Adakah semua produk boleh dipromosikan di blog ini?

by sabree hussin on October 3, 2016

in Servis Advertorial

“Ok… saya nak tanya, sebelum ni saya ada join program XXX dan kalau boleh saya nak dapatkan perkhidmatan iklan dari blog ini untuk bantu saya cari orang untuk join program tu jugak. Lagi ramai orang yang join, lagi banyak komisen saya boleh dapat. Tapi sebelum tu saya nak tanya jugak la untuk dapatkan kepastian, adakah semua produk boleh dipromosikan di blog sabreehussin dot com ni?”

 

Jawapan ringkasnya, tanpa ada sebarang niat untuk berdolak dalik lagi ialah,

BUKAN SEMUA PRODUK ATAU PERKHIDMATAN SAYA AKAN TERIMA.

 

Ya, memang akan ada beberapa kategori produk, atau perkhidmatan, atau apa-apa sahaja yang ingin diiklankan dalam blog ini, yang saya terpaksa tolak.

 

Untuk makluman anda, walaupun artikel yang bakal saya tulis itu nanti adalah artikel jenis berbayar, atau artikel advertorial, namun saya masih lagi perlu bertanggungjawab terhadap apa-apa produk yang dipromosikan menerusi blog ini. Melainkan jika iklan tersebut muncul diluar kawalan saya, dan saya tidak mempunyai akses untuk mengawal iklan tersebut.

 

Berbeza dengan iklan jenis artikel. Mula-mula sekali saya perlu fahami terlebih dahulu apa produknya, bagaimana ia berfungsi, bagaimana ia dapat membantu menyelesaikan masalah pengguna dan sebagainya. Seterusnya barulah saya akan mula melakukan kerja-kerja penulisan.

perkhidmatan-iklan-blogger

Ini bermakna dari peringkat awal lagi sebenarnya saya sudah mempunyai pilihan sama ada nak menerima projek tersebut ataupun menolaknya.

 

Berikut adalah antara kategori produk atau servis yang TIDAK SESUAI dan saya terpaksa tolak untuk diiklankan dalam blog ini.

 

(1) Produk berkaitan dengan MLM/ Skim Cepat Kaya/ Skim Piramid

Saya bukannya anti MLM. In fact, saya sendiri pernah menjadi pengguna untuk beberapa produk yang dipasarkan menerusi kaedah Multi Level Marketing ini. Sesetengah produk MLM memang berkualiti dan bagus sekali. Antaranya adalah seperti produk makanan tambahan dari Shaklee.

 

Walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ini muncul pelbagai program MLM yang agak meragukan. Sebenarnya ia hanyalah skim cepat kaya yang menggunakan nama MLM untuk memasarkan program mereka. Selalunya program-program seperti ini fokusnya bukanlah untuk menjual produk ataupun perkhidmatan, sebaliknya mereka menggunakan modus operandi untuk mengubah kehidupan, membantu pergi haji, mencari dana untuk membeli aset dan bebas dari segi kewangan dan masa.

 

Bila kita selidik betul-betul, apa produknya sampai begitu hebat sekali tawaran program ini… alih-alih kita dapat lihat produknya ialah stem cell. Nampak langsung tak ada kaitan, dan bagaimana produk macam tu boleh ubah kehidupan ahlinya?

 

Tak lain dan tak bukan. Money game dan juga over price item.

 

(2) Money game dan pelaburan yang meragukan

Saya masih ingat lagi, awal tahun 2016 ada satu program yang konon-konon berasaskan konsep derma, bantu membantu dan sedekah tiba-tiba muncul entah dari mana. Saya agak mungkin pengasas program ini mencontohi PM kita kot yang berjaya dapat derma dari pak arab. Agaknya lah…

 

Tak kisah walau apa istilah, atau nama arab yang digunakan pada program tersebut, ia tetap money game. Alang-alang anda dah baca apa yang saya tulis ini, dan kebetulan saya sentuh tentang topik sedekah, saya nak mengajak anda untuk membuat sedikit pembacaan tentang sedekah. Ini salah satu buku yang saya kira cukup baik untuk kita sama-sama tambahkan pengetahuan. Tajuknya ialah Ajaibnya Sedekah Makin Bersedekah Makin Kaya.

