Cara mempromosikan Bisnes Homestay – 10 Idea ini mungkin berguna untuk anda!

by sabree hussin on December 1, 2016

in Idea Bisnes

Jika anda adalah salah seorang pemilik, pengusaha atau seseorang yang bakal menjalankan bisnes Homestay satu hari nanti, anda mungkin perlu siap sedia dari sekarang, dengan beberapa strategi promosi dan pemasaran yang berkesan untuk memastikan perniagaan homestay anda sentiasa ada pelanggan.

 

Bisnes homestay adalah satu perniagaan yang kompetitif. Itu pandangan saya. Kenapa saya kata macam tu? Sebab pada hari ini, rata-rata penduduk di Malaysia dah mula celik dengan peluang menjana pendapatan dengan model bisnes homestay ni.

 

cara-promosikan-bisnes-perniagaan-homestay Kalau rajin pergi kedai buku, anda mungkin pernah nampak buku yang berjudul Buat Duit Dengan Bisnes Homestay terbitan oleh Truwealth ni. [boleh klik sini untuk baca]

 

Dalam ni pun sarat dengan maklumat yang berguna untuk membantu anda memulakan perniagaan homestay anda sendiri.

 

Saya pernah mengikuti beberapa perkongsian mengenai perniagaan homestay ini dari beberapa individu yang memang menjalankan bisnes ni. Bukan semua yang buat bisnes ni ada rumah sendiri. Maksud saya, mereka ni tak beli pun rumah yang dijadikan homestay tu.

 

Ada antara mereka yang menyewa sahaja rumah tersebut dari pemilik asal. Buat agreement let say selama 5 tahun terus. Sewa bulanan bergantung kepada lokasi adalah lebih kurang RM500 – RM900 sebulan. Tetapi, hasil daripada sewakan semula (sublet) rumah kediaman tersebut menjadi homestay, pemilik bisnes tu boleh dapat untung yang berkali ganda lebih banyak berbanding bayaran sewa yang perlu dibayar kepada pemilik rumah asal.

 

Dari segi teori, ia memang nampak mudah. Namun saya percaya, kejayaan pengusaha bisnes homestay ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kempen-kempen pamasaran yang dijalankan. Jadi dalam post ini, saya ingin kongsikan beberapa idea pemasaran yang mungkin bermanfaat untuk membantu para pemilik homestay untuk mendapatkan pelanggan yang baru dan berterusan sepanjang tahun.

 

Cara promosi bisnes homestay yang anda boleh lakukan sekarang juga

Mungkin bukan semua idea dalam ni sesuai untuk anda. Jadi, gunalah mana-mana satu yang anda rasakan sesuai dengan situasi dan kondisi perniagaan anda ya. Mana-mana yang tak berapa sesuai tu, anggap sahajalah ianya sebagai general knowledge sahaja.

 

(1) Kenali dan fahami sifat pelanggan sasaran anda

Bukan semua orang akan pilih untuk menginap di homestay. Saya rasa benda ni anda pasti dah sedia maklum. Orang yang macam mana yang akan memilih untuk menginap di homestay sedangkan pada masa yang sama dia boleh pilih untuk menginap di hotel?

 

Orang yang travel dengan membawa keluarga yang ramai biasanya akan lebih suka untuk menginap di homestay. Ataupun individu yang agak jarang menginap di hotel, seperti orang tua, mereka lebih suka untuk tinggal di homestay, Sebabnya suasana di homestay ni tak jauh beza dengan rumah kediaman mereka.

 

Kalau suasana hotel ni kadang-kadang agak sibuk dan macam-macam jenis orang kita akan jumpa. Sebaliknya dengan homestay, kita akan tinggal di kawasan kediaman dan kejiranan yang biasa dengan suasana harian kita. Untuk sesetengah, mereka lebih suka tinggal di homestay.

 

Jadi, bila dah kenal dengan sikap dan sifat bakal pelanggan, anda boleh fokus sahaja usaha pemasaran kepada golongan sasaran ini.

 

(2) Highlight Unique Selling Proposition atau Unique Selling Point (USP) homestay anda

Apa yang membuatkan homestay yang anda kendalikan adalah berbeza dan berkali ganda lebih istimewa berbanding lain-lain homestay yang ada di sekeliling anda? Kita panggil konsep ini sebagai Unique Selling Proposition. Singkatannya ialah USP. Bakal pelanggan hanya akan dapat keistimewaan ini hanya apabila dia menginap di homestay milik anda, dan tak akan dapat benda yang sama jika menginap di tempat lain.

 

Maka kat sini, bermulalah proses menyenaraikan SEMUA kelebihan dan manfaat yang bakal diterima oleh bakal pelanggan. Tak kisahlah kelebihan tu besar, kecil, biasa-biasa, nampak macam sama sahaja dengan orang lain punya homestay sekalipun, tak apa. Senaraikan je.

 

Nanti dari senarai yang dah terhasil tu, pilih satu sahaja yang anda mungkin nak highlight. Mungkin juga anda punya homestay ni istimewa sebab ia

 

2.1 Ada private beach

pemandangan-tepi-pantai

Jadi senang nak bawa anak-anak dengan famili beriadah. Buka je pintu rumah terus boleh pergi ke pantai. Cuma perlu jalan kaki beberapa meter je. Bila dekat dengan pantai ni, mungkin anda juga boleh sediakan beberapa peralatan yang memang sesuai sangat dengan aktiviti pantai seperti pelampung, jaket keselamatan, meja dan kerusi yang boleh lipat, set BBQ grill dan sebagainya.

 

2.2 Homestay anda menghadap kawasan pergunungan

homestay-kawasan-pergunungan

Ataupun mungkin dari homestay anda, boleh nikmati pemandangan kawasan pergunungan yang sangat cantik dan memukau. Bila waktu petang atau awal pagi boleh nikmati angin sejuk dari kawasan pergunungan dan boleh tengok pelbagai burung berterbangan.

 

“Macam mana kalau homestay saya tak ada kawasan pantai yang menarik dan kawasan pergunungan?”

Ok… good question. Dua ni contoh sahaja. Saya sebut dua contoh ni sebab ini adalah dua contoh tempat percutian yang memang saya suka pergi jika ada kesempatan. Dalam proses untuk brainstorming ni, anda senaraikan sahaja apa-apa idea yang mungkin terlintas di fikiran anda. Logik ke tak logik, belakang cerita. Yang penting senaraikan je dulu.

 

Kadang-kadang kita rasa “ala… pemandangan macam ni biasa-biasa je…” tapi bagi orang lain, ianya extraordinary. Iye lah… dah anda tengok benda yang sama macam ni hari-hari, mungkin dah tak ada rasa apa-apa. Tapi buat orang yang tak pernah tengok atau jarang tengok, benda ni akan jadi something yang special.

 

2.3 Homestay anda berlatar belakangkan kawasan bandar

Kita sedia maklum, pada hari ini homestay boleh jadi dalam bentuk apartment, kondo, suite dan sebagainya. Kalau dulu bila sebut homestay, kita boleh bayangkan rumah jenis kampung. Kemudian upgrade sikit jadi rumah teres, tapi sekarang ni, kondo pun orang panggil homestay juga.

 

Di Malaysia ni, konsep homestay adalah lebih mirip kepada guest house jika diluar negara. Tak kisah lah. Janji orang kita faham sudahlah. Saya ambil contoh jika homestay dikawasan bandar.

homestay-kl

Mungkin boleh kata, dengan menyewa di homestay ni, waktu petang-petang boleh rehat-rehat sambil menikmati pemandangan menghadap KLCC dan bangunan-bangunan tersergam megah di kota raya Kuala Lumpur. “Ha… ada ke yang akan duduk saja-saja di homestay kalau menginap di bandar seperti di KL?” Mungkin ada, mungkin tak ada. Most likely, masa mereka akan lagi banyak dihabiskan untuk aktiviti luar.

 

Tak ada masalah. Apa yang penting, bila kita ceritakan dari segi pengalaman yang bakal diperolehi oleh bakal penyewa, setidak-tidaknya dia akan rasa “… ok, kalau tak pergi mana-mana nanti, duduk kat homestay je pun menarik ni. Ambik je la homestay ni”

 

Secara peribadi, kadang-kadang saya rasakan iklan tentang homestay ni kebanyakkannya BORING. Macam tak ada apa-apa yang menarik. It just another place to crash. Why not after this pengusaha homestay jadi lebih kreatif dan cerita something yang berbeza berbanding kebiasaan.

 

Iyelah, kebiasaannya pengusaha homestay ni akan cerita tentang bilik, kemudahan, fasiliti, perabot dan sebagainya. Tapi agak jarang-jarang pengusaha homestay ni bercerita tentang pengalaman yang bakal dilalui atau aktiviti sampingan yang boleh dilakukan sepanjang berada di homestay tersebut. Seolah-olah penyewa kena faham-faham dan tau sendiri apa benda nak buat, sedangkan kita tau bukan semua orang ada masa nak research benda-benda ni semua sebelum menyewa homestay.

 

Tak perlu nak nyatakan secara details sangat, tetapi setidak-tidaknya ada sebutkan beberapa aktiviti yang boleh dilakukan sebagai menarik minat bakal penyewa.

 

2.4 Berdekatan dengan kawasan perkampungan nelayan 

nelayan-fishing-boat

Jika homestay anda berdekatan dengan kawasan nelayan menaikkan hasil tangkapan, anda boleh ceritakan tentang betapa seronoknya dapat pilih-pilih ikan segar yang masih hidup lagi dan beli terus dari nelayan dengan harga yang lebih murah. Macam-macam ikan segar boleh diperolehi dan boleh terus masak. Rasanya pasti berbeza jika bandingkan dengan beli di market.

 

Satu topik yang biasa akan dibualkan apabila saya menginap di mana-mana homestay ialah “…. kat tempat ni apa yang best ye?” Bila soalan ni keluar, biasanya masing-masing akan pandang satu sama lain, dan lepas tu senyap. Ye la, kita baru pertama kali datang tempat tu, manalah kita tau apa yang istimewa kat tempat tersebut.

 

Kita datang pun atas satu urusan yang spesifik. Sebagai contoh nak pergi majlis perkahwinan, ataupun sebab nak hantar rombongan meminang, hantar anak sambung belajar dan sebagainya. Memang tujuan yang spesifik. Kadang-kadang urusan tu semua boleh selesai dalam masa separuh hari je. Jadi waktu petang menunggu ke esok hari sebelum check out masing-masing free dan tak tau nak buat apa.

 

So, why not sebagai pengusaha homestay anda jadi seorang tour guide. Tak perlu tunggu penyewa bertanya, atau anda bagi tau tanpa diminta, sebaliknya gunakan laman web anda untuk ceritakan apa dia tempat-tempat menarik yang berdekatan dengan homestay anda ataupun aktiviti yang penyewa boleh lakukan sepanjang menginap di homestay anda.

 

Tak mustahil dalam ramai-ramai yang menginap tu, akan ada yang melanjutkan tempoh menginap lebih-lebih lagi jika mereka ada cuti yang agak panjang.

 

(3) Bina laman web yang profesional untuk perniagaan Homestay anda

Masih ramai pemilik homestay yang BELUM mempunyai laman web homestay milik mereka. Benda ni adalah WAJIB buat kalau nak pergi lebih jauh dalam perniagaan ini.

 

Kalau tak pandai buat sendiri, ambik inisiatif untuk outsource dan tempah dari orang lain yang memang mahir buat kerja-kerja pembangunan laman web. Kalau boleh, janganlah pakai blogspot sahaja. Buat laman web untuk homestay anda cantik-cantik. Ini lebih menyakinkan bakal penyewa untuk menyewa di homestay anda.

 

Kalau tak tau sangat macam mana nak bina laman web, atau tak tau nak bangunkan konsep laman web yang bagaimana, boleh rujuk kepada laman-laman web milik hotel-hotel ternama. Ambik idea dekat situ.

Baca juga: 7 Tugasan yang anda boleh outsource untuk mengembangkan perniagaan anda

 

Kemudian, bila dah ada laman web sendiri tu, carilah masa untuk jadikan laman web tersebut penuh dengan informasi.

 

(4) Dekati bakal pelanggan menerusi media sosial

Sekurang-kurangnya kena ada FB Fanpage. Hari ini hampir semua orang ada akaun Facebook. Ada sesetengah jenis manusia ni, punyalah malas, kalau nak tanya apa-apa, nak buat tempahan dan sebagainya, dia guna Facebook sahaja.

 

Apabila homestay anda boleh dihubungi menerusi Facebook, ini meningkatkan kebarangkalian untuk anda mendapat prospek dari Facebook.

buat-bisnes-difacebook

Kemudian bila dah ada fanpage ni, ambil la masa untuk update fanpage anda tu mengenai info-info atau tempat-tempat percutian yang menarik di sekitar anda. Tak perlu nak buat setiap hari, dan kalau dapat buat seminggu sekali pun bagus.

 

(5) Manfaatkan portal-portal pengiklanan Percuma

sewa_harley_davidson_mudahmy

Laman web pengiklanan seperti Mudah.MY adalah salah satu tempat yang sesuai untuk iklankan tentang homestay anda. Selain itu, boleh juga guna servis seperti dari AirBNB. Nama laman web AirBNB ni pun makin popular sejak akhir-akhir ni. Mungkin sebab laman web ni juga mula mendapat perhatian para pencari tempat penginapan di Malaysia agaknya.

 

(6) Tawarkan promosi istimewa sempena musim-musim tertentu

Bisnes penginapan seperti ini, lazimnya ada waktu-waktu tertentu yang kurang menerima pengunjung. Mungkin semasa musim perayaan. Masing-masing sibuk nak beraya di kampung halaman, jadi homestay agak lengang. Jadi, apa kata sempena musim off season seperti ini, anda tawarkan promosi istimewa.

 

Apa dia? Terpulang. Sama ada nak beri diskaun ke, rebate ke, atau apa-apa sahaja. Lebih baik ada penyewa daripada langsung tak ada orang sewa, kan?

 

Kalau bisnes hotel, biasanya waktu off season memang murah kos penginapannya.

 

(7) Jalin kerjasama dengan pusat percutian, institusi pendidikan, dan lain-lain perniagaan homestay berhampiran

Sesetengah usahawan, dia melihat kewujudan homestay lain adalah sebagai satu bentuk persaingan yang perlu dilawan. Walaubagaimanapun, sesetengah orang melihat benda ni sebagai satu peluang untuk jana pendapatan tambahan.

 

Benda untuk kebaikkan bersama, boleh dibincangkan. Sebagai contoh, anda buat perjanjian jika anda refer pelanggan yang tak dapat menyewa di homestay anda sebab dah full kepada pemilik homestay lain, mungkin anda boleh rundingkan untuk dapatkan referral commision.

 

Begitu juga sebaliknya. Kalau pemilik homestay lain yang refer pelanggan kepada anda, anda juga beri komisen kepada pemilik homestay tu. Kiranya dalam konsep ni, saling support each other.

 

Banyak juga homestay yang saya lihat, pemiliknya adalah orang Melayu Islam. Jadi, why not saling support perniagaan each other. Sama-sama naik dan sama-sama boleh buat duit. Rezeki Allah itu kan luas dan banyak. Dia jadi sempit bila ada sifat tamak dan sifat nak bolot semua sendiri-sendiri.

 

(8) Tawarkan penginapan secara percuma

Ha? Nak bagi menginap secara PERCUMA? Biar betul? Tak rugi ke? Idea dia macam ni. Andai kata pada waktu-waktu tertentu, memang tak ramai yang nak menyewa, anda boleh tawarkan promosi penginapan percuma satu malam, dengan syarat penyewa tadi menginap sekurang-kurangnya dua malam di homestay anda.

 

Untuk malam yang ketiga, tak perlu bayar apa-apa. Percuma sahaja.

 

(9) Strategi pengiklanan yang POWER

Strategi pengiklanan anda memang POWER, jika info tentang homestay anda yang akan muncul dulu apabila ada bakal penyewa yang mencari homestay di kawasan-kawasan tertentu.

 

Saya masih ingat lagi, salah satu homestay di Dungun ada menggunakan teknik pengiklanan yang dipanggil sebagai Search Engine Marketing. Pemilik homestay ini ada mendapatkan servis penulisan artikel advertorial dari beberapa orang penulis blog untuk bantu promosikan homestay ini.

 

Kita sedia maklum, pada hari ini masih ramai lagi yang bergantung kepada google untuk mencari maklumat tertentu. Termasuklah maklumat tentang homestay. Jadi, apabila ada orang yang cari maklumat seperti “homestay di dungun”, “homestay murah di dungun”, “sewa homestay di dungun” dan sebagainya, maklumat tentang homestay beliau yang akan dipaparkan terlebih dahulu.

 

Sesiapa yang bakal ke Dungun dan masih tak tau nak menginap di homestay yang mana, mereka ni pasti akan masukkan dalam senarai mereka nama Homestay Solehah Dungun ni. Sebabnya ialah nama homestay ni yang paling banyak muncul dalam laman carian google.

 

Saya juga adalah salah seorang yang telah mempromosikan homestay ini. Jika anda juga adalah pemilik homestay, dan anda mahukan khidmat saya dalam mempromosikan bisnes anda, boleh dapatkan perkhidmatan iklan dari saya.

homestay_dungun_murah

Cara promosi menggunakan search engine marketing ni memang bagus. Awal-awal je perlu keluar duit untuk upah orang tulis pasal perniagaan kita. Namun apabila semua artikel promosi tu dah masuk ke page pertama google, anda dah tak perlu risau lagi dengan bajet pemasaran. Berbeza sangat dengan pengusaha homestay yang masih bergantung kepada Google Adwords. Setiap masa mereka ni perlu tambah duit jika bajet iklan mereka dah habis.

 

Kedua-dua teknik iklan search engine marketing ini boleh digunakan. Masing-masing ada kekuatannya yang tersendiri. Apa yang penting ialah apabila ada bakal penyewa yang perlukan homestay, maklumat tentang homestay anda yang akan ditemui terlebih dahulu.

 

(10) Paparkan testimoni dari pelanggan-pelanggan terdahulu

Testimoni dari penyewa terdahulu adalah senjata pemasaran yang sangat berkesan untuk melariskan perniagaan homestay anda. Cuma janganlah menipu atau mereka-reka testimoni pulak. Sebaik-baiknya biarlah testimoni tu ikhlas datangnya dari penyewa tu sendiri.

 

Sesetengah penyewa ni memang cukup “malas” nak bagi-bagi feedback ni. Jadi kalau nak minta feedback atau testimoni dari orang yang macam ni memang agak susah. Ok ini cuma cadangan saya sahaja.

 

Apa kata anda berikan insentif untuk penyewa yang sudi untuk berikan testimoni. Insentif dalam bentuk yang macam mana? Mungkin saya boleh cadangkan anda berikan rebate atau cash back kepada mereka yang sudi untuk beri testimoni.

 

Jumlahnya tak perlu besar sangat. Mungkin dalam RM10 – RM20 untuk penyewa yang sudi untuk beri testimoni. Benda ni bukannya nak kena buat selalu. Sampai satu tahap, jika anda rasa yang homestay anda dah ada banyak testimoni, anda dah tak perlu collect testimoni lagi. Kalau ada yang bagi testimoni ambik je la. Tapi tak perlu nak bagi sebarang insentif dah pada waktu tu.

 

Baiklah, mungkin anda ada idea yang lebih bernas untuk mempromosikan perniagaan homestay anda tu. 10 Idea ini mungkin anda boleh aplikasikan jika ada antaranya yang anda masih belum gunakan.

 

Terima kasih kerana baca artikel saya yang agak panjang ini. Semoga bermanfaat.

 

Apabila saya menggunakan laman web carian google, untuk mencari tempat penginapan, terutamanya homestay, saya pasti akan temui laman web Airbnb akan menduduki muka surat pertama hasil carian. Contohnya adalah seperti dibawah ini.

homestay-di-melaka

Laman web Airbnb merupakan salah satu laman web yang anda boleh gunakan untuk mempromosikan perniagaan homestay yang anda sedang jalankan sekarang ini. Anda senaraikan homestay anda menerusi laman web Airbnb, dan seterusnya pihak Airbnb akan bantu iklankan homestay anda pula.

 

Jika anda dapat perhatikan pada screenshot diatas, pihak Airbnb sebenarnya menggunakan iklan berbayar google adwords.

 

Cubalah anda bayangkan, apabila anda senaraikan homestay anda di laman web Airbnb, dan lepas tu pihak Airbnb tolong iklankan pula guna kaedah berbayar seperti ini. Anda tak perlu keluar duit langsung untuk bayar kepada google sebagai kos menggunakan Google Adwords.

 

Inilah yang dilakukan oleh Fadzlan Zainol dalam usaha untuk mendapatkan pelanggan bagi bisnes homestay yang beliau lakukan.

duit-dari-bisnes-homestay

Atas ni pula adalah salah satu bukti tempahan atau pendapatan yang diterima dari bisnes Homestay yang beliau jalankan. Menariknya, semua pelanggan ini datang daripada laman web Airbnb, dan benda yang perlu beliau buat ialah senaraikan homestay kepunyaan beliau di laman web itu.

 

Memandangkan artikel ini dah cukup panjang, maka saya rasa ada baiknya anda baca sahaja perkongsian beliau di laman web ini. Manalah tahu, selepas anda praktikkan apa yang beliau lakukan, anda juga akan dapat pelanggan dengan mudah!

 

Selamat mencuba.

 

Be Sociable, Share!

{ 2 comments… read them below or add one }

era azman July 1, 2017 at 10:54 pm

Terima kasih! saya baca sampai habis

Reply

sabree hussin July 3, 2017 at 3:10 pm

Sama-sama 🙂

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: