Boleh saya tahu, apakah pendirian dan prinsip yang anda gunapakai untuk jalankan perniagaan anda?
Adakah anda jenis yang sukakan konsep “One Man Show” yang mana anda akan buat sendiri semua perkara dari A hingga Z, atau anda jenis yang lebih suka mendapatkan khidmat orang lain yang ada kepakaran tertentu untuk jalankan sesuatu tugasan asalkan hasil akhir nanti masih lagi menepati piawaian dan kritiria yang anda mahukan?
Jika anda tergolong dalam kelompok yang kedua, ada dua kemungkinan yang biasanya berlaku. Sama ada anda akan mencari pekerja sepenuh masa (atau part timer) untuk membantu urusan perniagaan anda, ataupun yang kedua, anda mendapatkan khidmat pekerja bebas (freelancer) untuk membantu anda menyiapkan kerja yang spesifik.
Konsep yang kedua ini merujuk kepada outsourcing, atau outsource. Topik ini pernah saya bincangkan dalam blog ini sebelum ini, dan jika anda masih belum baca lagi, boleh klik pada link dibawah
Klik untuk baca: 10 sebab kenapa anda perlu outsource sebahagian daripada proses bisnes anda
Memandangkan topik mengenai outsourcing ini mungkin agak baru bagi sesetengah usahawan, sama ada usahawan online mahupun offline, jadi In Shaa Allah kali ini saya akan kongsikan beberapa perkara ataupun tugasan yang biasanya penting untuk dilakukan, tapi sebenarnya boleh di outsource sahaja.
Kesemua perkara-perkara yang bakal dibincangkan ini memang PENTING untuk dilakukan. Namun tak semestinya anda perlu buat semua itu sendiri.
Ada antara perkara-perkara berikut amat memakan masa yang panjang (jika anda tiada kepakaran itu) dan yang paling menyedihkan sekali ialah, jika anda buat dengan bagus sekalipun, ia tidak akan mendatangkan wang kepada perniagaan anda.
Sebagai usahawan, bukankah lebih baik anda gunakan masa anda untuk lakukan kerja-kerja yang mendatangkan wang berbanding anda lakukan kerja-kerja yang bersifat supportive yang tidak menambahkan aliran wang masuk pun?
Jadi dalam perkongsian kali ini saya akan senaraikan beberapa tugasan yang sebenarnya anda tak perlu buat sendiri, dan ia lebih sesuai untuk di outsource sahaja. Senarai ini bukannya muktamad, dan anda mungkin akan dapati ada banyak lagi perkara yang anda boleh outsource selain daripada apa yang saya ceritakan dalam entri ini.
Kebanyakkan individu yang memilih untuk menjadi seorang usahawan lazimnya mempunyai bakat dan kepakaran yang tersendiri. Pada satu tahap, ada yang merasakan dengan anugerah yang ada padanya, dia mampu untuk buat semua benda seorang diri.
Itu memang betul. Tapi walau hebat mana seseorang itu, kita perlu terima hakikat bahawa
i. Setiap orang cuma ada masa yang terhad, iaitu 24 jam sahaja dalam sehari
ii. Tenaga yang kita miliki pasti akan habis
iii. Kita tak akan mampu untuk berada di dua tempat yang berbeza dalam satu masa
iv. Multitasking itu bagus tapi ia tak mampu dibandingkan dengan hasil kerja individu yang fokus pada satu perkara.
v. Duit boleh dicari namun masa yang hilang tak akan boleh diganti
vi. Semua benda boleh dipelajari asalkan anda sanggup bekorban dari segi wang ringgit dan masa
Apabila kita memilih untuk buat sendiri semua perkara, secara tak langsung ia akan melambatkan perkembangan bisnes yang kita sedang bina.
Ada bidang yang memang kita mahir.
Ada bidang yang kita kurang mahir, tapi dengan sedikit pembacaan, kita masih boleh lakukannya.
Ada perkara yang kita langsung tak pandai, tapi kalau sanggup luangkan masa, kita boleh kuasainya.
Sebenarnya strategi outsourcing ini bukanlah perkara baru. Ia biasa diamalkan oleh syarikat-syarikat besar termasuk juga badan kerajaan. Dalam konteks badan kerajaan, kita boleh lihat apabila mereka memerlukan khidmat tertentu, namun tiada penjawat awam yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut, mereka akan mencari kepakaran dari luar.
Sebagai pemilik bisnes, why not kita contohi mereka dan cuba lakukan perkara yang sama?
Bila masa yang tepat untuk mula lakukan outsource?
Bilakah masa yang paling tepat untuk mula melakukan outsourcing untuk perniagaan yang anda jalankan? Bagi setiap usahawan, jawapannya adalah berbeza.
Pada peringkat permulaan, mungkin anda lebih selesa untuk buat semuanya seorang diri. Biasalah pada waktu itu, anda masih memiliki semangat yang berkobar-kobar. Kalau perlu bekerja lebih masa juga anda rasa itu bukan satu isu besar. Tapi bukan semua orang mampu untuk mengekalkan semangat dan stamina yang sama untuk bertahun-tahun lamanya.
Jika bisnes yang dibina bertahun-tahun lamanya masih tak menunjukkan sebarang hasil yang diharapkan, satu masa nanti pasti akan ada yang mula rasa kurang semangat untuk teruskan. Sebenarnya itu bukan salah anda seratus peratus. Anda mungkin tak perasan, yang anda sebenarnya sedang stuck dan disibukkan dengan perkara-perkara atau tugasan yang sebenarnya tak memberi nilai tambah kepada bisnes anda.
Setiap perniagaan adalah unik. Berkenaan bila masa yang tepat untuk mula lakukan outsourcing, ia mungkin berbeza mengikut jenis perniagaan.
Namun ada beberapa perkara yang jika ia mula muncul, boleh dijadikan petanda bahawa anda sudah sedia untuk mula lakukan outsourcing.
i. Apabila anda menemui individu yang tepat untuk sesuatu tugasan
Anda tak perlu tergesa-gesa untuk mencari individu untuk menjalankan perkara yang anda boleh buat sendiri dengan baik. Namun, jika satu masa nanti, anda temui seseorang yang mempunyai kepakaran yang anda perlukan, maka ini boleh dijadikan petanda untuk anda mula lakukan outsource.
ii. Apabila anda ingin memulakan satu projek yang tak memerlukan permanent staff
Sesetengah projek ianya bersifat short term.
Sebagai contoh, anda ingin membangunkan sebuah laman web untuk perniagaan anda. Proses untuk membina sebuah laman web boleh memakan masa beberapa hari, atau beberapa minggu sahaja. Jika seseorang itu memang ada kepakaran dalam pembinaan laman web, ia boleh disiapkan dalam masa kurang dari seminggu.
Adakah berbaloi untuk anda dapatkan permanent staf semata-mata untuk projek membina laman web? Apabila laman web tersebut sudah siap, apa lagi yang dia perlu lakukan? Adakah anda akan terus kekalkan pekerja tersebut, atau anda akan mula berkira-kira untuk memecat pekerja tersebut memandangkan tugasannya sudah selesai?
iii. Apabila ada sesuatu perkara yang anda mahupun staff anda tak ada kepakaran
Memang betul, kebanyakkan perkara atas dunia ini kita boleh pelajari, dengan syarat kita sanggup untuk laburkan masa dan wang ringgit. Cuma yang menjadi persoalannya ialah, adakah anda mempunyai masa tersebut? Sanggupkah anda menunggu dan bersabar untuk belajar sendiri sampai betul-betul mahir?
Bukankah lebih mudah dan cepat jika anda dapatkan sahaja khidmat orang lain yang sudah ada kepakaran.
iv. Lebih murah berbanding dapatkan pekerja baru
Strategi outsource ini juga boleh dilihat sebagai satu kaedah untuk dapatkan penjimatan. Apabila anda ingin menyiapkan satu tugasan atau projek yang spesifik, ia lebih cost effective sekiranya anda mendapatkan khidmat freelancer.
At least anda hanya perlu bayar satu kadar upah yang bersifat one off atau one time payment. Berbanding dengan anda dapatkan pekerja baru yang mana anda mungkin perlu fikir mengenai latihan, bayaran EPF, SOCSO, benefit, cuti AL, MC dan sebagainya.
v. Lebih cepat berbanding buat sendiri
Saya boleh katakan sebenarnya outsourcing ini adalah strategi untuk anda jimatkan masa. Kalau sesuatu tugasan itu kita kurang pakar, kita tak seharusnya memaksa diri untuk belajar dan jadi pakar dalam bidang itu. Ini amat memakan masa.
vi. Ingin mengurangkan beban kerja dan inginkan lebih banyak masa
Semakin berkembang bisnes anda, semakin anda sibuk dan tak ada masa untuk keluarga dan untuk diri sendiri. Adakah ini yang anda mahu?
Bukankah sepatutnya, semakin bisnes anda maju, anda sepatutnya semakin ada banyak masa untuk nikmati hasil keuntungan yang dijana oleh perniagaan anda. Tapi kalau sebaliknya yang berlaku, which is bisnes anda menjadikan anda semakin sibuk dan tak ada masa, bermakna ada sesuatu yang tak betul.
Apa perkara yang sesuai untuk di outsource?
Setelah saya berceloteh mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan outsource, apa kata kali ini kita lihat beberapa contoh tugasan yang boleh di outsource.
1. Kerja-kerja mengurus pelanggan atau customer service
Jika anda sudah menjalankan bisnes online ini agak lama, pasti anda biasa dengan keadaan dimana inbox anda dipenuhi dengan pertanyaan dari pelanggan anda. Kalau satu masa dulu, kebanyakkan pertanyaan yang masuk adalah menerusi emel, tapi hari ini, pelanggan ada banyak cara untuk menghubungi anda.
Antaranya menerusi
i. Whatsapp
ii. Personal messaging melalui social media seperti Instagram, Facebook, Twitter
Kadang-kadang soalan yang ditanya sangatlah basic. Ada soalan yang ditanya oleh bakal pelanggan, jawapannya sudah tersedia dilaman web atau laman media sosial rasmi kita. Tapi itulah… setengah orang terlalu malas untuk membaca. Mereka lebih selesa untuk terus bertanya.
Boleh jadi, mereka ini sedang menduga kita dan ingin melihat cara layanan kita. Jika layanan kita bagus, barulah mereka akan buat bisnes dengan kita.
Cuba bayangkan, kalau dalam sehari anda menerima pertanyaan sehingga beratus-ratus mesej. Daripada beratus mesej yang masuk itu pun bukannya semua akan jadi pelanggan. Ada antaranya hanya akan bertanya dan selepas dia dapat maklumat yang dicari, dia akan senyap.
Bagi pertanyaan-pertanyaan yang mudah, anda boleh outsource sahaja kerja-kerja ini kepada orang lain. Hanya apabila ada emel yang memerlukan anda balas secara personal, barulah anda buat sendiri. Adakalanya, daripada 50 emel yang masuk ke inbox anda, hanya 3 – 5 sahaja yang betul-betul penting yang memerlukan tindakan dari anda. Yang selebihnya, tak begitu penting, tapi still anda perlu balas untuk wujudkan good impression.
Kadang-kadang saya pun rasa pelik dengan sesetengah so called usahawan yang dengan bangganya berkongsi screenshot inbox miliknya di social media. Kononnya ada beratus mesej yang belum dijawab dan masih belum dibuka.
Cuba bayangkan, dalam beratus-ratus mesej yang masuk tu, sebenarnya cuma ada beberapa sahaja penghantar mesej yang betul-betul minat nak jadi pembeli. Selebihnya hanya nak bertanya. Tapi disebabkan ada terlalu banyak mesej, anda tak tahu yang anda telah bertangguh dalam melayan mesej yang dihantar oleh serious buyer.
