Blog Sabree Hussin

Kekurangan dan kelemahan yang perlu anda atasi jika ingin bekerja dari rumah

Kalau sebelum ni kita ada bincangkan tentang perkara-perkara yang BEST bila bekerja dari rumah, kali ini saya nak tarik perhatian anda untuk meneliti beberapa perkara yang anda mungkin akan lalui jika memilih untuk bekerja dari rumah.

 

Saya percaya, perkara yang tak berapa best pun anda kena tahu jugak kalau memilih untuk jadikan kerja dari rumah sebagai pilihan. Saya tak nak la nanti ada yang fikir, bekerja dari rumah ni semuanya best dan indah-indah belaka. Takut-takut nanti ada yang salah anggap, kerja dari rumah ni mudah dan senang macam makan kacang pulak.

 

Bila berlakunya salah tanggapan yang macam tu, memang sangatlah bahaya. Kang nanti ramai-ramai berhenti kerja sebab nak bekerja dari rumah. Bila dah berhenti kerja, bila dah kerja kat rumah, tiba-tiba apa yang berlaku tak seindah seperti yang diimpikan… kan susah tu. Jadi lebih baik, kita ambik tau dulu sebelum buat sebarang keputusan.

 

Anggap je la perkongsian ni sebagai membantu anda untuk buat persediaan kalau-kalau satu hari nanti anda memilih untuk bekerja dari rumah ye… dan yang paling penting, jadikan beberapa poin yang bakal saya highlight kat dalam ni sebagai persediaan untuk anda hadapi cabaran ni.

 

Pastinya lebih mudah untuk anda siap sedia apabila anda dah tau, apa yang bakal anda hadapi berbanding kalau anda tak pernah tahu pun apa yang bakal menanti anda di masa akan datang.

 

(1) Anda boleh jana pendapatan sekitar RM1,000 – RM2,000 sebulan dan tak mustahil untuk langsung tak berjaya jana pendapatan

Terutama sekali di peringkat awal.

 

Sebenarnya memanglah semua orang boleh bekerja dari rumah, namun demikian bukan semua orang akan berjaya buat duit pada percubaan kali pertama. Sebab tu, sebaik-baiknya sebelum nak bekerja dari rumah, kena buat persiapan dan persediaan awal terlebih dahulu.

 

Waktu kita masih lagi bekerja dengan majikan lagi kita kena mula siap sedia dengan persiapan untuk bekerja sendiri hanya dari rumah. Kita tak tau, bila kita akan perlu berhenti kerja dan mula bekerja dari rumah. Jadi, kena selalu siap sedia dengan perancangan dan persediaan.

 

Senang cerita, jangan mudah sangat leka dengan apa yang anda miliki ketika ini. Walaupun pada waktu ni anda mempunyai pekerjaan yang gajinya sangat lumayan, kita tak tau bila kita akan kehilangan pekerjaan tersebut. Lagipun, tak rugi kan rasanya untuk siap sedia dari awal.

 

(2) Anda perlu siap sedia untuk keluar modal untuk pelajari macam-macam skil untuk bantu anda bekerja dari rumah

Jangan kedekut. Itu je yang saya boleh katakan.

 

Bila kerja dari rumah ni, kita cenderung untuk bekerja seorang diri. Akan ada banyak benda yang kita tak tau. Kita kena belajar semua tu sendiri. Lainlah masa kita kerja dengan majikan. Kalau ada benda yang kita tak tau, kita mungkin boleh rujuk kat department lain. Tapi bila bekerja sendiri dari rumah ni, mana ada semua tu.

 

Jadi, dari masa ke masa, anda mungkin perlu invest untuk pejari skil buat duit yang baru. Contohnya, anda boleh belajar dari dua sumber ni. Pertama, Panduan Jobdirumah dan kedua pula ialah panduan Mula Bisnes dengan apa yang sudah ada ditangan dan jana RM2,000 sebulan.

 

(3) Bekerja dari rumah boleh jadi sangat lonely dan sunyi

Dah nama pun bekerja sendiri dari rumah. Kita tak ada rakan sekerja yang duduk sebelah menyebelah.

 

Kalau ada rakan sekerja pun, mungkin dia tinggal di negeri lain, ataupun tinggal di negara lain. Satu tempat yang sangat jauh dari kita.

 

(4) Semua keputusan-keputusan besar terpulang pada anda untuk buat tindakan

Contohnya macam kat bawah ni.

Bukan semua orang ada kebaranian untuk buat keputusan untuk mengatakan YA SAYA MAHU.

 

Selalunya memang akan rasa berbelah bahagi, antara nak dengan tak nak, antara ya dengan tidak. Hati kata nak, tapi takut nak bertindak. Memang macam-macam hal…

 

Apa yang saya cuba sampaikan ialah, ada banyak perkara-perkara menarik dan best akan melintas kat depan kita. Semua itu terbuka untuk kita grab dan usahakan, asalkan kita berani bertindak. Cuma proses untuk buat keputusan itu sedikit payah, sebab bila kita seorang diri… kita nak bincang dengan siapa?

 

Pastinya rasa takut kalau tersalah buat keputusan itu ada.

 

(5) Tiada satu tarikh yang tetap untuk dapat bayaran

Ini salah satu sebab kenapa kita kena pelbagaikan sumber pendapatan. Tak boleh nak harapkan pada satu sumber semata-mata. Saya akan kupaskan tentang bentuk-bentuk pendapatan dan sumbernya di lain masa.

 

Memandangkan kita tak ada satu tarikh tetap untuk dapat bayaran, saya akan pelbagaikan sumber pendapatan yang membuat bayaran mengikut sela masa seperti

1. Dibayar setiap hari

2. Dibayar setiap bulan

3. Dibayar 3 kali sebulan

4. Dibayar setiap kali ada jualan

5. Dibayar setiap kali ada projek

 

Amacam? Best dan teruja tak he he kalau kerja makan gaji, ikut pengalaman saya la kan, dulu saya cuma boleh pilih opsyen yang nombor dua tu sahaja, iaitu dibayar setiap bulan.

 

(6) Tak ada bayaran yang tetap

Lazimnya, kita akan bekerja secara on project basis. Jika pada waktu-waktu tertentu, kita ada banyak projek, dapat banyak job maka akan banyaklah bayaran upah yang kita akan terima.

 

Jadi, tak ada bayaran yang tetap. Ia bagus untuk orang yang memang jenis produktif dan rajin bekerja, tetapi kurang baik untuk mereka yang selalu mengelat even kalau kerja dengan majikan. Buat kerja cincai-cincai, tetapi bila cukup bulan ambik gaji penuh.

 

(7) Masa kerja yang agak PELIK

Setengah orang yang bekerja dengan majikan dan mempunyai jadual kerja mereka sendiri, kadang-kadang akan terasa pelik dengan individu yang bekerja sendiri dari rumah.

 

Sebabnya, kita mempunyai masa kerja yang agak pelik. Orang yang tak faham, akan kata kita ni bekerja tak ada jadual dan tak teratur. Seolah-olah macam segalanya messy. Dah tentulah sebenarnya ia bukan bermaksud begitu.

 

Orang yang bekerja sendiri dari rumah akan ada waktu pilihan atau waktu produktif untuk bekerja. Kalau seseorang tu waktu produktifnya ialah dari jam 12.00 tengah malam ke jam 4.00 pagi, maka pada waktu inilah dia akan selesaikan semua kerja-kerjanya. Waktu siang? Sama ada akan dihabiskan untuk tidur ataupun cuma membaca bahan-bahan ilmiah.

 

Dah tentu, untuk orang yang bekerja dengan majikan, ada yang tak boleh terima dengan rutin bekerja seperti ini.

 

(8) Mencabar kekuatan mental

Tahun-tahun pertama memang mencabar!

 

Masa ni, orang masih tak kenal siapa kita, apa kemampuan kita, dan boleh jadi mereka juga masih kurang yakin dengan kita sama ada betul ke kita boleh berikan khidmat yang cemerlang kepada diri mereka.

 

Sebab itu, walau macam mana pun kita kena bermula AWAL. Mulakan inisiatif untuk bekerja sendiri dari rumah ketika kita masih belum betul-betul perlu bekerja dari rumah. Sebabnya, kita nak buat bila kita dah betul-betul perlukan pekerjaan dari rumah, kita dah siap sedia dengan semua yang diperlukan.

 

Saya nak baca contoh salah satu pekerjaan yang saya buat dari rumah iaitu saya tawarkan servis penulisan artikel advertorial.

 

Sebulan yang pertama, saya habiskan untuk buat proses branding sehabis baik. Namun pada waktu tu, mana ada orang yang berani nak ambik servis ni ha ha

 

Semua ni memang dah dijangkakan. Lagipun saya dah letakkan sasaran, sebulan yang pertama adalah proses untuk bina penjenamaan. Tak lebih dari itu. Apa pun, lama kelamaan bila perkhidmatan ini mula diketahui oleh para usahawan, barulah sedikit demi sedikit orang ramai mula dapatkan perkhidmatan ini.

 

Ini contoh sahaja. Tak semestinya anda mesti buat perkara yang sama macam yang saya buat. Tak jugak.

 

Baiklah, saya harap serba sedikit yang saya ceritakan dalam ni tak melemahkan anda untuk bekerja dari rumah. Lebih-lebih sekarang ni, dengan kos sara hidup yang makin melampau-lampau naiknya. Bekerja dari rumah dah jadi satu keperluan dan satu kemestian.

 

Saranan saya, marilah kita sama-sama persiapkan diri dengan ilmu yang kukuh untuk mendepani cabaran apabila bekerja dari rumah!

 

Wallahua’lam

 

Exit mobile version