1. titan January 14, 2012 at 2:44 pm #

    yap. aku pernah belajar tentang perang siffin ni. memang sedih masa tu. Masing-masing ada pendapat. Sebab tu jadi perang. Tapi kalau zaman sekarang, takkan sampai kena berperang kalau berbeza pendapat kann..
    titan recently posted..Terima dan hormat seadanya.

    • sabree hussin January 14, 2012 at 9:24 pm #

      kalau zaman sekrang ni pun tak mustahil untuk jadi perang, cuma orang yang nak ikut berperang tu je la, betul-betul berani ke tak. Kalau perang mulut tu biasa la

Leave a Reply

CommentLuv badge