Bila dah sampai giliran serious buyer tu, dia dah hilang minat pula. Ataupun lebih teruk lagi, dia dah beli produk yang sama dari seller lain.
2. Buat sales dan marketing
Berapa ramai kat sini yang tak suka buat kerja-kerja pemasaran?
Aktiviti pemasaran memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sesebuah perniagaan. Kejayaan menghasilkan jualan adalah berkait rapat dengan keberkesanan sesebuah kempen pemasaran yang dijalankan.
Bila bercerita mengenai aktiviti pemasaran, sebenarnya ada terlalu banyak jenis dan kaedah pemasaran yang boleh dijalankan. Saya kongsikan beberapa kaedah yang agak popular dan biasa diamalkan oleh perniagaan disekeliling kita.
1. Outbound Marketing
Dijalankan melalui penggunaan papan iklan (billboard) di jalan raya. Lagi banyak kenderaan yang menggunakan laluan tersebut, maka lagi ramai yang dapat melihat mesej pemasaran tersebut.
2. Direct Mail
Bahan pemasaran dihantar terus ke peti surat prospek. Biasanya dalam bentuk katalog ataupun pamplet yang menyenaraikan diskaun untuk produk syarikat.
3. Direct Marketing atau Multi Level Marketing
Seseorang yang telah menjadi wakil jualan syarikat akan mendekati pelanggan. Wakil jualan ini akan menerangkan serba-serbi mengenai produk dan juga peluang untuk menjana pendapatan bersama syarikat. Pelanggan yang berminat untuk jana pendapatan juga boleh jadi wakil syarikat.
4. Telemarketing
Pihak syarikat akan menghubungi pelanggan melalui telefon dan akan menawarkan produk atau perkhidmatan yang hanya boleh dibeli melalui promosi melalui panggilan telefon sahaja.
5. Referral Marketing
Ini lebih mirip kepada pemasaran mulut ke mulut. Lazimnya referral marketing ini dilakukan oleh individu yang pernah jadi pelanggan dan seterusnya dia memperkenalkan seseorang yang dia kenali untuk turut jadi pelanggan.
6. Affiliate Marketing
Konsep affiliate marketing terdapat sedikit persamaan dengan referral marketing. Cuma perbezaan yang ketara ialah dalam affiliate marketing, seorang ejen bebas untuk memperkenalkan produk syarikat kepada sesiapa sahaja. Manakala dalam referral marketing, ejen hanya memperkenalkan produk kepada individu yang dia betul-betul kenal sahaja.
7. Search Engine Marketing
Ada dua kaedah pengiklanan yang boleh dimasukkan dalam kategori search engine marketing. Pertama adalah iklan berbayar yang mana anda akan memasukkan iklan anda dalam hasil carian di search engine. Kalau anda mensasarkan search engine Google, anda perlu bayar untuk iklan Google Adwords.
Lihat contoh dibawah.
Saya tandakan perkataan Ad dengan kotak berwarna merah. Ia mewakili iklan berbayar.
Dari maklumat yang saya ada, untuk meletakkan iklan anda dimuka surat pertama bagi kata kunci “homestay tangkak”, kos yang anda perlu bayar ialah sebanyak RM1.18 untuk setiap klik.
Jika iklan anda yang diletakkan dimuka surat pertama Google untuk keyword “homestay Tangkak” menerima klik dari pengunjung internet, anda akan dikenakan caj sebanyak RM1.18
Tapi jika tiada sebarang klik diterima, anda tak akan dikenakan sebarang caj lagi. Dalam iklan jenis pay per click (ppc), anda akan dikenakan bayaran mengikut berapa kali klik yang anda terima.
Cara yang kedua pula adalah kaedah percuma. Dalam kaedah ini anda menghasilkan konten dalam bentuk artikel dan disiarkan dalam laman web. Isi kandungan artikel anda itulah iklan anda.
Saya gunakan contoh yang sama, iaitu kata kunci “homestay Tangkak”. Artikel mengenai homestay ini berjaya menduduki mukasurat pertama Google. Pemilik homestay ini hanya perlu bayar kepada saya sekali sahaja upah penulisan satu ketika dulu tapi sampai ke hari ini masih dapat manfaat.
8. Content Marketing
Ini merupakan kaedah soft-selling yang sangat berkesan namun memerlukan masa dan usaha yang agak banyak. Untuk menggunakan kaedah ini, seseorang itu perlu bijak menghasilkan konten, sama ada dalam bentuk artikel, audio, ataupun video yang disukai oleh golongan yang disasarkan.
Konten tersebut perlulah kreatif dan tak kelihatan terlalu menjual atau jelas adalah sebuah iklan.
9. Social Media Marketing
Ini merujuk kepada pemasaran yang dilakukan di media sosial. Media sosial yang popular adalah seperti Facebook, Instagram, Twitter dan LinkedIn. Bagi menjayakan kaedah pemasaran ini, anda perlu mempunyai bilangan follower yang ramai.
10. Video Marketing
Video marketing ini juga sebenarnya sebahagian daripada content marketing. Platform yang digunakan bagi tujuan pemasaran biasanya adalah seperti Youtube, Tiktok dan sebagainya.
11. Email Marketing
Pemasaran email adalah antara kaedah pemasaran yang sudah lama digunakan oleh pemilik bisnes yang turut menjalankan perniagaan mereka secara online. Untuk kekal berhubung dengan pelanggan dan prospek, mereka akan menghantar emel secara berkala.
Anda perlukan sistem autoresponder untuk menjalankan kaedah pemasaran ini.
12. Mobile Apps Marketing
Menggunakan teknologi push notification yang mana iklan anda akan muncul pada apps smartphone.
Oleh kerana terdapat terlalu banyak kaedah pemasaran, adakah satu individu mampu untuk membuat semua kerja pemasaran ini? Baiklah, mungkin anda akan kata, anda tak akan gunakan semua kaedah pemasaran ini dalam perniagaan yang anda jalankan.
Tapi kenapa?
Adakah sebab anda tak ada kepakaran?
Adakah sebab kaedah pemasaran tersebut tak berkesan?
Atau adakah sebab kaedah menghasilkan jualan yang anda gunakan sekarang sudah cukup untuk memastikan anda sentiasa mempunyai jualan?
Saya harap anda bukanlah jenis individu yang hanya menunggu, berharap dan berdoa sahaja. Saya tak kata strategi ini salah, cuma saya berpendapat sebagai pemilik perniagaan anda patutnya lebih proaktif.
Kadang-kadang orang tak beli produk anda bukannya sebab produk dan servis anda tak bagus, tapi sebab mesej jualan anda tak sampai kepada mereka.
Diluar sana ada ramai orang yang perlukan produk anda. Tapi ada satu masalah. Mereka ini semua tak tau kewujudan produk mahupun servis anda.
Selama ini, mereka terpaksa melanggan perkhidmatan dari pesaing anda.
Sebagai pemilik perniagaan, anda juga adalah seorang CEO. Adakah kerja seorang CEO adalah buat jualan? Atau sepatutnya sebagai CEO anda berperanan untuk mengkoordinasi perniagaan anda dan membahagikan tugas-tugas tertentu kepada orang tertentu yang sememangnya LAYAK dan berkemampuan untuk menghasilkan RESULT yang anda inginkan.
Jadi selepas ini, jika anda juga tak suka buat marketing, outsource je kerja-kerja tersebut.
3. Bina laman web perniagaan
Lazimnya, untuk projek-projek saya yang memerlukan saya ada laman web, saya akan buat sendiri menggunakan blogspot ataupun wordpress. Dengan adanya sedikit pengalaman, saya tak ada masalah untuk bina laman web sendiri, dan menulis sendiri web copy pada laman web yang bakal dibina.
Contohnya laman web yang saya bangunkan adalah laman web promosi servis advertorial. Laman web ini saya hasilkan menggunakan servis percuma dari blogspot sahaja.
Untuk hasilkan design, ia ambil masa kira-kira 10 minit sahaja dan untuk penulisan webcopy ataupun seksyen copywriting, ia hanya perlukan masa kira-kira 2 jam 30 minit. Jika ada kecacatan dan kelemahan, ia masih boleh diperbaiki dari masa ke masa.
Part yang paling susah? Bagi saya bahagian yang paling saya rasa susah adalah part design. Saya tak ada kemahiran dan kreativiti untuk hasilkan design yang cantik. Jadi saya amat bergantung harap kepada template yang saya boleh edit semula. Kalau tak ada template tu, jangan harap boleh siapkan design dalam masa 10 minit. Itu kalau situasi saya sendiri.
Walaubagaimanapun, bagi sesetengah individu, mereka akan ambil masa yang sangat lama just to develop a website. Jika mereka tetap memaksa diri untuk hasilkan website sendiri, kemungkinan yang akan berlaku ialah dia akan habiskan masa yang sangat lama dan hasilnya juga mungkin tak begitu memuaskan hati. (saya pernah berada dalam situasi ini, saya cuba buat sendiri tapi hasil akhir sangat mengecewakan)
Kebanyakkan pemilik bisnes tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang IT. Melainkan kalau bisnes tersebut adalah bisnes yang berkaitan dengan IT.
Dewasa ini pemilik perniagaan tidak sepatutnya mengabaikan pemasaran online dalam perniagaan. Sepatutnya kita mengambil iktibar terhadap perkara yang pernah berlaku sebelum ini, semasa dunia berhadapan dengan penularan virus Covid-19. Kita di Malaysia juga tak terkecuali, dengan adanya Perintah Larangan Pergerakkan (PKP), ada banyak bisnes yang terjejas terutama sekali bisnes yang bergantung kepada pelanggan yang walk in ke premis perniagaan.
Sekurang-kurangnya bila kita ada laman web sendiri atau laman web perniagaan, kita masih boleh mendapat jualan dari pelanggan yang membuat tempahan secara online.
Jika anda tak mempunyai kemahiran untuk membina laman web, anda perlukan bantuan daripada orang lain yang ada kepakaran. Walaupun kemahiran ini boleh dipelajari, namun ia mungkin akan mengambil masa yang cukup lama. Adakah anda sanggup menangguhkan pelancaran bisnes anda, atau terlepas peluang mendapatkan tempahan secara online, semata-mata sebab anda tak pandai untuk bina laman web perniagaan?
Sedangkan semua ini anda boleh outsource.
Anda nak belajar cara pasang laman blog wordpress?
Klik untuk baca: Panduan pemasangan blog wordpress self hosted
Satu perkara lagi yang saya nak highlight mengenai pembinaan laman web ialah kadang-kadang laman web yang kita bina akan beri masalah. Anda mungkin boleh belajar sendiri cara untuk bina laman web, namun bagaimana kalau laman web anda itu nanti mula menimbulkan masalah?
Adakah anda juga sanggup untuk belajar mengenai troubleshooting?
Masalah teknikal pada laman web
Masalah teknikal ni boleh jadi disebabkan oleh beberapa perkara, sama ada
1. Serangan virus
2. Masalah server
3. Masalah coding
4. Anda dah terdelete file yang tak sepatutnya anda usik
5. Serangan hacker
Masalah-masalah ini bukanlah masalah yang akan berlaku setiap hari. Ia mungkin terjadi pada anda, dan mungkin juga tak akan berlaku langsung. Namun apabila ia berlaku, ia pasti mengganggu.
4. Membuat kajian (research) berkaitan dengan perniagaan yang dijalankan
Membuat kajian pasaran juga merupakan satu perkara yang penting dalam perniagaan.
Kajian perlu dilakukan bagi mengetahui maklumat berikut
1. Apa yang diperlukan dan dicari oleh pelanggan
2. Apakah produk yang sedang hot selling
3. Siapakah yang menjadi pesaing anda
4. Apakah yang membuatkan pesaing anda lebih baik berbanding anda
5. Apakah kata kunci yang dicari oleh pelanggan di Google sebelum dia beli produk tertentu.
Kesemua ini perlukan kajian. Ia bukannya sesuatu yang kita boleh teka-teka atau berdasarkan gerak hati semata-mata. Diinternet memang ada beberapa software yang boleh digunakan bagi tujuan mendapatkan data-data yang berguna untuk bisnes anda.
Sebagai contoh, saya sendiri menggunakan software Uber Suggest untuk mendapatkan beberapa data yang penting untuk bisnes yang saya jalankan.
Baiklah, data sudah ada depan mata. Persoalan seterusnya ialah, adakah anda tahu membaca dan menggunakan data tersebut untuk kegunaan bisnes anda?
Maka disini pentingnya ada research team. Mereka akan mendapatkan data, dan pada masa yang sama mereka akan bentangkan data tersebut dalam format yang boleh difahami. Supaya dengan adanya data tersebut, anda boleh merancang strategi yang lebih baik.
5. Design
Saya memang tak ada bakat dalam kerja-kerja graphic design. Saya pernah cuba untuk belajar sendiri, tapi akhirnya hasilnya langsung tak memuaskan. Lalu saya terpaksa terima hakikat, bakat dan kemahiran yang saya ada adalah dalam bidang penulisan, bukannya bab design.
Oleh sebab tu, bila saya perlukan sebarang design, saya pasti akan outsource sahaja kerja-kerja tersebut.
Bukan semua gambar-gambar, poster ataupun logo yang kita jumpa di Google, kita boleh gunakan untuk bisnes kita. Kebanyakkannya tertakluk kepada copyright. Jangan cari masalah dengan menggunakan gambar milik orang lain secara semberono tanpa izin ya.
6. Accounting
Kerja-kerja menyimpan kira-kira dan yang melibatkan perakaunan boleh jadi sesuatu yang sangat leceh dan amat membuang masa. Namun, ia merupakan satu tanggungjawab kepada semua orang untuk melakukannya.
Lebih-lebih lagi untuk sesebuah perniagaan. Kita ada tanggungjawab untuk mengisytiharkan pendapatan dan membayar cukai.
Kalau anda tak ada kemahiran dalam bab perakaunan, adalah lebih munasabah untuk dapatkan khidmat dari mereka yang ada kepakaran. Ia dapat menjimatkan masa anda, dan pada masa yang sama ia dapat mengelakkan anda daripada melakukan kesalahan dalam bab percukaian.
Jika anda selaku pemilik perniagaan, dan anda tak mempunyai pekerja yang mahir dalam bab perakaunan, adalah lebih baik untuk anda dapatkan khidmat dari akauntan profesional. Bab perakaunan ini adalah bab yang sensitif kerana ia melibatkan undang-undang negara.
7. Penghantaran produk
Anda perlu memikirkan tentang kaedah penghantaran produk apabila melibatkan jual beli produk fizikal. Setelah pelanggan buat pembelian, dah tentu anda perlu uruskan pula penghantaran produk tersebut.
Jika penghantaran menggunakan pos laju misalnya, kerja anda ialah
1. Balut produk cantik-cantik supaya tak rosak
2. Pergi pos laju dan tunggu giliran untuk pos barang
3. Serahkan tracking number kepada pelanggan
4. Jika pelanggan pulangkan barang, atau minta tukar barang, anda kena uruskan lagi
Semua ni memang agak menyukarkan dan makan masa yang lama. Ada tak solusi dia? Dah tentu ada. Pernah dengar kaedah dropship kan? Semua yang saya sebutkan ini, anda boleh outsource sahaja kepada syarikat dropship. Kerja anda jadi lebih mudah dan anda akan ada lebih banyak masa untuk buat kerja-kerja yang mendatangkan duit.
Saya perhatikan, masih ramai pemilik bisnes yang menggunakan kaedaah cash on delivery (COD) dalam perniagaan yang dilakukan. Jadi apa masalahnya?
Benda ni bukannya satu masalah besar pun. Cuma saya berpandangan, kerja-kerja penghantaran produk ini boleh di outsouce sahaja kepada pihak ketiga, melainkan anda memang suka buat kerja-kerja penghantaran. Mungkin atas sebab tertentu, anda memilih untuk hantar sendiri produk kepada pelanggan sebab anda nak bina perhubungan (rapport) yang baik dengan pelanggan anda, atau sebab anda memang nak keluar jalan-jalan.
Kadang-kadang, hanya untuk hantar dua atau tiga barang kepada pelanggan, ia memakan masa sampai tiga ke empat jam. Cuba bayangkan, apa yang anda boleh lakukan dengan masa tersebut?
Pasti ada banyak benda.
Sesetengah orang dia merasakan jadualnya sangat padat. Bisnesnya sangat maju dan dia tak ada masa untuk buat perkara lain.
Tapi hakikatnya, dia disibukkan dengan rutin yang langsung tak memberi nilai tambah kepada bisnesnya. Rutin ini, boleh diubah dengan mengamalkan outsourcing.
Cuba anda bayangkan sebuah syarikat. Syarikat tu ada pemilik. Tetapi amat jarang kita kenal siapa pemilik syarikat tu. Yang kita kenal ialah CEO syarikat tersebut, yang berperanan untuk mengurus tadbir operasi syarikat.
… dan syarikat tu pula akan ada seorang manager, assistant manager, executive, team leader, marketing department, accounting and finance department, customer service dan sebagainya. Setiap orang ada pembahagian tugas masing-masing dan semuanya sibuk bekerja untuk majukan syarikat.
Err… pemilik syarikat buat apa ya? Entah-entah tengah syok main golf, memancing atau pergi melancong. Cuba bayangkan, kalau sebagai pemilik syarikat, dia la CEO, dia la manager, kuli pun dia, admin pun dia, kemudian despatch pun dia buat… Bila masa dia nak enjoy kehidupan dia sebagai pemilik perniagaan?
Anda adalah pemilik bisnes.
Matlamat utama anda adalah untuk menghasilkan profit.
Kalau anda perlu buat semua benda untuk hasilkan profit, itu bukannya bisnes. Itu bekerja. Instead of ada bisnes sendiri, anda sebenarnya buat dua kerja dalam satu masa. Cuma kerja yang satu lagi ini, yang anda anggap sebagai bisnes tu, lebih memenatkan sebab anda perlu buat semua, dan perlu jadi pakar dalam semua bidang.
Harap-harap ia tak menjejaskan fokus dan kualiti kerja anda, jika anda mempunyai kerja hakiki. Bimbang nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Bagaimana kalau anda mula menggunakan strategi outsourcing dalam bisnes anda? Apa agaknya yang akan berlaku?
Saya percaya, jika strategi ini digunakan dengan betul, anda masih akan berjaya hasilkan profit.
Tapi anda bukan sekadar buat profit, pada masa yang sama, anda juga telah membuat jasa dengan mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain. Anda bukannya mendapatkan khidmat outsource dari individu secara rambang. Sudah tentu anda boleh pilih mana-mana individu yang menepati kriteria yang anda tetapkan. Pilihlah individu yang boleh hasilkan kerja yang lebih baik dari yang anda lakukan.
Anda akan ada lebih banyak masa untuk menikmati kehidupan dan pada masa yang sama, anda masih boleh hasilkan profit.
Ahmad says
terimakasih atas perkongsiannya tuan ….. salah satu yang menarik hati saya yaitu tentang pemasarannya …
Ilham says
sekarang saya mencoba untuk membina website untuk pemasaran produk saya …..
sabree hussin says
Bagus tu. Website memang sangat penting untuk pemasaran secara online 😀
zharif says
Terima kasih tuan. Sangat bermanfaat =)
sabree hussin says
Sama-sama