 

Apa yang menarik yang turut dikupaskan dalam buku tersebut ialah tentang konsep sedekah itu sendiri. Sedekah itu sebenarnya ada salah satu amal yang dikategorikan sebagai ibadah. Bila kita beribadah sudah tentu kita hanya niatkan ikhlas kerana Allah SWT.

 

Tiba-tiba program ini menggunakan nama sedekah, kemudian siapa berminat untuk jadi ahli, kena buat bayaran yang kononnya dinamakan sebagai sedekah kepada orang yang perkenalkan program tersebut, lalu tugas seterusnya ialah cari orang lain yang minat untuk join program yang sama. Lagi banyak orang yang kita cari, lagi banyak sedekah yang bakal kita perolehi.

 

Nampak tak permainan dia? Ini semua money game je. Jadi benda-benda macam ni memang tak sesuai langsung untuk dipromosikan dalam blog ini.

 

(3) Produk terlarang dan berbahaya

Contohnya seperti pisau, senjata api, bahan letupan, pedang, dadah, dan sebagainya.

 

(4) Apa-apa yang melibatkan seks

Alat-alat seks, pil, ubat kuat, patung, majalah atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan seks.

 

(5) Apa-apa yang berkaitan dengan politik

Tak kisah la sama ada UMNO ke, PKR, PAS atau apa-apa yang berkaitan dengan pergerakkan dan parti politik. Tak sesuai juga untuk diiklankan dalam blog ini.

 

Sesekali saya memang akan follow perkembangan politik tanah air. Sengaja saya tak nak share dalam blog ini, sebabnya apa yang saya baca dan yang saya dengar belum tentu kebenarannya. Saya tak nak la blog ni jadi macam buletin utama TV30. Auta banyak sangat bila cerita bab politik. Ini contoh je.

 

(6) Produk kewangan yang tidak patuh syariah 

Insurans, pinjaman peribadi, kad kredit dan sebagainya. Kalau ada akuan patuh syariah, ok saya sedia untuk bantu iklankan dalam blog ini.

 

Macam skim simpanan SSPN-i. Disebabkan ada akuan patuh syariah, so bolehlah saya iklankan dengan yakin dalam blog ini.

 

(7) Produk kecantikkan, produk kesihatan dan produk Ajaib

Produk Ajaib ni contohnya macam kad yang boleh jimatkan petrol, jimatkan elektrik dan sebagainya. Saya pun tak tau macam mana benda ni berfungsi. Cuma letak dekat dengan tangki minyak terus jimat. Ok leceh betul. Produk macam ni bukan sahaja sukar untuk dijelaskan dimana logiknya, malahan ia akan mengundang lebih banyak tanda tanya..

 

Produk kecantikkan dan produk kesihatan. Sama juga halnya. Kali terakhir saya belajar sains adalah pada tahun 2006. Itupun semasa saya masih lagi di Kolej Matrikulasi Melaka. (saya ambil jurusan sains fizikal)

 

Sekarang ni saya dah jarang sangat buka buku sains. Jadi saya memang kurang selesa untuk bercerita tentang bab-bab yang berkaitan dengan sains, atau apa-apa yang menyentuh tentang reaksi kimia dan kesannya pada kesihatan.

 

Jika anda ingin iklankan juga produk anda, sila pastikan produk anda telah pun mempunyai semua kelulusan yang sepatutnya dari badan yang bertauliah. Kelulusan dari KKM, Jakim, dan sebagainya. Anda patut lebih tau la kot. Tak perlulah saya nak tuliskan satu per satu di sini ya.

 

Senaraian ini mungkin saya akan tambahkan dari masa ke semasa. Mungkin, di masa akan datang, saya akan terjumpa kategori produk baru yang saya dapati kurang sesuai untuk diiklankan dalam blog ini.

 

Sekiranya produk anda tidak melepasi kriteria yang saya nyatakan, tak perlu risau. Sebabnya, anda boleh cuba hubungi penulis blog lain yang mungkin tak kisah untuk iklankan produk anda.

 

Baiklah, itu sahaja dari saya. Jika ada yang kurang jelas dan perlukan penjelasan lanjut, boleh hubungi saya menggunakan borang ini ya. Ataupun anda boleh juga menghantar emel ke sabreehussin@gmail.com

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: